Archive for 26 Ogos 2009


IMG_7549

Kunjungan terakhir di Negeri Kedah sebelum berangkat pulang ialah ke SMA Nahdzah yang khabarnya kini mempunyai lebih 600 pelajar.

Kami tiba ketika pelajar sekolah sedang bercuti seminggu, sama seperti sekolah lain. Pak guard kehairanan saya masuk sambil kamera menyangkut di leher.

“Saya dari Sabah. Nak ambil gambar”.

“Oh. Di sini ada empat orang Sabah. Tapi semuanya balik bercuti”.

Asalnya saya tidak mengetahui tentang sekolah ini. Tetapi ketika pertama kali melintasi kawasan Kota Sarang Semut untuk ke Pendang, Cikgu Hameed menjelaskan bahawa dahulu inilah sekolah Ust. albelurani.

Saat itu juga hadir minat saya untuk datang sekali lagi ke sekolah berkenaan.

Kami bertemu dengan salah seorang tenaga pengajar di sekolah ini. Ust Azam namanya. Juga lepasan sekolah ini dan bertugas di sini setelah menamatkan pengajian di Universiti al-Azhar pada tahun 2000.

Sekolah Nahdzah juga dikenali dahulu dengan nama Pondok Pak Man, sempena seorang ulama bernama Othman al-Yunusi.

Walaupun sekolah ini bertukar status kepada sekolah agama bantuan kerajaan (SABK), ia kini masih mengekalkan subjek-subjek agama berbahasa arab. Jumlah subjek yang diajar adalah sebanyak 21 mata pelajaran akademik dan agama.

Sepertimana Sekolah Taufikiah, saya turut mengharapkan agar usaha-usaha membawa lebih ramai pelajar Sabah ke sini digiatkan selepas ini.

IMG_7551

IMG_7552

IMG_7557

IMG_7566

IMG_7573

[Terima kasih kepada mereka yang menghantar SMS ucapan selamat berpuasa. Saifulzan Alimin (Kolombong); Amirah Md Fikri (UMS KK); Md Firdaus Ismail (Lahad Datu); Ust Hj Lukman Said (Kaherah); Supt Hj Abd Latif Ibrahim (Istana Negeri); Ustazah Noraini Ag Adi (Sandakan); Norfatinih Salbido (Keningau); Bob (DSelera Catering & Services Likas)]

 IMG_7504

Kali pertama saya mendengar nama sekolah ialah pada tahun 1995.

Saya masih mengingati, seseorang menghadiahkan saya sebatang pen bertanda dan bertulis nama sekolah ini. Pen itu masih dalam simpanan dalam almari di kampung saya.

Daripada ketika itu, saya menyimpan hasrat untuk melawatinya satu hari nanti.

Yang saya tahu, ia terletak di Kedah. Di kawasan mana, bagaimana rupanya, saya kurang maklum sehinggalah saya berpeluang menziarahi sekolah berkenaan ahad lalu.

Selepas itu, barulah saya mengetahui bahawa sekolah yang bermula pada 1941 ini memberi jasa yang bukan sedikit kepada pelajar Sabah khususnya yang pernah menimba ilmu di sini.

Dahulu ia dikenali dengan nama Pondok Pak Ya, mengambil nama Tuan Guru Hj Yahya Junid yang menjadi pengasasnya.

Nama itu masih kekal pada panggilan penduduk tempatan dan bekas pelajarnya, sementara secara rasmi di atas kertas ia bergelar Sekolah Menengah Agama Taufiqiah al-Khairiah al-Halimiah.

Sekolah ini sudah tentu sangat nostalgik sekali kepada mereka yang pernah bergelar penuntut di sini. Ramai sahabat, dan orang yang saya hormati berguru di sini.

Ketua di bahagian saya sekarang, Ustaz Musally Moksin adalah lepasan sekolah ini sebelum menyambung ke UM. Sahabat yang saya hormati di Sandakan, Ust Bahtiar Hud juga pernah mengaji di sini.

Anak-anak Imam Lukman @ Gumikin dari Masjid Jamek Pekan Kundasang juga belajar di sini. Ustaz Suzairy, Ustaz Fadly dan Ustazah Khairunnisa antara produk sekolah Khairiah.

Satu masa dulu saya ada mendengar sekolah ini mengalami masalah kewangan yang serius. Antara akibatnya, mereka kekurangan pelajar.

Khabar terkini pula, saya dimaklumkan sekolah ini mula mendapat tempat semula di hati masyarakat.

Saya ingin benar tempohari kalau-kalau terserempak dengan guru atau pelajarnya. Tetapi oleh kerana ia musim cuti, saya hanya dapat mengambil gambar dan semangat perjuangan mereka sahaja.

Saya berharap usaha-usaha untuk menghantar semula pelajar Sabah ke sini seperti satu masa dahulu dapat diaktifkan semula. Saya juga mencari-cari maklumat sekolah ini di alam maya, tetapi tidak bertemu.

Harap-harap mereka yang pernah mengaji di sana dapat memberikan respon.

IMG_7481

IMG_7488

IMG_7489

IMG_7493

%d bloggers like this: