Archive for 4 Ogos 2009


SANAH HELWA ‘6’ NUHA

IMG_6364

Salah satu sebab lagi saya bergegas balik dari Tambunan sebelum program berakhir pada tengahari ahad ialah kerana anak sulung saya ini.

Nuha Wafiyyah dilahirkan pada 3 Ogos 2003 di rumah sewa kami di Awwal Dirasat, el-Mansoura, 100km dari Kaherah.

Seingat saya, ketika itu masih banyak kedapatan ibu-ibu yang bersalin di rumah berbanding di hospital atau di klinik. Temujanji hanya dibuat dengan doktor atau bidan untuk menyambut bayi yang bakal lahir.

Tidak ketinggalan dengan hal isteri saya.

Sabtu, sekitar jam 2 petang. Isteri saya mula menunjukkan sakit perut yang agak kerap. Menurut bacaan buku kami yang sememangnya terhad, inilah agaknya tanda hendak bersalin walaupun jangkaan sebenar hanya 2 minggu lagi.

Rakan-rakan isteri saya dipanggil. Mujur rumah sewa mereka tidak begitu jauh. Letaknya antara 5-15 minit perjalanan.

Sementara kawan-kawan isteri menanti di rumah, saya pula menjemput Doktor Sofa datang ke rumah. Bukan dengan naik kereta, cuma berjalan kaki sahaja.

Sampai di rumah kami, doktor membahagi-bahagi tugas. Ada yang ditugaskan menyediakan air panas, lampin, pakaian dan sebagainya. Saya dan dua tiga rakan yang lain bertindak sebagai pemberi semangat, berada di sisi isteri.

Pengalaman pertama, jauh dari kampung dan keluarga, bersalin dan menyambut anak pertama di rumah bukan di hospital membuatkan kenangan itu begitu istimewa sekali. Tidak perlu kursus hendak menemani isteri seperti kehendak hospital Malaysia.

Rakan-rakannya pula berpeluang melihat rakan karib sendiri bersalin di hadapan mata, dalam keadaan mereka sendiri masih bujang lagi.

2.30 petang, Nuha selamat dilahirkan dengan berat 3.5kg.

Nuha sempat ditahnik oleh beberapa orang ulama’. Seorang guru qiraat saya di Mansoura, sheikh maahad qiraat di Shoubra dan oleh Shaikh Nuruddin al-Banjari ketika Nuha berusia 3 minggu.

***

Itu cerita 6 tahun lalu.

Sejak 3 tahun lalu, Nuha sudah memulakan pra sekolahnya di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Taman Union Putatan sebagai kumpulan pelajar yang pertama.

Nostalgia sekali mengenangkan peristiwa itu, lalu permintaan Nuha hendak menyambut ulangtahunnya diadakan di PASTI kami raikan. Tahun hadapan, dia tidak lagi di sana.

Kali ini dua kali Nuha meraikan ulangtahunnya. Ahad buat di rumah, sementara pagi isnin di PASTInya.

PASTI Union pula terumbang ambing. Entah tahun hadapan masih ada atau tidak. Tuan rumah sudah menyuarakan hasrat untuk menjual rumah berkenaan.

Apa pun, susah senang PASTI Taman Union, Nuha masih kekal daripada awal sehingga kini sedangkan kawan-kawannya yang pertama dahulu sudah beralih ke tempat lain.

Sebelum mencapai 6 tahun, Nuha sudah pandai baca jawi, rumi dan al-Qurannya sudah masuk juz 4. Selain itu, ciri kepimpinan sebagai seorang kakak sudah jelas kelihatan.

Tadi, saya membahagi-bahagikan syiling 20 sen untuk mereka adik beradik masuk ke dalam tabung. Rupanya hanya 80 sen saja, kurang 20 sen untuk mereka berlima.

Tanpa disuruh pun, Nuha mengalah.

“Duit untuk kakak Nuha, kakak beri untuk baby..”

IMG_6370

IMG_6378

IMG_6395

IMG_6404

IMG_6407

MANSUH I.S.A.

IMG_3774

Saya tulis dan catatkan semula beberapa insiden yang didedahkan oleh tahanan ISA yang menunjukkan mereka didera dan dihina.

1) Orang tahanan tidak disediakan pakaian yang sesuai bagi mengerjakan solat. Insiden berlaku di sebuah lokap polis ketika orang tahanan hendak dipindahkan ke PRC.

2) Setiap tahanan ISA disumbat ke dalam sel yang sempit, hanya mempunyai tingkap kecil di pintu selama 60 hari. Setelah cukup dua tahun, ditambah lagi 2 tahun.

3) Pegawai penyiasat mengancam dengan pelbagai ancaman. Contohnya : Tahanan dipaksa membungkus najis dan air kencing sendiri ke dalam dua plastik. Kemudian diancam memilih memakan najis atau air kencing sendiri, jika tidak mahu membuat pengakuan.

4) Percubaan meliwat. Tahanan meronta-ronta ketika dikeroyok sehingga terhumban ke lantai oleh pegawai penyiasat semata-mata ingin mempertahankan seluarnya daripada dilucutkan secara paksa oleh dua orang daripada mereka, sementara seorang memeluk kuat dari belakang dan seorang lagi melondehkan seluarnya dalam percubaan meliwat.

5) Tahanan bukan sekadar dibogel tapi dipaksa dijentik kemaluan sambil menyebut goblok berulang kali.

6) Terdapat tahanan yang yang dibogelkan serta dipaksa onani.

Pengakuan-pengakuan ini dibuat oleh tahanan yang terlibat serta bersedia bersumpah dengan nama Allah dan al-Quran.

Sumber : Suara dari Kem Tahanan Kemunting, Perak

TUNTUTAN RAKYAT

1) Mansuhkan ISA. 2) Bebaskan Tahanan ISA 3) Tutup Kem Kamunting

IMG_3777

IMG_3779

IMG_3778

 

IMG_6331

Pasukan Pemuda Putatan (3P) muncul sebagai juara dalam kejohanan badminton anjuran PAS Kawasan Putatan di Putatan ahad lalu.

Disertai 11 kumpulan dengan 5 pemain sepasukan, pasukan Pemuda Putatan menewaskan pasukan Donggongon B dalam pertandingan akhir yang sengit pada sebelah petang ahad.

Antara pasukan yang mengambil bahagian ialah Belia Pasir Putih, Kinarut FC, Limbanak Bersatu, Penampang A, Kobusak Team, Syabab Sepanggar, Indah Permai FC, Pemuda Kg Likas dan Putera Karambunai.

Pengerusi penganjur, Sdr Azman Mustafa dalam kenyataan medianya menjelaskan bahawa pihaknya menerima sambutan luar dugaan apabila dihubungi pelbagai pasukan untuk menyertai pertandingan berkenaan sehingga ke saat akhir.

Lebih menarik, kebanyakan pemain seramai 55 orang adalah  para belia pelbagai latar belakang pendidikan serta bukan ahli PAS.

Berdasarkan sambutan luar jangka berkenaan, pihaknya berjanji akan meneruskan kejohanan berkenaan pada masa akan datang dengan penganjuran yang lebih baik dan tersusun berbanding kali ini.

Semua hadiah disampaikan oleh YDP PAS Kawasan Putatan Abd Hameed Abu Bakar.

Laporan disediakan oleh Unit Media Kejohanan

IMG_6328

%d bloggers like this: