IMG_7458

Segan dan berkali-kali saya menolak pelawaan permintaan mereka supaya saya menyampaikan tazkirah di masjid ini selepas solat zuhur. Maklumlah, ini kawasan orang besar.

Segan dan terasa kerdil diri.

Ini Masjid at-Tohiryyah, Kg Sungai Lintang, Yan Kedah, yang terletak di tengah bendang. Inilah kampung asal YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom.

Kg Sungai Lintang pula terletak dalam DUN Sungai Limau, yang rakyatnya berADUNkan YAB Datuk Seri Ustaz Azizan Abd Razak, Menteri Besar Kedah.

IMG_7475

Saya turut diperkenalkan kepada Tuan Hj Baharom Hj Ramli (gambar atas), ayahanda kepada Datuk Jamil Khir. Hj Baharom sudah berusia lebih 70 tahun, gagah hadir berjamaah ke masjid selaku bilal dan tok siak di sini.

Dikhabarkan kepada saya bahawa keluarga Hj Baharom ini adalah keluarga PAS. Hj Baharom adalah antara pengasas PAS di sini. Begitulah juga keluarga sebelah mertuanya juga orang kuat PAS juga.

Berat hati untuk bangun berdiri, saya gagahkan juga bercakap sedikit tentang sebuah hadith :

“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, diampunkan dosanya yang lalu. Sesiapa mendirikan malam-malam Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, diampunkan dosanya yang lalu”.

Puasa adalah ibadah yang tidak nampak dan tidak diketahui orang. Ia bukan seperti solat, yang zahirnya boleh dilihat orang gerak geri pelakunya. Berwudhu’, berdiri, mengangkat tangan untuk takbir, rukuk, sujud, duduk sehingga memberi salam.

Puasa juga bukan seperti berzakat. Kelihatan ia bertemu dengan amil, atau berkunjung ke tempat asnaf. Bahkan jika zakatnya dibayar kepada wakil amil yang dilantik rasmi, bukti bayaran akan diperolehi dengan sehelai resit.

Puasa juga bukan seperti haji. Bakal jamaah haji menabung sekian tahun lamanya, berkursus sebelum berangkat, sehingga di sana berwuquf di Arafah, mabit di Muzdalifah, melontar di Mina, bertawaf dan saie di Masjid al-Haram sehingga ia kembali ke tanahair.

Tiada sesiapa mengetahui seseorang itu berpuasa kecuali Allah SWT. Seseorang yang lemah longlai, pucat lesi, letih dan lesu belum tentu itu bukti ia berpuasa.

Justeru puasa mendidik kita tentang keimanan. Iman itu keyakinan di dalam. Jika dia tidak berpuasa sedangkan di hadapan khalayak dia berpura-pura letih kononnya berpuasa, sesungguhnya Allah SWT Maha Tahu hakikat sebenarnya.

Setelah puasa yang fardhu ditunaikan sepanjang siang, agama menuntut kita menegakkan malamnya dengan ibadah sunnat pula. Ada tarawih, witir, zikir dan seumpamanya.

Pengharapan yang betul pula apabila semakin ke hujung Ramadhan, ia semakin giat dan galak. Bukannya semakin lemah dan malas. Kerana tawaran Allah SWT begitu. Semakin Ramadhan ke hujung, ia semakin ke puncak dan tawaranNya pula semakin hebat.

‘Ramadhan awalnya rahmat, pertengahannya keampunanan dan hujungnya bebas dari api neraka”.

Lihat pula praktikal kita. Masjid penuh pada minggu pertama, mulai susut minggu kedua, kurang separuh minggu ketiga, tinggal sebaris minggu terakhir. Ketika itu, masjid dan surau bukan lagi sasaran, tetapi pusat membeli-belah.

Maha Bijak Allah SWT mengadakan malam al-Qadar itu di penghujungnya, bukan di awalnya. Beruntunglah mereka yang mendapatnya.

IMG_7470

IMG_7471

IMG_7473

IMG_7476