Sumber : Web JHEAINS

Berada di bulan Rejab adalah bulan Isra’ dan mi’raj bererti akan menyusullah pula bulan Syaaban sebelum menjelangnya Ramadan al-Mubarak. Keistimewaan bulan-bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan terlihat dalam sepotong doa yang diriwayatkan oleh Anas RA daripada Rasulullah SAW yang bemaksud:

“Ya Allah, Berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, serta panjangkanlah umur kami hingga sampai ke bulan Ramadan”. (diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dalam al-Syua’aab, Ibn Abi al-Dunya dan Ibn Sunniy).

Allah SWT memuliakan bulan Rejab dengan menurunkan syariat mengerjakan solat atau sembahyang lima kali sehari semalam ke atas umat Islam. Rasulullah SAW menerima perintah itu ketika berada di Sidratul Muntaha iaitu perhentian terakhir baginda ketika naik ke langit bertemu dengan Allah SWT dalam peristiwa Israk dan Mikraj, yang terjadi pada 27 Rejab (tahun ke 11 baginda dilantik sebagai Rasul).

Daripada Anas RA, katanya: “Solat difardukan ke atas Nabi SAW pada malam Israk Mikraj sebanyak 50 kali. Kemudian dikurangi sehingga menjadi lima (rakaat). Kemudian Allah menyeru: “Wahai Muhammad, ia merupakan suatu ketetapan yang tidak boleh diubah lagi disisiKu. Dengan mengerjakan solat lima waktu ini, engkau tetap memperoleh ganjaran sama seperti mengerjakan solat sebanyak 50 kali itu.” (HR Ahmad, At-Tirmizi)

Dengan hal yang demikian, pemfarduan solat atau sembahyang lima kali sehari semalam melambangkan tingginya nilai ibadah ini. Ia merupakan tiang agama yang bertindak sebagai penentu kepada keutuhan agama dan akidah serta akhlak seseorang yang mengaku dan bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah SWT dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah SWT.

Tegasnya, sesiapa yang mendirikan solat atau sembahyang bererti dia telah mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkannya, bererti telah meruntuhkan agama yang dianutinya. Ini bertepatan dengan amaran Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Solat itu adalah tiang agama, maka sesiapa yang mendirikan solat, sesungguhnya dia telah menegakkan agamanya, dan sesiapa yang meninggalkannya, maka sesungguhnya dia telah meruntuhkan agamanya.” (HR Bukhari dan Muslim).

Sehubungan itu, ibadat solat adalah satu daripada Rukun Islam yang wajib dilaksanakan setiap Muslim, sama ada lelaki atau perempuan dengan sempurna sebanyak lima waktu sehari semalam. Malah, solat juga pembeza antara Muslim dengan kafir sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: “Tonggak pemisah antara seorang Muslim dan kafir adalah solat” (HR Muslim). Tuntutan mengerjakan solat tertera dalam banyak ayat al-Quran. Antaranya ialah firman Allah SWT:

Yang bermaksud: “ Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, Sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.” (S. Taahaa: 14).

Firman Allah SWT lagi:

Maksudnya: “Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada ketika yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang yang mahu beringat.” (S. Hud: 114).

Berdasarkan kepada nas-nas perintah mengerjakan solat tersebut, ternyata betapa pentingnyanya kita semua memelihara lima solat wajib iaitu Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak. Dan sebaik-baiknya solat itu dikerjakan pada awal waktu dalam keadaan khusyuk memandangkan kesempurnaan solat penentu kejayaan seseorang selaras dengan firman Allah SWT:

Yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;” (S. Al-Mukminun, 1-2).

Seperti yang dimaklumi, masih ramai di kalangan umat Islam yang lalai serta mencuaikan kewajipan solat atau sembahyang. Antara sebabnya ialah kurangnya didikan agama selain tiada ketegasan serta komitmen dalam sesebuah keluarga untuk mendirikan solat. Keadaan itu diparahkan lagi dengan kewujudan elemen-elemen yang melalaikan seperti hiburan, permainan di telefon pintar atau komputer, sukan dan lain-lain lagi.