Tag Archive: Solat


Sumber : Web JHEAINS

Berada di bulan Rejab adalah bulan Isra’ dan mi’raj bererti akan menyusullah pula bulan Syaaban sebelum menjelangnya Ramadan al-Mubarak. Keistimewaan bulan-bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan terlihat dalam sepotong doa yang diriwayatkan oleh Anas RA daripada Rasulullah SAW yang bemaksud:

“Ya Allah, Berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, serta panjangkanlah umur kami hingga sampai ke bulan Ramadan”. (diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dalam al-Syua’aab, Ibn Abi al-Dunya dan Ibn Sunniy).

Allah SWT memuliakan bulan Rejab dengan menurunkan syariat mengerjakan solat atau sembahyang lima kali sehari semalam ke atas umat Islam. Rasulullah SAW menerima perintah itu ketika berada di Sidratul Muntaha iaitu perhentian terakhir baginda ketika naik ke langit bertemu dengan Allah SWT dalam peristiwa Israk dan Mikraj, yang terjadi pada 27 Rejab (tahun ke 11 baginda dilantik sebagai Rasul).

Daripada Anas RA, katanya: “Solat difardukan ke atas Nabi SAW pada malam Israk Mikraj sebanyak 50 kali. Kemudian dikurangi sehingga menjadi lima (rakaat). Kemudian Allah menyeru: “Wahai Muhammad, ia merupakan suatu ketetapan yang tidak boleh diubah lagi disisiKu. Dengan mengerjakan solat lima waktu ini, engkau tetap memperoleh ganjaran sama seperti mengerjakan solat sebanyak 50 kali itu.” (HR Ahmad, At-Tirmizi)

Dengan hal yang demikian, pemfarduan solat atau sembahyang lima kali sehari semalam melambangkan tingginya nilai ibadah ini. Ia merupakan tiang agama yang bertindak sebagai penentu kepada keutuhan agama dan akidah serta akhlak seseorang yang mengaku dan bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah SWT dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah SWT.

Tegasnya, sesiapa yang mendirikan solat atau sembahyang bererti dia telah mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkannya, bererti telah meruntuhkan agama yang dianutinya. Ini bertepatan dengan amaran Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Solat itu adalah tiang agama, maka sesiapa yang mendirikan solat, sesungguhnya dia telah menegakkan agamanya, dan sesiapa yang meninggalkannya, maka sesungguhnya dia telah meruntuhkan agamanya.” (HR Bukhari dan Muslim).

Sehubungan itu, ibadat solat adalah satu daripada Rukun Islam yang wajib dilaksanakan setiap Muslim, sama ada lelaki atau perempuan dengan sempurna sebanyak lima waktu sehari semalam. Malah, solat juga pembeza antara Muslim dengan kafir sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: “Tonggak pemisah antara seorang Muslim dan kafir adalah solat” (HR Muslim). Tuntutan mengerjakan solat tertera dalam banyak ayat al-Quran. Antaranya ialah firman Allah SWT:

Yang bermaksud: “ Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, Sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.” (S. Taahaa: 14).

Firman Allah SWT lagi:

Maksudnya: “Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada ketika yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang yang mahu beringat.” (S. Hud: 114).

Berdasarkan kepada nas-nas perintah mengerjakan solat tersebut, ternyata betapa pentingnyanya kita semua memelihara lima solat wajib iaitu Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak. Dan sebaik-baiknya solat itu dikerjakan pada awal waktu dalam keadaan khusyuk memandangkan kesempurnaan solat penentu kejayaan seseorang selaras dengan firman Allah SWT:

Yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;” (S. Al-Mukminun, 1-2).

Seperti yang dimaklumi, masih ramai di kalangan umat Islam yang lalai serta mencuaikan kewajipan solat atau sembahyang. Antara sebabnya ialah kurangnya didikan agama selain tiada ketegasan serta komitmen dalam sesebuah keluarga untuk mendirikan solat. Keadaan itu diparahkan lagi dengan kewujudan elemen-elemen yang melalaikan seperti hiburan, permainan di telefon pintar atau komputer, sukan dan lain-lain lagi.

 

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid Nurul Iman Kg Pasir Putih Putatan

Firman Allah (bermaksud) : “Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan solat serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat), maka mereka akan meghadapi azab (dalam neraka), kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka akan masuk syurga dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikitpun” (Maryam : 59-60).

Walaupun ayat-ayat ini berkaitan dengan peristiwa yang berlaku kepada zuriat Nabi Adam AS selepas kewafatan baginda, begitu juga zuriat Nabi Nuh AS, Nabi Ibrahim, Nabi Ishak dan Nabi Yaakub AS selepas kewafatan mereka, yang mana selepas berlalu masa yang lama zuriat-zuriat mereka itu menjadi lalai dan leka, bermula dengan meninggalkan solat diikuti dengan mengikuti hawa nafsu dan selepas itu mereka mengikut ajaran sesat, akhirnya menghumbankan diri mereka ke dalam neraka.

Para ulama’ menyatakan ayat ini berkait juga dengan umat Nabi Muhammad SAW setelah berlalunya masa, ada dalam kalangan umat Muhammad SAW sendiri yang alpa dalam menunaikan solat mereka, juga menerima nasib yang sama melainkan mereka bertaubat dan beramal soleh, mereka diselamatkan Allah SWT. Sebab itu Allah mengingatkan umat Muhammad SAW supaya mereka menjaga solat yang diwajibkan serta menjadi tiang agama. Apabila tiang itu dipatahkan, maka agama akan dirosakkan sedikit demi sedikit.

Allah SWT juga menyifatkan sebuah kerajaan Islam yang sebenar adalah kerajaan yang mendirikan solat, bukannya mendirikan masjid sebagai hiasan. Firman Allah (bermaksud) :

“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat baik serta melarang berbuat mungkar, (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan” (al-Hajj : 41)

Sepanjang hari dalam kehidupan, Allah SWT hanya memerintahkan kita menghadapnya lima kali sahaja setiap hari. Adakah dalam masa yang pendek ini kita menjadi liar dan malas untuk menghadap Allah SWT? Orang yag meninggalkan solat ini sangat besar dosanya. Kita juga melihat amalan meninggalkan solat dalam hidup masyarakat hari ini sudah menjadi perkara biasa. Ibu bapa hanya memerhatikan perkara makan minum dan pakaian sahaja. Jika sekadar itu maka tidak ada bezanya dengan memelihara binatang ternakan. Jika menjaga anak sama seperti menjaga haiwan ternakan, maka kita tidak melaksanakan tuntutan yang sebenar.

Surau Centre Point

Secara spontan ketika berkuliah di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan tempoh hari saya melontarkan persoalan tentang solat. Saya lambungkan soalan itu kerana kebetulan menyentuh hal solat dan ziarah saya ke beberapa buah masjid dan surau.

SOLAT JUMAAT

Kalaulah ada orang yang boleh buat kajian tentang hal ini.

1) Berapa jumlah lelaki muslim mukallaf di sekitar Pantai Barat Selatan – antara Bongawan Papar hingga ke Tamparuli?

2) Berapa jumlah masjid yang mengadakan solat jumaat di Pantai Barat Selatan – antara Bongawan Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran hingga ke Tamparuli?

3) Berapa pula kapasiti yang boleh memuatkan jamaah pada satu-satu masa?

4) Berapa jumlah mereka yang menghadiri solat jumaat secara purata pada satu-satu solat jumaat berkenaan?

Saya sangat risau melihat kelibat umat Islam yang mengabaikan solat jumaat khususnya – apatah lagi ia solat yang diwajibkan berjamaah. Perhatikan ketika ramai berada di masjid sekurang-kurangnya antara 12.30 hingga 1.00 tengahari (dalam konteks di Kota Kinabalu), masih ramai berada di jalan raya, kompleks membeli belah (contoh Centre Point, Wawasan Plaza, Suria Sabah, 1Borneo, Kompleks Karamunsing, KK Plaza, Warisan Square, Wisma Merdeka dan banyak lagi), ramai yang berada di restoran, pejabat, rumah dan sebagainya.

SOLAT MAGHRIB

Hari ini saya solat maghrib di Surau Centre Point. Suraunya boleh memuatkan 30 orang pada satu-satu masa. Kebiasaannya, terdapat 3 kumpulan (atau lebih) jamaah solat maghrib bergilir-gilir. Katalah yang solat seramai 100 orang x dua = 200 orang campur kaum muslimat di ruangan mereka di belakang.

Masuklah ke seluruh ceruk bangunan ini. Kalaupun tidak majoriti, kita akan melihat secara zahirnya ramai orang Islam di sini. (Boleh jadi juga ada bukan Islam kerana warna kulit dan rupa yang sama dengan bukan Islam seperti bangsa kadazan dusun, murut dan lain-lain yang ada muslim dan non muslim).

Saya tertanya-tanya, di mana mereka solat maghrib?

Saya tidak bertanya tentang solat lain kerana keluasan waktu berbanding maghrib yang masanya hanya sekitar 60-70 minit. Barangkali benar ada yang musafir, ada muslimat yang uzur, ada yang sempat pulang dan solat di masjid surau lain atau di rumah, atau ada yang solat di dalam premis kedai masing-masing (boleh dilakukan tapi sejauh mana dipraktikkan?) Tapi barangkali jugalah …

Ini baru contoh manusia muslim yang berada di Centre Point. Belum lagi di lokasi-lokasi lain. Gelanggang futsal, kompleks membeli belah, padang golf, tepi pantai dan seribu macam lokasi dan suasana. Kata teman, saya tidak patut berburuk sangka tapi saya wajar merasa bimbang dengan senario umat Islam hari ini.

BAIKI

SOLAT

Tidak solat – mula solat

Malas solat – rajin solat

Solat sendirian – solat berjamaah

Solat akhir waktu – solat awal waktu

Solat saf belakang – solat saf hadapan

Tidak faham bacaan – belajar memahami maksud bacaan

Khayal dalam solat – belajar khusyuk dalam solat

Sekadar makmum – mula jadi muazzin atau imam

Lambat datang, awal balik – awal datang, lambat balik

Hanya solat fardhu – tambah dengan solat sunat

 

AL-QURAN

Buta Quran – celik Quran

Tiada Quran – ada Quran

Quran sekadar hiasan – Quran amalan harian

Rajin baca suratkhabar – rajin baca Quran

Bacaan bermusim – bacaan harian

Baca lintang pukang – baca bertajwid

Baca untuk bertanding – baca untuk amal

Baca ketika susah dan terdesak – baca ketika susah dan senang

Baca Quran tanpa wudhu’ – baca Quran dengan wudhu’

Tidak faham makna – belajar faham makna

 

sila tambah kepada amal ibadah yang lain – seperti puasa, menutup aurat, bersedekah, dan sebagainya.

“Berlindunglah kamu kepada Allah daripada berpura-pura khusyuk. Para sahabat bertanya, wahai Rasulullah! Apakah khusyuk yang berpura-pura itu? Baginda menjawab : Apabila hanya anggota zahirnya sahaja yang khusyuk, sedangkan hatinya berpura-pura (tidak khusyuk)”. (HR al-Hakim, at-Tirmizi dan al-Baihaqi)

Penganjur (Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah) menyatakan dalam iklannya kursus terbuka kepada 100 peserta. JK berbincang dan memutuskan untuk menyediakan 200 kertas kerja. Namun yang mengejutkan jumlah kehadiran yang direkodkan ialah seramai 320 orang kesemuanya.

Pada awalnya, kursus tahsin solat ini sebagaimana siri pertama diadakan di bilik kuliah aras bawah Masjid Negeri Sabah. Pada siri pertama 2 minggu lalu, kehadiran mencecah 180 orang dan bilik kuliah penuh sesak.

Jadi dengan kehadiran lebih 300 orang kali ini, penganjur terpaksa memindahkan lokasi kursus ke dewan solat utama, untuk menampung jumlah yang lebih ramai dan nyaman dengan penghawa dingin.

Hanya dengan keadaan peserta yang duduk bersila tanpa meja selama lebih 5 jam itu menyebabkan ramai kurang selesa. Sekejap bersila, sekejap bersimpuh, sekejap pula berlunjur.

Kedua, duduk tanpa meja dan kerusi menyebabkan peserta duduk bertebaran, sebahagian besar memang bersusun di hadapan, namun sebahagiannya selesa menyandar di belakang dan membentuk kumpulan-kumpulan kecil tersendiri.

Bagaimanapun sehingga ke akhir kursus menurut pemerhatian saya, hanya sedikit yang berundur pulang apatah lagi sesi soal jawab dan kuiz yang menarik perhatian itu berlanjutan selepas solat zuhur dan berakhir jam 2.30 petang.

Kasihan dengan ramainya peserta yang tidak mendapat kertas kerja memandangkan yang tersedia hanya 200. Alhamdulillah, Allah SWT telah menggerakkan saya malam tadi untuk membuat sedikit nota penting melalui powerpoint untuk dipaparkan buat peserta yang hadir.

Ternyata itu banyak membantu khusus bagi mereka yang tidak punya kertas kerja.

Siri 2 kali ini difokuskan tentang khusyuk dalam solat. Ust Hj Muchlish menerangkan tentang maksud khusyuk, pembahagian khusyuk zahir dan batin, keutamaannya, faktor yang membantu khusyuk seperti kesihatan, pemakaian, tempat dan cara menunaikan solat, masa dan suasana solat dan sebagainya.

Turut dijelaskan halangan-halangan khusyuk seperti gangguan iblis dan syaitan, lupa dan lalai dalam solat serta melakukan perkara-perkara makruh dalam solat.

Sesi soal jawab mengambil masa yang lama dengan kira-kira 30 soalan dikemukakan kepada Ustaz yang memimpin kursus ini dengan baik sekali. Meski soalan yang diberikan tidak tertumpu soal solat, namun Ustaz dapat menangani dengan cemerlang sekali.

Ada slot kuiz yang dibuat secara spontan, dan saya diminta menyediakan 6 soalan mudah untuk dijawab oleh peserta kursus di hujung kursus.

Kehadiran yang ramai dengan promosi yang sederhana sebenarnya menaikkan semangat kami untuk memperbaiki kursus ini pada siri berikutnya. Insya Allah kami merancang untuk mengedit semula kertas kerja ini sebelum dicetak dan diterbitkan dalam bentuk buku nanti. Doakan misi ini berjaya.

Tahniah buat semua peserta, juga JK yang bertungkus lumus.

Antaranya Ust Hj Muchlish sendiri selaku Pengerusi Syukbah Dakwah dan sekaligus pembimbing, sdr Ribbang Hj Ampong yang mempengerusikan kursus, Hj Pozi dan Chef Abdullah, Cikgu Zainal dan lain-lain yang mengatur pendaftaran dan masalah-masalah teknikal sehingga kursus berakhir dengan baik. 

Insya Allah bertemu lagi pada 2 Mei 2010 untuk siri ketiga nanti.

PERISTIWA SUBUH

Sebuah lagi kisah saudara kita tentang punca dan asbab beliau memeluk Islam. Orang yang dimaksudkan bernama Mohammad Zawawi Lo Abdullah, 22 tahun.

Ketika saya berumur 18 tahun iaitu semasa berada di tingkatan 5, saya bersekolah di SMK Putatan dan tinggal di asrama. Rata-ratanya adalah pelajar beragama Islam di sana.

Tiap-tiap hari sebelum azan subuh berkumandang, saya bangun dan membuat persiapan diri untuk ke sekolah. Keadaan di asrama agak sunyi sepi masa itu.

Apabila waktu azan subuh bermula, saya begitu tertarik melihat pelajar-pelajar muslim bergegas ke surau untuk menunaikan solat subuh. Ketika itu saya berada di dewan belajar.

Selain itu, saya tertarik cara orang muslim bersembahyang yang begitu teratur dan bersih. Setiap langkah mereka lakukan mempunyai langkah yang teratur dan cantik.

Apabila mereka selesai menunaikan solat subuh, ada rakan saya datang ke dewan belajar dan terus membuat ulangkaji pelajaran. Saya melihat keadaannya begitu tenang dan relaks membuat ulangkaji pelajarannya, saya begitu tertarik.

Pada masa itu, saya pun berniat di dalam hati : “Bilalah saya boleh jadi seperti mereka yang tenang ini?”

Akhirnya pada 9 Februari 2006, saya diislamkan di Masjid Negeri Sabah.

Alhamdulillah, nikmat hidayah diberi oleh Allah. Saya betul-betul bersyukur dan bertekad ingin menjadi muslim yang beriman dan soleh di jalan Allah SWT.

Saya mengaku bahawa tiada Tuhan selain Allah, Nabi Muhamma adalah pesuruh Allah.

Kejadian subuh banyak manfaat untuk diri saya dan selamanya. Setelah masuk Islam, saya banyak mempelajari agama Islam dan keadaan saya begitu tenang dan yakin berbanding sebelumnya. 🙂

Saya mengucapkan tahniah kepada sahabat-sahabat Zawawi yang telah memberi contoh sebagai muslim yang baik sehingga Zawawi tergerak memeluk Islam. Syukur alhamdulillah yang memberikan hidayah kepadanya.

%d bloggers like this: