Archive for 13 April 2016


Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/40785-kalau-mati-masa-ni-mak-tak-runsing

13 April 1966 – 13 april 2016, Meniti jambatan usia bersama kebingitan suara mak.

Membesar dengan situasi kemiskinan dan sebagai anak yatim seusia 4 tahun. Namun bahagia dalam pelukan dan didikan ibuku yang miskin harta tetapi kaya dengan kasih sayangnya.

Masa berlalu tanpa cita-cita, mengikut arus masa, mungkin masa itu tiada yang menyalur dan menghulur di hati untuk genggam cita-cita kecuali dari seorang ibu yang mahunya hanya anaknya menjadi soleh.

Ingat lagi pesan Mak, “Mak tak kisah anak mak kerja apapun, asalkan halal, yang penting anak mak tak tinggal sembahyang, pandai baca al-Qur’an dan berdoa untuk ayah dalam kubur dan untuk mak bila mati.

Cita-cita begitu tiada value ekonomi, tapi itulah cita-cita mak saya, seorang ibu miskin yang sedaya upaya membesar saya dan adik-beradik, ketika meninggalnya ayah semuanya masih bersekolah dan kecil-kecil lagi.

Tak pernah jemu kejutkan saya untuk solat dan nasihatkan saya supaya jangan tinggal solat, tapi masa remaja, nasihat itu bingit bunyinya, selalunya saya menutup telinga. Tapi yang bingit itulah juga siang malam dilagukannya.

Tapi akhirnya yang bingit itulah juga yang meresap dijiwa, suara bingit itu akhirnya mampu mengalahkan semua suara-suara lain. Yang bingit itu rupanya menjadikan saya mengangkat kaki menjauhi kebingitan itu.

Dengan iringan kebingitan itu saya mencari tempat untuk memenuhi cita-cita mak supaya jadi anak yang soleh. Mungkin tidak sesempurna harapan mak, tapi cukuplah untuk dia tersenyum memandang saya, tak lah seperti saya yang dulu, hanya menyebabkan panadol dikedai berhampiran semakin laku.

Kini tiada lagi suara bingit, tiada lagi sebab untuk dia membingitkan saya, dia pun dah semakin lemah, suaranya sangat perlahan, lusuh tubuhnya.

Saya bagitau dia “Hari ini hari jadi saya ke-50”,

“Alhamdulillah awak hidup lagi,” katanya.

“Mak suka saya mati ke?” tanya saya.

“Kalau awak mati masa ni, mak tak runsing sangat, tapi kalau awak mati masa belasan tahun dulu”, mmmmm sambil dia geleng kepala. Saya senyum jer, tahu sangat dah jawapan dia.

Sekarang saya faham rupanya cita-cita dia lebih hebat dan jauh ke hadapan, dia faham bahawa ‘dunia akan mengiringi akhirat, tetapi akhirat tidak mengiringi dunia’, bingitannya suruh saya mencari akhirat supaya saya juga akan memiliki dunia.

Umur saya dah 50 tahun, cita-cita mak nak tengok saya solat, solat, solat, Insya-Allah saya kerjakan, terserahlah pada Allah SWT untuk menilainya,saya lakukan dengan kadar mampu dan kadar ilmu sedikit ini.

Cita-cita saya sahaja belum tercapai iaitu:
1. Nak mati syahid
2. Nak tengok hukum Allah tertegak di Malaysia.
3. Nak tengok Ma’had Tahfiz Darul Fikri menjadi sekurang-kurangnya sebuah kolej universiti.

Yang akhirnya moga semua cita-cita saya tercapai walaupun usia kehidupan dah tak panjang.

Kini saya pula yang membingitkan telinga anak-anak, padan muka dia, biar dia rasa apa yang aku rasakan. “Pedih tapi bahagia”. – HARAKAHDAILY 13/4/2016

Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/40701-kerana-satu-huruf-makna-berbeza

Firman Allah SWT:

فويل للمصلين. الذين هم عن صلاتهم ساهون

“Maka celakalah bagi orang-orang yang bersembahyang. Iaitu mereka yang lalai dari mengerjakan sembahyang.”

Lalai di sini bukan bermaksud lalai ketika mengerjakan solat, tetapi lalai sehingga tidak mengerjakan solat, ataupun lalai sehingga solat di luar waktunya. Ini kerana ada perbezaan diantara perkataan عن dan في. Tuhan menggunakan perkataan عن bermaksud ‘daripada’ solat. Jika في barulah bermaksud ‘dalam’ solat. Terjemahan ini perlu dibetulkan dalam tafsir. Kerana satu perkataan sahaja, makna sudah berubah.

Ada kalangan ulama salaf berkata: “Segala puji bagi Allah yang berfirman الذين هم عن صلاتهم ساهون dan tidak berfirman الذين هم في صلاتهم ساهون. Kalau dia berfirman dengan في, nescaya semua akan dikira celaka termasuk orang yang bersolat.”

Lalai dalam solat maksudnya tengah-tengah solat, teringat pada benda lain. Ingat pada kampung, bukit, laut dan macam-macam. Perkara ini tidak termasuk dalam maksud ayat.

Orang yang beriman jika lalai dalam solat dia sunud sahwi. Tertinggal rakaat, syak rakaat, lupa rukun dia terus perbetulkan kemudian sujud sahwi. Ini tak jadi masalah, bahkan diberi pahala pula untuk sujud sahwi tersebut.

Teringat sesuatu yang lain dalam solat ini biasa bagi manusia. Tengah solat ingat lembu tengah padang, kerbau di baruh dan sebagainya. Kalau ingat perkara yang baik tak menjadi salah.

Pernah Nabi SAW sejurus selepas solat, terus dia bergegas lari masuk ke rumahnya. Tak sempat wirid atau apa-apa, terus langkah sahabat-sahabat yang solat bersamanya. Kenudian dia datang kembali dan berkata;

“Hal tadi kerana aku teringat semasa solat, ada barang di rumahku yang aku terlupa nak beri kepada seseorang. Takut lupa, aku pergi serta merta.”

Nabi pun begitu. Kalau ada orang yang kata dia khusyuk sampai tak ingat apa-apa langsung, lebih pada Nabi pula. Bohong semua itu.

Tuhan memang jadikan hati manusia ini melayang-layang sentiasa. Kalau teringat perkara lain, segera tumpu balik kepada solat. Kita kena sedar dalam solat ada mujahadah. Begitulah hati manusia. Diberi pahala dengan setiap mujahadah melawan gangguan khusyuk.

Yang tabie nya tak ingat pada benda lain hanyalah malaikat. Ini disebut. Nabi Ayub AS sendiri, setelah disembuhkan dari penyakit, dia diperintahkan mandi. Ketika mandi, tuhan uji datang seekor belalang emas.

Melihat belalang emas, dia terus mengejar belalang tersebut sampai tak sedar sedang bertelanjang. Tuhan tegur, “wahai Ayub. Kenapa sampai tak ingat kepada pakaian ni..” Jawab Nabi Ayub, “Kerana aku bersyukur atas nikmat-Mu Ya Allah.” Sempat lagi dia menjawab. – HARAKAHDAILY 7/4/2016

Petikan kuliah Jumaat Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Masjid Rusila pada 16 Jamadil Akhir 1437 bersamaan 25 Mac 2016 ini disusun oleh Alang Ibn Shukrimun.

%d bloggers like this: