Archive for 8 April 2016


Sumber : Web JHEAINS

Daripada Abu Hurairah RA, bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda: “Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah (ujian berat terhadap iman) seumpama malam yang sangat gelap. Seseorang yang masih beriman di waktu pagi kemudian di waktu petang, dia sudah menjadi kafir atau seorang yang masih beriman di waktu petang kemudian pada esok harinya, dia sudah menjadi kafir. Dia menjual agamanya dengan sedikit dari mata benda dunia.” (HR Muslim).

Melalui Hadith tersebut, Rasulullah SAW memberi ingatan kepada kita bahawa ujian terhadap iman di akhir zaman ini amat dasyat dan hebat sekali. Sehingga, seorang yang beriman di waktu pagi boleh tiba-tiba menjadi kafir di waktu petang. Begitu pula sebaliknya, seorang yang masih beriman pada waktu petang boleh tiba-tiba menjadi kafir pada keesokan harinya. Ia adalah akibat daripada kegairahan untuk mengejar keuntunggan dunia berupa harta benda, pangkat, nama, sanjungan dan sebagainya sehingga tergamak mencemarkan akidah.

Salah satu contoh yang memperlihatkan fenomena ini ialah menjual produk-produk perniagaan yang kononnya telah diruqyah atau dibacakan dengan ayat-ayat suci al-Quran. Antara produk berkenaan dalam pasaran termasuklah air penawar penyakit dan bahan makanan suplemen untuk cerdas dan sihat. Dan didapati, produk-produk yang dikatakan telah dibacakan al-Quran ini dijual dengan harga yang lebih mahal dan tinggi berbanding produk-produk lain yang tidak diruqyah tetapi mempunyai khasiat yang sama.

Fenomena yang seakan bagai cendawan tumbuh selepas hujan ini menimbulkan berbagai persoalan kepada pelanggan. Antaranya:

Pertama, adakah benar produk-produk berkenaan telah diruqyah atau dibacakan dengan ayat-ayat alQuran?

Kedua, apakah ayat-ayat itu dibacakan oleh orang atau menerusi gajet elektronik seperti pemain MP3, CD, DVD dan sebagainya?

Ketiga, apakah muslihat peniaga atau pengusaha berkenaan melabelkan produk mereka telah diruqyah dengan ayat-ayat al-Quran?

Keempat, sudahkah dibuktikan secara klinikal keberkesanan produk-produk berkenaan?

Persoalan-persoalan ini diajukan bukan bertujuan meragui keberkatan dan kemustajaban al-Quran sebagai ubat serta penawar segala penyakit batin dan jasmani. Jauh sekali menafikan hak manamana pihak meruqyah atau menjampi produk-produk perniagaannya dengan ayat-ayat suci al-Quran.

Ini kerana, kitab suci al-Quran itu banyak keistimewaan dan besar fadilatnya bagi manusia terutama sekali mereka yang membacanya, memahaminya, mematuhi dan mengamalkan segala ajaranya. Ini sebagaimana dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

Yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (S. Yunus: 57).

Bertitik tolak dari keistimewaan dan fadilat al-Quran yang banyak itu, adalah amat tidak wajar ia disalahgunakan untuk mengaburi atau mengelirukan orang ramai demi mengejar keuntungan material. Apatah lagi mempergunakan al-Quran untuk tujuan komersial dan melariskan barangan kerana ia seolah-olah memberi jaminan akan kemujaraban, kesembuhan, kesihatan dan sebagainya.

Dengan kata lain, selagi belum terbukti secara sahih keberkesanannya, maka mengkomersialkannya secara melampau adalah dikira syubhah yang membawa penipuan. Andai kata keadaan kesihatan seseorang itu tidak juga berubah atau bertambah teruk lagi setelah meminum atau memakan produk yang dikatakan telah diruqyah itu, tidakkah itu menimbulkan fitnah terhadap kitab suci al-Quran?

Tetapi sekiranya seseorang itu bertambah sihat, cergas dan bertenaga setelah mengambil produk-produk yang dikatakan telah diruqyah itu, maka itu adalah atas izin Allah jua kerana Dia Yang Maha Berkuasa, lagi Maha mengasihani ke atas sekalian hamba-Nya.

Yang pasti, dalam menangani masalah kesihatan rohani, jasmani, mental mahupun emosi tidak akan selesai dengan membeli atau mengambil air atau produk yang telah dirukyah yang ada di pasaran. Setiap pesakit atau sesiapapun mesti berusaha memperbaiki akidah bahawa Allah SWT yang menyembuhkan bukan bahan dan rukyah itu.

Inilah antara sebabnya dalam konsep perubatan Islam, ia memerlukan perawat dan pesakit bersemuka untuk mengenal pasti penyakit dan cara merawatnya. Kaedah ini secara langsung membolehkan perawat memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada pesakit sekali gus membolehkan doa yang dibaca oleh perawat didengar dan diamin bersama oleh pesakit.

Pengkomersialan air jampi kini telah dieksploitasi oleh sesetengah pihak untuk memperolehi keuntungan mudah melaluinya. Perkara ini dibimbangi boleh menjejaskan akidah apabila orang ramai terutama sekali umat Islam menganggap keberkesanan sesuatu usaha tersebut datang daripada air jampi berkenaan. Malahan ia mendedahkan kepada penghinaan oleh pesaing dan juga mendedahkan al-Quran dikritik oleh pengguna akibat tidak sembuh atau tidak capai manfaat hebat yang dijanjikan penjual. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan janganlah engkau jadikan pesanan-pesanan dan perintah Allah sebagai modal untuk mendapat keuntungan dunia yang sedikit; sesungguhnya apa yang ada di sisi Allah (dari balasan yang baik), itulah sahaja yang lebih baik bagi kamu, kalaulah kamu mengetahui.” (S. An-Nahl: 95).

Sehubungan dengan mafhum firman Allah SWT tersebut, kita tidak mahu masyarakat terkeliru dan pada masa yang sama perlu menyedari hakikat bahawa untuk sembuh dan sihat tiada jalan pintas. Cara terbaik adalah dengan menyedari dan meyakini bahawa Allah menurunkan penyakit dan kepadaNya jualah tempat berdoa memohon kesembuhan serta dijauhi segala jenis penyakit dan godaan syaitan yang direjam.

Tarikh : 8 April 2016

Lokasi : Masjid Rusila Terengganu

Pengkuliah : Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang