Archive for 12 April 2016


Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/40763-pas-dalam-memperjuangkan-bahasa-melayu

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | 11 April 2016.

Secara umumnya pendidikan Melayu yang diperkenalkan oleh British kepada rakyat negara ini adalah sebagai saingan kepada sistem pengajian Islam yang sedia ada dan pendidikan kepada orang Melayu adalah sekadar untuk membolehkan orang Melayu mengenali asas membaca, menulis dan mengira. Matlamat ini difahami kerana British tidak akan memunculkan golongan intelektual Melayu yang akan mengancam hegemoni kuasa mereka.

Kehadiran institusi sekolah pondok di Tanah Melayu sejak lama dahulu sehinggalah sekarang, telah memberikan impak yang besar terhadap pembangunan dan penyemaian nilai-nilai Islam terhadap bangsa Melayu. Sekolah pondok telah mengharungi sejarah yang panjang, bersaing dengan institusi konvensional yang lain, juga dengan sistem sekolah madrasah yang lebih tersusun dan menjanjikan kesinambungan tempat belajar yang lebih menjanjikan peluang kepada pelajarnya.

Sekolah pondok telah memberikan kesan yang mendalam terhadap masyarakat Islam di Malaysia, antaranya seperti berjaya mengukuh dan mengembangkan penggunaan tulisan jawi bagi memudahkan pembacaan Al Quran dan kitab-kitab agama, juga menjadi media perhubungan masyarakat bahkan dapat mengembang dan memperkaya bahasa Melayu. Selain dari memperkayakan bahasa sekaligus berjaya bagi mengembangkan kesusasteraan Melayu di rantau ini. Bukan sahaja buku-buku yang berunsur agama ditulis menerusi tulisan jawi, bahkan berbagai-bagai jenis buku ilmu pengetahuan dan kesusasteraan seperti hikayat, cerita-cerita penglipur lara, yang berbentuk prosa dan puisi ditulis dalam tulisan jawi.

Almarhum Datuk Fadzil Noor menjadi tenaga penting PAS di Kedah. Dengan berlakunya perubahan kepimpinan Ulama pada tahun 1982 beliau telah dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertua PAS sebelum diberikan kepercayaan penuh oleh seluruh ahli PAS untuk menjadi Presiden PAS pada tahun 1989 sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 2002.  Latar belakang yang kukuh dalam dunia pendidikan iaitu sebagai bekas guru dan pensyarah universiti, Ustaz Fadzil sangat mengambil berat tentang pendidikan, bermula dengan pra sekolah sehinggalah kolej universiti.

Menurut almarhum Datuk Fadzil Noor “Dilema Kementerian Pendidikan bukan sekadar was-was untuk mendaulatkan bahasa Malaysia sehingga timbul hasrat kerajaan BN sekarang untuk membenarkan beberapa pengajian di dalam bahasa Inggeris. PAS begitu peka dengan taraf dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal negara. Kepekaan ini telah mendorong PAS memperuntukkan di dalam perlembagaannya bahawa ianya  akan terus dipertahankan kerana bahasa adalah sebahagian identiti bangsa yang perlu dipertahankan. Bahasa Melayu telah menjadi bahasa perantaraan malah perundangan bukan sahaja di negara ini tetapi juga di seluruh masyarakat Nusantara.

Apakah yang lebih utama ialah bahasa Melayu adalah menjadi bahasa ilmu Islam di samping bahasa Arab yang sekian lama berkembang. Kita kesal dengan sikap kerajaan yang telah mula tidak memberikan perhatian wajar kepada bahasa ini kerana mementingkan bahasa rakan dagangan bahkan telah mula memberi laluan dan keutamaan kepada bahasa Inggeris termasuk menjadi bahasa pengantar di pusat-pusat pengajian tinggi seperti yang telah dinyatakan. Kita tidak menolak kebaikan menguasai berbagai-bagai bahasa”.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi juga selaku Presiden PAS telah membantah pelaksanaan pengajaran matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. PAS akhirnya bersama-sama NGO dan individu-individu pencinta bahasa Melayu telah bergabung dalam PPSMI dan akhirnya telah mengadakan bantahan awam di ibu negara. Abdul Hadi dan pimpinan NGO telah menyertai himpunan ini dengan acara menghantar memorandum bantahan kepada YDPA. Bantahan dan gelombang kesedaran tentang kesan buruk pengajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris, akhirnya telah memberikan tekanan politik yang hebat kepada BN dan Umno sehinggalah kerajaan telah memutuskan untuk mengembalikan pengajaran matematik dan sains kepada bahasa Melayu semula.

Kesan daripada kurang perancangan dan juga campur tangan politik yang berlebihan dalam sistem pendidikan maka berlakulah ketempangan kesan yang dapat dijangka. Generasi minda yang terlibat dengan gejala social semakin parah dan indeks jenayah yang melibatkan generasi muda semakin ketara.

Datuk Seri Haji Abdul Hadi telah menggalas jawatan Presiden PAS selepas kematian Ustaz Fadzil Noor pada tahun 2002 akibat pembedahan jantung. Dengan latar belakang pendidikan yang mantap beliau telah meletakkan pendidikan sebagai agenda utama dalam PAS. Beliau dengan lantang mengkritik dasar pendidikan yang gagal melahirkan pelajar kompeten dan berakhlak mulia:

“Akibat dari tindakan seperti itu berlakulah kejutan demi kejutan. Gejala samseng hingga ke sekolah elit, salah laku pelajar dari memeras ugut hinggalah merogol dan membunuh menyelubungi dunia pendidikan. Penipuan IPT swasta, mutu pencapaian pelajar yang semakin menurun, rating IPTA yang semakin merudum, belanja pendidikan yang semakin meningkat di luar kemampuan rakyat, rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam pengendalian projek-projek kementerian, campu rtangan politik Umno dalam kampus, kesan negatif pelaksanaan AUKU, dan sebagainya adalah di antara kesan langsung yang mencoreng hitam pendidikan Negara”

“Secara halus dasar pelajaran negara menyelitkan jarum anti tulisan jawi, anti pendidikan Islam, dan anti penggunaan bahasa Melayu. Semua sifat ini tidak mencerminkan roh dan zat kebudayaan Melayu yang di war-warkan bagi menjadi teras kebudayaan nasional. Tulisan jawi sudah lama berkubur hingga kebanyakan kuliah di masjid dan surau menggunakan kitab rumi. Pendidikan Islam kini dalam proses penghakisan apabila bantuan SAR telah dihentikan. Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah dan institusi pengajian tinggi mulai digantikan dengan bahasa Inggeris. Semua perkembangan dalam pendidikan itu adalah satu pelaksanaan dasar anti-Nasional yang tidak lagi tersembunyi.”

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/40748-mr-os-hidup-berdamping-artis-mati-ditangisi-ulama

ALANG IBN SHUKRIMUN | 11 April 2016.

PEMERGIAN Mr Os atau nama sebenarnya Mohd Yusof Abdul Hamid sepatutnya menjadi tazkirah ‘live’ yang amat berkesan di hati kita.

Beliau yang menghabiskan awal usianya dalam industri hiburan, tiba-tiba mati saat akhir hayatnya mewakafkan diri di jalan dakwah. Kita patut merasa bertuah sempat hidup dengan dipersaksikan keajaiban ini dalam misi memburu hidayah tuhan.

Pemergian Mr Os sepatutnya menambah keyakinan kita terhadap kebenaran Islam dan kenabian Muhammad SAW. Baginda pernah bersabda:

فو الله الذي لا إله غيره إن أحدكم ليعمل بعمل أهل الجنة حتى ما يكون بينه وبينها ذراع فيسبق عليه الكتاب فيعمل بعمل أهل النار فيدخلها وإن أحدكم ليعمل بعمل أهل النار حتى ما يكون بينه وبينها ذراع فيسبق عليه الكتاب فيعمل بعمل أهل الجنة فيدخلها

“Maka demi Allah yang tiada lagi tuhan selain-Nya, sesungguhnya seseorang dari kalangan kamu ada yang beramal dengan amalan ahli syurga sehingga jarak diantaranya dan diantara syurga itu hanya tinggal sehasta lagi, tetapi telah tertulis di suratan Ilahi, maka dia beramal sebelum matinya dengan amalan ahli neraka, maka dia masuk neraka. Dan sesungguhnya seseorang dari kalangan kamu ada yang beramal dengan amalan ahli neraka sehingga jarak diantaranya dan diantara neraka hanya tinggal sehasta lagi, tetapi telah tertulis di suratan Ilahi, maka dia beramal sebelum matinya dengan amalan ahli syurga, maka dia masuk syurga.” [HR Bukhari]

Yang pergi tetap pergi, tak akan kembali lagi. Buat yang masih hidup, pengajaran harus diambil.

Kepada yang masih hidup, jangan cepat menghukum orang jahat itu selama-lamanya jahat. Jangan menganggap si kafir itu selama-lamanya kufur. Jangan menganggap orang zalim itu sampai mati zalim. Sedang tuhan tidak pernah menutup pintu taubat pada sesiapa.

Kepada yang masih hidup, jangan merasa diri lebih baik dari orang lain. Jangan anggap diri sudah cukup bertaqwa. Jangan melihat amalan yang dibuat sudah cukup untuk menempah syurga. Sedang hati kita berada di antara dua jari tuhan, boleh dibolak-balikkan semahu-Nya.

Sangat beruntung Mr Os. Beliau hidup dalam dunia glamor, tetapi mati dalam perjuangan Islam. Hidupnya didampingi artis, tapi matinya ditangisi ulama. Jika ditakdirkan beliau masih hidup, tentu beliau akan berada di pentas dakwah bersama Ustaz Azhar Idrus di Himpunan Pemuda PAS Teluk Pasu, Terengganu pada keesokkannya.

Sangat rugilah pula mereka yang hidup dalam kemuliaan perjuangan Islam, bersama dengan gerakan Islam, berdamping dengan alim ulama, tetapi di akhir hayat tuhan palingkan hati untuk keluar dari jemaah Islam dan bertindak memusuhi pewaris anbiya’. Semoga tidak tergolong di kalangan mereka. Wal iyazu billah..

Sangat ajaib hidayah-Mu tuhan.
Salam takziah buat keluarga Mr Os. – HARAKAHDAILY 11/4/2014

%d bloggers like this: