Archive for 4 April 2016


Sumber : http://muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/bayan-linnas/587-bayan-linnas-siri-ke-50-ajaran-millah-ibrahim-abraham

Mukadimah

Sebahagian tabloid utama di Malaysia pada hari ini memuatkan berita mengenai sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Millah Ibrahim@Abraham yang dalam rangka untuk menguasai Borneo dalam tempoh tiga tahun lagi.

Berita juga turut memuatkan rancangan mereka yang sedang mempersiapkan ahli-ahlinya untuk berperang  yang dijangka akan berlaku di Sabah, Sarawak dan Kalimantan, Indonesia. Persiapan ini juga melibatkan aktiviti pertanian yang mana sedang dipergiatkan bagi menjana bekalan makanan ketika perang itu nanti.

Justeru, Bayan Linnas kali ini tampil untuk memberikan keterangan umum buat rakyat Malaysia mengenai status ajaran Millah Ibrahim yang mana kini sedang dikaitkan dengan aktiviti keganasan (terrorism), cuba untuk menimbulkan huru-hara dan ketakutan buat rakyat Malaysia.

Pengenalan Ajaran Millah Ibrahim

Ajaran ini mula dikesan berkembang di Malaysia pada tahun 2013 setelah aduan diterima oleh Bahagian Perancangan Penyelidikan dan Pembangunan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengenai isteri pengadu yang bekerja sebagai kerani di sebuah sekolah Tamil. Pengadu memaklumkan isterinya telah terlibat dengan ajaran Millah Ibrahim@Abraham yang mendakwa tidak perlu sembahyang kerana tidak ditunjukkan cara-caranya di dalam Al-Quran. Diikuti pula aduan seorang bapa yang ditinggalkan oleh anak dan isteri kerana tidak mahu mengikuti ajaran kumpulan ini yang disyaki menyeleweng dari ajaran Islam sebenar.

Ajaran Millah Ibrahim@Abraham mempunyai persamaan dengan kumpulan Negara Islam Indonesia (NII) atau Pemuda Kahfi atau Ad-Deen yang telah difatwa dan diwartakan sebagai menyeleweng pada 31 Mac 2011 yang lalu. Berdasarkan maklumat pengadu dan mereka yang terlibat dengan ajaran ini mendapati aliran tersebut berasal daro Bogor, Indonesia yang diketuai oleh Ahmad Musadeq yang pernah membawa aliran sesat Al-Qiyadah yang telah didirikan oleh beliau pada tahun 2007. Beliau juga sering hadir ke Malaysia bagi tujuan penyebaran ajaran tersebut.

Golongan Millah Ibrahim@Abraham mengatakan bahawa Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW telah lama jatuh sejak tahun 1324 Hijrah dengan kejatuhan kerajaan Bani Abbasiah akibat serangan puak Monggol kea as Baghdad yang telah membuang kitab-kitab khazanah Islam ke dalam sungai. Maka, ajaran Islam yang ada sekarang adalah palsu. Kerajaan Millah Ibrahim akan naik semula dan akan dibawa oleh rasul yang baharu (Ahmad Musadeq).

Millah Ibrahim & Penyelewengan Yang Terdapat Di Dalamnya

Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada aduan bekas pengikut, penyamaran dalam kumpulan terbabit dan sumber-sumber lain yang boleh dipercayai mendapati kumpulan ini membawa ajaran dan amalan yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dan syariat Islam antaranya seperti berikut:

  1. Mendakwa Ada Rasul Selepas Nabi Muhammad SAW

Mereka mendakwa bahawa ajaran Islam yang ada sekarang adalah palsu dan satu umat baru akan dipertanggungjawabkan untuk menegakkan deen ketika itu Allah akan menghantar rasul atau messiah(bahasa Ibrani) seperti sunnatullah yang terdahulu dan mengikut kaum mereka sendiri. Firman Allah SWT:

وَلِكُلِّ أُمَّةٖ رَّسُولٞۖ فَإِذَا جَآءَ رَسُولُهُمۡ قُضِيَ بَيۡنَهُم بِٱلۡقِسۡطِ وَهُمۡ لَا يُظۡلَمُونَ ٤٧

Maksudnya: Dan bagi tiap-tiap satu umat ada seorang Rasul (yang diutuskan kepadanya); setelah datang Rasul masing-masing (menerangkan apa yang mesti diterangkan) maka hukuman pun dijalankan di antara mereka dengan adil dan mereka tetap tidak dianiaya. (Yunus: 47)

Mereka menafsirkan bahawa Allah SWT mengutuskan rasul dari kalangan kaum mereka sendiri untuk memudahkan kaum tersebut memahami dan mengajar kaum untuk keluar daripada kesesatan. Maka, Rasul Millah Ibrahim@Abraham diutuskan dari kalangan bangsa Melayu nusantara untuk membaca, menyuci serta mengajar kaum Melayu nusantara ini mengenai agama yang benar. Rasul yang dimaksudkan oleh kumpulan ini ialah Ahmad Musadeq seperti mana yang didakwa oleh pengadu dan pengikut ajaran ini.

  1. Menggabungkan Tiga (3) Ajaran Agama Iaitu Islam, Kristian dan Yahudi

Selain terjemahan Al-Quran, mereka juga menggunakan kitab Taurat dan Injil di dalam pengajian mereka kerana di dalam Al-Quran telah membenarkan kitab Taurat dan juga menerangkan bahawa kitab Taurat dan Injil sebagai panduan yang menerangi. Sepertimana yang disebut di dalam Surah Al-Maidah, ayat ke- 46 yang bermaksud:

وَقَفَّيۡنَا عَلَىٰٓ ءَاثَٰرِهِم بِعِيسَى ٱبۡنِ مَرۡيَمَ مُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ مِنَ ٱلتَّوۡرَىٰةِۖ وَءَاتَيۡنَٰهُ ٱلۡإِنجِيلَ فِيهِ هُدٗى وَنُورٞ وَمُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ مِنَ ٱلتَّوۡرَىٰةِ وَهُدٗى وَمَوۡعِظَةٗ لِّلۡمُتَّقِينَ ٤٦

Maksudnya: Dan Kami utuskan Nabi Isa Ibni Maryam mengikuti jejak langkah mereka (Nabi-nabi Bani Israil), untuk membenarkan Kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya; dan Kami telah berikan kepadanya Kitab Injil, yang mengandungi petunjuk hidayah dan cahaya yang menerangi, sambil mengesahkan benarnya apa yang telah ada di hadapannya dari Kitab Taurat, serta menjadi petunjuk dan nasihat pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa. 

Mereka mendakwa ayat ini selaras dengan Injil Metius (perjanjian baru) 5/17. Selain itu mereka juga mendakwa bahawa Taurat, Injil dan Al-Quran akan ditegakkan semula dalam kerajaan baru. Oleh itu, selain Al-Quran mereka mendakwa bahawa kedua-dua kitab tersebut tidak boleh ditolak untuk dijadikan panduan bagi menegakkan deen.

  1. Meninggalkan Solat Lima Waktu & Solat Jumaat

Berdasarkan aduan, pengajian dan penelitian terhadap pengikut-pengikut ahli kumpulan ini, didapati bahawa mereka tidak melaksanakan solat fardhu yang diwajibkan ke atas semua mukallaf. Mereka mengatakan solat itu “sillah” iaitu hubungan dengan ajaran Millah tersebut dan makna lain iaitu bersungguh-sungguh menegakkan deen melalui Millah Ibrahim bukan maksud solat yang dilakukan sekarang oleh orang Islam kerana solat tonggang-tonggek itu senang, tetapi solat menegakkan deenitu lebih mujahadah dari segi harta dan tenaga sepertimana yang disebut di dalam Surah Al-Hajj, ayat ke-78:

وَجَٰهِدُواْ فِي ٱللَّهِ حَقَّ جِهَادِهِۦۚ هُوَ ٱجۡتَبَىٰكُمۡ وَمَا جَعَلَ عَلَيۡكُمۡ فِي ٱلدِّينِ مِنۡ حَرَجٖۚ مِّلَّةَ أَبِيكُمۡ إِبۡرَٰهِيمَۚ هُوَ سَمَّىٰكُمُ ٱلۡمُسۡلِمِينَ مِن قَبۡلُ وَفِي هَٰذَا لِيَكُونَ ٱلرَّسُولُ شَهِيدًا عَلَيۡكُمۡ وَتَكُونُواْ شُهَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِۚ فَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُواْ ٱلزَّكَوٰةَ وَٱعۡتَصِمُواْ بِٱللَّهِ هُوَ مَوۡلَىٰكُمۡۖ فَنِعۡمَ ٱلۡمَوۡلَىٰ وَنِعۡمَ ٱلنَّصِيرُ ٧٨

Maksudnya: Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan ugamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara ugama, ugama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: “orang-orang Islam” semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan. (Al-Hajj: 78)

Selain itu, mereka mengatakan bahawa Al-Quran itu telah lengkap dan fungsinya adalah mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya. Tetapi solat lima waktu yang dilakukan sekarang tidak ada disebut di dalam Al-Quran. Oleh itu, berdasarkan ayat di atas solat bermaksud bersungguh-sungguh menegakkan deen.

  1. Mengadakan Bai’ah (perjanjian) Oleh Anggota Millah Ibrahim

Kumpulan ini juga mewajibkan anggotanya untuk membuat akujanji (bai’ah). Amaran kepada sesiapa yang melanggar janji dan ganjaran bagi mereka yang setia pada janji adalah tertegaknya deen, bukannya mengharapkan pahala. Mereka juga mengatakan bahawa wajib bagi seorang isteri yang ingin menyertai Millah Ibrahim menuntut cerai jika suami menolak menyertai kumpulan ini atau sebaliknya.

Fatwa-Fatwa Berkaitan Millah Ibrahim@Abraham

Antara badan berkuasa agama yang telah menfatwakan ajaran Millah Ibrahim@Abraham ini menyeleweng adalah:

  1. Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali ke-88 yang bersidang pada 19 November 2014 telah mengambil keputusan bahawa ajaran Millah Ibrahim@Abraham adalah sesat dan menyeleweng daripada akidah Islam.
  1. Jawatankuasa Fatwa bagi Negeri Selangor melalui Warta Kerajaan Negeri bertarikh 17 Sepetember 2015 telah menfatwakan bahawa ajaran Millah Ibrahim@Abraham adalah satu ajaran yang menyeleweng terkeluar dari ajaran Islam yang sebenar. Mereka yang telah berbai’ah dengan ajaran ini haruslah segera bertaubat dan bagi mereka yang berusaha untuk menyebarluaskan ajaran ini boleh diambil tindakan dan dihukum.

KENYATAAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Sesungguhnya Islam adalah agama yang jelas, nyata, dan tidak ada sebarang kekeliruan padanya. Benarlah sabda Nabi S.A.W ketika memberikan nasihat yang tegas kepada Umar Ibn al-Khattab :

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَو أَنَّ مُوسَى صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم كَانَ حَيًّا مَا وَسِعَهُ إِلاَّ أَنْ يَتَّبِعَنِي

Maksudnya: Demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sekiranya Musa S.A.W masih hidup, nescaya tidak ada ruang baginya melainkan untuk mengikuti aku. Riwayat Ahmad (3/387)

Ini menunjukkan bahawa agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W sebagai khatam al-nabiyyiin adalah agama yang bersifat kekal sehingga dunia ini kiamat. Agama yang sesuai di sepanjang zaman dan di mana jua tempat.

Bila mana kita mencari dan kita mahu mengambil agama yang lain ataupun kefahaman yang lain dari Islam, sebenarnya kita telah mempertikaikan kesempurnaan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W.

ALLAH S.W.T berfirman:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإسْلامَ دِينًا

Maksudnya: Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kalian agama kalian, dan telah Aku lengkapkan ke atas kalian nikmat-Ku, dan Aku telah redha akan Islam sebagai agama bagi kalian. Surah al-Maaidah (3)

Kata al-Hafiz Ibn Kathir rahimahullah ketika mentafsirkan ayat ini: Ini adalah sebesar-besar nikmat Allah Azza wa Jall ke atas umat ini, iaitu ketika mana Dia telah menyempurnakan bagi mereka agama mereka. Maka mereka tidak berhajat kepada agama lain selainnya dan tidak pula mereka berhajat kepada Nabi lain selain Nabi mereka. Selawat dan salam Allah ke atasnya. Oleh kerana itulah Allah menjadikan baginda sebagai penutup bagi segala para Nabi dan Dia utuskan baginda kepada manusia dan jin. Tidak ada yang halal melainkan apa yang dia halalkan dan tidak ada yang haram melainkan apa yang dia haramkan. Tidak ada agama melainkan apa yang dia syariatkan. Kesemua yang baginda khabarkan adalah benar dan jujur, tidak ada kedustaan padanya. Rujuk Tafsir al-Quran al-Azhim, Ibn Kathir (3/26)

Justeru, marilah sama-sama kita kembali kepada agama sebenar yang diajar oleh Nabi S.A.W, diperjuangkan oleh para sahabat, tabieen, para salaf al-soleh, serta imam-imam yang diikuti sehingga ke hari ini di mana agama Islam yang terpelihara melalui al-Quran dan al-Sunnah.

Justeru, marilah kita kembali kepada Islam mengikut asolah yang sebenar. Jauhilah fahaman yang menyeleweng seperti Millah Ibrahim sebagaimana nasihat Umar Ibn al-Khattab R.anh :

الرُّجُوعُ إِلَى الحَقِّ خَيرٌ مِنَ التَّمَادِي فِي البَاطِلِ

Maksudnya: Kembali kepada kebenaran itu lebih baik dari berterusan di dalam kebatilan.

Sesungguhnya, Allah menyukai hamba-hamba-Nya yang bertaubat, mendalami ilmu, serrta sentiasa memuhasabah diri untuk menjadikan dirinya sebagai seorang muslim dan mukmin yang benar-benar mengharap mardhatillah. Yakinlah bahawa rahmat Allah itu luas dan maghfirahnya cukup besar kepada sesiapa yang ingin kembali kepada-Nya.

Semoga Allah S.W.T memberikan hidayah dan taufiq-Nya kepada kita dalam menjalani kehidupan yang sedang kita tempuhi ini dengan sentiasa mendapatkan inayah daripada-Nya. Ameen.

Akhukum Fillah

S.S DATUK DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

22 FEBRUARI 2016 BERSAMAAN 13 JAMADIL AWAL 1437 H

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/40644-budaya-taat-dalam-pas

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | 03 April 2016.

Bumi dan langit ini penuh dengan rahsia. Penciptaannya oleh Penciptanya adalah begitu luar biasa. Manusia yang jangka hayatnya hanya 70 tahun terlalu mustahil untuk menguasai rahsia dan ilmu perihal dunia yang telah berjuta-juta tahun umurnya ini.

Maka ketika manusia berjalan di bumi, dek kerana jahilnya dia, dunia ini akan mudah menipu dayanya. Ketika dia menipu manusia lain, dia tidak sedar dia sedang ditipu dunia. Dia tidak pun tahu dia sebenarnya sedang menipu dirinya sendiri. Manusia yang mengerti hakikat ini akhirnya rebah melutut, mengakuri bahawa dia pasti akan hidup dalam tipu daya dan dia terlalu berhajat kepada satu kekuatan yang membantu dan menyelamatkannya.

Di sini kita akan menemui hikmat mengapa Islam menanamkan doktrin ketaatan kepada Allah dan al Rasul. Allah maha mengetahui segala sesuatu yang diciptaNya. RasulNya pula memiliki pengetahuan melalui sumber wahyu yang tidak dimiliki manusia yang lain.

Apabila Allah atau RasulNya menyuruh dan melarang manusia, maka ia adalah dengan ilmuNya yang maha luas. Mentaati arahan dan laranganNya adalah keselamatan dan keamanan untuk manusia yang begitu lemah untuk bergantung pada pengetahuan mereka sendiri.

Apabila Allah menyuruh kita solat fardhu lima waktu sehari, maka ia mesti ditaati. Bolehkah manusia mengetahui rahsia apa lima waktu itu? Tentunya sukar. Bayangkan, jika Allah menyuruh manusia sendiri yang menentukan jumlah solat fardhunya, sudah pasti akan berpecah belahlah dan bersimpang siurlah pandangan manusia.

Akan ada yang menambah jumlahnya sehingga sepuluh kali sehari atau lebih. Bahkan akan ada pula yang berkata, cukuplah kita solat sekali seminggu! Ertinya manusia ternyata akan berada dalam kehairanan dan kejahilan yang nyata, bagaimanakah dia mahu menyembah tuhannya?

Allah menyeru kepada perkahwinan. Allah mengharamkan zina. Lelaki berhak mengahwini sehingga empat wanita, manakala wanita berhak satu suami. Hak mencerai dimiliki lelaki manakala wanita diberi hak menuntut perceraian. Di atas ketetapan ini, umat Islam mentaati arahan Allah.

Adakah anda menjangkakan bahawa jika manusia dibenar untuk tidak mentaati arahan Allah itu, maka manusia akan menemui penyelesaian yang lebih baik? Tidak bukan? Manusia terus terjun ke lembah kehancuran disebabkan hubungan yang buruk di antara lelaki dan wanita walaupun mereka telah hidup bersama sejak beribu-ribu tahun.

Manusia dalam segala sudut adalah begitu lemah untuk memahami rahsia langit bumi ini sehinggalah mereka bersedia bergantung kepada kekuatan yang pasti. Kekuatan itu adalah dengar dan patuh kepada arahan dan larangan Allah yang menjamin keselamatannya daripada ditipu oleh dunia yang menipu daya sifatnya.

Tetapi arahan Allah dan rasulNya adalah sedikit sahaja dibanding isu-isu kehidupan manusia yang banyak dan sentiasa berkembang. Allah melalui wahyuNya hanyalah memberikan panduan-panduan umum bagaimana harus manusia mencapai kejayaan dan keselamatan dalam hidup. Allah sejelasnya mahu manusia berfikir dan menggunakan segala kelebihannya untuk menentukan pilihannya selepas diberikan panduan-panduan oleh al Quran.

Ternyata manusia mampu berfikir dengan baik. Dia dengan panduan al Quran dan al sunnah mengerahkan akalnya untuk memilih kebaikan dan menolak kejahatan.

Tetapi mampukah setiap individu menjawab dan memilih yang terbaik daripada setiap isu dan masalah yang menimpa di hadapannya? Tidak. Manusia gagal menguasai semua. Dia hanya mahir di dalam ilmu dan maklumat yang dimilikinya. Alangkah sedikit bukan?

Mari kita ambil beberapa contoh. Adakah setiap kita memahami TPPA? Begitu juga GST, transaksi RM2.6 bilion dan 1MDB yang hangat diperkatakan?

Hari ini ahli akademik daripada tokoh-tokoh bahasa dan budaya mula mendesak kerajaan membatalkan program DLP di sekolah-sekolah. Adakah setiap kita mudah memahaminya?

Tidak bukan. Rakyat terus berpecah kepada beberapa pandangan. Semua mengikut ilmu atau kecenderungan masing-masing. Yang menang akan melaksanakan apa yang dipilih mereka. Di situlah keselamatan atau kehancuran rakyat akan tergadai.

Tun Mahathir melancarkan Deklarasi Rakyat bagi menjatuhkan Perdana Menteri dengan alasan menyelamatkan negara dan UMNO.

Tiba-tiba anda melihat orang-orang yang begitu mahu menghancurkan UMNO datang untuk bersama Tun Mahathir menyelamatkan UMNO. Anda akan bertanya kehairanan, mengapa jadi begitu? Sudah pasti mereka akan memberi jawaban yang pastinya berbeza dengan pandangan melihat sebaliknya.

Maksud saya, walaupun kita memiliki kekuatan akal, kemudian kita sempurnakannya dengan panduan-panduan wahyu Allah, kita kadang-kadang tetap gagal memilih yang betul daripada yang salah. Dunia ini sungguh penuh rahsia yang tak tergapai oleh kita manusia.

Di sinilah kita menemui hikmat berpanjangan daripada Allah untuk kita selamat daripada tipu daya dunia yang ganas ini.

Allah, sebagaimana Dia menyuruh kita taat kepadaNya dan rasulNya, Dia juga menyuruh kita untuk taat kepada pemimpin yang memimpin kita dalam kehidupan. Tiada kehidupan kecuali dipimpin oleh kekuatan manusia yang menjadi ketua.

Dalam urusan ramai, satu ketetapan mestilah dipilih. setiap individu mempunyai hak untuk berfikir dan berpendapat. Tetapi apabila pandangan majoriti diperolehi melalui kepimpinan, maka ia hendaklah ditaati. Ketaatan itu sudah menjadi ketaatan kepada arahan Allah.

Ertinya, apabila kepimpinan telah membuat ketetapan, maka ia diberkati Allah kerana Dia menyuruh manusia bermesyuarat dan mentaati keputusan yang diputuskan itu. Syarat kepimpinan hanyalah satu iaitu mereka adalah kepimpinan yang mentaati Allah dan al Rasul.

Justeru di dalam ugama, antara ciri-ciri kekuatan umat ialah ketaatan manusia kepada Allah, al Rasul dan para pemimpin yang mentaati Allah dan al Rasul. Ketaatan menyatu padukan umat. Jika kita perhatikan, adalah jelas umat Islam berpecah belah hari ini adalah kerana mereka tidak menghadamkan kewajiban taat kepada Allah, al Rasul dan ulil amri (pemerintah). Untuk ulil amri pula, umat sendiri telah memilih pemimpin mereka yang enggan tunduk kepada perintah Allah. Apabila mereka taat di dalam perkara maksiat, maka ia menjadi seburuk-buruk taat yang dilarang Allah.

Begitulah yang perlu kita fahami. Isu-isu politik adalah banyak, bersimpang siur dan begitu mengelirukan bagi kebanyakan rakyat. Tiada yang lebih menyelamatkan mereka selain dengar, faham dan patuh kepada arahan pemimpin. Begitulah PAS menanam budaya taat dan wala’ di dalam partinya. Semoga Allah memberkati. – HARAKAHDAILY 3/4/2016

* Artikel adalah untuk siri kolum ‘Terang Rembulan’ akhbar Harakah.

%d bloggers like this: