Archive for 23 April 2016


Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/presiden/40893-mengenali-dr-zakir-abdul-karim-naik

TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | 22 April 2016.

Lawatan tokoh dakwah daripada India, Dr Zakir Abdul Karim Naik yang termasyhur namanya kerana kepakarannya dalam bidang perbandingan agama menjadi polemik di antara kawan dan lawan. Walaupun asal pengajiannya bidang perubatan, inilah anugerah Allah kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan kelebihan menolong agamaNya (Islam) yang berbeza dengan agama-agama dan ideologi lain, sama ada yang berasal daripada agama samawi (Yahudi dan Kristian) atau tidak samawi iaitu agama-agama lain seperti Hindu, Buddha, Majusi dan lain-lain atau perbandingan di antara Islam dan ideologi ciptaan manusia dalam urusan cara hidup.

Ada kalangan yang mempertikaikan kedatangannya semata-mata, sebelum mendengar dan membaca hujahnya. Ada pula yang memprotes secara keras, ancaman dan menggunakan bahasa yang kesat. Sepatutnya menggunakan kaedah ilmu dan fikiran yang waras dan adil. Sepatutnya juga seseorang itu jangan dilihat nama dan rupa bangsa dan agamanya sahaja, bahkan hendaklah dilihat buah fikirannya melalui lisan, tulisan dan akhlaknya. Orang yang beriman pula diminta supaya menerima setiap kebijaksanaan laksana barang tercicir yang wajib dipungut walau daripada mana datangnya.

Paling menghairankan beliau bergerak bebas di negara barat yang paling kuat Kristiannya dan dibenarkan berceramah dan berdialog di India, tanah tumpah darah agama Hindu dan paling kuat Hindunya serta paling ramai penganutnya. Adakah boleh dikatakan Kristian dan Hindu di Malaysia ini paling kuat di dunia ini lebih daripada negara barat dan India?

Jawapannya tidak sekali-kali, kerana agama Islam telah berjaya mengislamkan orang-orang Melayu, raja dan rakyat, yang sebelumnya beragama Hindu. Kaum beragama lain yang ada di sini pada hari ini, adalah pendatang yang dibawa oleh penjajah Inggeris, namun mereka tetap diterima oleh masyarakat Islam menjadi warganegara dalam masyarakat majmuk.

Pendakyah Kristian yang datang daripada barat dan mereka yang dilatih oleh pihak gereja juga gagal memurtadkan orang Melayu yang telah Islam, hanya segelintir yang tidak cukup untuk dimasukkan dalam nisbah perkiraan penduduk mengikut pecahan agama, itupun yang terpencil dengan buta huruf, kemiskinan dan lain-lain.

Kaum Melayu yang beragama Islam tetap berpegang dengan ajaran Islamnya, walaupun secara semangatnya sahaja tanpa ilmu. Namun semangat Islam juga menerima kewujudan masyarakat majmuk, yang tetap hidup dalam masyarakat Melayu Islam di atas konsep masyarakat Madani dan seluruh manusia laksana satu keluarga. Inilah yang ditunjukkan oleh Al-Quran, sehingga seorang atau satu keluarga penganut agama lain termasuk  kaum India beragama Hindu atau China beragama Buddha boleh hidup tanpa gangguan di kampung Melayu daripada semua Melayu penganut Islam di sekelilingnya, hanya pergeseran yang sangat  terpencil. Keadaannya tidak seperti kumpulan minoriti Muslim di kebanyakan negara bukan Islam, yang terdekat dan paling malang ialah kaum Muslimin Rohingya di Myanmar, sebelumnya di Bosnia dan negara-negara lain.

Sesiapa yang mengikuti ceramah Dr Zakir Naik dan dialognya secara jujur dan berfikir secara waras dan ilmu tanpa fanatik dan emosi akan mendapati beliau menyampaikan maklumatnya berkenaan berbagai-bagai agama secara perbandingan dengan hujah daripada kitab berbagai-bagai agama dengan menyebut nombor ayat dan bilangannya. Menyebut titik persamaan dari segi percaya kepada Allah atau Tuhan, yang pada hakikatnya Maha Esa dengan bahasa masing-masing. Dalam masa yang sama mendedahkan perkara yang salah dari segi ketuhanan sehingga berlakunya syirik dalam agama lain. Begitu juga dalam perkara baik dan buruk mengikut fitrah yang bersih sebelum diganggu oleh sebab-sebab sampingan yang mendatang dan merosakkan.

Sebenarnya pendekatan berhujah adalah cara yang dilaksanakan oleh semua para Rasul yang berakhir dengan Nabi Muhammad SAW yang disebut secara dasar dalam semua kitab agama yang asal sebelum dipinda dan dicipta kitab-kitab yang lain oleh kalangan agamawan berbagai-bagai agama. Inilah mesej yang didedahkan dan ditegaskan oleh Al-Quran.

قلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ وَلَا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ (آل عمران  :64)

“Katakanlah (wahai Muhammad SAW), wahai ahli Kitab! Marilah kepada satu kalimah yang sama di antara kami dan kamu. Bahawa kita tidak boleh beribadat melainkan kepada Allah sahaja dan tidak boleh menyekutukanNya (Allah dari segi ketuhanan) dengan sesuatu yang lain, dan tidak boleh mengambil sesama kita dilantik menjadi tuhan-tuhan selain Allah. Jika sekiranya mereka berpaling, maka katakanlah: “Sebenarnya kami adalah orang-orang Islam”.

Firman Allah:

يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لِمَ تُحَاجُّونَ فِي إِبْرَاهِيمَ وَمَا أُنْزِلَتِ التَّوْرَاةُ وَالْإِنْجِيلُ إِلَّا مِنْ بَعْدِهِ أَفَلَا تَعْقِلُونَ (65) هَا أَنْتُمْ هَؤُلَاءِ حَاجَجْتُمْ فِيمَا لَكُمْ بِهِ عِلْمٌ فَلِمَ تُحَاجُّونَ فِيمَا لَيْسَ لَكُمْ بِهِ عِلْمٌ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ (66) مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا وَلَكِنْ كَانَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ (67) .آل عمران.

“Wahai ahli Kitab! Mengapa kamu berhujah berkenaan Ibrahim? Padahal tidaklah diturunkan kitab Taurat dan Injil melainkan selepasnya. Adakah kamu tidak berakal? Adakah kamu berhujah dalam perkara yang kamu tidak ada ilmu pengetahuan berkenaannya? Padahal Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak ada ilmu berkenaannya. Ibrahim bukannya seorang Yahudi dan bukan juga seorang Nasrani (Kristian). Sebenarnya dia (Ibrahim) adalah penganut agama asal iaitu Islam (Muslim). Dan dia (Ibrahim) juga bukannya daripada kalangan Musyrikin.”

Ayat-ayat ini menjelaskan kepada semua penganut agama-agama yang memuliakan Nabi Ibrahim a.s. mengikut kepercayaan mereka, menunjukkan adanya asas persamaan. Ada yang percaya adalah Rasul Allah dan bapa kepada para rasul dan ada pula yang melantik Ibrahim menjadi tuhan yang dipuja.

Maka apa salahnya Dr Zakir Naik mengemukakan hujah perbandingan daripada kitab berbagai-bagai agama yang boleh dirujuk pada naskhah asalnya serta menegaskan apa yang disebut di dalam Al-Quran supaya semua pihak berfikir secara waras dan jujur, jangan fanatik tanpa perhitungan akal.

Saya ucapkan syabas kepada Dr Zakir Naik kerana inilah pendekatan semua para Rasul A.S. yang menghadapi kelahiran agama yang dicipta oleh manusia sejak Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa sehingga berakhirnya dengan Nabi Muhammad SAW tanpa paksaan terhadap penganut agama lain berkonsepkan firman Allah:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى لَا انْفِصَامَ لَهَا وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ (256)   البقرة.

“Tidak ada paksaan dalam agama, sesungguhnya telah nyatalah petunjuk yang sebenar yang berbeza dengan kesesatan. Maka sesiapa yang beriman kepada Allah dan kufur (menolak) sesiapa yang melampaui batas kebenaran, sesungguhnya dia telah berpegang teguh dengan (kebenaran) laksana simpulan tali yang teguh yang tidak dapat dirungkai lagi dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Firman Allah:

وَقُلِ الْحَقُّ مِنْ رَبِّكُمْ فَمَنْ شَاءَ فَلْيُؤْمِنْ وَمَنْ شَاءَ فَلْيَكْفُرْ  الآية (29)الكهف.

“Katalah yang benar daripada Tuhan kamu. Sesiapa yang mahu dia beriman dan sesiapa yang mahu (sebaliknya) dia bebas menjadi kafir.”

Al-Quran juga menegaskan pendekatan dialog:

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ (125) النحل.

“Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan nasihat yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik. Sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui terhadap sesiapa yang sesat daripada jalannya dan lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”

Allah membuka peluang berfikir menentukan kepercayaan dan amalannya dan bertaubat hanya di alam dunia, pintunya ditutup apabila memasuki alam kematian dan akhirat.

Kesempatan pertemuan saya bersama Dr Zakir Naik dengan perbincangan ilmu yang bermanfaat. Saya menyaksikan kebenaran firman Allah:

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ (69)العنكبوت.

“Bahawa sesiapa yang bersungguh-sungguh di jalan Kami, nescaya kami tunjukkan kepadanya jalan-jalan Kami dan Allah sentiasa bersama-sama orang-orang yang melakukan kebaikan.”

Allah mengurniakan kepadanya ingatan luar biasa menghadapi pihak yang lain daripada Islam mengajak kepada yang baik dan terbaik, bukannya seperti syaitan yang mengajak kepada kemungkaran dan maksiat dan mencegah segala kebaikan. Begitu juga sesiapa yang beramal dan berjuang dengan ilmu yang dikurniakan oleh Allah kepadanya, nescaya Allah menambahkan ilmunya dengan cara yang tidak terkira dan luar biasa.

Sejarah para Rasul di sepanjang zaman menunjukkan orang yang terbaik yang disaksikan oleh kaumnya sendiri akan sifat kebenarannya, apabila tidak ada hujah terhadapnya dituduh syaitan, penjahat, ahli sihir dan lain-lain. Maka pengikut para rasul disepanjang zaman pasti menerima iktibar daripadanya.

Doakan Dr Zakir Naik meneruskan mesej dakwah ini, bersama kurniaan Allah, kesihatan bersama taqwa dan dipanjangkan usia dengan amal yang soleh. Amin.

“BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
14 Rejab 1437 / 22 April 2016 – HARAKAHDAILY 22/4/2016

Sumber : Web JHEAINS

Marilah kita merenung, menghayati dan mengamalkan setiap ajaran dan Syariat Islam di dalam Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW tentang perkara-perkara berkaitan makan minum dan sumber rezeki seperti berikut:

Pertama: Makanlah yang halal lagi baik. Islam menyuruh umatnya makan minum yang halal lagi baik, sebagaimana firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu”. (Surah Al-Baqarah, ayat 168)

Maka, umat Islam jangan mengambil mudah tentang perkara halal haram dalam kehidupan kita, terutama makan minum, pakaian, bahan gunaan harian dan memilih restoran untuk berjamu selera bersama anak isteri, keluarga, kawan dan sahabat. Kerana Rasulullah SAW mengingatkan dalam sabdanya yang bermaksud:

“Setiap daging yang tumbuh daripada (makanan) yang haram, maka api neraka lebih utama baginya (membakarnya)”. (HR At-Thabrani)

Umat Islam jangan terkeliru oleh iklan, promosi dan kempen para usahawan yang sekadar ingin meraih untung perniagaan yang bermatlamat mencari laba untung duniawi sehingga melupakan halal haram sesuatu produk yang dipasarkan kepada pengguna atau pelanggan.

Kedua: Mencari yang halal adalah fardu/wajib. Jangan ambil harta secara salah, sebagai sumber rezeki dan kehidupan anak isteri dan keluarga, sebagaimana firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (mengambil) harta-harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, pada hal kamu mengetahui (salahnya)”. (Surah Al-Baqarah, ayat 188)

Ayat ini, melarang umat Islam mengambil harta orang lain secara salah dan jangan mengamal rasuah. Sebab perbuatan sedemikian suatu dosa. Oleh itu, umat Islam hendaklah menjauhi amalan rasuah, kerana orang yang melakukannya termasuk orang yang dilaknat oleh Allah SWT, sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Allah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah serta orang yang menjadi orang perantaraan”. (HR Imam Ahmad)

Ingatlah, sesungguhnya Islam adalah agama yang sangat menitik beratkan perkara halal percarian rezeki, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Mencari yang halal itu adalah fardu/wajib ke atas setiap orang Islam”. (HR Ibnu Abdil-Barr)

Ketiga: Berniagalah untuk memperolehi kekayaan secara halal. Islam anjurkan perniagaan, yakni menghalalkan perniagaan dan mengharamkan riba, pilihlah perniagaan sesungguhnya inilah jalan terbaik, lebih berkat dan selamat dunia akhirat, firman Allah SWT:

Maksudnya: “…Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: ‘Bahawa sesungguhnya berjual beli (berniaga) itu sama saja seperti riba’. Pada hal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba…”. (Surah Al-Baqarah, ayat 275)

Kelebihan berniaga, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sembilan persepuluh sumber rezeki (boleh diperolehi) melalui perniagaan”. (HR Imam At-Tirmizi)

Mulianya peniaga yang jujur, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Peniaga-peniaga yang jujur dan amanah (akan ditempatkan) bersama dengan para Nabi, siddiqin dan para syuhada”. (HR Imam At-Tirmizi)

Perlunya harta untuk tegakkan agama dan urusan hidup, sebagaimana Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Apabila pada akhir zaman nanti umat manusia tak dapat tidak mesti menyediakan harta untuk menegakkan urusan agama dan urusan dunianya”. (HR At-Thabrani)

Ingatlah, halal haram itu bukan terbatas pada perkara makan minum semata-mata. Tetapi halal haram juga termasuk perkara-perkara yang berkaitan dengan sumber rezeki dan pencarian yang berupa wang ringgit, gaji/upah dan sebagainya.

Keempat: Tinggalkan riba sebagai sumber pencarian dan rezeki. Riba adalah perkara yang dilarang di dalam Islam, ia juga berkaitan sumber rezeki dan akan dimakan oleh kita dan anak isteri serta keluarga, firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang beriman”. (Surah Al-Baqarah, ayat 278)

Keadaan golongan yang suka memakan riba seperti orang yang dirasuk syaitan, firman Allah SWT:

Maksudnya: “Orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhoyong-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu…”. (Surah Al-Baqarah, ayat 275)

%d bloggers like this: