Tag Archive: Israk & Mikraj


Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/presiden/41210-pengajaran-daripada-israk-dan-mikraj

Rasulullah SAW dimuliakan dengan menjadi tetamu Allah. Peristiwa paling bersejarah ini wajib diimani sebenar-benarnya berlaku, ia dinyatakan oleh Al-Quran dan Hadis tanpa menyebut tarikh berlakunya. Tarikh masyhur berlakunya peristiwa ini pada bulan Rejab 27 haribulan, namun  para ulamak berbeza pendapat menentukan tahun, bulan dan hari berlakunya. Ada yang  menyatakan berlakunya di tahun dilantik menjadi Rasul, tahun kelima, keenam, kesepuluh dan kedua belas. Ada pandangan yang menyatakan berlaku pada bulan Rejab, Syaaban, Ramadhan, Syawal, Muharram, Rabiul Awwal dan Rabiul Akhir. Ada pandangan yang menyatakan peristiwa ini berlaku pada malam Jumaat kerana kelebihannya, ada yang menyatakan malam Sabtu, dan malam Isnin.

Jumhur para ulamak menyatakan peristiwa ini berlaku dengan jasad dan roh. Adapun riwayat Ummul Mukminin Aisyah RA yang menyatakannya dengan roh sahaja ditolak kerana ketika berlakunya peristiwa ini, Beliau belum baligh dan pandangan Muawwiyah juga ditolak kerana beliau belum lagi menganut Islam.

Yang paling penting daripada peristiwa ini ialah pengajaran, bukannya penentuan tarikh berlakunya. Semasa berlaku peristiwa ini, para sahabat sedang menghadapi ujian paling getir, daripada penindasan paling zalim dan mancabar keimanan mereka. Peristiwa ini juga dijadikan senjata fitnah, menguatkan lagi berlakunya dengan roh dan jasad, kerana di luar daripada jangkauan ilmu manusia. Keadaan ini menjadikan generasi awal Islam tidak memberi perhatian penentuan tarikh berlakunya peristiwa besar ini, kerana penumpuan kepada kekuatan iman mereka kepada Allah dan Rasul secara mutlak. Namun mereka bersepakat beriman dengan peristiwa ini dan pada malam itu disampaikan perintah wajib bersolat lima waktu.

Peristiwa ini menjadi dalil ketuhanan dan kebesaran Allah yang tiada bandingan dan tandingan. Allah menjemput Rasul akhir zaman, pilihanNya menjadi tetamu kerajaanNya Yang Maha Agung, supaya melihat secara nyata alam yang sangat besar, walaupun sangat jauh perjalanan, dan lama masanya tidak mampu dikira oleh akal dan ilmu manusia yang sangat lemah sekalipun dengan teknologi terkini yang sudah mampu ke angkasa lepas.

Bukan seperti tetamu kerajaan ciptaan manusia yang lemah walaupun mengaku berkuasa besar, hanya membawa tetamu ke bilik gerakan negara yang kecil bersama lukisan peta dan pelan yang kecil dan dibawa hanya ke projek yang dikira berjaya, yang buruk dan gagal disembunyikan.

Rasulullah SAW dibawa melawat alam yang luasnya daripada dunia sehingga akhirat, alam nyata dan ghaib, merentasi bumi dan mengatasi tujuh petala langit, sehingga luar daripada perbatasan cekerawala yang dilihat dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar serta teknologi paling canggih, juga diluar daripada sempadan kemampuan Jibril AS pemimpin para malaikat. Sempadan yang disebut Sadrah Al-Muntaha mengikut bahasa Al-Quran. Cukup meyakinkan setiap orang yang beriman apabila memahami  bahasa Al-Quran dan mukjizatnya. Firman Allah SWT:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

“Maha Suci Tuhan yang telah memperjalankan Hambanya di waktu malam daripada Masjid Al-Haram (Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (Al-Quds, Palestin) yang telah kami berkati di sekitarnya, supaya kami tunjukkan kepadanya ayat-ayat (tanda-tanda) Kami. Sesungguhnya Dialah Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Isra’, ayat 01)

Tegasnya, ia adalah perjalanan yang dicipta oleh Allah Pencipta Alam, Yang Maha Suci daripada segala kekurangan dan kelemahan,  Maha Berkuasa di atas seluruh alam, diluar daripada perhitungan masa dan jarak dekat dan jauh mengikut perhitungan makhluknya, Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَى* عِنْدَ سِدْرَةِ الْمُنْتَهَى

“Dan sesungguhnya Dia Rasulullah SAW telah melihatnya (Jibril) pada kali yang lain, iaitu di sisi Sadrah Al-Muntaha.” (Surah An-Najmu, ayat 13-14)

Ketika Malaikat Jibril mengiringi Rasulullah SAW dalam perjalanan Israk dan Mikraj sehingga berada di sisi Sadrah Al-Muntaha. Sempadan terakhir bagi makhluk langit dan tempat dibawa perkara makhluk bumi, selepasnya adalah kepunyaan Allah yang sedia kala dan tiada kesudahan dan penghujungnya. Firman ALLAH SWT:

وَمَا جَعَلْنَا الرُّؤْيَا الَّتِي أَرَيْنَاكَ إِلَّا فِتْنَةً لِلنَّاسِ

“Dan tidaklah kami jadikan segala yang Engkau saksikan, yang telah kami perlihatkan kepada Mu (pada malam Israk dan Mikraj) malainkan menjadi fitnah (ujian) kepada manusia.” (Surah Al-Isra’, ayat 60)

Peristiwa yang menakjubkan di luar kemampuan akal dan ilmu manusia, menjadi ujian terhadap keimanan kepada Allah dan Rasul pilihanNya. Beriman kepada Allah Yang Maha Berkuasa mencipta seluruh alam dan berkuasa mengurusnya dengan Maha Bijaksana. Beriman kepada benarnya Rasul SAW yang dipilihNya.

Apabila Rasul SAW yang mulia itu dinamakan hambanya, maka betapa pula seluruh yang lain adalah kerdil di hadapan Allah yang tidak sama hubungan dikalangan sesama makhluk, di antara anak, ibu dan bapa, raja, pemimpin dan rakyat, ketua dengan pengikut bawahannya, majikan dan buruh serta seterusnya.

Baginda Rasul SAW ditemukan dengan para Rasul dan solat berjamaah di Masjid Aqsa, Palestin menandakan bahawa Islam satu sahaja agama Allah yang dibawa oleh semua para Rasul AS sejak Adam AS sehingga Muhammad SAW. Walaupun adanya perbezaan syariat mengikut zaman dan masyarakat namun bersatu aqidah ketuhanan Allah Yang Maha Esa sahaja dan wawasan dihari Akhirat.

Firman Allah SWT:

أَفَغَيْرَ دِينِ اللَّهِ يَبْغُونَ وَلَهُ أَسْلَمَ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَإِلَيْهِ يُرْجَعُونَ

“Adakah mereka mencari-cari  dan berpegang kepada yang lain daripada agama Allah (Islam), padahal telah Islam kepada Allah seluruh makhluk langit dan bumi secara taat  (mengikut pilihan) dan terpaksa (mengikut fitrah) dan kepadanya dikembalikan (pada hari Qiamat).” (Surah Ali-Imran, ayat 83)

Kalangan para Rasul itu ada yang ramai pengikutnya dan ada yang sedikit, bahkan ada juga yang keseorangan. Menunjukkan kewajipan mereka hanya menyampaikan risalah Islam yang sebenar, adapun penerimaanya, hanya Allah yang memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakiNya apabila menggunakan akal yang bijak dengan berpandukan ilmu yang benar, serta bersungguh dan ikhlas mencari kebenaran. Hidayah itu tidak layak kepada yang sombong seperti iblis walaupun sangat bijak.

Perjalanan Rasulullah SAW di malam itu diganggu oleh seruan iblis, Yahudi, Nasrani, dunia dan segala godaannya, namun Rasulullah SAW menunjukkan jati diri paling kuat beristiqamah sehingga pertemuan dengan Allah.

Peristiwa ini juga menunjukkan betapa kebesaran ketuhanan Allah SWT dan kerajaanNya yang besar. Maka langit dan bumi dengan segala kerajaan manusia termasuk yang bertaraf kuasa besar laksana lebih kerdil daripada zarah (habuk yang paling halus) kalau hendak dibandingkan dengan alam yang luas.

Maka Muhammad SAW yang dilantik menjadi Rasulnya tidak mungkin dihalang mesejnya oleh sesiapa pun, bukan sahaja di Mekah pada masa itu, bahkan daripada seluruh penjuru dunia yang mengepungnya disepanjang zaman.

Islam adalah cahaya petunjuk Allah yang tidak mungkin dipadam oleh segala musuhnya. Firman Allah SWT:

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ * هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ

“Mereka hendak memadamkan cahaya petunjuk (Islam) daripada Allah dengan mulut-mulut mereka, namun Allah tetap menyempurnakan cahayanya walau pun dibenci oleh orang-orang yang kafir (mereka menolak dan menentang Islam). Dialah (Allah) yang telah  mengutuskan RasulNya dengan petunjuk dan agama (al-Din ) yang benar, supaya  menzahirkannya  sehingga mengatasi segala agama dan ajaran yang lain walau pun dibenci oleh  orang-orang musyrikin.” (Surah As-Saff, ayat 08-09)

Ditunjukkan juga pada malam bersejarah itu bahawa mereka yang beristiqamah, betapa bahagia dan berjayanya mereka di alam akhirat walaupun matinya dibunuh kejam sehingga jasadnya dihancur lumat. Betapa pula celakanya mereka yang tidak beristiqamah, aqidah, syariat dan akhlaknya walaupun membawa pangkat, harta dan takhta.

Pada malam bersejarah itu juga diperintahkan kewajipan solat lima waktu yang menjadi hubungan langsung di antara hamba dengan Allah tanpa perantaraan, mengadap kearah kiblat yang pada awalnya di Sokhrah Masjid Al Aqsa tempat Nabi Ibrahim AS bermukim, kemudian diubah kearah Kaabah di Mekah dibina oleh Ibrahim AS dan Puteranya Ismail AS.

Perjalanan Israk menggabungkan Mekah dan Baitul Maqdis dan Mikraj pula menggabungkan langit dan bumi. Mekah masih selamat dipelihara Allah dan dimakmurkan oleh umat Islam daripada seluruh penjuru dan pelusuk dunia, manakala Palestin dan bersamanya Masjid Al-Aqsa ditakluk Yahudi pembunuh para Rasul dan makhluk paling merosakkan dunia, kerana kelemahan umat Islam yang tidak istiqamah bersama Islam.

Maka peristiwa Israk dan Mikraj bukan sekadar kisah yang dibaca dan didengar, bahkan satu kewajipan yang wajib dipelihara dengan baik dan amaran kepada pengkhianat agamaNya. Rasulullah SAW memberi peringatan:

لاَ تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِى عَلَى الدِّينِ ظَاهِرِينَ لِعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ لاَ يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلاَّ مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لأْوَاءَ حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ ». قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَأَيْنَ هُمْ قَالَ « بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ .( مسند أحمد (48/ 430 بترقيم الشاملة آليا).

“Sentiasa ada kalangan umatku orang yang terbuka dan gagah perkasa menegakkan Islam di hadapan musuh, mereka tidak dapat dimudaratkan oleh orang-orang yang menentang (dan mengecewakan) mereka, melainkan apabila mereka menghadapi kesukaran sehingga datangnya keputusan Allah mereka terus dalam keadaan yang sama (tidak  berganjak daripada perjuangan). Para sahabat bertanya: Di manakah mereka? Sabda Rasulullah SAW, Mereka berada di Bait Al-Maqdis dan di sekitar Bait Al-Maqdis.”

Ternyata adanya intifadah di Baitul Maqdis dan di kelilingnya, walaupun negara haram Israel merampas dengan menggunakan kekerasan dan kemewahan. Adanya pula pemimpin dari Negara Arab dan Islam yang bersekongkol dengan Israel dan memujuk kebangkitan (Intifadah) di Baitul Maqdis supaya menyerah kalah dan bersama mengepungnya, serta menuduh kumpulan Islam bersama intifadah sebagai pengganas, bukannya pelampau Yahudi yang ganas. Percayalah  bahawa inilah janji yang benar daripada Rasulullah SAW.

BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
9 Syaaban 1437 / 16 Mei 2016 – HARAKAHDAILY 16/5/2016

Tarikh : 4 Mei 2016

Lokasi : Masjid Pekan Kota Belud

20160504_192217 20160504_211958 img-20160504-wa0171 img-20160504-wa0172 img-20160504-wa0173

Sumber : Web JHEAINS

Berada di bulan Rejab adalah bulan Isra’ dan mi’raj bererti akan menyusullah pula bulan Syaaban sebelum menjelangnya Ramadan al-Mubarak. Keistimewaan bulan-bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan terlihat dalam sepotong doa yang diriwayatkan oleh Anas RA daripada Rasulullah SAW yang bemaksud:

“Ya Allah, Berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, serta panjangkanlah umur kami hingga sampai ke bulan Ramadan”. (diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dalam al-Syua’aab, Ibn Abi al-Dunya dan Ibn Sunniy).

Allah SWT memuliakan bulan Rejab dengan menurunkan syariat mengerjakan solat atau sembahyang lima kali sehari semalam ke atas umat Islam. Rasulullah SAW menerima perintah itu ketika berada di Sidratul Muntaha iaitu perhentian terakhir baginda ketika naik ke langit bertemu dengan Allah SWT dalam peristiwa Israk dan Mikraj, yang terjadi pada 27 Rejab (tahun ke 11 baginda dilantik sebagai Rasul).

Daripada Anas RA, katanya: “Solat difardukan ke atas Nabi SAW pada malam Israk Mikraj sebanyak 50 kali. Kemudian dikurangi sehingga menjadi lima (rakaat). Kemudian Allah menyeru: “Wahai Muhammad, ia merupakan suatu ketetapan yang tidak boleh diubah lagi disisiKu. Dengan mengerjakan solat lima waktu ini, engkau tetap memperoleh ganjaran sama seperti mengerjakan solat sebanyak 50 kali itu.” (HR Ahmad, At-Tirmizi)

Dengan hal yang demikian, pemfarduan solat atau sembahyang lima kali sehari semalam melambangkan tingginya nilai ibadah ini. Ia merupakan tiang agama yang bertindak sebagai penentu kepada keutuhan agama dan akidah serta akhlak seseorang yang mengaku dan bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah SWT dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah SWT.

Tegasnya, sesiapa yang mendirikan solat atau sembahyang bererti dia telah mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkannya, bererti telah meruntuhkan agama yang dianutinya. Ini bertepatan dengan amaran Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Solat itu adalah tiang agama, maka sesiapa yang mendirikan solat, sesungguhnya dia telah menegakkan agamanya, dan sesiapa yang meninggalkannya, maka sesungguhnya dia telah meruntuhkan agamanya.” (HR Bukhari dan Muslim).

Sehubungan itu, ibadat solat adalah satu daripada Rukun Islam yang wajib dilaksanakan setiap Muslim, sama ada lelaki atau perempuan dengan sempurna sebanyak lima waktu sehari semalam. Malah, solat juga pembeza antara Muslim dengan kafir sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: “Tonggak pemisah antara seorang Muslim dan kafir adalah solat” (HR Muslim). Tuntutan mengerjakan solat tertera dalam banyak ayat al-Quran. Antaranya ialah firman Allah SWT:

Yang bermaksud: “ Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, Sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.” (S. Taahaa: 14).

Firman Allah SWT lagi:

Maksudnya: “Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada ketika yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang yang mahu beringat.” (S. Hud: 114).

Berdasarkan kepada nas-nas perintah mengerjakan solat tersebut, ternyata betapa pentingnyanya kita semua memelihara lima solat wajib iaitu Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak. Dan sebaik-baiknya solat itu dikerjakan pada awal waktu dalam keadaan khusyuk memandangkan kesempurnaan solat penentu kejayaan seseorang selaras dengan firman Allah SWT:

Yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;” (S. Al-Mukminun, 1-2).

Seperti yang dimaklumi, masih ramai di kalangan umat Islam yang lalai serta mencuaikan kewajipan solat atau sembahyang. Antara sebabnya ialah kurangnya didikan agama selain tiada ketegasan serta komitmen dalam sesebuah keluarga untuk mendirikan solat. Keadaan itu diparahkan lagi dengan kewujudan elemen-elemen yang melalaikan seperti hiburan, permainan di telefon pintar atau komputer, sukan dan lain-lain lagi.

Sumber : Web JHEAINS

Amalan yang akan dihisab dahulu di akhirat, adalah amalan solat, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Persoalan pertama yang akan ditanya kepada manusia di hari akhirat adalah amalan solat. Apabila solatnya diterima, maka akan diterima seluruh amalannya, dan sekiranya solatnya ditolak maka akan ditolak seluruh amalannya.” (HR Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Hadith ini memberi pelajaran kepada kita, bahawa sekalipun seseorang itu melakukan puasa Ramadan, membayar zakat, menunaikan haji, bersedekah kepada fakir miskin, namun jika tidak menunakan solat atau melalaikannya, maka seluruh amalan kebaikannya akan di tolak oleh Allah SWT.

Solat adalah perkara yang besar dalam pandangan Allah SWT dan Rasul-Nya. Banyak dalil dan bukti yang menegaskan bahwa solat adalah ibadah yang sangat penting dan agung serta mengandung banyak hikmah, diantaranya :

1. Kerana solat adalah ibadah yang diterima langsung oleh Nabi Muhammad SAW daripada Allah SWT, tanpa perantara malaikat Jibril.

2. Solat adalah ibadah yang tidak boleh ditinggalkan dalam apa keadaan sekalipun.

3. Solat dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar.

4. Solat dapat menenangkan jiwa orang yang melaksanakannya.

5. Solat merupakan ikatan janji dan komitmen kita kepada Allah SWT.

6. Solat adalah ibadah semua nabi dan rasul yang diperintahkan Allah SWT.

Marilah kita menginsafi diri dan istiqamah dalam mendirikan ibadah solat. Jangan sampai kita termasuk dalam golongan orang yang lalai. Tidaklah cukup dengan solat seminggu sekali sahaja, iaitu Solat Jumaat, tetapi melalaikan solat fardhu lima waktu sehari semalam. Islam juga memerintahkan kita agar sentiasa memastikan ahli keluarga telah menunaikan solat, termasuk isteri dan anak-anak.

Oleh kerana itu, kita disuruh memimpin dan memastikan anak-anak supaya menunaikannya, melatih mereka solat ketika berumur 7 tahun dan memukul mereka yang tidak menunaikannya, ketika berumur 10 tahun. Allah SWT berfirman bermaksud :

“Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Surah Thoha ayat: 132)

Khairunnizam Luqman

Tarikh : 30 Mei 2014

Lokasi : Masjid Jamek Pekan Kundasang

Khatib : Ustaz Khairunnizam Luqman

Berdasarkan rahsia Isra’ Mikraj ini jelas bahawa solat fardhu lima waktu adalah tuntutan utama yang Allah fardhukan kepada umat Islam. Ingatlah solat fardhu menjadi ibu segala amal ibadah, wajib dilaksanakan samada semasa sihat atau sakit, menjadi tonggak kekuatan agama, menggugurkan segala dosa dan menyelamatkan dari azab kubur. Selain itu kualiti solat ini juga akan menentukan kualiti pelaksanaan ibadah-ibadah yang lain.

Terdapat perkaitan yang kuat bahawa jika seseorang itu lemah melaksanakan solat, maka ibadah yang lain pun mempunyai tahap yang sama. Berdasarkan perkaitan inilah maka amalan solat adalah amalan yang dapat mencegah berlakunya kemungkaran kepada seseorang itu. Allah SWT berfirman dalam surah al-Ankabut Ayat 45 bermaksud :

Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Waspadalah kita kerana jika solat itu dibuat secara lalai maka ia boleh mendatangkan musibah dan memberi kesan buruk terhadap kelakuan seseorang. Allah SWT berfirman dalam surah al-Maa’un, ayat 4-5 bermaksud :

Maka kecelakaan besar bagi orang yang Sembahyang. (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya”.

Inilah masanya untuk kita sedar, bermuhasabah dan merenung kembali kualiti solat kita. Adakah kita ini termasuk dalam golongan yang lalai? Apakah yang dimaksudkan dengan lalai di sini? Mereka ialah golongan yang melakukan solat namun tidak menyedari bilangan rakaatnya, malas melakukan solat sehingga bertangguh-tangguh kerana mengutamakan pekerjaan lain, terburu-buru melakukan solat dan tidak merasai nikmat melakukan solat di awal waktu.

Memandangkan solat ini adalah tuntutan utama, maka pelaksanaan solat hendaklah dilaksanakan secara khusyuk mengikut peraturan tertentu. Yakinlah, solat yang hakiki pasti akan melindungi seseorang daripada melakukan perbuatan berdosa. Solat yang hakiki dan berkualiti adalah solat yang dilakukan secara khusyuk.

Tarikh : 6 Jun 2013 (Khamis)

Tempat : Surau ar-Rahman, Maahad Tahfiz al-Quran wal Qiraat Negeri Sabah

Surah al-Israk yang menjadi pokok perbincangan, terletak di pertengahan al-Quran. Bermula dengan kalimat tasbih ‘subhana’, berakhir dengan kalimat takbir, kemudian dimulai dengan kalimat tahmid pada surah al-Kahfi yang berikutnya.

Dalam mana-mana permulaan surah dengan kalimat tasbih, hanya di surah ini menggunakan kalimat subhana, sementara ada surah lain tasbihnya dimulai dengan fiil madhi (perbuatan lepas) seperti ‘sabbaha’ pada surah as-Soff, fiil mudhari’ (perbuatan sekarang) seperti ‘yusabbihu’ pada surah al-Jumu’ah dan fiil amr (perintah) seperti sabbihi dalam surah al-A’la.

Memulakan surah dengan tasbih sebegini menunjukkan perkara yang akan dibicarakan adalah peristiwa yang hebat dan luar biasa. Peristiwa al-Israk’ yang diceritakan pada ayat 1 surah ini, adalah salah satu mukjizat terbesar selepas al-Quran kepada Rasulullah SAW. Tiada sesiapa di kalangan manusia yang melihat dan menyaksikannya kecuali hanya diri Rasulullah SAW, sebagai suatu ujian kepada manusia pada zaman berkenaan dan generasi berikutnya.

Israk Mikraj @ MTQQNS (2)

Israk Mikraj @ MTQQNS (1) Israk Mikraj @ MTQQNS (3) Israk Mikraj @ MTQQNS (4) Israk Mikraj @ MTQQNS (5) Israk Mikraj @ MTQQNS (6) Israk Mikraj @ MTQQNS (7) Israk Mikraj @ MTQQNS (8) Israk Mikraj @ MTQQNS (9) Israk Mikraj @ MTQQNS (10) Israk Mikraj @ MTQQNS (11) Israk Mikraj @ MTQQNS (12) Israk Mikraj @ MTQQNS (13)

Israk Mikraj @ Sabah FM

Tarikh : 6 Jun 2013 (Khamis)

Lokasi : Studio Sabah FM, Jalan Lintas

Perantara : DJ Puan Suzana Abdullah

Pada zaman yang tiada alat yang canggih, tidak tercapai akal manusia untuk berjalan jauh dalam tempoh beberapa jam dari Masjidil Haram di Makkah menuju ke Masjidil Aqso di Palestin, kemudian diangkat ke langit dan sidratul muntaha, kemudian kembali pulang ke Makkah semula.

Manusia yang semata-mata berfikir logik tanpa mengingat akan kekuasaan Allah SWT pasti akan menolak peristiwa agung ini. Apatah lagi pada ketika itu perjalanan dari Makkah ke Palestin mengambil masa tidak kurang sebulan pergi dan sebulan balik.

Ada lagi langit dunia yang kita nampak, bintang yang bergemerlapan pada waktu malam, itu pun manusia tidak mampu sampai ke sana. Bagaimana pula dengan Nabi Muhammad SAW sampai ke langit ke tujuh? Maka Allah SWT memulakan kisah ini dengan kalimah tasbih supaya manusia mengembalikan segala kehebatan kepada Allah SWT.

Tarikh : 6 Jun 2013 (Khamis) 

Tempat : Bangunan JKR, Sembulan

Nabi SAW diperlihatkan seorang perempuan tua yang bongkok di pinggir jalan lalu berkata : “Aku hendak bertanya, tunggulah dahulu wahai Muhammad!” Nabi SAW tidak memperdulikannya, malah meneruskan perjalanannya.

Baginda bertanya kepada malaikat Jibril AS : Siapakah yang memanggil itu? Jawab Jibril : Itulah perumpamaan umur dunia ini sama dengan sisa umur yang masih tinggal daripada nenek tua itu.

***

Begitulah dunia yang tua ini masih diingini oleh manusia mendekatinya. Manusia biasanya tidak sedar diri dengan kehidupan yang sementara dengan menyibukkan dirinya akan sesuatu yang bakal ditinggalkan di dunia. Tidak mahu menyibukkan diri dengan sesuatu yang bakal dibawanya ke alam barzakh.

Manusia terpedaya dengan kesenangan yang memperdaya, hiburan yang melampaui batas, sehingga meninggalkan asas ugamanya sendiri seperti aqidah yang sahih, ibadah yang benar dan akhlak yang tulus. Semoga Allah SWT menyelamatkan kita dengan petunjukNya ke jalan yang lurus.

Israk Mikraj @ JKR (1) Israk Mikraj @ JKR (2) Israk Mikraj @ JKR (3) Israk Mikraj @ JKR (4) Israk Mikraj @ JKR (5) Israk Mikraj @ JKR (6) Israk Mikraj @ JKR (7)

Tarikh : 5 Jun 2013 (Rabu)

Tempat : Masjid ar-Raudhah Kg Lumadan Beaufort

Allah SWT mengatur perjalanan RasulNya Muhammad SAW yang mulia, dimulai dengan keturunan yang mulia dan terbaik, diuji dengan pelbagai keadaan. Kaum sendiri yang kasar, negeri yang kering kontang, tidak mempunyai hasil bumi dan sumber ekonomi, bangsa yang buta huruf, bagaimana hendak memimpin dunia yang bertamadun?

Belum lagi berhadapan dengan Parsi, Rum, China, Mesir, India, begitu juga dengan ahli kitab yang dianggap berilmu, ahli falsafah dan lain-lain. Nabi SAW juga menghadapi tentangan daripada kaum musyrikin Makkah yang membunuh anak sendiri dan lain-lain.

Sahabat baginda seperti Bilal bin Rabah, Khabbab bin al-Arat, Uthman bin Affan dan ramai lagi disiksa, keluarga Ammar bin Yasir ada yang dibunuh, bahkan batang tubuh Nabi SAW sendiri pernah diganggu oleh musuh yang bencikan baginda dan Islam yang dibawanya.

Nabi SAW juga ke Toif mengajak Bani Thaqif kepada Islam, tetapi Bani Thaqif lebih kejam, mengarah pemuda samseng melontar batu sehingga Nabi SAW berlumuran darah, sehingga datang malaikat atas perintah Allah SWT untuk memenuhi doa baginda SAW yang sangat terkenal :

“Ya Allah! Sesungguhya aku mengadu padamu akan kelemahan upayaku, kurang usahaku dan hinanya aku di kalangan manusia. Wahai Tuhan sekalian alam, Engkaulah Tuhan golongan yang lemah, Engkaulah yang Maha Mengasihani, dan Engkaulah Tuhanku. Kepada siapa Engkau serahkan aku, di kejauhan aku disisihkan atau kepada musuh yang diberikan kuasa padanya untuk menggagalkan urusanku? Tidaklah mengapa jika Engkau tidak murka padaku, tetapi aku lebih mengharapkan naungan kesejahteraan daripadaMu..”

Israk Mikraj @ Lumadan (1) Israk Mikraj @ Lumadan (2) Israk Mikraj @ Lumadan (3) Israk Mikraj @ Lumadan (4) Israk Mikraj @ Lumadan (5) Israk Mikraj @ Lumadan (6) Israk Mikraj @ Lumadan (7) Israk Mikraj @ Lumadan (8) Israk Mikraj @ Lumadan (9) Israk Mikraj @ Lumadan (10) Israk Mikraj @ Lumadan (11) Israk Mikraj @ Lumadan (12) Israk Mikraj @ Lumadan (13) Israk Mikraj @ Lumadan (14) Israk Mikraj @ Lumadan (15)

Tarikh : 4 Jun 2013 (Selasa)

Tempat : Masjid al-Hilal, Kg Tanjung Dumpil Putatan

Allah SWT menjemput RasulNya SAW sebagai tetamu kerajaan yang besar tiada tandingan. Tetamu negara dibawa melihat kehebatan negara dan diberi taklimat di dalam bilik. Sementara Nabi SAW dibawa melihat projek Allah SWT dengan melawat alam langit, alam dunia, alam barzakh, akhirat, alam nyata dan ghaib.

Nabi SAW dijemput setelah menghadapi ujian yang bermacam-macam setelah dilantik menjadi Rasul kepada seluruh alam, berbeza dengan para nabi sebelumnya, diutus kepada kaumnya, atau negerinya.

Nabi SAW berjiwa besar dengan mengatasi semua halangan. Kehebatan peribadinya ditunjukkan dalam perjuangan di peringkat awal lagi. Menjadi sunnatullah dalam perjuangan, para sahabat baginda dibelasah, dibunuh, cedera sementara dua orang yang berpengaruh iaitu Saidatina Khadijah dan Abu Tolib wafat.

Pelbagai cabaran lagi dihadapi oleh baginda. Namun Allah SWT mentakdirkan pada ketika inilah Rasulullah SAW dibawa naik bertemu Allah SWT dalam peristiwa al-Israk wal Mikraj.

Israk Mikraj @ Hilal (1) Israk Mikraj @ Hilal (2) Israk Mikraj @ Hilal (3) Israk Mikraj @ Hilal (4) Israk Mikraj @ Hilal (5) Israk Mikraj @ Hilal (6) Israk Mikraj @ Hilal (7) Israk Mikraj @ Hilal (8) Israk Mikraj @ Hilal (9) Israk Mikraj @ Hilal (10) Israk Mikraj @ Hilal (11) Israk Mikraj @ Hilal (12)

 

%d bloggers like this: