Beliau dilahirkan pada 18 Mac 1929 di Kg Alor Merah, Alor Setar Kedah. Menetap di Sabah sejak tahun 1971. Mempunyai 10 orang anak (3 lelaki dan 7 perempuan).
Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Merah, Alor Setar Kedah (1941-1945); Sekolah Pondok Pantai Cegar, Alor Setar Kedah (1947-1948); Maahad Saulatiah, Makkah (1948-1955); Ma’ahad Ulumudiah, Makkah (1955-1962).
Ketika belajar di Masjid al-Haram Makkah (1951-1962) beliau pernah berguru dengan seorang ulama tersohor Sheikh Abdul Kadir al-Mandili; kemudian di Universiti Islam Madinah (1962-1968) sehingga memperolehi Ijazah Sarjana Muda Syariah.
Beliau pernah berkhidmat sebagai guru di SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah Kota Kinabalu; pensyarah agama di Maktab Perguruan Kent Tuaran (1972-1974); Pegawai Bahagian Pendidikan MUIS (1974-1976); Nazir Bahagian Pendidikan MUIS (1976-1981).
Ketua Nazir Pendidikan MUIS (1981-1983); Pemangku Pengarah Bahagian Pendidikan MUIS (1983-1986), Timbalan Pengarah Amar Makruf (Dakwah) MUIS (1986-1989), Pengarah Dakwah MUIS (1989-1994) dan Timbalan Mufti Negeri Sabah (1994-1996).
Beliau juga merupakan Ahli Majlis Fatwa Negeri Sabah (1974-1997). Terlibat secara langsung dalam program keagamaan, antaranya Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Sabah sebagai Pengerusi JK Kehakiman MTQ (1977-1994), Ketua Jamaah Hakim MTQ Negeri (1977-1994).
Antara sumbangan besar beliau ialah menyusun kurikulum baru SUIS dan SMU (1976); berusaha mendapatkan pengiktirafan dan kouta untuk pelajar Sabah di Universiti Ummul Qura’ Makkah (1980).
Juga mendapatkan pengiktirafan pelajar lepasan SMU Toh Puan Hajjah Rahmah KK bagi melanjutkan pengajian ke Universiti al-Azhar Mesir; menyusun aktiviti dakwah dan perlantikan Pengerusi JK Dakwah Daerah, sebagai AJK Penggubal Undang-Undang Syariah Negeri Sabah, pendakwah USIA dan sebagainya.
Selepas menamatkan perkhidmatan dengan kerajaan, beliau terus menyumbangkan ilmu dan kepakaran beliau dengan memberikan kuliah-kuliah al-Quran, tauhid, fiqah dan sebagainya di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.
Beliau turut pernah menerima Anugerah Jasamu Dikenang (1994), bintang Ahli Darjah Kinabalu (ADK) dan Pingat Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) sebagai pengiktirafan dan penghargaan jasa bakti beliau untuk agama, bangsa, negeri dan negara.