Archive for 18 Disember 2009


DATUK HJ AHMAD OTHMAN

Beliau dilahirkan pada 18 Mac 1929 di Kg Alor Merah, Alor Setar Kedah. Menetap di Sabah sejak tahun 1971. Mempunyai 10 orang anak (3 lelaki dan 7 perempuan).

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Merah, Alor Setar Kedah (1941-1945); Sekolah Pondok Pantai Cegar, Alor Setar Kedah (1947-1948); Maahad Saulatiah, Makkah (1948-1955); Ma’ahad Ulumudiah, Makkah (1955-1962).

Ketika belajar di Masjid al-Haram Makkah (1951-1962) beliau pernah berguru dengan seorang ulama tersohor Sheikh Abdul Kadir al-Mandili; kemudian di Universiti Islam Madinah (1962-1968) sehingga memperolehi Ijazah Sarjana Muda Syariah.

Beliau pernah berkhidmat sebagai guru di SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah Kota Kinabalu; pensyarah agama di Maktab Perguruan Kent Tuaran (1972-1974); Pegawai Bahagian Pendidikan MUIS (1974-1976); Nazir Bahagian Pendidikan MUIS (1976-1981).

Ketua Nazir Pendidikan MUIS (1981-1983); Pemangku Pengarah Bahagian Pendidikan MUIS (1983-1986), Timbalan Pengarah Amar Makruf (Dakwah) MUIS (1986-1989), Pengarah Dakwah MUIS (1989-1994) dan Timbalan Mufti Negeri Sabah (1994-1996).

Beliau juga merupakan Ahli Majlis Fatwa Negeri Sabah (1974-1997). Terlibat secara langsung dalam program keagamaan, antaranya Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Sabah sebagai Pengerusi JK Kehakiman MTQ (1977-1994), Ketua Jamaah Hakim MTQ Negeri (1977-1994).

Antara sumbangan besar beliau ialah menyusun kurikulum baru SUIS dan SMU (1976); berusaha mendapatkan pengiktirafan dan kouta untuk pelajar Sabah di Universiti Ummul Qura’ Makkah (1980).

Juga mendapatkan pengiktirafan pelajar lepasan SMU Toh Puan Hajjah Rahmah KK bagi melanjutkan pengajian ke Universiti al-Azhar Mesir; menyusun aktiviti dakwah dan perlantikan Pengerusi JK Dakwah Daerah, sebagai AJK Penggubal Undang-Undang Syariah Negeri Sabah, pendakwah USIA dan sebagainya.

Selepas menamatkan perkhidmatan dengan kerajaan, beliau terus menyumbangkan ilmu dan kepakaran beliau dengan memberikan kuliah-kuliah al-Quran, tauhid, fiqah dan sebagainya di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.

Beliau turut pernah menerima Anugerah Jasamu Dikenang (1994), bintang Ahli Darjah Kinabalu (ADK) dan Pingat Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) sebagai pengiktirafan dan penghargaan jasa bakti beliau untuk agama, bangsa, negeri dan negara.

Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Sabah 1431H/2009M dilancarkan oleh Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah di hadapan ribuan umat Islam yang membanjiri Dewan Sa’adah Wisma MUIS Kota Kinabalu. 

Antara yang ditunggu-tunggu ialah pengumuman penerima anugerah kali ini.

Mantan Timbalan Mufti Negeri Sabah (1994-1996), Datuk Hj Ahmad Othman yang kini berusia 80 tahun dinobatkan sebagai Tokoh Ma’al Hijrah kali ini.

Sumbangan besar beliau ialah menyusun kurikulum baru Sekolah Ugama Islam Sabah (SUIS) dan Sekolah Menengah Ugama (SMU) pada tahun 1976.

Selain itu, beliau juga berusaha mendapatkan pengiktirafan dan kouta pelajar Sabah di Universiti Ummul Qura Makkah (1980) dan mendapatkan pengiktirafan pelajar lepasan SMU Toh Puan Hajjah Rahmah KK untuk melanjutkan pengajian di Universiti al-Azhar.

(Biodata lanjut dalam artikel akan datang).

Anugerah Sayyidatina Khadijah diberikan kepada Dr Hajjah Bibi Florina Abdullah yang berasal dari Papar. Sumbangan besar beliau ialah dalam bidang kejururawatan yang berkait langsung dengan masyarakat. Sejak 1998 sehingga kini beliau adalah Presiden Sabah Nurses Association (SANA).

Anugerah Khalid Ibnul Walid disampaikan kepada Hj Abdullah Wahid (31 tahun) dari Semporna, johan qari negeri Sabah sebanyak 6 kali – 2003, 2004,  2006, 2007, 2008 dan 2009. Penyertaannya dalam MTQ kebangsaan, beliau pernah mendapat tempat ketiga pada tahun 2008 & 2009.  Pada 17-28 Julai lalu, beliau mewakili Malaysia ke MTQ Antarabangsa di Tehran, Iran.

Sementara itu, Anugerah Khas disampaikan kepada Badan Kebajikan Telekom Malaysia (BAKIT); Masjid Cemerlang kepada Masjid Nurussyakirin Taman Indah Jaya, Sandakan; Surau Cemerlang kepada Surau al-Falah Kg Murni Nabawan (kategori kampung) dan Surau SMK Keningau 2 (kategori sekolah); Anugerah ar-Raudhah kepada Taman Perkuburan Firdaus Kg Pimping Membakut.

%d bloggers like this: