Archive for 15 Disember 2009


Hotel tempat kami bermalam berdekatan dengan masjid ini. Berjalan kaki tidak sampai lima minit.

Daripada luar tidak kelihatan besar dan luasnya, tetapi apabila masuk nampak besar dan cantik. Solat jumaat yang azannya pada 11.48 pagi itu pada anggaran saya dihadiri tidak kurang 5 ribu orang jamaah yang membanjiri dalam dan luar bangunan masjid.

Di atas mimbar ringkas yang hanya mempunyai 3 anak tangga, tuan khatib di samping tongkat separa pinggang hanya menggunakan nota kecil semasa khutbahnya.

Tiada yang dapat difahami daripada khutbah panjang khatib yang memakan masa 40 minit itu, kerana ia disampaikan dalam bahasa Tagalog. Hanya beberapa ayat al-Quran yang dibaca menjadi bekalan. Antaranya :

1) Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?  (Surah al-Ankabuut : 2)

2) Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. Dia berkata: Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat? Allah berfirman : Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan. (Toha 124-126)

3) Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik) (Syu’ara’ : 88-89)

4) Dan (bagi menolak rayuan itu Allah Taala berfirman): Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan (memberikan hidayat petunjuk untuk beriman dan beramal soleh kepada tiap-tiap seorang dengan ketiadaan usaha dari masing-masing), nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayat petunjuknya (sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab di akhirat); tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu: Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi Neraka Jahanam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh). (as-Sajadah : 13)

5) Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. (al-A’raf : 179)

 

Berpusing dari Carriedo Street, kami seterusnya menaiki pajag menuju ke Islamic Center, juga dalam bandar Quiapo ini. Tidak sampai 5 minit, kami tiba di kawasan ini yang penduduknya kebanyakannya umat Islam.

Kami bertemu dengan Saudara Muhammad Yasin dari Yayasan Kebudayaan Islam Filipina dan beberapa saudara seagama di sana seketika.

Tercatat di luar masjid ini, bahawa ia telah dibina sejak 1964 lagi.

%d bloggers like this: