Archive for 26 Disember 2009


SANAH HELWA ABDUL HADI

Tahun ini sekali lagi hero kami menyambut ulangtahun di Labuan seperti tahun lalu. Kehadiran sepupu sepapat, babu dan ‘ammu di Labuan dalam cuti Krismas memeriahkan sambutan kali ini di Perumahan Layang-Layangan.

Umur 3 tahun, Abd Hadi semakin aktif bermain, mula mendominasi kakak-kakak dan adik-adiknya. Maklumlah, dia satu-satunya hero kami setakat ini. Sudah ‘terror’ memukul kakaknya, dan kurang berkongsi mainan dengan yang lain.

Tetapi ada yang sedikit kerisauan kami.

Dia masih takutkan Nenek Aji di Labuan. Sejak lahir sehingga kini, takutnya bukan main. Bermacam pujukan dibuat, Nenek Aji belikan coklat, mainan, baju dan macam-macam.

Dalam ketakutan dia menyambut hadiah yang dibagi, tetapi kemudian kembali menjauhkan diri di belakang umminya.

Disuruh bersalam, dia mahu dalam terpaksa. Melambai tangan sambil menangis ketakutan ke arah Nenek Aji yang menuju ke masjid.

Selain itu, tiada yang ditakutinya. Binatang atau serangga yang dilihatnya, dia berani menyergah atau menangkapnya. Tikus, kucing, lipas, belalang habis dikejarnya.

Kedua, Abdul Hadi sedikit pelat dalam bertutur. Tahun hadapan dia akan dihantar masuk ke PASTI. Kerap benar dia menyebutnya hendak sekolah PASTI.

Kebimbangan kami apabila dia sekolah nanti tentang pelatnya itu. Dia sukar menyebut huruf ‘k’. Semua kalimah yang ada ‘k’ diganti dengan huruf ‘t’.

‘Buka’, dikatanya ‘buta’. ‘Kaki’ disebutnya ‘tati’. Bayangkanlah apa disebutnya apabila melihat buku… aduh.

KEMALANGAN

Ketenangan bercuti di kampung halaman terusik apabila mendengar khabar musibah yang menimpa rakan lama.

Ust Md Fauzi Hj Ghazali, 33 tahun (anak Ust Hj Ghazali Sulaiman) bersama isteri Ustazah Rozanah Abd Razak, 31 tahun; dua cahayamata Ahmad dan Miqdad beserta pembantu rumah mereka terbabit dalam kemalangan di Kalabakan Tawau pada pagi jumaat.

Fauzi dan Rozana adalah senior di SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah Kota Kinabalu.

Saya mendapat khabar awal daripada rakan di Beaufort Ust Abd Amir sekitar jam 4 petang, meminta kepastian saya tentang berita yang diterimanya. Segan menghubungi keluarga Ust Hj Ghazali di Kg Pasir Putih Putatan, saya menghubungi pula Ust Hj Muchlish Ali Kasim.

Sah, mereka kemalangan.

Kemudian, sahabat saya Ust Safruddin pula memaklumkan sejam kemudian tentang musibah itu.

Fauzi khabarnya dalam perjalanan ke Tawau untuk berpindah ke sana setelah mendapat pertukaran sekolah dari SMK Tebobon Kota Kinabalu.

Hari khamis bertolak ke Tawau melalui Keningau dan bermalam di sana sebelum meneruskan perjalanan melalui Nabawan-Tawau. Mereka sekeluarga dikatakan kemalangan dalam keadaan jalan licin akibat hujan lebat.

Dalam kemalangan itu, kereta mereka bergolek beberapa kali. Fauzi tidak mengalami kecederaan sementara Kak Janah cedera di mulut sementara Miqdad cedera di bahu.

Ujian besar mereka apabila Ahmad yang berumur 5 tahun meninggal dunia.

Kalau tidak salah saya beberapa tahun lalu mereka juga pernah terbabit dalam kemalangan di Kunak pada musim perayaan.

Terasa pilu mengingati mereka kerana umur anak yang lebih kurang sebaya. Tambahan kedua-dua mereka suami isteri sangat saya kenali. Semoga Allah SWT memberi kesabaran kepada mereka.

%d bloggers like this: