Archive for 9 Disember 2009


YASINAN

Hari ini saya pulang lewat dari pejabat. Menjelang isyak baru keluar.

Dr Ali ada maklumkan Cikgu Rizal mengadu lagi. Dia pohon bacakan Yasin untuknya. Kebetulan saya baru hendak keluar, saya singgah ke Hospital Queen Elizabeth untuk menziarahinya di wad ICU.

Nampaknya tubuh Cikgu Rizal semakin susut. Mungkin kesan hemodialisis minggu lalu. Dia sedang berdengkur tidur ketika saya datang. Hampir saya menamatkan Yasin, baru dia tersedar. Itupun masih dalam mamai lagi.

Tidak banyak kami sembangkan, kecuali saya memberikan harapan bahawa dengan izin Allah, dia akan sembuh.

***

Meronda sebentar di wad lelaki, menyedarkan diri tentang kelemahan manusia dan kehebatan Allah. Di dalam al-Quran ada diceritakan bahawa orang yang lanjut usia akan berputar keadaan seperti kanak-kanak.

Saya melihat orang tua yang memakai lampin, merengek meminta itu dan ini.

Wad itu nampaknya begitu sesak. Saya kira-kira ada 9 katil tambahan yang diletak di tengah-tengah laluan dan ruang kosong diisi penuh oleh pesakit.

Saya kurang maklum keputusan konkrit kerajaan tentang hospital baru. Dalam bajet lalu, tiada hospital baru di Kota Kinabalu diumumkan.

Petang tadi saya menerima SMS ringkas daripada sahabat yang sedang bercuti di Kedah :

“Alfatihah untuk ayahanda yang sangat saya kasihi. Haji Abdul Shukor yang meninggal dunia jam 7 pagi tadi.. Mudahan rohnya ditempatkan bersama salafussoleh.. Ameen”

SMS diterima daripada Ust Hj Sayuti, guru agama yang bertugas di SK Lok Yuk Likas. Beliau adalah tenaga baru dalam Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Sabah.

Saya dimaklumkan Allahyarham berumur 77 tahun. Semoga ustaz sekeluarga bersabar dengan musibah ini. Al-Fatihah.

%d bloggers like this: