Archive for 24 Disember 2009


Tarikh 9 dan 10 Muharram jatuh pada 26 dan 27 Disember iaitu sabtu dan ahad ini.

Antara fadhilatnya ialah bahawa Rasulullah SAW ditanya tentang puasa hari ‘Asyura, lalu Baginda SAW menjawab : “Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu”. (HR Imam al-Tirmizi).

Adapun tentang puasa pada 9 Muharram, dalilnya juga berpandukan hadith Nabi SAW yang menyeru agar puasa 9 Muharram dilakukan.

Daripada Ibnu Abbas RA katanya : “Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari ‘Asyura, Baginda mengarahkan orang ramai supaya turut berpuasa. Mereka berkata : Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani.

Rasulullah SAW menjawab : “Sekiranya pada tahun hadapan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari ke-9″.

Ibnu Abbas berkata : “Tidak sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah SAW wafat terlebih dahulu.” (HR Muslim)

Antara tujuan puasa digandingkan 2 hari itu kerana untuk membezakan amalan kaum Yahudi yang  hanya berpuasa pada 10 Muharram sahaja.

Dalam beberapa kuliah di beberapa buah masjid dan surau, saya juga menyebutkan hal ini supaya kita berpuasa dan mengadakan jamuan berbuka puasa beramai-ramai di masjid dan surau masing-masing untuk menambahkan syiar ibadah ini.

Sebelum khutbah jumaat, JK masjid boleh tolong umum dan kempen kepada jamaah yang hadir. Bahkan khatib boleh menyebut dan menimbulkan kesedaran kepada ma’mum. Wallahu a’lam.

Alhamdulillah, kuliah hadith yang diadakan pada setiap selasa di Masjid Mahabbah Kg Muhibbah, menggunakan kitab hadith 40 susunan Imam an-Nawawi telahpun selesai minggu ini.

Ketika sekolah agama, hadith 40 ini begitu masyhur dan dipelajari di sekolah. Dihafaz secara matan dan maknanya, mengikut kadar kemampuan umur 10-12 tahun ketika itu.

Saya teringat, ketika mula-mula sampai di Shoubra Kaherah tahun hujung Ogos 2000, antara program awal Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) Shoubra untuk kami ialah Daurah Kitab Hadith 40 yang diadakan secara marathon, bermula pada waktu pagi dan berakhir pada waktu asar.

Pengalaman berharga itu saya kembangkan pula beberapa tahun lalu apabila mengadakan program yang sama di UMS Kampus Antarabangsa Labuan (KAL). Bermula 8.30 pagi dan berakhir 4.30 petang.

Ruang yang diberikan oleh Ust Hj Khamis Jamil yang tinggal di Taman Jumbo berdekatan Kg Muhibbah yang juga pegawai di Bahagian Dakwah JHEAINS sangat bermakna sekali.

Kuliah Hadith 40 itu bermula pada awal April lalu setiap selasa selepas solat maghrib dan biasanya berlanjutan sekitar sejam. Biasanya satu hadith seminggu, tetapi kadang-kadang dua atau 3 hadith.

Kuliah di sini jarang saya ponteng berbanding di tempat lain, kerana waktu kebiasaan saya keluar daerah atau memenuhi undangan lain berlaku pada hujung minggu saja.

Di masjid berkenaan, saya mendapat ramai rakan baru yang begitu mengambil berat soal ilmu dan persahabatan. Dalam masa yang sama, saya menerima banyak pengalaman berharga dan karenah jamaah yang pelbagai ragamnya.

Dari segi kuantiti jamaah, di sini antara yang teramai kerana kehadiran boleh menjangkau 60-70 orang khususnya apabila kuliah mingguan itu memasuki separuh masa kedua.

Mudah-mudahan pengajian hadith itu memberi kesan dalam diri kita, bermula dengan membetul dan mengikhlaskan niat kepadaNya, sehingga hadith yang terakhir, kita berdoa dan berharap kepadaNya semata-mata.

‘Kontrak’ asal sudah berakhir, jika ada tawaran semula di sana saya akan menyambung dengan buku lain pula. Jika tiada, saya bersedia menerima undangan di tempat lain.

Satu demi satu dipanggil dan dijemput oleh Allah SWT.

Sebelum ini mendengar khabar dari jauh ayahanda kepada Ust Azman Mustafa meninggal dunia di Kubang Kerian Kelantan, kemudian ayahanda kepada Ust Sayuti Hj Shukor di Kedah.

Minggu lalu, abang kepada Hj Razali Kadir meninggal dunia di Ipoh, begitu juga bonda kepada Ust Mohammad Shuaid – Allahyarham Radhiah Mat Yasin di Selangor, juga abang kepada rakan sepejabat Hadnan Aliamat di Hospital Queen Elizabeth (QEH).

Pagi selasa lalu, seorang yang pernah bertugas di pejabat kami kembali ke rahmatullah. Hj Abbas Arshat, 60 tahun dikatakan sesak nafas di rumahnya pada awal pagi selasa.

Maghrib dan isyaknya dia berjamaah seperti biasa di surau Kg Somboi Kinarut dimana beliau menjadi pengerusinya.

Saya mengenalinya tetapi tidak begitu rapat, tetapi minggu lalu beliau datang ke pejabat mengambil taqwim solat serta sempat bersembang di bilik saya, bercerita tentang rancangan mengadakan program kuliah dan ceramah yang wajar diadakan di surau mereka.

Beliau pernah bertugas di bahagian kami sebagai ketua kerani dan pencen di JHEAINS kira-kira 4 tahun lalu.

Semalam pula, saya baru mendapat berita daripada Hj Sotimin Sarun, pegawai di bahagian kami juga berkenaan pemergian ibu yang dikasihinya juga pada pagi selasa di Ranau.

Ibu beliau katanya berumur 96 tahun dan sakit tua.

Cukuplah kematian itu sebagai pengajaran. “Ya Allah, janganlah Engkau ambil nyawa kami secara mengejut”.

“Dan Kami pasti menguji kamu dengan sesuatu berbentuk ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan tanaman; berilah khabar gembira buat orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang apabila mereka ditimpa musibah, mereka berkata : Kami ini milik Allah, dan sesungguhnya kepadaNya semuanya akan kembali”

%d bloggers like this: