Archive for 12 Jun 2015


Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/35811-pemuda-pas-lantik-exco-tambahan-profesional-tahap-tinggi

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | 06 Jun 2015.

Perwakilan Muktamar Pemuda PAS telah memilih barisan kepimpinan yang baru, dalam sorotan lensa yang paling meriah dalam sejarahnya.

Ketuanya yang baru ustaz Nik Mohamad Abduh ialah lulusan Al Azhar dan Deoband. MP Pasir Mas ini juga mantan pelajar terbaik di maahad, juga penulis buku yang piawai.

Ustaz Khalil Abdul Hadi, timbalan Ketua mendapat pendidikan tinggi di Yaman dan juga MA dari United Kingdom. Khalil dibina konpetensinya semenjak zaman remajanya dan anak muda ini juga calon Doktorat universiti luar negara.

Naib ketua pula Ir Khairil Nizam seorang jurutera yang mesra anak muda lulusan UTP. Ustaz Fadli Shaari mantan pensyarah KIAS adalah lulusan al Azhar yang juga bekas Setiausaha Akhbar almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Ustaz Afnan Hamimi pula adalah lulusan al Azhar dan juga MA daripada universiti tempatan. Seorang tokoh ekonomi muda, Shahir Sulaiman juga dipilih perwakilan. Bekas pelajar terbaik UIA ini menjadi pakar rujuk ekonomi dalam PAS, juga calon Doktorat.

Ustaz Zawawi Hassan lulusan al Azhar, juga Adun Semanggol Perak juga dipilih perwakilan. Nurul Islam Mohamed seorang jurutera lulusan UIA yang juga mempunyai MA Sains Politik daripada UM.

Adun Sungai limau, Ustaz Azam Samad adalah lulusan al Azhar antara muka baru barisan pemuda Pusat. Ir Mokhtar Suhaili tokoh muda, lulusan kejuruteraan daripada UIA manakala Izwan Halim lulusan UPM seorang wartawan. Izwan juga mendapat pendidikan tinggi dari Indonesia.

Ustaz Syed Qader al Jofree tokoh tarbiah pemuda mempunyai MA daripada Mesir juga selebriti TV.

Ustaz Hishamuddin Karim mantan Presiden PMRAM Mesir adalah juga Adun Tepoh. Beliau melepaskan jawatan sebagai pegawai agama Petronas untuk menjadi murabithun. Hafeez Sabri lulusan UM seorang arkitek pembinaan remaja yang tersohor dan juga seorang penulis yang sedang meningkat naik. Ketua Pemuda Selangor, Ustaz Syarhan Humaizi anak mantan Ketua Pemuda Pusat, Ustaz Abdul Halim Arshad adalah lulusan al Azhar.

Latar belakang akademik dan penglibatan dalam gerakan sosiopolitik exco dan pimpinan pemuda sangat cemerlang dan piawai. Menjadi tradisi Dewan Pemuda Pusat melantik exco-exco tambahan daripada kalangan profesional tahap tinggi. Ini akan melengkapkan pakej Dewan Pemuda sebagai organ paling penting dalam harakatul ummah ini. – HARAKAHDAILY 6/6/2015

(Penulis ialah Timbalan Pengerusi Tetap Dewan Pemuda PAS Pusat)

Sumber : Web JHEAINS

Tarikh 5 Jun 2015 yang lalu mungkin adalah antara hari yang tidak dapat dilupakan oleh sebahagian besar penduduk negeri Sabah, terutama sekali mereka yang tinggal di Ranau, Kundasang, Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud dan kawasan pedalaman. Ini kerana pada tarikh berkenaan, berlaku gempa bumi pada jam 7.15 pagi, yang berkekuatan 5.9 pada skala richter, yang dikesan berpusat 16 kilometer di barat daya Ranau.

Gempa yang menggegarkan kawasan terbabit lebih daripada 10 saat dikatakan adalah yang terkuat pernah melanda negeri ini. Dan yang amat mendukacitakan kita, bencana yang tidak pernah diduga itu telah menyebabkan kehilangan nyawa dan kecederaan. Malah, beberapa buah bangunan juga mengalami kerosakan teruk termasuk masjid daerah Ranau.

Betapa berat mata memandang, tentu berat lagi bahu yang memikul terutama sekali mereka serta keluarga mangsa tragedi yang menyayat hati itu. Sehubungan itu, kita merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa gempa bumi itu, dengan iringan doa dan harapan agar mereka tabah, sabar dan kuat dalam menghadapi ujian daripada Allah SWT tersebut. Berkat ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi musibah yang menimpa itu akan insya Allah mengundang rahmat yang lebih besar dan bermakna dari Allah SWT.

Hakikatnya, kita tidak boleh beranggapan bahawa gempa bumi, banjir, kemarau, penyakit dan sebagainya yang berlaku di dunia ini sebagai satu musibah atau bencana semata-mata. Walaupun ia barang kali mengakibatkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda yang banyak, namun sebagai umat Islam, kita wajib bersangka baik terhadap takdir dan ketentuan Allah SWT.

Ini kerana, Allah SWT selaku pemilik alam ini tidak sekali-kali berlaku zalim terhadap manusia. Akan tetapi, manusialah yang menzalimi dirinya sendiri dengan melanggar perintah dan larangan Allah SWT sejajar dengan firman-Nya yang bermaksud:

“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.” (S. Asy-syuraa: 30).

Oleh hal yang demikian, apa jua bentuk musibah atau bencana yang melanda sama ada berupa banjir, kemarau, gempa bumi, ribut taufan mahupun wabak penyakit mengandung hikmah serta pengajaran yang tertentu. Selain ia mengingatkan kita akan kewujudan dan kekuasaan Allah SWT yang mencipta dan mentadbir alam semesta ini, ia juga mengimbau kita semua supaya mengakui bahawa Allah SWT amat menyayangi dan mengasihani hamba-hamba-Nya.

Dan harus diingat, sifat Rahman dan Rahim Allah bukan setakat memberi rezeki dan kemewahan hidup kepada hamba-hamba-Nya sahaja. Sifat kasih sayang Allah juga dizahirkan menerusi penurunan pelbagai bentuk ujian hidup sama ada berupa kesenangan mahupun kesusahan. Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa dikehendaki Allah kebaikan baginya, maka dia diuji (dicuba dengan sesuatu musibah).” (HR Al-Bukhari).

Sabda Rasulullah SAW lagi, maksudnya: “Besarnya pahala sesuai dengan besarnya ujian dan cubaan. Sesungguhnya Allah SWT menyenangi sesuatu kaum, Allah menguji mereka. Barang siapa bersabar, maka baginya manfaat kesabarannya, dan barang siapa marah, maka baginya murka Allah.” (HR At-Tirmizi).