Archive for 19 Jun 2015


Rakaman tazkirah Madinah Ramadhan 1436H yang disampaikan oleh YB Ustaz Dato’ Hj Nassuruddin Daud, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan di khemah Madinah Ramadhan pada malam Ke-2 Madinah Ramadhan 1436H.

Sumber : Web JHEAINS

Bulan Ramadan datang bersamanya perintah wajib ibadah puasa. Ia adalah Rukun Islam dan hukumnya Fardu Ain ke atas setiap umat Islam yang cukup syaratnya. Puasa bererti menahan diri daripada lapar, dahaga serta semua perkara yang boleh membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari dengan disertai niat dan syarat-syarat tertentu.

Namun, untuk kesempurnaan puasa hendaklah seluruh anggota badan termasuk hati meninggalkan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah SWT. Kita hendaklah memastikan hati agar sentiasa mengingati Allah SWT dengan berzikir, berdoa, bersyukur dan lain-lain lagi.

Dalam erti kata yang lain, kesempurnaan ibadah puasa bukan setakat meninggalkan makan dan minum sahaja tetapi juga seluruh badan hendaklah berpuasa. Yakni berpuasa daripada berbuat kejahatan lahir dan kejahatan batin dengan menahan anggota zahir dan batin daripada melakukan perbuatan dosa dan maksiat. Ia merupakan satu jihad yang besar dalam melawan hawa nafsu yang menghalang ketaatan dan kepatuhan kita terhadap perintah Allah SWT.

Justeru, kewajipan ibadah puasa merupakan rahmat Allah SWT ke atas hamba-hamba-Nya. Ini kerana melalui puasa, jiwa seseorang diasuh dan dilatih untuk tabah dan kuat melawan godaan syaitan dan hawa nafsu yang merupakan punca yang mencetuskan berbagai-bagai kejahatan di atas muka bumi ini. Puasa menyucikan diri dengan ketaatan dan menjauhi perkara maksiat sekaligus memastikan kesempurnaan ubudiah kepada Allah SWT.

Kita yang berpuasa perlu sedar dan meyakini bahawa Allah SWT memerhati dan melihat apa yang kita lakukan sama ada nyata atau sembunyi. Lantaran itu, sudah semestinya kita berusaha bersungguhsungguh mendidik jiwa dan nafsu agar dapat mencapai makam takwa. Taqwa adalah sifat yang terpuji kerana dengan taqwa, seseorang mukmin mampu mencegah diri daripada melakukan dosa dan maksiat. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang terdahulu sebelum kamu, supaya kamu bertaqwa.” (S. Al-Baqarah: 183).

Melalui petikan firman Allah SWT tersebut, dijelaskan tentang perintah wajib puasa yang diakhiri dengan perkataan supaya kamu bertaqwa. Ia menunjukkan tujuan atau hikmah puasa boleh menatijahkan seseorang bertaqwa. Taqwa dalam erti kata takut dan tunduk kepada Allah SWT yang diterjemahkan melalui pengabdian diri setulus hati melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Dengan sifat taqwa yang terbina akan membolehkan seseorang hamba itu mendapat banyak ganjaran daripada Allah SWT sama ada di dunia mahupun di akhirat. Begitu pun, setiap perkara yang Allah SWT wajibkan itu mempunyai hikmah yang tersendiri. Maha Suci Allah SWT yang tidak mengharap manfaat daripada ketaatan hamba-hamba-Nya dan tidak dapat memudaratkan-Nya dengan kemaksiatan manusia. Hikmah sebenarnya hanya Allah SWT yang mengetahuinya.

Yang pasti, hikmah ketaatan itu hanya kembali kepada kepentingan manusia. Allah SWT mewajibkan umat Islam berpuasa untuk menguji siapakah di antara hamba-hamba-Nya yang ikhlas beribadat dan bersabar.

Daripada Abu Hurairah RA berkata: telah bersabda Rasulullah SAW, Allah SWT berfirman: “Setiap amalan anak Adam itu baginya (ganjaran pahala yang ada hadnya), kecuali puasa, kerana sesungguhnya puasa itu untuk-Ku, dan Aku-lah yang akan memberikan balasannya dan puasa itu perisai dan apabila seseorang itu berpuasa, maka janganlah dia mengeluarkan kata-kata lucah dan tidak juga bercakap kasar. Sekiranya ada orang lain yang mengejinya atau ingin berkelahi dengannya, maka katakanlah: Sesungguhnya aku berpuasa. Dan demi jiwa Muhammad di tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada haruman kasturi, untuk orang yang berpuasa itu dua kegembiraan: ketika dia berbuka, satu kegembiraan baginya dan tatkala dia bertemu dengan Tuhannya, dia akan gembira dengan ibadah puasanya.” (HR Bukhari dan Muslim).

%d bloggers like this: