Rakaman tazkirah Madinah Ramadhan 1436H yang disampaikan oleh Ustaz Nor Azariza Mohd Alawi (Ustaz Jaa), Mantan Ahli Majlis MPKB- BRI di khemah Madinah Ramadhan pada malam ke-6 Madinah Ramadhan 1436H.
Rakaman tazkirah Madinah Ramadhan 1436H yang disampaikan oleh Ustaz Nor Azariza Mohd Alawi (Ustaz Jaa), Mantan Ahli Majlis MPKB- BRI di khemah Madinah Ramadhan pada malam ke-6 Madinah Ramadhan 1436H.
Sumber : Web JHEAINS
Mari kita menghayati makna empat perkara yang berkaitan dengan bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, iaitu: Bertaqwa, Ibadah puasa, berlapar dan Qiyamullail.
Pertama: Bertaqwa.
Taqwa adalah matlamat utama daripada ibadah puasa yang disyariatkan di dalam Islam. Allah SWT mewajibkan umat Islam berpuasa supaya kita menjadi hamba-Nya yang benar-benar bertaqwa. Orang yang bertaqwa adalah orang yang paling mulia di sisi Allah SWT, firman-Nya di dalam Al-Quran bermaksud :
“Wahai orang-orang Yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Surah Al-Baqarah, ayat: 183)
Ketahuilah, sesungguhnya kemuliaan orang yang bertaqwa itu adalah anugerah tertinggi di sisi Allah SWT, tidak ada makhluk lain yang memperolehinya. Beruntunglah orang yang mendapat darjat dan anugerah taqwa itu. Kerana di sisi Allah SWT segala macam rahmat, nikmat dan rezeki akan diberikan oleh Allah SWT, sebagaimana firman-Nya yang bermaksudnya:
“…dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari Segala perkara Yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan Yang tidak terlintas di hatinya. dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan Segala perkara Yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (Surah Al-Talaq, ayat 2-3).
Kedua: Ibadah Puasa.
Ibadah puasa disyariatkan bukan untuk menyusahkan atau menyiksa umat Islam. Tetapi ibadah puasa ini terdapat banyak hikmah dan kelebihannya kepada umat Islam. Ada hikmah dan kelebihannya yang kita telah ketahui dan rasai.
Dalam sebuah Hadith Rasululllah SAW turut menegaskan berkenaan ramai orang yang berpuasa tetapi mereka tidak mendapat apa-apa, sabdanya yang bermaksud: “Betapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan bertapa ramai orang yang berqiyamul-lail tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya kecuali hanya berjaga malam.” (HR Ibnu Majah)
Ibadah puasa adalah tanda syukur dan pengabdian kita yang ikhlas kepada Allah SWT. Banyak hikmah, keistimewaan dan kelebihan diberikan oleh Allah SWT kepada orang yang berpuasa sepanjang bulan Ramadan penuh keberkatan ini, antaranya:
1. Amal ibadah dan amal soleh digandakan ganjaran pahala sehingga 70 kali ganda
2. Malaikat berdoa untuk orang berpuasa sehingga berbuka
3. Allah Ta’ala hiasi Syurga-Nya setiap hari di bulan Ramadan
4. Pintu Syurga sentiasa dibuka
5. Pintu Neraka tertutup
6. Syaitan dirantai
7. Bau nafas orang berpuasa lebih harum dari kasturi disisi Allah SWT
8. Doa orang berpuasa mutajab dan lain-lain.
Ketiga: Berlapar Puasa itu menahan diri dari makan, minum dan syahwat.
Lapar untuk beribadah kepada Allah SWT. Lapar orang yang berpuasa akan dinilai dan diberikan ganjaran pahala yang besar disisi Allah SWT. Lapar kita bukan kerana tiada makanan untuk dimakan. Bukan dahaga kerana tiada air untuk diminum. Hanya orang yang berpuasa ikhlas semata-mata kerana Allah SWT akan merasai kelebihan dan hikmah lapar dan dahaga kerana berpuasa.
Lapar berpuasa adalah lapar yang mendatangkan kebaikan dan kesihatan keapda tubuh badan manusia, terutama organ dalam perut, usus, system penghazaman dan sebagainya. Rasulullah SAW pernah menyebutkan bahawa perut adalah sarang penyakit dan pencegahan itu adalah asas segala pengubatan. Saidina Umar Al-Khattab RA juga pernah berkata: ‘Hindari perut yang gendut kerana ia memberatkan semasa hidup dan busuk semasa mata.’
Oleh yang demikian, ibadah puasa dari segi kesihatan fizikal manusia amat berkesan bagi mengawal dan mencegahkan pelbagai penyakit yang berkaitan perut. Ingatlah, peringatan Allah SWT di dalam Al-Quran, Firman Allah SWT bermaksud:
“…dan makanlah dan minumlah kamu, janganlah pula kamu melampau-lampau. Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas.” (Surah Al’Araf, ayat: 31)
Keempat: Qiyamullail Qiyamullail bermaksud bangun malam untuk mengerjakan ibadah kepada Allah SWT samada dengan mengerjakan solat, zikir, bermunajat atau membaca Al-Quran.
Perkataan “Qiyamullail” bukanlah suatu perkataan yang janggal pada telinga kita, malahan akitiviti berqiyamullail ini sudah digunakan sebagai program dikebanyakkan masjid, surau hatta di Institusi pengajian awam dan swasta. Agama Islam menggalakkan umatnya agar membersihkan jiwa dengan cara bangun malam untuk beribadah kepada Allah SWT ketika manusia yang lain tidur diulit mimpi. Banyak gesaan dari nas Al-Quran dan Hadith yang menyarankan agar kita bangun malam beribadat kepada Allah SWT seperti firman-Nya yang bermaksud:
“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat Yang Terpuji.” (Surah Al-Isra’, ayat: 79)
Sabda Rasulullah SAW pula dalam sebuah Hadithnya yang diriwayatkan oleh Muaz bin Jabar RA: Maksudnya: “Tidaklah bagi seorang muslim tidur malam dengan mengingati Allah dalam keadaan bersih (berwudhuk), kemudian ia bangun (dari tidur) dan meminta kepada Allah kebaikan di dunia dan di akhirat kecuali Allah akan memperkenankannya.” ( Riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan An-Nasaie)