Sumber : Web JHEAINS

Asas akidah Islam terangkum dalam enam rukun Iman seperti berikut:

Pertama, percaya serta beriman kepada Allah, yang meliputi mengetahui Nama dan Sifat-sifat-Nya yang Mulia, mengenal tanda-tanda kewujudan dan kebesaran-Nya di alam ini.

Kedua, percaya serta beriman kepada para malaikat.

Ketiga, percaya serta beriman kepada Kitab-kitab yang diturunkan Allah seperti Zabur kepada Nabi Daud AS, Taurat kepada Nabi Musa AS, Injil kepada Nabi Isa AS dan al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.

Keempat, percaya serta beriman kepada para nabi dan rasul yang dipilih Allah untuk memimpin umat manusia ke arah kebenaran.

Kelima, Percaya serta beriman kepada hari akhirat yang meliputi peristiwa kebangkitan dari kubur, timbangan amal, balasan syurga dan neraka dan sebagainya.

Keenam, percaya serta beriman kepada Qada dan Qadar Allah yang mencipta dan mengatur perjalanan hidup di alam ini.

Kesemua enam rukun iman ini wajib diyakini sungguh-sungguh oleh setiap orang Islam yang mengakui bahawa tiada Tuhan selain Allah, dan mengakui bahawa Muhammad itu pesuruh Allah. Ini sejajar dengan firman Allah SWT:

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada kitab al-Quran yang telah diturunkan kepada Rasul-Nya (Muhammad SAW) dan juga kepada kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan malaikat-malaikat-Nya dan kitab-kitab-Nya, dan Rasul-rasul-Nya dan juga hari akhirat, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya.” (S. An-Nisaa’: 136).

Justeru, rukun Iman menjadi ikatan setiap orang yang mengaku beriman dan Islam. Apabila salah satu rukun itu diingkari, maka iman seseorang itu dikira telah rosak.

Hakikatnya, Isu akidah teramat penting kerana ia adalah pembeza di antara seorang Islam dengan bukan Islam. Akidah Islam memimpin umat ke arah keredaan Illahi dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Kerana itu, umat Islam hari ini mesti menitiberatkan serta menekankan soal memperkukuhkan akidah.

Ia bagi memelihara kesucian akidah, kepercayaan, perkataan, dan perbuatan daripada kancah kesesatan dan kebatilan. Perkara ini perlu diberikan perhatian yang serius kerana ancaman terhadap akidah umat Islam tiada noktahnya.

Selain daripada tahyul, khurafat dan taksub dengan bomoh yang masih belum dapat dibasmi dalam masyarakat kita, kita juga dilanda dengan aliran fahaman liberalism dan pluralism yang boleh menggugat akidah umat Islam. Golongan yang berfahaman liberalism dan pluralism ini mendakwa semua agama adalah sama.

Dan, keyakinan yang dibina sedikit demi sedikit boleh menyebabkan umat Islam di negara ini terpengaruh dan secara tidak sedar mengiktiraf kebenaran agama lain selain agama Islam. Padahal, Islam adalah agama yang tertinggi martabatnya dan satu-satunya agama yang diredai di sisi Allah SWT.

Atas kebenaran itu, Islam dimaktubkan sebagai agama persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan, yang antara lain membawa implikasi ajaran Islam boleh dijadikan panduan dalam urusan pentadbiran masyarakat dan Negara. Sehubungan itu, selain perlu menangkis serangan gerakan kumpulan yang menyebarkan kefahaman liberalism dan pluralisme agama, kita juga perlu berusaha untuk mempertingkatkan keimanan dan kefahaman terhadap Islam.

Hanya keyakinan dan kepercayaan yang tinggi terhadap Islam dan Allah SWT sahaja dapat mempertahankan kesucian agama Islam yang maha lengkap dan sempurna. Dengan kata lain, amat perlu bagi kita semua untuk memastikan iman sentiasa terpahat kukuh dalam diri kita di samping melaksanakan amal ibadah dengan bersungguh-sungguh. Ini kerana, Iman merupakan roh bagi Islam dan amal ibadat itu merupakan jasad baginya. Dengan pelaksanaan ibadatlah akan terbina keutuhan diri dalaman, sekali gus melahirkan peribadi unggul.