Latest Entries »

ANGKAT SUMPAH

Andainya kematian kau tangisi
Pusara kau siram dengan air matamu
Maka di atas tulang belulangku yang dah luluh
Nyalakanlah obor untuk umat ini dan
Lanjutkanlah gerak merebut kemenangan

Kematianku hanyalah suatu perjalanan
Memenuhi panggilan kekasih yang merindu
Taman-taman indah di syurga Tuhan
Terhampar menanti
Burung-burungnya berpesta menyambutku
Dan berbahagialah hidupku di sana

Puaka kegelapan pastikan lebur
Fajarkan menyingsing
Dan alam ini kan disinari cahaya lagi
Relakanlah rohku terbang menjelang rindunya
Jangan gentar berkelana ke alam abadi
Di sana cahaya fajar memancar. 

- As-Syahid Syed Qutb

Selepas 46 tahun pujangga dan sasterawan ulung as-syahid Syed Qutb melakarkan syairnya di sebalik jeriji besi penjara, kini gerakan Islam di Mesir yang diterajui Ikhwan Muslimin sedang bergerak merebut kemenangan bagi seluruh rakyat Mesir. Kemenangan besar Ikhwan di bawah kepimpinan Mursyidul Am, Dr Mohamed Badie, menerusi Parti al-Hurriyah wal ‘Adalah (parti Kebebasan dan Keadilan atau Freedom and Justice Party – FJP) dan parti-parti gabungannya dalam Pilihan Raya Umum Mesir minggu lepas, iaitu hampir setahun selepas Presiden Hosni Mubarak digulingkan, merupakan suatu perubahan besar kepada landskap politik di negara-negara Arab.

Walaupun Syed Qutb dan beberapa orang pimpinan Ikhwan dizalimi sehingga mati syahid di tali gantung pada pagi Isnin 29 Ogos 1966, tidak dapat merasai nikmat kemenangan perjuangan Islam, sekurang-kurangnya roh mereka berbahagia disisi Allah, kerana pengorbanan mereka sudah ditebus Ikhwan.

Selepas tiga pusingan pilihan raya yang dianjurkan secara bebas dengan pemantauan dunia, keputusan muktamad pilihan raya umum Mesir mencatatkan FJP menang 232 kerusi Parlimen (lebih 45 peratus kerusi), Parti Nur Salafi meraih 113 kerusi, Parti Wafdu (Sekular) dengan 47 kerusi, Parti Kutlah (Sekular) mendapat 39 kerusi, Parti Fulul (bekas penyokong Hosni) memperolehi 17 kerusi, Parti Wasot Islami 10 kerusi, Parti Thaurah Mustamirah dengan 8 kerusi dan parti bebas mendapat 14 kerusi. Sementara 18 lagi kerusi Parlimen sedang menanti untuk diadakan pilihan raya dalam masa terdekat.

Secara keseluruhannya FJP mendapat 13 juta undi, Parti Nur Salafi dengan 7 juta undi dan golongan sekular mendapat 5 juta undi. Gabungan golongan Islam FJP dan Salafi mencatatkan undi keseluruhan 20 juta undi. Dengan kemenangan besar ini, sudah pasti FJP iaitu parti tajaan Ikhwan akan menerajui Kerajaan Mesir. Sementara dalam tempoh peralihan ini (selepas Mubarak dijatuhkan) sehingga kerajaan baru mengangkat sumpah, khususnya tugas-tugas mentadbir masih lagi di bawah tugasan tentera.

Ikhwan menerusi FJP akan menjadi peneraju utama untuk menggubal Perlembagaan baru Mesir. Dalam perlembagaan baru yang bakal digubal nanti, akan ditetapkan sama ada kuasa pemerintahan akan diserahkan kepada Parlimen, atau kepada Presiden. Penggubalan Perlembagaan sudah dipersetujui untuk diserahkan kepada Parlimen yang dipilih secara demokratik oleh rakyat Mesir menerusi pilihan raya yang adil dan bebas.

Perlembagaan ini digubal kerana, sebelum ini Mesir diperintah secara diktator oleh Mubarak. Pada zamannya Parlimen hanya diberi kuasa sebagai legislatif, tetapi hak mutlak administratif dan eksekutif di bawah kuasa penuh Presiden. Pengubalan Perlembagaan ini juga akan menentukan terma-terma pembahagian kuasa antara Parlimen dan Presiden. Apa pun Perlembagaan baru Mesir akan disiapkan sebelum Pilihan Raya Presiden Mesir yang dijangka akan diadakan awal Jun depan.

Sebagai langkah peralihan kuasa, Perdana Menteri (sementara), Dr Kamal Ganzouri mengadakan perbincangan dengan Presiden FJP Dr Mohamed Morsi dan Setiausaha Agung FJP, Dr Mohamed Sa’du Katatni. Dalam pertemuan itu Dr Morsi menegaskan bahawa agenda utama yang menjadi fokus FJP untuk digubal Perlembagaan Mesir adalah, mengutamakan kepentingan rakyat termiskin. Pada pertemuan itu Dr Morsi menegaskan,”Keutamaan kami (FJP) adalah untuk mencapai kestabilan dan harmoni untuk kepentingan seluruh rakyat Mesir.

“Untuk itu, saya menekankan peri pentingnya kerjasama semua golongan dalam masyarakat, terutamanya golongan pasca revolusi yang menguasai Parlimen yang bakal dibentuk. Buat pertama kalinya dalam dekad ini (Parlimen) akan mewakili kepentingan seluruh rakyat Mesir.” Dalam langkahnya bertahaluf siyasi dengan pelbagai golongan untuk mencapai kestabilan politik dan keharmonian rakyat, FJP mencalonkan Setiausaha Agungnya sebagai calon Speaker Parlimen, yang merupakan jawatan yang mempunyai kuasa besar di dalam sistem demokrasi berpresiden.

Selain Dr Sa’du Katatni, FJP juga mengumumkan akan menyokong seorang wakil Parti Nur Salafi (golongan Islam) dan wakil Parti Wafdu yang berhaluan sekular sebagai Timbalan Speaker. Dr Katatni bukannya calang-calang orang. Beliau merupakan antara seorang pejuang Ikhwan yang ulung. Di zaman diktator Mubarak, beliau dipenjarakan dan diseksa bersama dengan Dr Mohamed Morsi dan Essam El-Erian. Dr Katatni merupakan sarjana Phd dalam jurusan sains yang pernah bertugas sebagai Profesor, mengajar subjek mikro biologi dalam bidang botani di Universiti Minia. Kemudiannya dilantik sebagai dekan fakulti pada tahun 1994-1998.

Beliau juga memperolehi ijazah dalam bidang Pengajian Islam di bawah Fakulti Sastera pada tahun 2000. Selain itu beliau merupakan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pengajar Universiti berkenaan. Selain pengalaman politik, pengamalan Dr Katatni dalam bidang akademik sangat hebat. Sepanjang kariernya, beliau mengawasi lebih 21 kajian untuk pemegang Master dan Phd dalam hal ehwal botani selain menulis 36 kajian, di mana beliau menjadi Pengerusi Persatuan Saintis di Minia.

Katatni menceburi bidang politik selepas menyertai Ikhwan Muslimin. Beliau bertanding dalam pilihan raya umum Mesir pada tahun 2005 dan menang mewakili daerah Minia. Di dalam Parlimen (pada zaman Mubarak) Dr Katatni merupakan Ketua Whip Parlimen Ikhwan sebelum disumbat ke dalam penjara oleh rejim Mubarak.  Justeru pelantikan Dr Katatni sebagai calon Speaker dari FJP berdasarkan pengalaman yang luas serta sumbangan besar beliau dalam bidang akademik dan politik di Mesir.

Tidak dinafikan bahawa perhatian dunia khususnya golongan Barat tertumpu ke Mesir pada waktu ini. Wakil-wakil Barat saban hari mengunjungi Ibu Pejabat Ikhwan di Jabal Muqattam dan pejabat FJP di Manial al-Roda. Bekas Presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter turut berkunjung. Beliau menemui Mursyidul Am, Dr Badie. Manakala Timbalan Setiausaha Luar Amerika, William Branze menemui Presiden FJP, Dr Morsi. Malah dalam pertemuan berasingan Duta Besar British ke Mesir, James Watt menegaskan pihaknya bersedia untuk memberikan sokongan bagi memulihkan ekonomi Mesir.

Kemenangan Ikhwan menerusi FJP turut menarik perhatian diplomat German. Dalam satu artikelnya dalam akhbar Frankfurter Allgemeine Zeitung, Menteri Luar German, Guido Westerwelle membicarakan tentang peranan parti-parti politik Islam yang sedang membuat perubahan kepada landskap politik di negara Benua Afrika Utara dan dunia Arab yang disifatkan sebagai Arab Spring.

Westerwelle berpendapat, perubahan besar yang melanda negara-negara seperti Tunisia, Maghribi, Libya dan Mesir terutamanya, masih berhadapan dengan beberapa ancaman, antaranya pada saat kritikal peralihan kuasa dari rejim lama kepada kerajaan baru. Selain itu, Arab Spring menghadapi cabaran besar untuk memulihkan ekonomi kerana rakyat di kebanyakan negara terbabit berada dalam belengu kemiskinan.

“Kita harus membantu proses transisi di utara Afrika dan dunia Arab dalam bentuk politik dan ekonomi. Menerusi pelaburan, kerjasama pendidikan dan pasaran terbuka. Kita boleh bantu menaiktarafkan prospek ekonomi rakyat dengan memberikan peluang yang lebih kepada mereka untuk mendapat kehidupan yang selesa,” ujar Westerwelle. (Sumber : Harakahdaily)

Sumber : http://jomfaham.blogspot.com/2009/08/apakah-nabi-muhammad-saw-masih-hidup-di.html

Soalan : Apakah Nabi Muhammad SallaLlahu ‘alaihi wasallam masih hidup di dalam kuburnya? Sejauh manakah pengaruh kehidupan itu terhadap kita dalam kehidupan di dunia?

Jawapan : Pertamanya, kita harus menjernihkan terlebih dahulu pelbagai istilah di dalam masalah ini, sebab sebahagian besar persoalan dapat diselesaikan hanya dengan membetulkan dan memperbaiki beberapa istilah. Apabila yang dimaksudkan dengan kehidupan RasuluLlah sallaLlahu ‘alaihi wasallam di dalam kuburnya itu bahawa Baginda sallaLlahu ‘alaihi wasallam tidak berpindah dari kehidupan dunia ini dan ALlah subahanahu wa ta’ala tidak mencabut nyawanya, maka itu salah dan batil berdasarkan keterangan tegas di dalam al Quran. ALlah subahanahu wa ta’ala berfirman :

“Kami tidak menjadikan hidup abadi bagi seseorang manusia pun sebelum kamu (Nabi Muhammad sallaLLahu ‘alaihi wasallam); maka jikalau kamu mati, apakah mereka akan kekal?”(surah al Anbiya’ : 34)

Jadi Nabi sallaLLahu ‘alaihi wasallam sudah berpindah daripada kehidupan di dunia ini. Akan tetapi, perpindahan Baginda sallaLlahu ‘alaihi wasallam tidak terputus hubungan dengan kita. Nabi sallaLLahu ‘alaihi wasallam berada dalam kehidupan lain iaitu kehidupan para Nabi-nabi. Itulah yang disebut dengan kehidupan setelah mati, atau kematian sebagaimana dinamakan oleh Nabi sallaLlahu alaihi wasallam di dalam sabdanya :

“Hidupku mengandungi kebaikan bagi kalian, kalian melakukan sesuatu dan diberikan penjelasan bagi kalian (diturunkan wahyu). dan kematianku, mengandung kebaikan bagi kalian. Amal-amal kalian diperlihatkan kepadaku, apabila kebaikan yang aku lihat, akupun mengucapkan puji syukur kepada ALlah subahanahu wa ta’ala. dan apabila keburukan yang aku lihat, aku memohonkan ampunan kepada ALlah subahanahu wa ta’ala untuk kalian.

Hadith riwayat al Bazzar 4-9 vol 5, hlmn 308. Dailami, Musnad Al Firdaus vol 2 hlmn 137, Hariths dengan tambahan-tambahan al Haitsami, Musnad Hariths vol 2 hlmn 884; dan al Haitsami mengemukakannya di dalam Majma’ az Zawaid vol 9, hlmn 23, dan mengiringinya dengan perkataan “Para tokoh periwayatnya adalah tokoh-tokoh periwayat sohih (hadith sohih).

RasuluLlah bersabda lagi : Tidaklah seseorang mengucapkan salam kepadaku kecuali ALlah subahanahu wa ta’ala mengembalikan nyawaku, sehingga aku membalas salamnya”

(Hadith riwayat Ahmad, Musnad Ahmad vol 2, hlmn 527; Abu daud Sunan Abu daud vol 2, hlmn 218, Thobrani, Al Mu’jam al Awsath, vol 3, hlmn 262, Baihaqi, As Sunan al Kubra, vol V hlmn 245, dan Syu’ab Al Iman, vol 2, hlmn 217, Dailami, Musnad al Firdaus vol 4, hlmn 24, dan al Mundziri, Al targhib wa at tarhib, vol 2, hlmn 326, Al Haitsami menyebutkannya di dalam majma’ al zawaid vol 10, hlmn 25, dan al Hafiz Ibnu Hajar , Al Fath al Bari vol 6, hlmn 488, memberikan komentar terhadapnya, :”Para periwayatnya adalah tokoh-tokoh thiqah” dan dia juga menjawab berbagai persoalan yang berkenaan dengan sudut logik yang ditujukan kepadanya.

Hadith ini menunjukkan keterhubungan di antara nyawa dengan badan Baginda sallaLlahu ‘alaihi wasallam yang mulia selama-lamanya, sebab setiap waktu pasti ada sahaja orang yang mengucapkan salam kepada RasuluLlah sallaLlahu ‘alaihi wasallam.

Kehidupan Nabi sallaLlahu ‘alaihi wasallam setelah wafat tidak sama dengan kehidupan manusia lainnya. Sebab pada kehidupan setelah wafat pada manusia selain para Nabi, nyawa-nyawa tidak kembali kepada jasad mereka lagi. Kehidupan mereka adalah kehidupan yang tidak sempurna, dengan nyawa sahaja tanpa jasad. Walaupun kehidupan itu masih mempunyai hubungan dengan kehidupan dunia seperti menjawab salam dan perkara lainnya. Sebagaimana telah ditetapkan pada nabi berada dalam kehidupan yang lebih sempurna daripada kehidupan mereka sebelum wafat dan lebih sempurna daripada kehidupan makhluk lain setelah wafat.

Telah sohih bahawa Nabi beribadah kepada Tuhan di dalam kubur. Diriwayatkan dari Saidina Anas radiyaLlahu ‘anhu bahawa Nabi sallaLlahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bererti :

“Aku melalui Nabi Musa ‘alaihissalam pada malam Isra’ di sebuah tempat pasir merah bertompok. Baginda Musa ‘alaihissalam sedang berdiri melaksanakan solat di dalam kuburnya.

(Hadith riwayat Ahmad, Musnad Ahmad vol 2, hlmn 315; Muslim, Sohih Muslim, vol 4, Hlmn 1845, Nasa’i As Sunan al Kubra, vol 1, hlm 419; Ibn Hibban, Sohih Ibnu Hibban, vol 1, hlm 242,; Ibn Abi Syaibah, Mushannaf Ibn Abi Syaibah, vol 7, hlm 335, dan Thobrani, Al Mu’jam al Ausath, vol 8, hlm 13.

RasuluLLah sallaLlahu ‘alaihi wasallam bersabda lagi yang bermaksud : Para nabi hidup di dalam kubur, mereka (melaksanakan) solat (beribadah).

Hadith riwayat Dailami, Musnad al Firdaus, vol 1, hlm 119; Abu Ya’la, Musnad abu Ya’la, vol 6, hlm 147; Ibnu ‘Adi, Al Kamil. vol 2, hlm 327; dan Haithami menyebutkan dalam Majma’ az Zawa’id vol 8, hlmn 211, beliau memberikan pandangan dengan perkataan “Dan para periwayat Abu Ya’la adalah orang-orang yang thiqah.

Hadith ini menunjukkan para Nabi hidup dengan jasad dan roh mereka, kerana ada penyebutan tempat bahawa Nabi sallaLlahu ‘alaihi wasallam mengatakan, “Di dalam kubur mereka”. Seandainya kehidupan itu hanya dengan roh sahaja, tentu Baginda sallaLlahu ‘alaihi wasallam tidak menyebutkan tempat hidup mereka. Dengan demikian, mereka hidup di dalam kubur mereka dengan kehidpan yang hakiki seperti hidup mereka sebelum wafat, dan bukan kehidupan roh sahaja.

Sebagaimana jasad-jasad mereka yang mulia itu terpelihara, diharamkan bagi bumi untuk ‘memakannya’ (iaitu menghancurkan). Telah sohih dari Nabi sallaLlahu ‘alaihi wasallam bahawa Baginda sallaLlahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bererti :

“Sesungguhnya ALlah subahanahu wa ta’ala mengharamkan atas bumi untuk memakan (menghancurkan) jasad-jasad para Nabi”

(Hadith riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, vol 4 hlmn 8, Abu Daud, Sunan Abu Daud vol 1, hlmn 275, An NAsa’i, Sunan an Nasa’i vol 3, hlmn 91, Ibnu Majah, Sunan Ibnu Majah, vol 1, hlmn 524, Darimi, Sunan Darimi, vol 1, hlmn 445 : Hakim al Mustadrak, vol 1, hlmn 413, dan beliau berpandangan bahawa “Sohih, berdasarkan syarat-syarat Bukhari dan mereka berdua tidak mengeluarkannya.” Baihaqi, As Sunan Ash Shugra, vol 1, hlmn 372, dan di dalam as Sunan al Kubra, vol 3, hlmn 428.

Dengan demikian, Nabi sallaLlahu ‘alaihi wasallam itu hidup di dalam kuburnya dengan roh dan jasadnya. Dan jasadnya (Nabi sallaLlahu ‘alaihi wasallam) yang mulia terpelihara seperti saudara-saudaranya para Nabi yang lain.

Baginda sallaLLahu ‘alaihi wasallam sangat dekat dengan ALlah subahanhu wa ta’ala beribadah di dalam kuburnya, dan berhubungan dengan umatnya, memohon keampunan untuk mereka, memberi syafaat kepada mereka di sisi ALlah subahanahu wa ta’ala, menjawab salam mereka, dan masih banyak lagi hal selainnya.

Oleh itu, siapa yang mendustakan kehidupan Nabi Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wasallam di dalam kuburnya setelah perpindahannya, maka dia telah mendustakan hadith-hadith yang telah kami sebutkan. Barangsiapa yang mendustakan bahawa Nabi sallaLLahu ‘alaihi wasallam sudah berpindah dari kehidupan kita, maka dia telah mendustakan keterangan-keterangan Al Quran yang telah kami kemukakan.

Sikap yang tepat adalah kita menetapkan bahawa perpindahan Nabi sallaLlahu ‘alaihi wasallam dari kehidupan dunia, ialah dengan menetapkan bahawa Nabi sallaLlahu ‘alaihi wasallam itu hidup di dalam kuburnya, beribadah kepada Tuhannya, menjawab salam orang yang mengucapkan salam kepadanya, memberikan syafaat bagi umatnya, dan memohonkan keampunan untuk mereka. Sebagaimana apa yang telah disampaikan kepada kita oleh Nabi As Shadiq Al Mashduq, Nabi Muhammad sallaLLahu ‘alaihi wasallam dan kepada aLlah subahanahu wa ta’ala Yang Maha Tinggai lagi Maha Mengetahui.

Sumber :

Prof Dr Ali Jum’ah, Penjelasan Terhadap Masalah-masalah KhilafiahAl Bayan – Al Qawin li Tashbih Ba’dhi al Mafahim, .2008, Penerbitan Dar Hakamah, Selangor.

Arkib foto Abu Nuha Corner

Dalam kefahaman mereka yang mengamalkan kepercayaan mandi safar untuk membuang sial, hari rabu terakhir pada bulan berkenaan adalah kemuncak atau hari keramaian untuk mengadakan majlis berkenaan. Untuk tahun ini, rabu lepas adalah rabu terakhir dalam bulan Safar. Masih ramai umat Islam (walaupun mereka berasal dari kepulauan Filipina atau Mindanao atau keturunan mereka) yang melaksanakan kepercayaan ini walaupun sebahagian pengamalnya dimaklumkan juga ada yang bukan Islam.

Saya kira ini bukan soalnya mengatakan mereka berasal dari mana, atau bangsa apa kerana sebahagian besar yang terlibat adalah beragama Islam. Bahkan saya dimaklumkan tahun lepas, amalan sama berlaku juga di Sipitang menurut kata imam di sana. Tempat-tempat lain, saya kurang maklum pula. Pernah mereka yang saya temui mengenali saya dan memanggil saya ustaz, kerana katanya sebelum itu mereka mengingati saya sebagai khatib di sebuah masjid di Petagas.

Tahun ini saya tidak turun ke lokasi-lokasi berkenaan seperti yang saya pernah buat pada tahun 2009, 2010 dan 2011, saya meninjau di Pantai Teluk Likas dan Tanjung Aru yang dipenuhi oleh ratusan atau barangkali ribuan pengamalnya. Tetapi ramai juga teman-teman yang melihat atau melimpasi kawasan-kawasan berkenaan dan melaporkannya ke facebook masing-masing.

Ini sekadar pandangan peribadi saya untuk membanteras atau mengurangi amalan salah ini.

1) JHEAINS atau JAKIM bekerjasama dengan penceramah atau pendakwah kalangan yang berasal dari sebelah Mindanao dan sekitarnya, (contohnya Ustaz Abu Hurairah, Ustaz Abdullah Mahdi dan ramai lagi) apatah lagi yang mempunyai kebolehan berbahasa dengan bahasa golongan sasaran seperti bahasa Bajau Suluk, Obian dan Illanun. Penduduk sasaran dikumpul dan diberikan pengetahuan tentang kesalahan amalan berkenaan.

2) Pengalaman saya membuat tinjauan, ada kalangan mereka adalah pelajar sekolah yang terpaksa memonteng pada hari berkenaan kerana hendak mandi buang sial. Di peringkat ini, guru-guru berperanan untuk memberi kefahaman kepada pelajar mereka. Dalam konteks sekitar Kota Kinabalu, antara sekolah yang disasarkan ialah sekitar Likas, Sepanggar dan Putatan.

3) Pihak SS Mufti atau Ybhg Pengarah JHEAINS membuat kenyataan media tentang larangan mandi buang sial ini dan disiarkan dalam media-media negeri dan maya. Sekurang-kurangnya yang tidak tahu menjadi tahu tentang adanya kefahaman salah ini.

4) Sepanduk-sepanduk berkenaan kesalahan amalan ini dipasang di lokasi-lokasi strategik secara meluas. Selain itu pasukan-pasukan sukarelawan dakwah  dari kalangan NGO Islam Sabah boleh bekerjasama untuk mengedarkan handbill pada hari berlakunya upacara berkenaan.

Saya kira pendekatan sebegini wajar didahulukan berbanding melakukan tindakan penguatkuasaan kerana hasil tinjauan saya dahulu, kebanyakan mereka datang dengan perasaan tidak bersalah langsung, sebab itu apabila saya hendak merakam dan menggambar, mereka dengan gembiranya memberikan kerjasama dan bercerita dengan penuh semangat.

Walaubagaimanapun, saya mencadangkan pada masa akan datang agensi Islam di Sabah seperti JHEAINS (sebagai ketua), JAKIM, YADIM, Pejabat Mufti, USIA, NGO Islam (Concern), dan pihak-pihak berkepentingan seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), parti politik, JK Masjid dan sebagainya duduk berbincang mencari pendekatan yang sesuai dan berhikmah. Mungkin di sana ada idea-idea yang lebih baik untuk dilaksanakan agar amalan ini berkurangan daripada tahun ke tahun. Mungkin juga perlu KPI tertentu untuk sasaran bagi menghapuskan amalan ini suatu hari nanti.

Catatan saya tentang upacara mandi buang sial di Teluk Likas pada tahun 2009 boleh dibaca di sini : http://abunuha.wordpress.com/2009/02/25/pesta-buang-sial-di-teluk-likas/

Khatib : Ustaz Musa Abbas

Lokasi : Masjid al-Kauthar Kg Tanjung Aru

Nabi SAW menyebutkan tentang lima golongan manusia berkaitan dengan kesungguhan dan kecintaan kepada ilmu. Satu golongan yang rugi dan binasa, manakala 4 golongan yang beruntung dalam hidupnya dan penjelasan kelebihan orang berilmu yakni para guru, orang yang  belajar (pelajar), orang yang mendengar (pendengar) dan orang yang mencintai orang alim, orang yang belajar dan mendengar. Dari Abu Bakrah RA dari Nabi SAW sabdanya yang bermaksud :

“Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu/guru) atau orang yang menuntut ilmu (belajar/pelajar) atau orang yang selalu mendengar pelajaran agama ataupun orang yang mencintai (tiga golongan tersebut) dan janganlah engkau menjadi (dari) golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa”. (HR Al-Bazzar).

Hadith ini menganjurkan supaya umat Islam berada dalam lingkungan 4 golongan dan tidak menjadi golongan binasa yang disebutkan oleh Nabi SAW, iaitu :

1. Menjadikan diri kita orang alim yang boleh mengajar.
2. Menjadikan diri kita orang yang sentiasa belajar.
3. Menjadikan diri kita orang yang suka mendengar syarahan/ceramah agama atau kelas-kelas agama.
4. Menjadikan diri kita orang yang suka/mencintai dan menghargai 4 golongan yang tersebut dengan mengikut jejak langkah mereka.

Amaran Nabi SAW jangan sekali-kali termasuk dalam golongan kelima, iaitu golongan yang binasa. Imam Al-Mawardi menyatakan : Bahawa orang yang menganggap ilmu Syarak itu tidak ada faedahnya dipelajari dan lebih baik ditinggalkan, sebenarnya orang itu tenggelam dalam kesesatan dan jauh dari mendapat hidayah petunjuk serta dia termasuk dalam golongan yang kelima, golongan orang yang binasa.

Contohilah Nabi SAW dan jadikanlah Nabi SAW sebagai model pendidik yang terbaik. Sebenarnya untuk menjadi seorang guru, ustaz/ustazah atau seorang pendidik yang hebat, terbaik dan terbilang hanya Nabi SAW contoh teladan yang unggul. Antara ramai anak remaja di zaman Nabi SAW yang pernah mendapat didikan dan asuhan daripada Nabi SAW ialah Abdullah bin Abbas RA.

Beliau menceritakan pada satu hari aku bersama-sama Nabi SAW, baginda menyeru ku dengan menggunakan bahasa yang amat menarik, iaitu ‘wahai ghulam’ yang bermaksud ‘wahai anak’, supaya pemikiran tertumpu sepenuhnya kepada nasihat yang akan diberikan oleh baginda Nabi SAW. Gaya bahasa yang lunak dan halus ini menjadi daya tarikan kepada pelajar supaya pemikiran anak murid atau pelajar tertumpu sepenuhnya kepada nasihat atau ilmu yang akan disampaikan oleh guru yang mengajar. Malah Nabi SAW juga suka mengulang perkataan sehingga tiga kali supaya mudah difahami dan mudah diingati oleh para sahabat yang mendengar.

Demikianlah Islam memberikan panduan kepada umat Islam khususnya ibubapa, guru, pendidik dan para ustaz/ustazah agar mendidik anak bangsa kita dengan mengadunkan ilmu aqidah, Syariah dan akhlak mulia demi mencari dan merebut sebanyak-banyak pahala, keberkatan dan keredhaan di sisi Allah SWT dalam hidup ini.

PILIHANRAYA MAAHAD

Pagi semalam ada sesuatu yang menarik berlaku di Maahad Tahfiz. Siswa-siswi mengadakan pilihanraya bagi memilih 6 pemegang jawatan dalam Persatuan Pelajar Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah (PERMATA). Menurut pemerhatian saya, siswa siswi semester 6 bertindak sebagai SPR kerana ini adalah semester terakhir mereka yang akan tamat pada mac akan datang. Terdahulu, pada malam sebelumnya diumumkan senarai pencalonan setiap jawatan.

Siswa siswi tidaklah ramai, hampir 30 orang termasuk semester 6 yang ada. Menariknya semua warga Maahad termasuk pensyarah dan kakitangan bukan mengajar juga diberi peluang memilih. Saya kurang maklum, semester 6 ada mengundi atau tidak. Saya difahamkan ada pertandingan dua penjuru untuk setiap jawatan yang dicalonkan. Yang Dipertua, Timbalan YDP, Setiausaha, Timbalan Setiausaha, Bendahari dan Timbalan Bendahari.

Pertandingan berlaku dalam suasana ceria dan tenang. Kelas berjalan seperti biasa pada pagi khamis, sehingga saya dipelawa agar turut mengundi di tempat yang sudah disediakan. Tempoh masanya sebentar sahaja, tidak sampai setengah jam kerana jumlah warga kami yang sedikit. Biarpun sedikit, saya meraikan dan mengalu-alukan kesungguhan mereka mengadakan pilihanraya walaupun kecil-kecilan.

Pemilihan pimpinan mengajar mereka hidup berorganisasi, erti jamaah, kepimpinan, ketaatan walaupun dalam kelompok yang sedikit sebelum mereka berada dalam masyarakat masing-masing suatu hari nanti. Ia juga mengajar tentang amali/praktikal memilih pimpinan sesama mereka. Walaupun mereka akrab, mereka mesti jujur terhadap teman-teman yang lebih berkualiti untuk diangkat sebagai ketua dan sebagainya.

Tahniah kepada mereka yang dipilih oleh majoriti pengundi terutama anakanda  Khairul Anuar dan pasukan barunya. Nasihat saya agar mereka melaksanakan amanah ini dengan bersungguh-sungguh dan bergerak secara organisasi atau secara berjamaah. Dengan meyakini bahawa semua ‘pesaing’ mereka dalam pertandingan semalam adalah berkualiti semuanya, maka sewajarnya dilantik memegang unit-unit tertentu, apatah lagi dunia maahad ini kecil saja.

APABILA LAMPU TERPADAM

Foto hiasan.

Sumber : http://bahrusshofa.blogspot.com/

Tersebut dalam “Tuhfatul Asyraf bi jam`i kalam al-Habib Muhammad bin Hadi as-Saqqaf” himpunan al-Habib Ahmad bin `Alawi bin Saqqaf al-Jufri, bahawa apabila terpadam lampu pelita ketika al-Quthub al-Imam Abu Zakaria Yahya bin Syaraf an-Nawawi rahimahullah sedang mentelaah maka akan zahir cahaya yang menerangi beliau daripada ibu jari beliau. Juga diceritakan bahawa bagi Imam ar-Rafi`i pula, apabila terpadam lampu, maka pokok-pokok akan mengeluarkan cahaya menerangi beliau. Allahu .. Allah. 

Para ulama kita bukan setakat ulama biasa, mereka juga adalah awliya` yang dianugerahkan karamah oleh Allah SWT. Misalnya, Imam an-Nawawi, beliau terkenal sebagai seorang ulama yang mencapai kedudukan wali Quthub dan diriwayatkan bahawa al-Habib `Umar bin `Abdul Rahman al-`Aththas rahimahullah, shahibur ratib, berpesan untuk sentiasa mentelaah kitab al-Minhaj Imam an-Nawawi kerana pengarangnya adalah seorang wali Quthub. Makanya kebanyakan ulama Saadah Ba `Alawi menghafal kitab ini. Imam al-Haddad pula diberitakan oleh murid beliau Syaikh Ahmad bin ‘Abdul Karim al-Hasaawi asy-Syajaar dalam karangannya “Tatsbiitul Fuaad” juzuk ke-2, halaman 36, sebagai berkata:-

Telah berkata Imam al-Haddad r.a.: Dalam pandangan kami, (kitab – kitab yang menjadi) tiang atau fondasi bagi ilmu-ilmu agama serta segala kaedahnya ada 4. “Shahih al-Bukhari” dalam ilmu hadits; “Tafsir al-Baghawi” dalam ilmu tafsir; “al-Minhaj” (yakni “Minhajuth Tholibin” karya Imam an-Nawawi)” dalam ilmu fiqh (yakni fiqh Syafi`i); dan di antara kitab yang menghimpun berbagai ilmu agama adalah “Ihya` ‘Ulumiddin”.

Inilah kaedah-kaedah untuk dijadikan landasan bagi memahami ilmu-ilmu agama. Kami telah mentelaah banyak kitab tetapi tidak kami lihat yang lebih himpunan ilmunya berbanding kitab “Ihya` ‘Ulumiddin”. Waktu sangat singkat dan segala kaedah yang disebutkan tadi itulah yang menjadi landasan bagi pengetahuan agama, itulah tiang-tiangnya pengetahuan agama. Dan tiadalah mazhab kami melainkan al-Quran dan as-Sunnah (yakni mazhab kita semuanya bersandarkan kepada nas-nas al-Quran dan as-Sunnah, bukanlah ertinya Imam al-Haddad menolak mazhab walaupun beliau dikatakan telah mencapai kedudukan untuk berijtihad).

Ketika kami menunaikan haji, sebahagian orang bertanyakan mengenai mazhab kami. Maka aku katakan kepada mereka: “(Kami bermazhab) Syafi`i”. Dan hadir dalam majlis itu seorang wali yang kasyaf dari kalangan ahlul khuthwah, dia berkata kepadaku: “Kenapa engkau mengatakan bahawa mazhabmu Syafi`i, sedangkan mazhabmu adalah al-hadits?” Maka aku menjawabnya: “Bagaimana tidak, bahawasanya para leluhur kami semuanya atas mazhab Imam asy-Syafi`i.”

***

Jadi bagaimana hendak kita tinggalkan mereka untuk berpaut kepada dahan-dahan rapuh yang dimakan anai-anai ananiyah dan keangkuhan. Tidak sekali-kali tidak, takkan ku tukar permata terpilih dengan kaca.

Tiadalah apa yang nak dihairankan terjadinya karamah seumpama di atas kerana dalam hadis-hadis yang sahih juga ada diriwayatkan kisah – kisah sahabat yang diberi kayu dan/atau tongkat dan/atau tandan kurma yang mengeluarkan cahaya terang ketika malam yang gelap sehingga dapat menerangi jalan – jalan yang mereka lalui. Antaranya apa yang diriwayatkan oleh Imam Abu Nu`aim tentang tandan kurma yang diberikan Junjungan Nabi SAW kepada Sayyidina Qatadah bin Nu’man RA yang menerangi sepuluh langkah di hadapannya dan sepuluh langkah di belakangnya sehingga beliau boleh berjalan merentasi kegelapan malam dengan mudah.

Tersebut juga dalam “Tuhfatul Asyraf” tadi, bahawa Imam ar-Rafi`i rahimahullah juga mempunyai kekeramatan yang hampir serupa. Diriwayatkan bahawa bagi beliau apabila terpadam lampu, maka segala pepohonan akan mengeluarkan cahaya buat menerangi beliau yang sedang mentelaah. Dan tidak kurang juga kita pernah mendengar kekeramatan yang seumpamanya yang berlaku kepada para ulama Jawi kita seperti yang berlaku kepada Syaikh Daud al-Fathani rahimahullah. Mudah-mudahan kita yang istiqamah mengikut jalan mereka juga akan diberikan kemuliaan di dunia dan di akhirat.

TAR

Pemerhatian saya dan ramai orang, banyak jalan-jalan raya diturap atau ditar semula. Sebahagiannya kelihatan sangat perlu kerana kualiti jalan yang memang sudah agak teruk, lubang sana-sini,  atau tidak rata atau sebagainya. Sebahagiannya pula, pada pandangan zahir jalan berkenaan tiada masalah apa-apa, apakah saja-saja diturap kerana sesuatu dan sebagainya.

Sembang-sembang dengan kawan-kawan, ada yang mencelah, katanya  penurapan luar biasa berlaku dengan dua keadaan. Pertama penurapan dilakukan pada hujung tahun kerana hendak menghabiskan bajet tahunan. Kedua, kerana musim pilihanraya yang sudah dekat. Itu kata kawan saya. Sehingga katanya, jalan yang elok juga diturap sama hendak memperlihatkan orang awam bahawa berlakunya kerja-kerja pembaikan jalanraya dan sebagainya.

Teringat beberapa laluan jalanraya yang agak teruk, menurut sahabat yang lain, apabila mereka bermusafir dari Kota Kinabalu ke Sandakan atau Tawau, melalui jalan-jalan sebelah Labuk, Kinabatangan dan beberapa lokasi lain. Jalan-jalan berlubang sehingga banyak kenderaan menjadi mangsa terutama mereka yang tidak selalu ke sana. Jalan sebeginilah yang sepatutnya dibaiki dan dipulihkan oleh mereka yang bertanggungjawab.

Justeru jika jalan-jalan yang baik, kemudian diturap tanpa pasal, jelaslah mereka tidak bertanggungjawab terhadap duit rakyat.

KONVO BANGI-23

Istiadat Konvokesyen
Ijazah Perubatan Islam
Pusat Pengajian Bandar Baru Bangi
Persatuan Kebajikan dan Perubatan Islam Malaysia
Angkatan Bangi-23 (2011)

Tarikh : 8.1.2012 (Ahad)
Lokasi : IPGM Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor

Teruja melihat foto-foto dalam majlis Istiadat Kovensyen Ijazah Perubatan Islam, Darussyifa Bangi bagi kumpulan ke-23 pada 8 Januari lepas di Bangi. Satu demi satu negeri menamatkan kumpulan masing dan seterusnya memulakan kumpulan baru selepas itu. Sementara Darussyifa’ Sabah baru hendak menamatkan kumpulan pertama, insya Allah konvokesyen dijangka diadakan pada bulan mac akan datang.

Hujung minggu ini kami berkuliah dengan Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din, dan mungkin selepas itu ada 2-3 kali pertemuan lagi sebelum konvo berlangsung. Ujian lisan juga akan diadakan dalam tempoh itu menguji hafalan ruqyah kami pula.

Beberapa bulan lepas ada wakil dari Masjid Sembulan bertemu dan memujuk agar saya turut berkuliah di masjid mereka. Saya senyapkan saja kerana berharap kawan-kawan yang lebih hampir tinggal di kawasan sana dapat mengisi ruang kosong berkenaan. Namun sesudah beberapa bulan, nampaknya ia terbiar kosong dan saya pula sudah mempunyai sedikit kelapangan pada waktu maghrib.

Sebelum ini jumaat malam sabtu yang lama kosong saya gantikan dengan kuliah di Surau Maahad Tahfiz al-Quran, di Kepayan. Barangkali lebih setahun kosong setelah sebelum itu saya berkuliah di Surau Taman Olivia, juga di Kepayan. Kini ahad malam isnin sudah terisi semula dengan bermulanya kuliah maghrib di Masjid Kg Sembulan Lama pada ahad lepas. Mungkin hampir 2 tahun bercuti kuliah ahad malam isnin kerana dahulunya waktu itu terisi dengan kuliah di Surau Taman Limauan Kinarut dengan kuliah tafsir.

Kini tinggal sabtu malam ahad yang masih kosong walaupun sebenarnya ada wakil-wakil masjid yang meminta saya mengisi kuliah di tempat mereka. Ada yang sudah saya tolak kerana memikirkan jarak yang jauh dan di tempat berkenaan ada sahabat-sahabat yang lebih hampir. Ada pula yang saya masih minta waktu untuk berfikir kerana beberapa sebab lain.

Masjid Kg Sembulan Lama, memang menyimpan banyak sejarah penting buat perkembangan Islam di Sabah. Saya dimaklumkan masjid ini wujud sejak tahun 1958 lagi dan mengalami proses pembaikan dan pemulihan beberapa kali di tapak yang sama yang ada sekarang. Sejak Sabah merdeka pada 1963 ia diiktiraf sebagai Masjid Negeri. Kata orang pada 60an dan 70an hanya ada 3 masjid di sekitar Kota Kinabalu iaitu di Tanjung Aru, Sembulan dan Likas, sebelum kewujudan Masjid Negeri Sabah yang ada sekarang.

Ketika Masjid Sembulan berfungsi sebagai Masjid Negeri, khabarnya ramai para alim ulama’ dan perwakilan asing dari Asia Tenggara dan Timur Tengah datang solat di sini. Saya dimaklumkan oleh orang-orang tua di sini bahawa Pak HAMKA pernah ke masjid ini. Begitu juga Pak-Pak Arab Kedutaan Asing yang menunaikan solat jumaat di sini. Fungsinya sebagai Masjid Negeri terhenti apabila bangunan Masjid Negeri Sabah yang ada sekarang mula digunakan sekitar tahun 1976.

Justeru, saya berbesar hati untuk mengisi satu kuliah di sini, ahad malam isnin, sekali lagi dengan menggunakan buku Indahnya Hidup Bersyariat tulisan Ustaz Ismail Kamus.  Harapnya jamaah masjid akan membeli dan mendapatkan buku ini demi kebaikan bersama. Saya menyertai siri kuliah di sini yang terlebih dahului diterokai oleh Ustaz Haji Mohd Mursal Muchtar dan Ustaz Mohd Jumat Abdul Razak. Insya Allah, mulai minggu hadapan, kami akan bersama-sama mengupas buku ini.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 2,484 other followers