Tag Archive: Masjid al-Aqsa


Sumber : https://www.pas.org.my/kenyataan-berita/12406-selamatkan-seruan-al-aqsa

SERUAN SELAMATKAN AL-AQSA

Berita terkini negara haram Israel sedang mengganas di Masjid Al-Aqsa dan sekitarnya, yang menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum Ka’abah, tanah suci ketiga bagi umat Islam selepas Kota Suci Makkah dan Madinah, destinasi Israk Rasulullah S.A.W. dan bermulanya Mikraj apabila dijemput menjadi tetamu Allah. Peristiwa yang wajib diimani oleh umat Islam, kerana kisahnya dinyatakan oleh Al-Quran dan Hadis yang sahih lagi mutawatir.

Bumi dan sekelilingnya dinamakan bumi para anbia’ yang dimuliakan semuanya oleh umat Islam, Kristian dan Yahudi. Mengikut Islam bukan hanya Musa dan Isa sahaja yang disanjung. Maka, umat Islam menjadi pemegang amanah yang dapat memeliharanya dengan baik dan memberi hak kepada penganut semua agama yang memuliakannya, khususnya penganut Yahudi dan Kristian, sejak Islam membebaskannya daripada penjajahan Rom Byzantine yang menyekat pihak yang lain yang tidak seagama dan semazhab.

Allah berfirman:

“Dan kalaulah Allah tidak mendorong sesetengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa” (Surah Al-Hajj: 40)

Kini tanah suci ini ditakluk oleh Zionis Yahudi dengan sokongan Zionis Penjajah Barat melalui Perjanjian Balfour yang telah genap 100 tahun peristiwanya. Langkah yang ditentang juga oleh Mazhab Ortodok Yahudi (Natorikarta) yang berpegang dengan kitab Taurat yang asal mengharamkan penubuhan negara itu, kerana menjadi sebab berkuburnya bangsa Yahudi.

Namun, kalangan Zionis yang fanatik perkaumannya tetap berjuang bagi menegakkan negara impian keagungan bangsa Yahudi bersimbolkan Empayar Nabi Sulaiman yang menakluk dunia. Dengan menguasai ekonomi, mereka berjaya menguasai politik dan media, khususnya di negara besar seperti Amerika dan kebanyakan negara Eropah, sehingga memaksa semua pemimpinnya menyokong Israel dan melindunginya yang dikemukakan dalam setiap kempen pilihanraya dan setelah berkuasa sehinggalah melindungi negara haram itu melalui pertubuhan  antarabangsa, serta menggunakan kuasa veto di Majlis Keselamatan PBB dan mempengaruhi Mahkamah Antarabangsa untuk menjaga keselamatan Israel dan menjaga pengkalan tentera barat yang ditempatkan disekitarnya.

Malangnya negara umat Islam khususnya negara Arab yang berkedudukan geografi, demografi dan menguasai sumber kekayaan bumi dan tenaga manusia gagal menghadapi cabaran yang membahayakan Masjid Al-Aqsa yang diancam sehingga untuk dirobohkan bagi mendirikan di atas runtuhannya Kuil Yahudi yang dinamakan Haikal Sulaiman.

Paling malang dan melucukan lagi, ketika penduduk Bait Al-Maqdis dan sekitarnya sanggup mempertahankan Tanah Suci itu dengan senjata si miskin atau tangan kosong, tiba-tiba negara Arab yang kaya-raya itu menganjurkan Sidang Kemuncak Riyadh bersama Presiden US Donald Trump dengan dijemput sama pemimpin negara Islam, menyusuli Sidang Kemuncak Negara Teluk sebelumnya bersama PM British Teresa May.

Seterusnya diisytiharkan pula Resolusi Riyadh, dikatakan tanpa kehadiran kebanyakan para pemimpin yang hadir kerana sudah pulang. Resolusinya penubuhan Nato Al-Islam yang bertujuan menghadapi bahaya Iran, bukannya Israel. Adapun pelaksanaannya pula mengepung Qatar yang kerdil, bukannya Iran. Oleh sebab Qatar menyokong Hamas yang dikira pengganas kerana berjihad hanya di Palestin dan memerintah Gaza melalui pilihanraya secara demokrasi, tetapi dikepung dan dipotong segala kemudahan sehinggalah eletrik. Sebabnya juga kerana Qatar menyokong Ikhwan Muslimin yang menang pilihanraya secara demokrasi di Mesir tetapi dirampas kuasa dan Presidennya Dr. Muhamad Morsi daripada Ikhwan dipenjarakan dan dikenakan hukuman mahkamah bertubi-tubi. Apakah maksud itu semua, sehingga Masjid Al-Aqsa dan Palestin dilupakan?

Malangnya pula, media barat menyebarkan maklumat banyak negara Arab itu sedang mengurat negara haram Yahudi Israel yang menggodanya. Sudah ada perjumpaan secara senyap dan terbuka, bahkan sudah banyak yang telah mengadakan hubungan diplomatik dan ekonomi untuk membina kekayaannya.

Di samping sudah banyak duit yang dihabiskan kerana berperang di Syria, Iraq, Yaman, Libya dan mungkin ada lagi yang akan dinyalakan untuk membakar duitnya. Siapa yang menang menjadi arang dan siapa yang kalah menjadi abu, yang kenyangnya ialah negara barat yang masih menjadi tuan dalam percaturan yang berlaku.

Apakah yang berlaku menyatakan bermulanya sabda Rasulullah S.A.W?

“Kecelakaan bagi bangsa Arab kerana kejahatan yang menghampiri mereka” (Diriwayatkan oleh Bukhari 138/4 no. 3346, Muslim 2207/4 no. 2880)

Dimanakah Liga Arab yang ditubuhkan kerana menentang penjajah? Dimanakah pula OIC yang ditubuhkan oleh Sidang Kemuncak Negara Islam kerana pelampau Yahudi membakar Masjid Al-Aqsa?

Keadaan terkini lebih besar daripada seorang Yahudi yang membakar Masjid Suci itu, disebabkan kerajaan haram itu menyekat umat Islam dan melindungi pelampau Yahudi yang sebahagiannya bersenjata.

Walaupun kita percayakan janji Allah dan Rasul-Nya bahawa kesombongan Yahudi akan menguburkan mereka dan mereka sedang menggali kuburnya, tetapi kewajipan kita di hadapan Allah wajib ditunaikan.

 

“Sejahtera Bersama Islam”

 

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

 

Bertarikh: 30 Syawal 1438H / 24 Julai 2017M

Tarikh : 15 Mei 2016

Lokasi : NZ Conner, Taman Mutiara Gombak

aqsa1

Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/29576-saham-kita-untuk-bunuh-saudara-kita

Oleh Dr Azman Ibrahim

Saya pernah tanya Syeikh Abdul Karim al Mudarris, ulama Kurdish yang mengajar di Masjid Syeikh Abdul Qadir Jailani, Baghdad.

“Saya berhajat sebelum pulang ke Malaysia, saya nak menziarahi Baitul Maqdis. Apa pandangan Syeikh…”

“Anakku… Baitul Maqdis itu di Israel, bukannya di Palestin!” Jawab Syeikh. “Macam mana nak masuk ke sana?” soalnya lagi.

“Kita boleh masuk melalui Jordan,” jelas saya.

“Apakah ada apa-apa bayaran yang perlu kita bayar untuk memasuki Israel?” Syeikh menuntut penjelasan.

“Ya… ada bayaran visa. Tapi saya tak pasti berapa US Dollar.” jawab saya.

“Kalau begitu jangan pergi anakku… pastikan tiada satu sen pun dari duit kamu yang dapat kepada Israel. Nanti mereka akan guna untuk bunuh saudara kamu di Palestin!” tegas Syeikh menyebabkan saya terdiam.

Memang isu seperti ini terdapat banyak pro dan kontra. Ada yang kata, kita perlu ke Baitul Maqdis untuk memberi sokongan moral kepada saudara kita di sana. Tetapi dalam masa yang sama, apabila berurusan dengan negara haram Israel bermakna kita mengiktiraf kewujudan mereka dan menyalurkan sumber kewangan kepada mereka. Mungkin kita kata, “Aahh! Sikit je! Bukan dia boleh buat beli bom pun!”

Ya! sikit-sikit seorang, bila ramai jadinya bukit!

Bagi saya, saya berpegang kepada pandangan Syeikh Kurdish ini yang saya yakini ilmu dan kewarakannya.

Tahukah kita bahawa Israel adalah sebuah negara industri atau negara pengeluar. Dengan penduduk hanya berjumlah lebih kurang 8 juta orang, mereka mempunyai pasaran dalam negara yang sangat terhad. Ke mana barangan pengeluaran mereka terutamanya keluaran industri makanan nak dipasarkan?

Saya ambil contoh mudah. Silakan ke pasaraya-pasaraya di Amman, Jordan. Perhatikan barangan makanan yang dalam tin dan berbungkus. Tercatat padanya, Made in Israel! Banyak lagi sebenarnya negara Liga Arab yang menjadi sumber pasaran yang cukup lumayan untuk bangsa haram ini.

Saya cuma catatkan apa yang pernah saya tengok sendiri. Negara Arab lain selain Iraq saya tak pernah sampai.

Tahukah kita juga bahawa Jordan bergantung kepada ihsan bekalan air daripada Israel walaupun sebenarnya Sungai Jordan yang bersempadan antara Jordan dan Israel adalah milik Jordan tetapi empangan untuk bekalan air dibina oleh Israel. Mereka yang proses dan bekalkan air balik kepada Jordan. Sama tak dengan jiran di selatan kita? – HARAKAHDAILY 10/7/2014

INFO PALESTIN

Berita 1 :

Israel Memulakan Persiapan Untuk Membangun Sebuah Jambatan Terdekat Untuk Masjid Al Aqsa

Rabu ,22/09/2010 – Yayasan Wakaf dan Warisan Al Aqsa mengeluarkan kenyataan petang Khamis lalu yang mendedahkan bahawa Pihak Israel sudah mula melakukan persediaan untuk pembinaan jambatan di Gerbang Mughrabi berdekatan dengan Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis.

Persediaan bermula selepas mahkamah Israel bersetuju dengan pembinaan jambatan yang akan menghubungkan antara Al-Buraq (Berwarna Barat) dan Al Mughrabi Gate. Jambatan itu juga akan memudahkan tentera Israel dan para penduduk menyerang Masjid Al Aqsa, menurut yayasan tersebut. Sumber : http://www.imemc.org. Penterjemah : Hijjaz.

Berita 2 :

Tel Aviv antara pembayar gaji tertinggi

Selasa , 21/09/2010 – Bandar Tel Aviv yang terletak di tengah-tengah kawasan jajahan Palestin menduduki tempat ke 25 dalam senarai taraf hidup paling mahal di dunia.

Laporan dari Bank Dunia Swiss menyatakan Tel Aviv sedang pesat menuju ke arah bandar paling mahal nilai taraf hidupnya berdasarkan klasifikasi global Bank Dunia di Switzerland. Bank Dunia Swiss juga turut meletakkan Tel Aviv di kedudukan 33 dalam senarai pembayar pendapatan tertinggi dan kedudukan ke 34 untuk kuasa membeli. Sumber : The Palestine Telegraph. Penterjemah : Idawati.

Berita 3 :

Tentera Zionis Israel (IOF) mendirikan pos pemeriksaan baru di Nablus

Rabu ,22/09/2010 -Tentera Zionis Israel menahan puluhan kenderaan rakyat Palestin pagi ini di sebuah pos pemeriksaan di Nablus, di Tebing Barat. Saksi tempatan berkata bahawa tentera Zionis Israel mendirikan pos pemeriksaan baru di pintu masuk ke kampung “Assira” utara Nablus dan menahan sejumlah kenderaan Palestin yang bergerak di kedua-dua arah.

Saksi menambah bahawa tentera Zionis Israel yang ditempatkan di pos pemeriksaan merumitkan lagi urusan rakyat Palestin dengan menyemak kad pengenalan mereka dan menahan mereka selama beberapa jam tanpa alasan yang jelas. Sumber : The Palestine Telegraph. Penterjemah : Syuhada.

Berita 4 :

Hamas menentang kempen Zionis ke atas para tahanan

Rabu ,22/09/2010 – Hamas memperbaharui tentangannya terhadap kempen kekejaman yang dijalankan oleh pihak Biro Penjara Zionis bertemakan “demi para tahanan kita di penjara Nazi”, dan pertanggungjawaban serta kesan buruk kempen ganas mereka ini.

Hamas juga mengutuk sikap bodoh dan berdiam diri masyarakat antarabangsa terhadap isu jenayah ke atas hak riduan tahanan Palestin, di mana pada waktu yang sama mereka menangisi nasib para banduan Zionis yang ditahan sewaktu serangan Zionis ke atas Gaza.

Hamas dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Biro Informasinya pada hari Isnin (20 September) mengutuk kempen yang dijalankan oleh Biro Penjara Zionis, “demi keberanian tahanan kita” di penjara Ofer, Hadarim, Raymond dan Shattah. Hamas menyeru organisasi antarabangsa terutamanya PBB, kesemua negara-negara berkaitan dan rakyat Palestin sendiri untuk bersatu dan membantu para tahanan di penjara Zionis, melawan pencabulan dan keganasan yang amat hodoh yang dijalankan terhadap mereka. Sumber : http://www.palestine-info.info/ar/. Penterjemah : Azleen

Berita 5 :

Gaza Alami Kekurangan Sumber Makanan

Rabu ,22/09/2010 – Para penganalisis pertanian dan makanan menegaskan bahawa Semenanjung Gaza mengalami kekurangan sumber makanan, peningkatan pengangguran serta penurunan import dan eksport bahan makanan. Mereka memohon tindakan segera untuk menggalakkan pasaran tempatan di Gaza dengan cara mengaktifkan bercucuk tanam di sekitar kawasan rumah dan pengembangan pertanian kepada para pertani.

Ketua delegasi Belanda ke Semenanjung Gaza, Jack Twis, dalam satu latihan kerja yang diselenggarakan Lembaga Pengembangan dan Bantuan Pertanian di Gaza, menegaskan, Isnin (20/9), bahawa para petani Semenanjung Gaza mengalami kerugian besar dan kerosakan yang sangat banyak terhadap pertanian mereka. Ia membahayakan bidang pertanian, yang merupakan sumber utama ekonomi Gaza.

Beliau menegaskan bahawa delegasinya akan melakukan kerjasama dengan jawatankuasa-jawatankuasa kampung di Gaza untuk melancarkan dua projek yang bertujuan untuk memperkuat dan menggalakkan pertanian yang menghasilkan produk eksport di Semenanjung Gaza untuk meningkatkan pasaran. Projek ini melibatkan dana 45% dari jumlah anggaran untuk penanaman 300 hektar mawar bagi 50 petani, 350 hektar buah-buahan untuk 80 petani, 52 hektar sayur-sayuran untuk 25 petani. Diharapkan hasil akhir mencapai 30 juta mawar dan 700 ton buah-buahan dan sayur-sayuran. Sumber : COMES. Penterjemah : Osman.

Layari maklumat Palestin di http://palestinkini.info/

%d bloggers like this: