Tag Archive: Israel


Sumber : https://www.pas.org.my/kenyataan-berita/12406-selamatkan-seruan-al-aqsa

SERUAN SELAMATKAN AL-AQSA

Berita terkini negara haram Israel sedang mengganas di Masjid Al-Aqsa dan sekitarnya, yang menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum Ka’abah, tanah suci ketiga bagi umat Islam selepas Kota Suci Makkah dan Madinah, destinasi Israk Rasulullah S.A.W. dan bermulanya Mikraj apabila dijemput menjadi tetamu Allah. Peristiwa yang wajib diimani oleh umat Islam, kerana kisahnya dinyatakan oleh Al-Quran dan Hadis yang sahih lagi mutawatir.

Bumi dan sekelilingnya dinamakan bumi para anbia’ yang dimuliakan semuanya oleh umat Islam, Kristian dan Yahudi. Mengikut Islam bukan hanya Musa dan Isa sahaja yang disanjung. Maka, umat Islam menjadi pemegang amanah yang dapat memeliharanya dengan baik dan memberi hak kepada penganut semua agama yang memuliakannya, khususnya penganut Yahudi dan Kristian, sejak Islam membebaskannya daripada penjajahan Rom Byzantine yang menyekat pihak yang lain yang tidak seagama dan semazhab.

Allah berfirman:

“Dan kalaulah Allah tidak mendorong sesetengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa” (Surah Al-Hajj: 40)

Kini tanah suci ini ditakluk oleh Zionis Yahudi dengan sokongan Zionis Penjajah Barat melalui Perjanjian Balfour yang telah genap 100 tahun peristiwanya. Langkah yang ditentang juga oleh Mazhab Ortodok Yahudi (Natorikarta) yang berpegang dengan kitab Taurat yang asal mengharamkan penubuhan negara itu, kerana menjadi sebab berkuburnya bangsa Yahudi.

Namun, kalangan Zionis yang fanatik perkaumannya tetap berjuang bagi menegakkan negara impian keagungan bangsa Yahudi bersimbolkan Empayar Nabi Sulaiman yang menakluk dunia. Dengan menguasai ekonomi, mereka berjaya menguasai politik dan media, khususnya di negara besar seperti Amerika dan kebanyakan negara Eropah, sehingga memaksa semua pemimpinnya menyokong Israel dan melindunginya yang dikemukakan dalam setiap kempen pilihanraya dan setelah berkuasa sehinggalah melindungi negara haram itu melalui pertubuhan  antarabangsa, serta menggunakan kuasa veto di Majlis Keselamatan PBB dan mempengaruhi Mahkamah Antarabangsa untuk menjaga keselamatan Israel dan menjaga pengkalan tentera barat yang ditempatkan disekitarnya.

Malangnya negara umat Islam khususnya negara Arab yang berkedudukan geografi, demografi dan menguasai sumber kekayaan bumi dan tenaga manusia gagal menghadapi cabaran yang membahayakan Masjid Al-Aqsa yang diancam sehingga untuk dirobohkan bagi mendirikan di atas runtuhannya Kuil Yahudi yang dinamakan Haikal Sulaiman.

Paling malang dan melucukan lagi, ketika penduduk Bait Al-Maqdis dan sekitarnya sanggup mempertahankan Tanah Suci itu dengan senjata si miskin atau tangan kosong, tiba-tiba negara Arab yang kaya-raya itu menganjurkan Sidang Kemuncak Riyadh bersama Presiden US Donald Trump dengan dijemput sama pemimpin negara Islam, menyusuli Sidang Kemuncak Negara Teluk sebelumnya bersama PM British Teresa May.

Seterusnya diisytiharkan pula Resolusi Riyadh, dikatakan tanpa kehadiran kebanyakan para pemimpin yang hadir kerana sudah pulang. Resolusinya penubuhan Nato Al-Islam yang bertujuan menghadapi bahaya Iran, bukannya Israel. Adapun pelaksanaannya pula mengepung Qatar yang kerdil, bukannya Iran. Oleh sebab Qatar menyokong Hamas yang dikira pengganas kerana berjihad hanya di Palestin dan memerintah Gaza melalui pilihanraya secara demokrasi, tetapi dikepung dan dipotong segala kemudahan sehinggalah eletrik. Sebabnya juga kerana Qatar menyokong Ikhwan Muslimin yang menang pilihanraya secara demokrasi di Mesir tetapi dirampas kuasa dan Presidennya Dr. Muhamad Morsi daripada Ikhwan dipenjarakan dan dikenakan hukuman mahkamah bertubi-tubi. Apakah maksud itu semua, sehingga Masjid Al-Aqsa dan Palestin dilupakan?

Malangnya pula, media barat menyebarkan maklumat banyak negara Arab itu sedang mengurat negara haram Yahudi Israel yang menggodanya. Sudah ada perjumpaan secara senyap dan terbuka, bahkan sudah banyak yang telah mengadakan hubungan diplomatik dan ekonomi untuk membina kekayaannya.

Di samping sudah banyak duit yang dihabiskan kerana berperang di Syria, Iraq, Yaman, Libya dan mungkin ada lagi yang akan dinyalakan untuk membakar duitnya. Siapa yang menang menjadi arang dan siapa yang kalah menjadi abu, yang kenyangnya ialah negara barat yang masih menjadi tuan dalam percaturan yang berlaku.

Apakah yang berlaku menyatakan bermulanya sabda Rasulullah S.A.W?

“Kecelakaan bagi bangsa Arab kerana kejahatan yang menghampiri mereka” (Diriwayatkan oleh Bukhari 138/4 no. 3346, Muslim 2207/4 no. 2880)

Dimanakah Liga Arab yang ditubuhkan kerana menentang penjajah? Dimanakah pula OIC yang ditubuhkan oleh Sidang Kemuncak Negara Islam kerana pelampau Yahudi membakar Masjid Al-Aqsa?

Keadaan terkini lebih besar daripada seorang Yahudi yang membakar Masjid Suci itu, disebabkan kerajaan haram itu menyekat umat Islam dan melindungi pelampau Yahudi yang sebahagiannya bersenjata.

Walaupun kita percayakan janji Allah dan Rasul-Nya bahawa kesombongan Yahudi akan menguburkan mereka dan mereka sedang menggali kuburnya, tetapi kewajipan kita di hadapan Allah wajib ditunaikan.

 

“Sejahtera Bersama Islam”

 

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

 

Bertarikh: 30 Syawal 1438H / 24 Julai 2017M

Advertisements

Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/presiden/43244-perbandingan-di-antara-buaya-dan-singa

ABDUL HADI BIN AWANG | 17 November 2016.

SAYA telah mengulas perkembangan Pilihan Raya Presiden Amerika di ruangan akhbar Harakah bertajuk “Pilihanraya Presiden Amerika dan Zionis” pada bulan April yang lalu dengan menyebut bahawa perbandingan di antara dua calon Pilihan Raya Presiden Amerika iaitu Hillary Clinton (Parti Demokrat) dan Donald Trump (Parti Republikan) adalah kedua-duanya berlumba-lumba membuat kenyataan terbuka menyokong Israel dengan pendekatan yang berbeza, namun tujuannya tetap sama. Tetapi masih ada di kalangan kita sudah lupa betapa konsep dan matlamat kedua-duanya sama sehingga ada yang bersedih kerana calon yang diminati kalah.

Perbandingannya laksana buaya dan singa, kedua-duanya mengganas. Perbezaan singa mengaum dengan kuat, nyata dan menerpa secara terbuka di lapangan. Adapun buaya seperti kata pepatah Melayu ‘bagaikan air yang tenang jangan disangka tiada buaya’.

Parti Demokrat dan Parti Republikan semuanya terlibat dalam campur tangan yang menimbulkan ketegangan di seluruh pelosok dunia secara langsung atau tidak langsung melalui wakil mereka. Tragedi pembunuhan yang mencecah jutaan mangsa korban dan menjadi pelarian dibenarkan atas nama mendokong kebebasan, demokrasi, keadilan dan hak asasi manusia.

Namun, undang-undang antarabangsa dan mahkamah laksana sarang labah-labah yang boleh memerangkap makhluk kecil sahaja. Apa-apa tindakan pun tidak boleh di ambil ke atas Amerika dan sekutunya dan semua keputusan PBB boleh dihalang dengan mudah melalui kuasa vetonya.

Seganas-ganas singa dan buaya boleh dikawal oleh Jabatan Mergastua dan dikurung dalam sangkar zoo. Begitulah politik, sejarah menunjukkan kuasa besar yang memuncak keganasannya seperti Adolf Hitler dan Benito Mussolini lebih cepat tersungkur.

Amerika adalah sebuah negara yang mendokong demokrasi bebas tetap dikawal melalui perlembagaan dan undang-undangnya. Di samping berlaku protes rakyat terhadap keputusan pilihan raya itu secara demokrasi jalanan, negara Barat di Eropah juga menujukkan tekanan bahawa Donald Trump tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya seperti kempennya di masa pilihan raya kecuali kalau mahu menempah kehancuran Amerika seperti berkecainya kuasa besar Kesatuan Soviet di abad yang lalu atau kemusnahan dengan cara yang lain.

Apa yang perlu menjadi iktibar adalah betapa kecelaruan demokrasi Barat kini kerana disebabkan oleh tidak beriman dan hilangnya sifat budiman dalam pemilihan kepimpinan.  Tiga faktor penting yang menjadi rukun manipulasi pemilihan iaitu 3M (Machinery/Jentera; Media; dan Money/Wang). Apabila tiga faktor ini yang dikuasai bangsa Yahudi dimanipulasi sepenuhnya sebagaimana yang diceritakan benar oleh Al-Quran. Firman Allah SWT:

﴿وَقَالَ لَهُمۡ نَبِيُّهُمۡ إِنَّ ٱللَّهَ قَدۡ بَعَثَ لَكُمۡ طَالُوتَ مَلِكٗاۚ قَالُوٓاْ أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ ٱلۡمُلۡكُ عَلَيۡنَا وَنَحۡنُ أَحَقُّ بِٱلۡمُلۡكِ مِنۡهُ وَلَمۡ يُؤۡتَ سَعَةٗ مِّنَ ٱلۡمَالِۚ قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰهُ عَلَيۡكُمۡ وَزَادَهُۥ بَسۡطَةٗ فِي ٱلۡعِلۡمِ وَٱلۡجِسۡمِۖ وَٱللَّهُ يُؤۡتِي مُلۡكَهُۥ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٞ٢٤٧ وَقَالَ لَهُمۡ نَبِيُّهُمۡ إِنَّ ءَايَةَ مُلۡكِهِۦٓ أَن يَأۡتِيَكُمُ ٱلتَّابُوتُ فِيهِ سَكِينَةٞ مِّن رَّبِّكُمۡ وَبَقِيَّةٞ مِّمَّا تَرَكَ ءَالُ مُوسَىٰ وَءَالُ هَٰرُونَ تَحۡمِلُهُ ٱلۡمَلَٰٓئِكَةُۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَةٗ لَّكُمۡ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ٢٤٨﴾ [البقرة: 247-248]

“Berkatalah Nabi mereka kepada mereka (apabila mereka meminta Nabi itu menetapkan calon raja setelah dimintanya): Sesungguhnya Allah melantik Talut menjadi raja kamu. Mereka berkata: Bagaimana dia dilantik, padahal kalangan kami ada yang lebih layak, dan dia pula tidak berharta banyak (kaya raya)? Nabi mereka menjawab: Allah yang memilihnya kerana dia berilmu dan sihat serta gagah perkasa. Allah sahaja yang memberi kurnia pemerintahan kepada sesiapa yang di kehendaki-Nya dan Allah itu Maha Luas Pengetahuan dan Kuasa-Nya lagi Maha Mengetahui. (247)

“Nabi mereka menegaskan lagi: Sesungguhnya Allah menunjukkan tanda perlantikannya bahawa datang kepada kamu Tabut (peti) yang dibawa oleh Malaikat, yang ada di dalamnya ketenangan daripada Tuhan kamu dan pusaka peninggalan pengikut Nabi Musa A.S dan Nabi Harun A.S. Sesungguhnya itulah dalil daripada Tuhan kamu sekiranya kamu beriman.” (248)] (Al-Baqarah: 247-248)

Al-Quran adalah kitab suci mukjizat yang kekal daripada Allah kepada Rasul akhir zaman Muhammad SAW yang membawa kisah petunjuk sepanjang zaman.

Donald Trump memenangi pilihan raya dengan politik wang kekayaan yang mempengaruhi jentera dan media. Tegasnya, siapa paling kaya dan hebat Zionisnya dipilih dalam pilihan raya di Amerika. Apabila dicampur wang dan Zionisnya maka sangat kuat sumbangan mempengaruhi politik terkini, apabila akal berada di perut dan apabila yang tinggi ilmunya dapat diperkudakan.Para ulama tafsir al-Quran menegaskan pengajaran itu diambil daripada lafaznya yang umum bukan sebabnya yang khusus.

“Inilah Penyelesaian Kita”

ABDUL HADI BIN AWANG
Presiden PAS
17 Safar 1438H / 17 November 2016M

HARAKAHDAILY 17/11/2016

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/presiden/40067-menyimbah-petrol-membunuh-diri-langkah-selamatkan-israel

Ketika Dunia Islam dan umatnya bersemangat menerima berita Intifadhah rakyat Palestin yang gagah berani menghadapi keganasan Zionis Israel yang melampau, kerana negaranya yang haram itu dilindungi negara besar berkuasa veto, dibekalkan segala jenis senjata, menggunakan pengaruhnya terhadap media yang tidak adil, monopoli ekonomi dan pengaruh politiknya.

Namun sejarah tidak boleh dipadamkan, betapa golongan pelampau Yahudi itu merompak, meroboh rumah kediaman dan menghalau rakyat Palestin. Terkini lebih melampau lagi, apabila melaksanakan usaha membina Haikal Sulaiman (Kuil Yahudi) di atas runtuhan Masjid Al-Aqsa yang dirancang untuk diroboh, ke arah menakluk dunia dengan menegakkan semula Kerajaan Nabi Sulaiman AS yang sudah tamat risalah kenabiannya, namun dijadikan impian.

Mangsa paling malang ialah penduduk asal Palestin, mengikut konsep asal ketetapan Allah sejak  zaman Nabi Ibrahim AS yang menganut Islam mengikut kenyataan Allah SWT. Al-Quran menegaskan:

ما كانَ إِبْراهِيمُ يَهودِيًّا ولا نَصْرانِيًّا وَلكِنْ كانَ حَنِيفا مُسْلِمًا وَمَا كانَ مِنَ المُشْرِكِينَ إِنَّ أَوْلىَ النَّاسِ بِإبراهِيمَ لَلّذِينَ اتَّبَعُوهُ وَهذا النَّبِيُّ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَاللهُ وَلِيُّ المُؤمِنِين

“Tidaklah Ibrahim itu seorang Yahudi dan Nasrani (Kristian) tetapi sebenarnya dia seorang muslim (menganut Islam ) dan dia juga bukan seorang musyrikin. Sebenarnya, yang lebih utama bersama Ibrahim ialah mereka yang mengikutnya dan Nabi ini (Muhammad SAW) dan orang-orang yang beriman. Dan Allah menjadi Wali kepada orang-orang yang beriman.” (Surah Ali-Imran, ayat 67-68)

Tegasnya bumi Palestin diamanahkan kepada penganut Islam yang sebenar, dan mereka bersikap terbuka terhadap semua panganut agama-agama lain yang berkunjung memuja bumi Palestin tanpa halangan mengikut acara agama masing-masing.

Polisi Islam yang terbuka dilaksanakan di Palestin, sejak dibebaskan di zaman Khalifah Umar Al-Khattab RA daripada penjajah Rom Ortodoks yang menyekat penganut bukan Kristian dan Kristian yang tidak semazhab dengan mereka.

Begitu juga dilakukan oleh tentera Salib yang pernah menakluknya, sehinggalah dibebaskan oleh Sultan Salahuddun Al-Ayubi, maka dibuka semula kepada penganut agama-agama yang mengunjunginya termasuk Yahudi.

Bahkan kerajaan Uthmaniyyah memberi perlindungan kepada kaum Yahudi yang dibunuh dan dihalau daripada Andalus, menunjukkan Islam mengatasi kebangsaan.

Malangnya barat dan timur bukan Islam tidak menilai budi dan jasa Islam dan tamadunnya, mereka boleh mengiktiraf penaklukan tentera salib yang bermandi darah dan melangkah timbunan mayat, dan menolak Sultan Salahuddin yang adil dan pemaaf terhadap  musuh dan melupai sikap terbuka Khilafah Uthmaniyyah.

Kini bumi Palestin dijajah pula oleh Zionis Yahudi selepas Perang Dunia Kedua, dengan lesen merompak dan membunuh oleh Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kuasa veto Kuasa-Kuasa Besar yang menjadi anggota tetapnya.

Terkini dilaksanakan perancangan merampas Masjid Al-Aqsa dan meyahudikan bandar sucinya. Mutakhirnya satu usul dibawa ke Kaniset (Parlimen Israel) undang-undang bagi menutup masjid-masjid bermula dengan membatalkan kegiatannya termasuk khutbah dan pengajian di-atas nama menentang keganasan.

Rasulullah SAW telah berjanji dengan sabdanya; “akan muncul satu kumpulan manusia yang bangkit menegakkan kebenaran, mereka tidak mampu ditundukkan oleh orang-orang yang mengecewakan mereka sehingga Allah menentukan kemenangan kepada mereka.” Para sahabat RA bertanya; “siapakah kumpulan itu wahai Rasulullah?” Jawabnya; “mereka ialah penduduk Bait Al-Maqdis dan sekitar Bait Al-Maqdis.” ((Riwayat Imam Ahmad)

Sejarah merakamkan apabila Negara Haram Israel  diisytiharkan mengikut jadual perjanjian Sykes-Picot, berikutnya ditubuhkan negara-negara arab yang dibahagikan kepada pemimpin yang  menyokong kuasa besar menjatuhkan Khilafah Uthmaniyyah di atas semangat masing-masing. Sama ada nasionalisme Arab atau Sunnah Wahabi Salafi yang menentang Sunni yang tidak semazhab termasuk Turki Uthmaniyyah, begitu juga  Shah, Iran bermazhab Syiah dan Raja Yaman bermazhab Zaidiyyah.

Maka kini kalangan negara itu manyambut hari kebangsaan masing-masing kerana berjaya menghalau Turki Uthmaniyyah yang dianggap penjajah dengan sokongan Kuasa Besar Timur dan Barat yang dianggap sahabat karib, berbeza dengan hari kebangsaan kita di sini kerana bersempana keluarnya penjajah British dan Belanda.

Di tengah kegembiraan mendapat takhta dan kuasa dengan perlindungan pengkalan tentera negara besar yang bertapak di negeri masing-masing sehingga hari ini, tiba-tiba Negara Israel diisytiharkan tahun 1948 secara haram dan ganas.

Kumpulan Islam dan beberapa kumpulan nasionalis bangkit berperang menentang penubuhan Negara Israel di masa itu di atas nama Islam tanpa mengira bangsa dan mazhab, melaksanakan hasil pertemuan bersejarah di antara Jamaluddin Al-Afghani dan Muhammad Abduh di awal abad yang lalu dan di antara Imam Hasan Al-Banna dan Imam Khumaini yang masih muda ditahun 1938.

Hasilnya tercetus kesedaran menentang penubuhan Negara Israel, walaupun hilangnya Khilafah, namun kebangkitan ini dikecewakan oleh negara arab dan Islam yang bersekongkol dengan kuasa besar.

Banyak pemimpin menentang penubuhan Israel ditahan di negeri masing-masing kerana bersama perjuangan Palastin bahkan ada yang dibunuh, seperti Hasan Al-Banna daripada gerakan Ikhwan Muslimin Mesir (1949) dan Nawwab Safawi daripada gerakan Fidayyan Islam di Iran (1955) dan lain-lain, namun perjuangan Palastin gagal dipadamkan walaunpun memakan zaman beberapa dekad dan bersenjatakan batu dan tangan.

Kini kita berada dalam era kebangkitan Islam yang sangat dibimbangi oleh semua kuasa besar dunia yang terus bermusuh terhadap Islam yang mendaulatkan negara, bersamanya berlaku Intifadah di Palestin yang gagal dipadamkan.

Revolusi Islam di Iran yang tidak dijangka, kejayaan Mujahidin Afghanistan menghalau Tentera Soviet, serta kemaraan parti berteraskan Islam di beberapa negara yang agak bebas.

Kuasa Besar yang semuanya bersekongkol menubuhkan Negara haram Israel tidak senang dengan semua perubahan kepada Islam tanpa mengira mazhabnya, termasuk yang bersikap menentang Israel tanpa mengira ideologinya.

Maka Barat mengisytiharkan Order Baru Dunia dan Globalisasi merempuh sempadan selepas gagalnya blok Komunis dan Sosialis dengan berkecainya Negara Besar Soviet setelah kalah di Afghanistan, serta muncul semula cahaya Islam.

Islam tetap menjadi sasaran, maka diisytiharkan isu Islamofobia, namun, Negara Islam yang telah merdeka daripada kuasa penjajah masih meneruskan agenda penjajah selepas kemerdekaan mengikut agenda Islamofobianya. Maka masalah dalaman tanahair umat Islam gagal diatasi, namun Islam juga disalahkan.

Islam telah berjaya memerintah masyarakat majmuk dengan aman lebih daripada seribu tahun. Pemerintah yang adil dan penyelesaian perbezaan mazhab dengan ilmu dan kebijaksanaan oleh para ulama telah berjaya menyatukan umat.

Mazhab Salaf dan Khalaf sudah wujud dalam aspek aqidah, juga Mazhab Fiqh Sunni, Syiah dan Khawarij kerana politik dalaman umat juga sudah lama bertapak, di samping Tareqat Sufi berbagai nama. Kezaliman dan krisis dalaman umat diselesaikan di atas konsep kesatuan umat, dengan sabar dan ilmu tanpa campur tangan asing.

Pihak kuasa besar di zaman kini tiba-tiba berjaya melagakan umat Islam dengan mencetuskan peperangan secara wakalah (proksi) dengan mengambil peluang daripada pemerintahan kuku besi yang zalim di negeri-negeri yang menindas dengan perlindungan mereka juga, dengan mengumpan golongan yang menentang kerajaan termasuk bantuan senjata bagi melahirkan kalangan pelampau di atas nama Islam dan jihad tanpa feqah dan siyasah syariyyah.

Sebenarnya, supaya menimbulkan kekacauan di atas nama Jihad atau Demokrasi atau hak rakyat yang adil dalam masa yang sama mempertahankan kerajaan yang sah. Ucapannya sangat baik tetapi tujuannya sangat jahat terhadap Islam dan penganutnya yang sebenar.

Kini apa yang berlaku di Mesir, Syria, Yaman, Arab Saudi, Bahrain dan lain-lain, hukuman terhadap beberapa yang dituduh, termasuk tokoh-tokoh  ulamak dan rakyat tanpa mengira mazhabnya, masih ramai lagi dalam penjara.

Adalah agenda musuh Islam, menggunakan slogan yang zahirnya benar dan manis, tetapi niat yang salah dan jahat, tujuannya yang sebenar ialah  menyelamatkan Israel dan pengaruh kuasa besar yang bertapak di rantau itu, dengan menggalakkan isu yang kecil dibakar menjadi api fitnah yang besar. Tujuannya laksana mencurah petrol ke atas api fitnah yang sengaja di-wujudkan.

Saya tetap berpegang dengan Mazhab Ahli Al-Sunni Wa Al Jamaah dengan keimanan, ilmu dan keyakinan, namun kita diajar tidak mudah mentakfirkan dan menyesatkan mana-mana ahli kiblat yang satu yang berlainan mazhab, walau pun qaulnya terlalu lemah dan ditolak oleh Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah, namun dasar dan rukunnya masih bersamaan.

Majmak Fiqh OIC di Jeddah dan Majmak Buhus Al-Azhar Mesir telah menyenaraikan lapan Mazhab dan beberapa yang lain adalah golongan Ahli Al-Qiblah, sehingga semuanya datang ke-Makkah tanpa halangan. Majmak Buhus Islamiyyah di Mesir mengeluarkan Enseklopedia Fiqh lapan mazhab Ahli Al-Qiblah. Maka sangat malang kalau fatwanya terkini mengikut arus kuasa besar Timur dan Barat yang mempermainkan para ulama kita, kerana dipergunakan oleh kerajaan yang bertawakal kepada perlindungan Nato bukannya pertolongan Allah.

Saya menyaksikan dalam hidup saya di negara arab, bagaimana para Jamaah haji bermazhab Syiah daripada Iran, Lubnan, Yamen dan yang lain,  di zaman Shah berkuasa di Iran, ketika berhubungan diplomatik yang kukuh dengan negara Israel, di masa itu Iran yang penuh dengan pelacuran, judi, arak dan segala maksiat yang bebas juga bagi jiran arabnya, para jamaah hajinya pula bersembahyang berasingan tanpa mengikut Imam Masjid Makkah dan Madinah, betapa ulama di masa itu tetap menerima Zaidiyyah dan Imamiyyah, Wahabiyyah dan tidak Wahabiyyah adalah kalangan umat Islam.

Tetapi selepas Revolusi yang dipimpin oleh Imam Khumaini kerana mazhabnya Syiah, bersikap berani terus memutuskan hubungan dengan Negara Israel dan mengisytiharkannya negara haram, negaranya mengharamkan segala kelucahan, sehingga pelancung wanita barat diwajibkan berpakaian sopan, judi, arak dan pelacurannya dimusnahkan, perkara yang tidak khilaf daripada semua mazhab.

Para jamaah hajinya diarahkan sembahyang bersama satu imam sahaja, tiba-tiba fatwa-fatwa mengikut arahan kenyataan Bush, Obama dan John Kerry, mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel, di arah supaya sunni menyerang  syiah habis-habisan dan syiah menyerang sunni, atau sesama mazhab kerana berbeza kebangsaannya, tanpa hujah ilmu yang bijak dengan meletakkan semuanya dalam satu bakul.

Isu Takfir dan menyesat dalam satu umat menjadi sumbu fitnah. Tanpa dinafikan adanya kelakuan murtad di kalangan umat, tetapi Islam menyelesaikannya secara keluarga dalam satu umat dan ilmu dengan konsep menyelamat aqidah secara bijak, termasuk yang murtad kerana kejahilan sendiri dan tipu daya musuh.

Lebih malang lagi berdakwah mazhab dalam satu umat, apabila dihidupkan paksaan sunnah mazhab Wahabi di kalangan sunni yang lain atau  bertempur syiah dan sunni dalam satu umat, padahal kita tidak diizinkan memaksa orang bukan Islam menganut Islam, tidak dibenarkan memusnahkan gereja dan membunuh paderi dan sami, kerana konsep tiada paksaan dalam agama, mengapa berperang kerana mazhab dan kaum?

Saatnya pula, intifadah di-Palestin menentang  pelampau Yahudi sedang bermaharaja gila meroboh rumah rakyat Palastin untuk penempatan Yahudi dan melaksanakan perancangan meroboh Masjid Aqsa bagi diganti dengan Haikal Sulaman (Kuil Besar Yahudi). Negara-negara jiran yang menepuk dada semangat arabnya terus mengecewakan Palastin dan masih banyak berhubungan secara langsung atau berselindung dengan Negara Israel (diplomatik, perdagangan, pelancongan dan yang lain) Bakhil menderma kepada Palestin, pengecut menghadapi Zionis, melakukan pula  dengan harta kekayaanya, perkara yang diberi amaran oleh Rasulullah SAW; “kamu akan menyaksikan mereka yang berkaki ayam, bertelanjang, dahulunya papa kedana, gembala-gembala unta dan kambing, tiba-tiba berlumba-lumba mendirikan bangunan-bangunan tinggi.” Ditambah bangunan tinggi dan budaya barat.

Percayalah bahawa Israel dan sekutunya tetap berperang dengan sesiapa sahaja yang tidak mengiktirafnya tanpa mengira mazhab Sunni atau Syiah dan Wahabiyyah atau Asyairah/Maturidiyyah tanpa mengira ideologi kanan atau kiri. Mereka akan mengekalkan Negara Islam dan Parti Islam tanpa cita-cita pelaksanaan Islamnya dan berpolisi mengiktiraf Israel atau bermujamalah dengannya.

Perkara-perkara yang menakjubkan ialah negara serantau khususnya negara-negara Arab sedang menggali kubur sendiri mengikut pelan yang dilakar dan diatur oleh kuasa bekas penjajah, menghidup atau menyuburkan semula krisis mazhab, kaum, kabilah dan ideologi asing. Tujuannya, menubuhkan negara baru mengikut pecahan mazhab Sunni dan Syiah, Arab, Kurdis dan Turkuman, mengikut pengaruh Timur dan Barat tanpa Islamnya.

Bersedia membina gagasan ketenteraan untuk berperang sesama sendiri bukannya menghadapi ancaman Israel dan sebaliknya menguatkan kuasa besar dengan sumber tenaga kurnia Allah dengan wang sekadar jaminan negara yang dianggap berkuasa besar, menjaga harta dan takhta tanpa jati diri bersama Islam. Bahkan sebarang perubahan kepada Islam dikira ancaman dan bahaya, maka Arab Spring tidak berbuah masak atau dicantas putiknya sebelum masak, pesertanya dibunuh, diburu, disumbat kedalam penjara.

Sepatutnya mereka bersatu di atas perkara yang sama, dalam perkara rukun agama, politik dan ekonomi yang tidak berbeza. Adapun dalam perkara yang berbeza berbincang secara ilmu di kalangan ahlinya dengan adab-adab ikhtilaf  yang menyatukan umat walau pun adanya perbezaan di antara satu sama lain. Segala-galanya boleh dilakukan apabila kembali kepada Islam. Sangat tidak patut menerima jaminan Naib Presiden Amerika Syarikat John Baiden bahawa Amerika akan membatu Turki dan Arab bagi menentang Syiah.

Khalifah Umar Al-Khattab RA pernah menegaskan:

“Kita adalah Umat yang diperkasakan oleh Allah bersama Islam, sekiranya kita mencari kekuatan dengan cara yang lain daripada Islam nescaya kita dihukum oleh Allah menjadi hina.”

Sepatutnya OIC berperanan membina kekuatan Islam serantau dan sedunia dan para ulamanya menyatukan umat dengan ilmu dan hujjah yang adil yang kaya bersama Islam  yang sumber asasinya tetap dipelihara Allah.

Tegakkan Islam yang menyatukan bangsa dan umat semuanya selamat, tetap tidak selamat dengan menegakkan semangat kebangsaan atau mazhab dan ideologi tanpa Islamnya menghilangkan jati diri bangsa dan memusnahkannya.

Maka sepatutnya Arab, Iran dan Turki bersatu bersama Islam menjadi barisan hadapan kepada seluruh umat Islam, menghadapi Israel dan semua kuasa besar di belakangnya. Malangnya dilagakan untuk menghancur diri sendiri, sehingga perjuangan Palestin dibiarkan bersendirian.

“BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
13 Jamadil Awal 1437H / 22 Februari 2016 – HARAKAHDAILY 22/2/2016

Sumber :

DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | 20 Ogos 2014.

GAZA tidak pernah sunyi daripada hentaman roket dan bom yang menyebabkan rakyatnya terbunuh dan segala bangunan serta infrastruktur di dalamnya runtuh dan ranap. Serangan dalam ‘Operation Protective Edge’ oleh Israel terhadap Gaza yang bermula 8 Julai lalu, sehingga kini telah mengorbankan lebih 2000 orang rakyat awam Palestin.

Angka kehilangan nyawa yang besar dan kemusnahan ribuan penempatan serta pemaksaan ke atas 1.8 juta rakyat Palestin untuk berhimpit bagi mendiami sebuah bandar kecil itu telah mengundang kecaman antarabangsa.

Lebih mendukacitakan, menurut laporan PBB, sekurang-kurangnya 425,000 orang pelarian di Semenanjung Gaza kini ditempatkan di pusat perlindungan kecemasan dan juga bersama keluarga angkat. Hampir 12,000 buah rumah pula telah musnah dan rosak teruk akibat serangan udara yang dilakukan Israel.

Beberapa sesi rundingan damai yang telah diusahakan oleh Mesir telah berjaya menatijahkan dua siri genjatan senjata yang bersambungan setelah peperangan berlaku selama sebulan. Genjatan senjata siri pertama selama 72 jam diikuti dengan siri kedua selama 5 hari setidak-tidaknya memberi ruang kepada rakyat Palestin untuk mendapatkan bekalan makanan dan perubatan serta mencari tempat tinggal baru untuk mereka berteduh.

Siri kedua genjatan sejata selama 5 hari juga telah berakhir. Rundingan damai bagi mengusahakan tempoh aman antara kedua-dua pihak yang lebih lama dilihat tidak berkesampaian apabila Israel enggan menunaikan tuntutan kata sepakat wakil Palestin. Antara tuntutan penting oleh wakil Palestin dalam rundingan damai itu ialah supaya Israel segera menghentikan pencerobohan ke atas Palestin, menamatkan perang ke atas Gaza dan membuka sepenuhnya kepungan ke atas Gaza yang telah dibuat selama 8 tahun.

Mewakili Palestin, HAMAS memahami benar kejahatan dan kelicikan Israel untuk memanfaatkan masa bertenang dalam tempoh genjatan senjata itu untuk memperluaskan pencerobohan dan jajahan ke atas Palestin secara halus dan senyap. Jika ia dibiarkan, semakin besarlah tanah Palestin akan terjajah. Oleh itu, tiga perkara yang dikemukakan oleh delegasi Palestin itu amat penting untuk dijadikan syarat perdamaian antara kedua-dua pihak.

Keterkinian maklumat-maklumat seperti yang dinyatakan ini tidak mudah untuk merumuskan penyelesai konflik Israel-Palestin yang telah tercetus selama hampir 70 tahun. Rakyat Palestin khususnya Gaza telah sangat menderita menanggung akibat pencerobohan tentera Israel yang sangat menyeksakan mereka.

Idea menamatkan konflik ini secara “two state solution” atau mendakwa Israel ke Tribunal Perang Antarabangsa atau membicarakannya di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atau juga penyelesaian-penyelesaian yang lain, tidak mudah untuk direalisasikan.

Campur tangan kuasa besar seperti Amerika yang bersandiwara mengecam tindakan Israel pada masa sama membekalkan bantuan kewangan dan persenjataan kepada Israel bagi terus membantai Palestin akan menyebabkan keadaan sedia ada bertambah rumit dan parah.

Namun demikian, atas rasa kemanusiaan sejagat dan demi kebenaran serta keadilan, bagi membela mangsa buas Israel, seluruh manusia perlu terus menyokong rakyat Gaza dan berusaha membantu mereka. Tindakan memboikot Israel, memberi sumbangan kewangan dan memanjatkan doa untuk rakyat Gaza amat wajar sekali untuk diteruskan.

Sebagai seorang muslim, kita wajib beriman bahawa Palestin akan diberikan “kemerdekaan” oleh Allah SWT pada suatu hari nanti dan hari berkumpulnya Yahudi di Palestin itu adalah hari binasa buat mereka. Itulah penyelesaian konflik Israel-Palestin yang telah dijanjikan oleh Allah SWT.

HARAKAHDAILY 20/8/2014

idf-mourning-casualty

 

Bagaimana tentera zionis meratap kematian…

 

Sumber : http://zainurrashid.com/igauan-israel-menjadi-realiti/#more-2285

Israel terpaksa mendesak pihak ke 3 agar diadakan gencatan senjata awal setelah mereka mengganas selama ‘hanya’ 8 hari dan telah mengorbankan ‘hanya’ 161 syuhada’ rakyat Palestin. Sedangkan serangan Gaza 2008-2009 berlangsung selama 22 hari dan telah mengorbankan lebih 1450 orang rakyat Palestin di Gaza.

Apa tidaknya ?

1-Roket al Qassam menemui sasaran strategiknya sehingga ke Tel Aviv dan Jerusalem (74 km) sedangkan kemampuan roket ini hanya 40-50 km pada tahun 2009.

2-Ben Gurion International Airport terpaksa memberhentikan operasinya selama beberapa hari disebabkan roket al Qassam.

3-Roket juga telah memaksa warga penjajah Israel tinggal di bawah tanah dengan ketakutan selama 8 hari dan operasi kerja harian kerajaan dan swasta dibatalkan sepanjang 8 hari yang lalu.

4-Buat kali pertama, roket al Qassam juga berjaya menjatuhkan jet pejuang F16 bersama  juruterbangnya ke perairan Gaza. Ini adalah kali pertama dalam sejarah perang Israel.

5-Roket al Qassam juga berjaya menjatuhkan helikopter Apache, drone dan berjaya mensasarkan kapal perang Israel sebagai destinasi roket ini.

6-Unit R & D IDF telah mendapati bahawa roket al Qassam yang sampai ke Tel Aviv adalah buatan tempatan (bukan dari Iran dsb). Ini membuktikan kemampuan unit R & D al Qassam mengeluarkan roket mereka sendiri.

7-Iron-Dome yang merupakan sistem penangkis peluru berpandu yang tercanggih Israel (dengan bantuan US) hanya berjaya menangkis 20-25 % daripada lebih 1400 roket al Qassam yang sampai ke Israel.

8-Israel terpaksa menggesa gencatan senjata terlebih awal miski pun Briged al Qassam baru menggunakan kira-kira 15 % daripada keseluruhan roket yang dipersiapkan kali ini.

9-Keterlibatan Mesir dan Turki yang memberikan sokongan secara terbuka kepadaPalestin amat menakutkan Israel miski pun mereka belum memberikan sokongan ketenteraan kepada Palestin. Apatah lagi sekiranya negara-negara Arab dan negara umat Islam yang lain turut memberikan sokongan kepada mereka.

Ingatilah firman Allah swt :

وَمَكَرُواْ وَمَكَرَ اللّهُ وَاللّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ –

Surah al-Imran ayat 54

“Dan Mereka Merancang(tipu daya),Allah juga merancang(membalas tipu daya),Dan ALLAH sebaik-baik Perancang(membalas tipu daya)”

Subhanallah, alhamdulillah, Allah akbar….

ERDOGAN ANCAM ISRAEL

http://palestinkini.info/

PM Turki Receb Tayyeb Erdogan menegaskan bahawa negaranya tidak akan berdiam diri jika Israel menyerang Lebanon atau Semenanjung Gaza.

Dalam pernyataannya, Khamis (25/11) di pertemuan tahunan Persatuan Bank Arab di Lebanon, Erdogan menegaskan, “Apakah Israel akan memasuki kawasan Lebanon dengan pesawat tempur dan kereta kebal tercanggihnya dan membunuh anak-anak dan wanita, menghancurkan sekolah-sekolah dan hospital, kemudian setelah itu mereka minta kami berdiam diri?”

Di depan para hadirin di antaranya PM Lebanon Sa’d Hariri, beliau menambah : “Apakah Israel akan menggunakan senjata tercanggihnya, bom fosfor, bom cluster dan membunuhi anak-anak di Gaza yang sedang bermain di padang, kemudian mereka minta kami berdiam diri?”

Erdogan turut menegaskan sepanjang kunjungannya di Lebanon bahawa Turki akan terus mendukung dan membela Al-Quds dan kembali meminta Israel minta maaf atas kejahatannya terhadap sukarelawan Turki di kapal Mavi Marmara dan kejahatan Israel yang lainnya di kawasannya. Beliau menegaskan jika terjadi perang di kawasan yang rugi bukan negara kawasan sahaja namun Israel juga akan rugi.

Sumber : COMES

Penterjemah : Osman

INFO PALESTIN

Berita 1 :

Israel Memulakan Persiapan Untuk Membangun Sebuah Jambatan Terdekat Untuk Masjid Al Aqsa

Rabu ,22/09/2010 – Yayasan Wakaf dan Warisan Al Aqsa mengeluarkan kenyataan petang Khamis lalu yang mendedahkan bahawa Pihak Israel sudah mula melakukan persediaan untuk pembinaan jambatan di Gerbang Mughrabi berdekatan dengan Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis.

Persediaan bermula selepas mahkamah Israel bersetuju dengan pembinaan jambatan yang akan menghubungkan antara Al-Buraq (Berwarna Barat) dan Al Mughrabi Gate. Jambatan itu juga akan memudahkan tentera Israel dan para penduduk menyerang Masjid Al Aqsa, menurut yayasan tersebut. Sumber : http://www.imemc.org. Penterjemah : Hijjaz.

Berita 2 :

Tel Aviv antara pembayar gaji tertinggi

Selasa , 21/09/2010 – Bandar Tel Aviv yang terletak di tengah-tengah kawasan jajahan Palestin menduduki tempat ke 25 dalam senarai taraf hidup paling mahal di dunia.

Laporan dari Bank Dunia Swiss menyatakan Tel Aviv sedang pesat menuju ke arah bandar paling mahal nilai taraf hidupnya berdasarkan klasifikasi global Bank Dunia di Switzerland. Bank Dunia Swiss juga turut meletakkan Tel Aviv di kedudukan 33 dalam senarai pembayar pendapatan tertinggi dan kedudukan ke 34 untuk kuasa membeli. Sumber : The Palestine Telegraph. Penterjemah : Idawati.

Berita 3 :

Tentera Zionis Israel (IOF) mendirikan pos pemeriksaan baru di Nablus

Rabu ,22/09/2010 -Tentera Zionis Israel menahan puluhan kenderaan rakyat Palestin pagi ini di sebuah pos pemeriksaan di Nablus, di Tebing Barat. Saksi tempatan berkata bahawa tentera Zionis Israel mendirikan pos pemeriksaan baru di pintu masuk ke kampung “Assira” utara Nablus dan menahan sejumlah kenderaan Palestin yang bergerak di kedua-dua arah.

Saksi menambah bahawa tentera Zionis Israel yang ditempatkan di pos pemeriksaan merumitkan lagi urusan rakyat Palestin dengan menyemak kad pengenalan mereka dan menahan mereka selama beberapa jam tanpa alasan yang jelas. Sumber : The Palestine Telegraph. Penterjemah : Syuhada.

Berita 4 :

Hamas menentang kempen Zionis ke atas para tahanan

Rabu ,22/09/2010 – Hamas memperbaharui tentangannya terhadap kempen kekejaman yang dijalankan oleh pihak Biro Penjara Zionis bertemakan “demi para tahanan kita di penjara Nazi”, dan pertanggungjawaban serta kesan buruk kempen ganas mereka ini.

Hamas juga mengutuk sikap bodoh dan berdiam diri masyarakat antarabangsa terhadap isu jenayah ke atas hak riduan tahanan Palestin, di mana pada waktu yang sama mereka menangisi nasib para banduan Zionis yang ditahan sewaktu serangan Zionis ke atas Gaza.

Hamas dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Biro Informasinya pada hari Isnin (20 September) mengutuk kempen yang dijalankan oleh Biro Penjara Zionis, “demi keberanian tahanan kita” di penjara Ofer, Hadarim, Raymond dan Shattah. Hamas menyeru organisasi antarabangsa terutamanya PBB, kesemua negara-negara berkaitan dan rakyat Palestin sendiri untuk bersatu dan membantu para tahanan di penjara Zionis, melawan pencabulan dan keganasan yang amat hodoh yang dijalankan terhadap mereka. Sumber : http://www.palestine-info.info/ar/. Penterjemah : Azleen

Berita 5 :

Gaza Alami Kekurangan Sumber Makanan

Rabu ,22/09/2010 – Para penganalisis pertanian dan makanan menegaskan bahawa Semenanjung Gaza mengalami kekurangan sumber makanan, peningkatan pengangguran serta penurunan import dan eksport bahan makanan. Mereka memohon tindakan segera untuk menggalakkan pasaran tempatan di Gaza dengan cara mengaktifkan bercucuk tanam di sekitar kawasan rumah dan pengembangan pertanian kepada para pertani.

Ketua delegasi Belanda ke Semenanjung Gaza, Jack Twis, dalam satu latihan kerja yang diselenggarakan Lembaga Pengembangan dan Bantuan Pertanian di Gaza, menegaskan, Isnin (20/9), bahawa para petani Semenanjung Gaza mengalami kerugian besar dan kerosakan yang sangat banyak terhadap pertanian mereka. Ia membahayakan bidang pertanian, yang merupakan sumber utama ekonomi Gaza.

Beliau menegaskan bahawa delegasinya akan melakukan kerjasama dengan jawatankuasa-jawatankuasa kampung di Gaza untuk melancarkan dua projek yang bertujuan untuk memperkuat dan menggalakkan pertanian yang menghasilkan produk eksport di Semenanjung Gaza untuk meningkatkan pasaran. Projek ini melibatkan dana 45% dari jumlah anggaran untuk penanaman 300 hektar mawar bagi 50 petani, 350 hektar buah-buahan untuk 80 petani, 52 hektar sayur-sayuran untuk 25 petani. Diharapkan hasil akhir mencapai 30 juta mawar dan 700 ton buah-buahan dan sayur-sayuran. Sumber : COMES. Penterjemah : Osman.

Layari maklumat Palestin di http://palestinkini.info/

1) Rejim Israel telah mengepung Wilayah Ghazzah selama beberapa tahun, menyekat kemasukan makanan, perubatan dan bahan api. Wilayah Ghazzah menjadi seperti sebuah penjara besar bagi penduduk di sana.

2) Israel kemudian menyerang Ghazzah pada akhir Disember 2008 hingga Januari 2009 dengan tujuan memusnahkan umat Islam di sana dan para pejuang HAMAS yang berada di sana. Namun usaha Israel gagal dan mereka berundur.

3) Melalui sempadan Mesir – Ghazzah, bekalan makanan, perubatan dan sebagainya disalurkan kepada penduduk Ghazzah. Situasi itu menyebabkan Israel melakukan tekanan kepada Mesir termasuk melalui sekutunya, Amerika.

4) Israel mahu melihat penduduk Ghazzah mati kebuluran dan kesakitan dengan menyekat sebarang bantuan ke Ghazzah. Sekatan dan kepungan itu mesti dilaksanakan bukan saja di pihak Israel tetapi juga di sempadan Mesir -Ghazzah.

5) Pemerintah Mesir mendirikan tembok cerucuk konkrit sejauh 6 km di sempadan berkenaan dengan alasan bagi menjaga keselamatan rakyatnya. Hakikatnya tembok cerucuk berkenaan telah menyekat dan mengepung penduduk Ghazzah bagi mendapatkan sebarang bekalan dari Mesir.

6) Sebuah rombongan konvoi kemanusiaan kendalian Palestine Solidarity Campain telah bertolak dari London pada 5 Disember 2009 merentasi jalan darat melalui benua Eropah dan dijangka tiba pada 27 Disember sempena ulangtahun serangan Israel ke atas Wilayah Ghazzah.

7) Rombongan berkenaan diterajui oleh seorang ahli parlimen Britain yang telah berjaya mengumpulkan lebih 240 ambulan dan kenderaan pelbagai jenis untuk menghantar bantuan perubatan dan pelbagai keperluan lain bernilai lebih USD 1 juta.

8) Rombongan berkenaan yang bernama Viva Palestine Convoi 3 bagaimanapun disekat oleh kerajaan Mesir di Pelabuhan el-Arish yang tidak membenarkan mereka meneruskan perjalanan menyampaikan bantuan ke Wilayah Ghazzah.

9) Sekatan kerajaan Mesir menyebabkan bantahan masyarakat antarabangsa di seluruh dunia terutamanya pejuang hak asasi manusia, umat Islam dan seumpamanya. Rombongan konvoi juga terpaksa berdemonstrasi sehingga ada yang menerima layanan buruk daripada kerajaan Mesir. Ada yang dipukul dan dibelasah sehingga cedera parah dan berlumuran darah.

10) Tekanan antarabangsa menyebabkan kerajaan Mesir sedikit tunduk dengan membenarkan sebahagian besar pasukan konvoi bergerak masuk ke Wilayah Ghazzah. Bagaimanapun 59 daripada sejumlah 240 masih disekat daripada meneruskan perjalanan.

11) Umat Islam di seluruh dunia mesti menunjukkan sikap membantah tindakan Mesir yang menyekat dan mengambil tindakan sambil lewa terhadap sebarang usaha membantu umat Islam di Ghazzah. Mengambil sikap berdiam diri atau seumpamanya tidak bertepatan dengan saranan Nabi SAW :

a) “Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia ubah dengan tangannya. Jika tidak mampu, hendaklah ia ubah dengan lidahnya. Jika tidak mampu, hendaklah ia ubah dengan hatinya. Mengubah dengan hati itu adalah selemah-lemah iman”.

b) “Sesiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan orang Islam, ia tidak termasuk daripada kalangan mereka”.

12) Mengadakan himpunan secara aman bukan sahaja menunjukkan sikap kita terhadap sesuatu isu bahkan mendedah dan menyebarkan maklumat kepada umat Islam dan masyarakat keseluruhannya yang masih tidak mengetahuinya agar lebih mengambil berat terhadap situasi umat Islam di mana sahaja berada.

13) Himpunan aman semalam ini diadakan di perkarangan Masjid Bandar Kota Kinabalu selepas solat Jumaat. Ia dipimpin oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah dan turut disertai oleh Angkatan Muda Keadilan Negeri Sabah serta wakil pelbagai NGO yang prihatin serta umat Islam yang berada di sana.

14) Ramai wartawan akhbar hadir dan mengambil liputan. Para pegawai keselamatan dari PDRM turut mengawal lalu lintas dan memberikan kerjasama yang baik terhadap himpunan aman ini. Himpunan ini berakhir kira-kira jam 1.40 petang.

Setiap tahun ratusan warga Yahudi yang tinggal di Israel mendatangi Pejabat Jabatan Kehakiman untuk mengajukan keinginan mereka meninggalkan agamanya dan memilih Islam sebagai agama baru.

Sementara itu para aktivis Yahudi yang menentang fenomena ini mengatakan, tidak semua Yahudi yang masuk Islam melaporkannya ke Jabatan Kehakiman.

Media kedua terlaris di Israel setelah akhbar harian Yedioth Ahronoth, iaitu Tabloid Maarif yang berpusat di Tel Aviv memberitakan, bahawa beberapa data serta angka-angka menunjukkan ratusan warga Yahudi masuk Islam.

Tabloid yang kini juga terbit dalam versi bahasa Arab ini juga mengulas, bahawa fenomona ini sudah berlangsung sejak lima tahun terakhir.

Tabloid ini juga memberitakan, ada juga puluhan warga Yahudi yang meninggalkan agamanya dan masuk Kristian. Data dua tahun terakhir menunjukkan, dari 360 Yahudi yang melapor ke Jabatan Kehakiman untuk mengubah agamanya, 249 di antaranya menyatakan masuk Islam dan bakinya ingin pindah ke Kristian.

Hal ini menunjukkan bahawa setiap tahun sekitar 100 orang Yahudi bertukar agama, baik itu agama Islam maupun Kristian. Bilangan ini meningkat sejak tahun 2008 hingga ada 142 Yahudi yang menyatakan masuk Islam pada tahun ini.

Tabloid Maarif menjelaskan, sejak tahun 2009 hingga sekarang, terdapat 32 orang Yahudi yang mengajukan permintaan menukar agama. Angka-angka ini menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat Yahudi.

Di pihak lain, seorang anggota persatuan yang bernama “Keluarga Yahudi Selamanya” menyatakan : 

“Jumlah Yahudi yang menukar agamanya masuk Islam tidak sama seperti yang dilaporkan media, karena ada ratusan Yahudi lain yang masuk Islam tapi tidak melaporkannya ke pihak yang berwajib”.

Sementara salah seorang anggota Knesset bernama Adri Orbench menyatakan : “Setiap warga Yahudi yang bertukar agama akan sangat merugikan bangsa Yahudi”.

Sumber asal dengan sedikit edit : http://eramuslim.com (25 Julai 2009)

Catatan dari Paroi, Seremban, Negeri Sembilan.

%d bloggers like this: