SYED

Sumber : http://ustazsyed.blogspot.com/

POTONG TANGAN PENCURI

Motosikal dicuri. Kabel elektrik dicuri. Duit tabung masjid dicuri. Besi penutup longkang dicuri. Duit di dalam akaun juga ada yang dicuri. Pelbagai kes kecurian berlaku, apakah kesudahannya ? Bagaimana mengatasinya ? Jawapannya hanya satu, iaitu memotong tangan pencuri.

Imam Bukhari (no hadis 6788) dan Imam Muslim (no hadis 1688) meriwayatkan bahawa seorang perempuan dari qabilah besar dan sangat dihormati di kalangan masyarakat Mekah, iaitu qabilah Bani Makhzuum telah disabitkan kesalahan mencuri.

Lalu Quraisy begitu bimbang sekiranya perempuan bangsawan ini dipotong tangannya lalu mereka berbincang untuk mencari seseorang bagi memujuk Rasulullah s.a.w agar tidak menjatuhkan hukuman tersebut.

Akhirnya, mereka memilih Usamah bin Zaid bin Harithah untuk tugas itu kerana beliau adalah cucu angkat kesayangan baginda s.a.w. Setelah Usamah menyatakan perkara tersebut kepada Rasulullah s.a.w, baginda terus menjawab dengan tegas “ Adakah kamu ingin memberi syafaat (memujuk diriku agar tidak menjatuhkan hukum) dalam perlaksanaan hukum Allah ini ??”

Lalu baginda bangun mengadap orang ramai dan menyampaikan satu ucapan yang bermaksud :

“Sesungguhnya umat terdahulu sebelum kamu telah binasa kerana apabila golongan atasan dan bangsawan di kalangan mereka melakukan kesalahan, mereka dibiarkan. Apabila golongan bawahan dan rakyat biasa melakukan kesalahan, hukuman yang ditetapkan oleh Allah ( hudud ) dilaksanakan ke atas mereka. Demi Allah, sekiranya Fatimah binti Muhammad ( s.a.w) mencuri, nescaya aku pasti akan memotong tangannya !”.

Menurut Imam al-Qurtubi, perempuan daripada Bani Makhzuum itu bernama Murrah binti Suffian bin Abdil Asad dan dia adalah wanita pertama yang dijatuhkan hukuman potong tangan oleh Rasulullah s.a.w. kerana disabitkan kesalahan mencuri. (Tafsir al-Jaami’ li Ahkaam al-Quran- surah al-Maa’idah ; ayat 38 )

KEJAM

Ada pandangan yang mengatakan bahawa hukuman ini adalah kejam. Sebenarnya tindakan memotong tangan seseorang memanglah kejam, tetapi sekiranya orang itu adalah seorang pencuri, maka hukuman tersebut amatlah sesuai.

Ia bersifat memberi pengajaran kepada pencuri dan masyarakat sekeliling serta memberi peluang kepada pencuri untuk bertaubat dan memulakan kehidupan baru. Sesiapa yang tidak mencuri atau tidak  berniat untuk mencuri tidak perlu bimbang kerana hukuman ini hanyalah istimewa untuk para pencuri sahaja.

Bayangkan seorang ayah yang mengumpul duit saban bulan untuk membeli sebuah motosikal bagi kegunaan anak sulongnya yang baru melanjutkan pengajian di universiti, tiba-tiba motosikal itu dicuri !

Tanpa disedari, ada yang pernah menjadi mangsa pencuri telah mengeluarkan ungkapan “Kalau aku jumpa pencuri keretaku, akan kucincang sehingga mati !” Ada juga yang menyebut “Kalau dapat ditangkap orang gaji yang mencuri barang kemasku itu, akan kutikam sampai hancur !”. Para pembaca boleh bertanya mangsa-mangsa kecurian, apa yang akan mereka lakukan sekiranya dapat menangkap pencuri tersebut

PREVENTION IS BETTER THAN CURE.

Islam hadir dengan membawa suatu penyelesaian yang sederhana di dalam segenap aspek kehidupan manusia. Hukumannya bukan sahaja bersifat setimpal dengan kesalahan tetapi ia juga mengandungi unsur pencegahan. Allah berfirman yang bermaksud

“ dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. ( Surah al-Maa’idah ; 38 ). 

Walaubagaimanapun, seseorang pencuri tidak terus dipotong tangannya melainkan setelah cukup syarat-syaratnya seperti kadar nilaian barang curian, tersimpan di tempat yang selamat dan beberapa isu lain yang diperincikan di dalam kitab-kitab fekah. 

Para pengkaji di dalam bidang perundangan amatlah digalakkan untuk membuat kajian perbandingan berkenaan aspek “prevention (pencegahan) ” yang terkandung di dalam undang-undang jenayah Islam dan juga undang-undang ciptaan manusia.

Sekiranya masyarakat menyaksikan seseorang yang telah sabit kesalahan mencuri dipotong tangannya di khalayak ramai, pastinya tersemat satu perasaan gerun ke dalam hati mereka untuk melakukan jenayah yang sama. Begitu juga apabila pesalah yang dijatuhkan hukuman tersebut meneruskan kehidupan seharian dalam keadaan sebelah tangannya  terpotong, pasti akan menjauhkan dirinya daripada mengulangi jenayah mencuri lagi.

Bahkan masyarakat yang berurusan dengannya akan sentiasa mengambil iktibar setiap kali melihat pencuri tersebut  dalam keadaan terpotong tangannya. Hukuman ini akan menyebabkan pencuri itu insaf dan bertaubat, lalu ia akan terselamat di akhirat nanti.

Inilah keindahan islam. Seseorang yang melakukan kesalahan mesti dihukum, tetapi di dalam masa yang sama ruang untuk membaiki diri terbuka luas sebagaimana firman Allah di dalam sambungan ayat di atas yang bermaksud

Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan (mencuri) itu dan memperbaiki amal usahanya, Sesungguhnya Allah menerima taubatnya (selepas dipotong tangannya) kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Surah al-Maa’idah ; 39 )

Masyarakat juga boleh hidup dengan tenang dan aman daripada ancaman golongan yang berkarier sebagai pencuri ini.