Sumber : Web JHEAINS

Bagi menjunjung Titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, yang dilafazkan dalam Majlis Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke 13 pada 7 Mac 2016 yang telah bertitah:

“Menyokong penuh segala inisiatif bagi mendaulatkan Islam sebagai agama Persekutuan dan dalam masa yang sama agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas dan damai di negara ini. Berharap langkah-langkah ke arah memperkukuhkan institusi agama dan kecekapan perlaksanaan undang-undang pentadbiran agama Islam melalui pemerkasaan mahkamah syariah dapat disegerakan. Isu-isu keagamaan perlu dirujuk kepada pihak berautoriti agama dan tidak wajar dibuat tafsiran secara individu atau berkelompok kerana boleh mencetuskan kecelaruan, ketegangan dan konflik dalam masyarakat.”

Malah ia suatu yang bertepatan dengan roh dan semangat Perlembagaan Negara yang memperuntukan Islam sebagai agama Persekutuan dan sejajar dengan dua prinsip dalam Rukun Negara iaitu keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Apatah lagi ketika Negara kita mencapai kemerdekaan ke 59 tahun pada kali ini, maka adalah wajar segala yang berkaitan dengan Syariat Islam dan maslahat umat Islam di Negara ini terus berkembang dan diperkasakan termasuk memartabatkan lagi institusi perundangan Islam, iaitu Mahkamah Syariah.

Sehubungan dengan usaha memperkukuhkan institusi Islam dan juga pemerkasaan Mahkamah Syariah, satu Usul Persendirian telah dibawa dan dibentangkan dalam Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016 yang lalu bagi mencadangkan Rang Undang-Undang (RUU) Ahli Persendirian bernama Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016, selepas ini disebut “Cadangan Pindaan Akta 355”.

Usul Persendirian ini mencadangkan pindaan ke atas undang-undang ibu iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, yang disebut sebagai “Akta 355”. Selepas pembentangan itu, rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang, merentasi kaum, agama, budaya, bahasa dan ideologi telah memberi komen atau pandangan dalam isu ini. Termasuk kalangan orang biasa daripada petani, nelayan, orang kampung sehinggalah ahli akademik, cerdik pandai, profesional, pengamal undang-undang dan ahli politik mengemukakan hujahan masing-masing; sama ada menyokong atau menentang cadangan pindaan Akta 355 tersebut.

Sebagai umat Islam, kita mempunyai tanggungjawab dalam menyatakan pandangan dan sokongan melalui ilmu dan kefahaman terhadap usaha memperkukuh institusi Islam dan Mahkamah Syariah melalui pindaan Akta 355 berkenaan. Untuk itu, umat Islam hendaklah memiliki ilmu dan pengetahuan serta memahami dan seterusnya menjelaskan dengan sebaik-baik kepada masyarakat agar kebaikan dan kebenaran itu jelas dan tidak timbul kekeliruan.

Dalam hal ini, Syeikh Muhammad al-Ghazali menyatakan,“Apabila kamu ingin memelihara kebenaran dan menentukan batas-batasannya, kamu sepatutnya terlebih dahulu mengetahui kebenaran itu dan pelbagai perkara yang berkaitannya dengan kebenaran tersebut. Kamu mungkin menimbulkan persoalan kenapa perkara-perkara ini begitu penting? Kenapa tidak mengetahui pelbagai perkara yang berkaitan dengan sesuatu kebenaran itu akan merosakkan dan tersalah kefahaman mengenai kebenaran tersebut? Jawabnya, “Pengetahuan yang sempurna pasti memiliki batas-batasannya. Oleh itu, pengetahuan kamu berkenaan sesuatu perkara itu tidak akan pernah sempurna kecuali kamu benar-benar mengetahui perkara-perkara yang lain berkenaan dengan kebenaran tersebut atau yang menyerupai dengannya. Oleh itu, orang terdahulu pernah mengungkapkan sesuatu perkara itu boleh diketahui daripada perkara yang bertentangan dengannya. Kejahilan dalam apa jua perkara akan mengagalkan usaha kita bagi memahamkan masyarakat tentang kebaikan institusi Islam dan keadilan Islam. Benarlah kata, Syeikh Muhammad al-Ghazali, “Musuh utama kita adalah kejahilan kita sendiri.”

Sejarah membuktikan zaman pentadbiran Negara Madinah dibawah kepimpinan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda, adalah zaman pentadbiran yang berteraskan melaksana amanah dan menegak keadilan, yang mewjudkan kehidupan yang aman, damai dan semua kaum terbela. Begitu juga di zaman Khalifah Umar Abdul Aziz adalah zaman pentadbiran Islam yang makmur dan sejahtera selepas zaman Rasulullah SAW dan Khulafa’ Ar-Rasyidin. Tiada kerajaan atau pemerintahan sebelum atau selepas dua zaman itu boleh menyamai kepimpinan yang adil yang membawa keamanan, rahmat, keadilan, makmur dan sejahtera kepada Negara dan rakyat, Negara yang melimpah-limpah berkat ke atasnya.

Kerajaan Parsi, Rom dan juga Greek yang berkuasa pada zamannya pun tidak mampu menyamai atau menandingi zaman gemilang dan makmur zaman Madinah dibawah pimpinan Rasulullah SAW dan Khulafa’ Ar-Rasyidin dan zaman Khalifah Umar Abdul Aziz. Ketahuilah, bahawa limpahan berkat, rahmat, aman, damai, makmur dan sejahtera yang diturunkan oleh Allah SWT ke atas Negara Madinah, kerana musabab kepatuhan, keimanan dan ketaqwaan para pemimpin dan rakyatnya, sebagaimana firman Allah SWT di dalam Al-Quran:

Maksudnya: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab siksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”. (Surah Al-A’raaf, ayat 96)

Kenapa zaman Rasulullah SAW, Khulafa’ Ar-Rasyidin dan Khalifah Umar Abdul Aziz Negara Madinah, walau rakyatnya majmuk yakni berbilang kaum, suku, bangsa dan berbeza agama, ada Islam, ada Yahudi, ada Nasrani, ada Majusi, tetapi negara makmur, masyarakatnya bersatu, aman, damai dan sejahtera?

Sebab segala peraturan dan perundangan yang dilaksanakan zaman itu adalah berdasarkan Syariah atau Syariat Islam yang syumul dan lengkap segala aspek kehidupan umat manusia, tiada yang dizalimi. Malah semua kaum dan agama diberikan keadilan. Inilah antara keutamaan, hikmah, rahmat dan keberkatan yang akan berkembang dan hidup subur dalam kehidupan ummah, jika Syariat Islam terlaksana dengan baik dan sempurna dalam seluruh sistem kekeluargaan, masyarakat, ummah dan Negara.

Justeru, sebagai umat Islam yang cintakan keadilan dan keamanan, adalah sangat dituntut supaya bersama-sama mendokong dan menyokong segala usaha murni mengukuhkan institusi Islam melalui pemerkasaan Mahkamah Syariah . Dalam erti kata lain, pindaan Akta 355 hendaklah dialu-alukan dan disambut baik oleh setiap lapisan masyarakat Islam di negara ini tanpa prejudis. Ini kerana pindaan itu bertujuan menegakkan keadilan dan memelihara maslahat umat Islam dalam hal kekeluargaan, hal kesucian aqidah dan isu-isu masjid, waqaf, zakat dan sebagainya.

Pindaan Akta 355 sama sekali tidak terpakai ke atas golongan bukan Islam kerana akta itu sendiri menjelaskan bahawa ia hanya melibatkan orang Islam sahaja. Maka, selaras dengan kedudukan Islam yang begitu tinggi menurut Perlembagaan Negara, sudah sewajarnya Syariat Islam diperkasakan lagi supaya seiring dengan kehendak zaman dan kemunasabahan semasa. Kebenaran adalah milik Allah SWT, sebagaimana firman-Nya:

Maksudnya: “Kebenaran adalah datangnya dari Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan yang ragu-ragu”. (Surah Al-Baqarah, ayat 147)

Demikianlah, indahnya Islam, syariatnya dan hukum perundangannya dalam menjamin keadilan ditegakkan dan maslahat umat Islam dan manusia seluruhnya terpelihara dengan baik dan sempurna. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan hendaklah ahli Kitab Injil menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah di dalamnya dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang yang fasik”. (Surah Al-Maidah, ayat 47)

Advertisements