Sumber : Web JHEAINS

Segala puji dan syukur kita persembahkan ke hadrat Allah SWT kerana berbagai lapisan hidup masyarakat di Negara ini dapat terus beribadat dan bekerja mencari nafkah dengan bebas dan tenteram. Ia adalah petanda bahawa negara yang kita huni ini adalah aman dan selamat.

Keadaan dan suasana ini wajib kita pelihara dan lestarikan bersama sebagai menzahirkan kesyukuran dan penghargaan terhadap rahmat serta nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT yang sangat bernilai ini. Ini sejajar dengan anjuran Allah SWT menerusi firman-Nya:

Yang bermaksud: “Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberi tahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (S. Ibrahim: 7).

Dalam pada itu, kita juga hendaklah menyedari bahawa keamanan dan keselamatan yang kita kecapi ini juga adalah hasil jasa dan pengorbanan kesemua cabang pasukan keselamatan kita seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, Rela dan lain-lain lagi.

Mereka sentiasa setia dan siap siaga pada setiap masa menjalankan tugas memelihara dan mempertahankan keamanan dan keselamatan negara demi kesejahteraan semua tanpa rasa jemu.

Atas sumbangan mereka yang tidak ternilai harganya itu, maka bersempena sambutan Hari Polis pada 25 Mac ini, marilah kita hargai dan raikan jasa dan pengorbanan mereka itu dengan merafakkan doa ke hadrat Ilahi memohon agar kesemua anggota pasukan keselamatan kita sentiasa berada dalam keadaan sihat wal afiat, bersemangat tinggi, tabah dan komited terhadap amanah yang dipikulkan ke atas bahu mereka.

Mudah-mudahan, berkat keikhlasan dan dedikasi mereka mencurahkan khidmat bakti membolehkan rakyat dan Negara ini terus dilimpahi keamanan dan keselamatan supaya agenda pembangunan mensejahterakan rakyat berjalan lancar.

Dalam kita menikmati keamanan, keselamatan serta kesejahteraan hidup, marilah kita mengambil iktibar dan menginsafi pergolakan yang terus berlaku di pelosok dunia merangkumi konflik etnik, agama dan bangsa seperti di Syria, Iraq, Afghanistan, Myanmar dan lain-lain lagi.

Demikian juga dengan beberapa siri penculikan dan pencerobohan di negeri ini sehingga mengorbankan beberapa anggota keselamatan kita juga harus dijadikan iktibar serta pengajaran. Ia penting kerana kejadian dan tragedi berkenaan memberi peringatan kepada kita bahawa andai kita tidak berhati-hati dan sentiasa memelihara keamanan dan keselamatan yang kita nikmati selama ini, kita mungkin sahaja berhadapan dengan pelbagai lagi tragedi lebih buruk pada masa hadapan.

Ini tidak mustahil untuk berlaku dengan mengambil kira senario politik, ekonomi dan sosial dunia yang sangat tidak menentu mutakhir ini. Oleh hal yang demikian, bagi memastikan masyarakat sentiasa hidup harmoni, tenteram dan bersatu, maka seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan ideologi politik perlu bersamasama berganding bahu dengan pihak berkuasa memelihara dan melestarikan keamanan dan keselamatan sedia ada supaya kita tidak menyesal kemudian hari.

Rakyat yang cintakan keamanan dan keselamatan harus berperanan sebagai mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat-maklumat tentang kegiatan-kegiatan yang boleh mendatangkan mudarat kepada masyarakat dan Negara. Langkah ini sejajar dengan anjuran Allah SWT supaya bantu membantu dalam melakukan sesuatu yang memberi manfaat bersama, sebagaimana firman-Nya:

Yang bermaksud: “…Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (S. Al-Maaidah: 2).

Kerjasama dalam memelihara keamanan dan keselamatan penting kerana keamanan dan keselamatan yang kita kecapi hingga ke hari ini adalah satu nikmat dan khazanah warisan yang cukup bernilai. Ia tidak boleh ditukar ganti mahupun dijual beli dalam apa jua keadaan sekalipun. Hanya kesedaran dan keinsafan mampu untuk terus membantu membakar semangat cintakan masyarakat dan Negara.

Kita wajib mempertahankan negara yang kita bernaung ini daripada kerosakan dan kemusnahan angkara bukan sahaja penceroboh dan penjenayah rentas sempadan, tetapi juga pihak-pihak yang mengganggu-gugat perpaduan rakyat, kemurnian akidah, kestabilaan politik, kestabilan ekonomi dan sebagainya. Ini termasuklah mereka yang merosakkan akidah, mendukung ajaran sesat dan kumpulan yang mempelopori pendekatan revolusi dan anarki untuk merebut kuasa.

Pendek kata, kita perlu menangani budaya yang tidak sihat ini secara keseluruhannya kerana ia telah mula menular dalam masyarakat. Segala perbuatan yang boleh mengeruhkan hubungan antara masyarakat berbilang kaum dan agama serta menimbulkan kacau-bilau dalam masyarakat perlu dihindari. Mereka yang masih lena dibuai kelekaan fatamorgana duniawi perlu dibangkitkan kerana sesungguhnya penjajahan dalam bentuk baru boleh terjadi sekiranya masyarakat terus berbalah sesama sendiri.

Advertisements