Archive for 8 Mac 2016


ZIARAH TOK GURU

baqi1 baqi2

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/ketua-penerangan/40107-ziarah-tok-guru

NASRUDIN HASSAN | 24 Februari 2016.

1. Indahnya suasana dua Tok Guru bertemu. Mereka saling menasihati dan mendoakan antara satu sama lain. Suasana diceriakan dengan ucapan yang lucu tetapi ilmiah. Menyegarkan suasana dan Tok Guru Hj Baqi kelihatan sangat ceria dan gembira dengan kehadiran Tok Guru Hj Hadi.

“Tok Guru belajar sezaman dengan ana. Ana di Madinah, Tok Guru di Makkah” kata Tok Guru Hj Hadi kepada kami semua apabila saya bertanya berapa usia sebenar Tok Guru Hj Mohd Baqi.

2. Usia Tok Guru Hj Mohd Baqi kini mencecah 75 tahun. Masih gigih ke serata daerah untuk menyampaikan ilmu Islam kepada masyarakat.

“Kalau tidak kerana Allah swt suruh menyampaikan ilmu Islam ini, memang rasa nak berehat banyak di rumah. Kerja dakwah ini berat dan memenatkan. Tapi ini adalah tugas kita, kita kena sampaikan Islam ini kepada masyarakat” Tok Guru Hj Baqi memula bicara seraya menasihati kami anak-anak muda yang masih perlukan bimbingan yang banyak dari alim ulamak.

3. Tok guru berehatlah! Sambung Tok Guru Hj Hadi menasihati Tok Guru Hj Baqi. Nasihat itu disambut dengan senyum oleh beliau. Saya segera mencelah ” beginilah keadaan tok-tok guru kita, kalau tak sakit begini, tak reti nak berehat. Allah swt bagi sakit ni maknanya Allah nak suruh Tok Guru berehatlah seketika” usikan saya membawa rakan-rakan yang hadir turut ketawa kecil sambil membenarkan apa yang saya kata.

4. Seperti biasa, Tok Guru Hj Hadi tatkala menziarahi pesakit, beliau akan bagitahu ramuan ramuan herba untuk rawatan alternatif. Kali ini Tok Guru sebut ada sejenis ubi yang biasa orang asal menanamnya dan dikenali sebagai Ubi Sembelit (kalau tidak salah pendengaran saya tadi) yang sangat baik untuk rawatan kencing tak lawas.

5. Selain bab agama, Tok Guru Hj Hadi memang terkenal dengan pengetahuan mengenai ramuan dan rawatan herba/alternatif ini.

6. Hampir 25 minit kedua-dua Tok Guru kesayangan ummah ini berbual, Tok Guru Hj Hadi kata, ziarah orang sakit ni tak boleh lama-lama. Orang sakit nak berehat pulak. Saya nak mohon diri dulu sambil ketawa mesra.

7. Begitulah seringkali saya perhatikan akhlak Tok Guru Hj Hadi dalam bab ziarah ini. Saya sendiri acap kali juga mengiringi beliau menziarahi orang sakit sama ada di rumah mahupun di hospital.

8. Saya pernah bersama Tok Guru Hj Hadi menziarah Ustaz Ismail Mina di rumahnya yang sekian lama terlantar. Seperti biasa, Tok Guru akan mendoakan pesakit yang diziarahi dan menceritakan bahan-bahan herba untuk dijadikan rawatan alternatif sebelum mohon diri meninggalkan pesakit.

9. Kenangan saya terhenti apabila Tok Guru Hj Hadi minta izin untuk meninggalkan wad bagi meneruskan perjalanan beliau ke Terengganu. Sebelum Tok Guru Hj Hadi meninggalkan wad, Tok Guru Hj Baqi sempat meminta supaya Tok Guru Hj Hadi mendoakan beliau agar dikurniakan kesihatan untuk terus menyambung tugas dakwahnya. Allahu Akbar! Menitis air mata saya…

10. Ya Allah! Aku bangga bersama jamaah ini. Jamaah yang dipimpin oleh orang yang berilmu, warak dan memimpin jamaahnya dengan ilmu Islam. Kurniakanlah kesihatan dan keafiatan buat alim ulamak ini terus memimpin perjuangan Islam di bumi tercinta.

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/40238-perangkap-ekonomi-jatuhkan-uthmaniyah

RAZMAN ZAKARIA | 04 Mac 2016.

KEGEMILANGAN Islam yang telah dibangunkan Rasulullah SAW bersama para sahabat bermula dari Tanah Hijjaz sehingga berjaya diperluaskan seantero dunia.

Kehebatan Islam terus ditampilkan dengan keadilan untuk melindungi sesiapa sahaja tanpa membenarkan kezaliman berkuasa. Namun pada detik 3 Mac 1924 segalanya menjadi peristiwa duka bagi seluruh umat Islam.

Kecekalan usaha Sultan Abdul Hamid II mampu bertahan menghadapai tuduhan fitnah berkaitan pembunuhan berdarah di Kota Istanbul yang telah dirancang oleh pihak Zionis pada 31 Mac 1909.

Beberapa siri peperangan telah direncanakan Mustafa Kamal Atartuk untuk menggulingkan khalifah dengan kerjasama dari anggota Zionis Antarabangsa.

Maka bermula lakaran detik pedih dalam jiwa umat Islam antaranya menggantikan sekolah agama kepada sekolah sekular dibawah Kementerian Pendidikan bahkan laungan azan ditukarkan ke dalam bahasa Turki.

Antara pengajaran peristiwa hitam ini adalah kerana kelemahan dasar ekonomi apabila  pemulihan semula Ekonomi di Turki telah memberi tekanan kepada Turki Uthmaniyah untuk melakukan pembaharuan dalam pelbagai bidang.

Lebih parah kerajaan Khilafah Uthmaniyyah mengalami hutang yang kronik. Contohnya zaman pemerintahan Sultan Mahmud (1808 – 1839) yang terlalu mengagumi kemajuan Eropah.

Misalnya projek jaringan keretapi “Orient Railway” dan pembinaan Istana Dolmabahce yang megah menggantikan Istana Topkapi. Akibatnya jerat hutang semakin bertambah, bunga hutang yang mencekik menyebabkan Kerajaan Khilafah Uthmaniyah hampir bankrap.

Sultan Abdul Aziz meneruskan pemulihan sehingga empayar tersebut muflis pada 1875 dengan pinjaman besar dari Eropah, membawa kepada tertubuhnya Pentadbiran Hutang Awam Kebangsaan Uthmaniyah, yang kerajaan dan pemilik bank Eropah mengawal kewangan Uthmaniyah.

Pada 1876, setelah Sultan Abdul Hamid II menaiki takhta, hutang yang ditanggung oleh kerajaan Khilafah Uthmaniyyah  ialah melebihi 200 juta  pound Sterling.

Ini membuktikan proses pemulihan dalam bidang ekonomi memberikan kesan buruk dalam kestabilan ekonomi Khilafah Uthmaniyah  dan akhirnya menghancurkan Khilafah Uthmaniyah.

Umat Islam perlu sedar sejarah ini bukan sekadar tinggalan biasa bahkan untuk membuka jiwa Muslim memahami bahawa usaha menjatuhkan Islam bukan bermula hari ini bahkan sekian lamanya.

Perubahan kehidupan berlandaskan syariat bukan lagi menjadi pilihan bahkan kewajipan untuk mengembalikan satu kehilangan yang pernah berlaku satu ketika dahulu.

Biarpun puluhan tahun berlalu, namun umat Islam masih terus leka dengan kehidupan seakan ia tidak memberi erti kepada Islam. Jangan biarkan Islam dihina dan diracuni budaya yang merosakkan keharmonian Islam sebenar. – HARAKAHDAILY 4/3/2016

Penulis ialah Pesuruhjaya PAS Perak

%d bloggers like this: