Archive for 27 Mac 2016


Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/headline/40536-menangguk-di-air-keruh

Perumpamaan yang menjadi pepatah Melayu yang menarik, ditujukan kepada sesiapa yang mengambil peluang daripada kekeruhan yang berlaku, laksana nelayan menangkap ikan yang mudah dengan mendapat peluang tangkapan ikan apabila airnya keruh, kerana mangsanya tidak nampak pukat, kail dan tali yang digunakan untuk menangkapnya. Inilah peluang keemasan bagi penangkap ikan menggunakan jala, pukat dan kail untuk mendapat ikan sebanyak-banyaknya.

Dalam arena politik dan peperangan pula, peluang untuk mengalahkan musuh yang mengalami krisis dan masalah, khususnya masalah dalaman kerana leka dan pening dengan masalah yang dialami dan dihadapi sehingga tidak mampu menghadapi lawan sepenuh tumpuan dan masa.

Ramai kalangan bertanya, mengapa PAS tidak mengambil peluang daripada krisis parti kawan dan lawan yang sedang dihadapi oleh masing–masing? Khususnya kerana PAS dikira selesai menghadapi masalah dalamannya, sehingga menyingkirkan masalahnya menjadi serpihan.

Perlu difahami bahawa politik perlu kepada perhitungan yang amat teliti dan mendalam. Kepada ahli dan penyokong setia PAS, saya tegaskan bahawa politik yang berlandaskan Islam wajib berakhlak bagi mencapai kemenangan, bersama hikmah yang berhidayah kerana politik kita ada perhitungan dosa dan pahala. Matlamatnya pula tidak menghalalkan cara dan bukan untuk berlumba menjadi pemimipin semata-mata atau memikul amanah menjadi peluang untuk mengambil kesempatan bagi diri dan kroni tetapi amanah menyelamatkan ummat dunia dan akhirat.

Allah mengesahkan dalam Surah Yasin, malangnya dibaca hanya untuk kematian, bukannya petunjuk di alam kehidupan dunia yang mencabar. Kisah ucapan seorang yang beriman dan budiman berusaha sehingga mengorbankan dirinya kerana menyelamatkan tiga rasul yang dikepung:

وَجَاءَ مِنْ أَقْصَى الْمَدِينَةِ رَجُلٌ يَسْعَى قَالَ يَا قَوْمِ اتَّبِعُوا الْمُرْسَلِينَ (20) اتَّبِعُوا مَنْ لَا يَسْأَلُكُمْ أَجْرًا وَهُمْ مُهْتَدُونَ (21) سورة يس.

“Tiba-tiba datanglah seorang lelaki yang tinggal dipinggir bandar, yang datang dengan segera (menyertai para Rasul yang dikepung oleh khalayak ramai yang membohonginya). Lelaki itu menegaskan dengan katanya: “Wahai kaumku yang tersayang! Ikutlah beriman kepada para Rasul ini. Ikutlah orang yang tidak meminta apa-apa upah daripada kamu. Mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk Allah” (Surah Yasin: ayat 20-21)

Rasulullah S.A.W. berjuang dengan tema ini ketika berdakwah dan berpolitik menyebarkan Islam dan mendaulatkannya. Apabila dakwahnya diterima, sikapnya menerima hakikat dengan sikap yang ikhlas kepada tujuan dakwah dan politiknya yang matang.

Apabia penduduk asal Madinah (‘Aus dan Khazraj) serta kalangan bukan Islam dalam masyarakat majmuk menerimannya sehingga dimeteraikan Piagam Madinah, maka Baginda Rasulullah S.A.W. menerimanya sehingga berhijrah dan memimpin negara.

Apabila Raja Habsyah, Masqat, Oman dan Bahrain menerima Islam, mereka dikekalkan di atas takhtanya. Adapun yang tidak menerima Islam dan berdamai diberi peluang tanpa paksaan. Ada pun yang menentangnya pula, dilawan dengan cara yang sewajarnya dengan pendekatan yang adil terhadap semua, bukannya melampau dan membalas dendam. Apabila mencapai kemenangan, sikapnya mengutamakan kemaafan lebih daripada menghukum.

Ditanya mengapa PAS tidak menangguk di air keruh politik terkini?

Umno yang memerintah negara dan negeri menghadapi krisis dalaman di peringkat pusat dan negeri seperti Kedah dan Terengganu yang dikira sangat kuat PASnya. DAP juga yang kini paling bermusuh terhadap PAS menghadapi krisis dalaman dan luarnya juga.

Mengapa PAS tidak bersungguh menyokong usul undi tidak percaya menjatuhkan kerajaan pusat dan khususnya Terengganu yang paling dekat laksana dicapai tangan sahaja, kerana kerusi Adun PAS yang hampir mendekati majoriti mudah? Mengapa tidak bersemangat menyertai himpunan yang dianjurkan oleh pakatan pembangkang yang bersemangat bergabung dengan Umno yang memprotes pemimpinnya?

Jawapannya kepada ahli PAS dan penyokongnya, bahawa nelayan yang bijak walaupun miskin, tidak boleh menangguk di air keruh yang ikannya bercampur belut, ular dan buaya, kerana membahayakan diri dan merosakkan jala dan pukat, bahkan boleh menenggelamkan perahunya serta membahayakan diri.

Keadaan yang begini lebih baik menangguk di air jernih yang nampak manfaat dan dilihat mudaratnya, walaupun bersusah payah, kerana pukat kita belum kukuh, keadaannya boleh merosakkan pukat, memutuskan tali pancing dan kita masih berperahu yang boleh ditenggelamkan dengan mudah kalau dibedal buaya atau dimasuk ke dalamnya ada yang gelikan belut boleh melompat ke dalam dan keluar atau disengat ular sehingga mati.

Kepada pihak yang lain saya tegaskan, bahawa kita adalah Parti Islam yang berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah bersama dakwah dan Siyasah Syariyyah, berkepimpinan ulama dan ilmuan yang wajib beriman dan budiman.

PAS bukannya parti yang sifatnya angkut penyokong dan pengundi tanpa perhitungan. Makan diri kawan untuk naik. Angkut ahli sehingga menyusahkan diri. Nak cari setiap peluang tanpa perhitungan. Angkara dicipta sehingga menyusahkan rakyat. Hentam melulu tanpa tujuan yang betul. Ulama dan ilmuannya laksana terompah kayu yang digunakan sekadar untuk masuk ke tandas kemudian ditinggalkan.

Marilah kita pilih politik yang jernih dan matang, bukannya menangguk di air keruh yang mengelirukan dan menyusahkan semua. Sebab yang kita hadapi kini semuanya kerana penentuan kita melalui pilihan raya.

Buah salak, buah kedondong,
Dipungut buang ke dalam baldi,
Bukan salah ibu mengandung,
Tetapi silap memangkah undi.

“BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS       
17 Jamadil Akhir 1437 / 26 Mac 2016 – HARAKAHDAILY 26/3/2016

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/40529-ibadah-dalam-politik

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | 25 Mac 2016.

Asal ugama adalah hubungan hamba dengan tuhan penciptanya. Melalui ugama manusia akan mengenal tuhanNya lalu menyembahNya. Apabila Allah disembah, maka tercapailah matlamat wujudnya ugama dan para rasul di dalam kehidupan manusia.

Adapun hubungan manusia dengan sesama manusia, itu asalnya bukan hal ugama. Tanpa ugama, manusia sudah pun saling mengenal dan saling berhubungan sesama mereka. Ia adalah perihal sosio politik, bukan perihal ugama.

Ada manusia yang apabila memperolehi ugama dan mencintainya, dia masuk hutan atau menyendiri jauh daripada kehidupan manusia kerana mahu menyembah Allah setulusnya. Dia bimbang kejahatan manusia ke atas diri dan ugamanya atau dia takut dirinya kembali menjadi jahat apabila bergaul dengan kawan-kawan yang jahat. Maka dia menyembah Allah dan tidak menggauli manusia lain apatah menyakiti mereka.

Orang ini dipuji juga oleh Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam. Dia telah melaksanakan asal ugama iaitu mengenali dan menyembah Allah.

Tetapi ia langsung bukan satu seruan ugama. Ia hanyalah satu pengecualian dalam keadaan dan kes tertentu. Ashabul Kahfi misalnya, melarikan diri dari perbandaran dan masuk ke dalam gua akibat bimbangkan kejahatan kaumnya. Allah memuji dan tidak pun mendakwa mereka sebagai lari daripada tugas ugama. Bahkan ia adalah demi memelihara ugama dan kehidupan mereka.

Asal ugama walaupun untuk manusia mengenal dan berhubung dengan Allah melalui ibadah, tetapi ugama telah diberi peranan oleh Allah dalam kehidupan sesama manusia. Allah mahu ugamaNya hidup dalam kehidupan sesama manusia juga.

Ertinya, sebagaimana ugama itu adalah hubungan di antara al khaliq dengan makhlukNya, begitu juga ugama telah diberi peranan dalam hubungan sesama makhluk. Allah mahu makhlukNya berhubung dengan makhlukNya yang lain melalui cara yang dikehendaki dan disukaiNya.

Maka ugama, selepas menyelesaikan perihal hubungan kita dengan tuhan kita, ia datang pula bagi menyelesaikan hubungan kita sesama kita. Maka di sini, ugama memasuki kehidupan sosial, politik, ekonomi dan seluruh penjuru kehidupan manusia.

Hidup ini bukan semata-mata menghadap Allah di tikar sejadah. Hidup ini juga adalah menghadap manusia. Begitu hidup, begitulah ugama. Ugama adalah fitrah. Ia seragam dengan fitrah manusiawi. Manusia diciptakan untuk hidup berkelompok dan madani sifatnya. Justeru ugama fitrahnya adalah seragam dengan kemadanian dan hidup bermasyarakat.

Apabila ugama memasuki kehidupan manusia dalam segala cabangnya, maka ia menganjurkan hubungan yang harmoni sesama makhluk. Hubungan yang harmoni berlaku dengan perlaksanaan kebaikan dan kebajikan sesama manusia. Justeru selepas seruan menyembahNya, Allah menyeru agar hambaNya melakukan kebaikan sesama mereka.

Perhatikan firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman, ruku’lah dan sujudlah dan sembahlah Tuhanmu dan lakukanlah kebaikan/al khair (sesama kamu) semoga kamu semua beroleh kemenangan.” – surah al Haj:77

Ayat ini mudah difahami maksudnya. Ia pernyataan yang jelas bahawa Islam menuntut kewujudan dua suasana dalam kehidupan manusia beriman iaitu aman hubungan mereka dengan Allah melalui solat dan aman juga hubungan mereka sesama manusia melalui saling melakukan kebajikan.

Justeru berbuat baik sesama manusia adalah ibadah kepada Allah. Ia dikategorikan sebagai amal taat kepada perintah Allah. Allah menyuruh solat dan Allah menyuruh berbuat kebaikan. Maka kedua-duanya adalah ibadah taat dan tunduk kepada kehendak dan perintahNya.

Sebagaimana kelebihan dalam ibadah hubungan dengan Allah dinilai ukur pada keikhlasan dan istiqamah, begitulah ibadah hubungan sesama manusia dinilai ukur pada keikhlasan dan istiqamah mereka melakukan kebajikan sesama manusia.

Justeru berlakulah perlumbaan sesama manusia yang beriman dalam melakukan ibadah dan kebajikan. Maka anda tidak dapat melihat di dalam Islam selain seruan yang paling sempurna ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan manusia.

Bermula daripada hubungan kekeluargaan di antara anak dan ibu bapa, suami isteri, kaum kerabat, jiran tetangga dan masyarakat, Islam menganjurkan kebaikan dalam negara dan masyarakat antarabangsa. Bahkan Islam terus mara dengan arahan dan anjuran agar dijaga dan dipulihara alam raya yang diciptakan untuk kehidupan makhluk manusia yang dipilih oleh Allah sebagai tuan di muka bumi ini.

Apabila anda memahami ini, maka fahamilah bahawa politik Islam adalah politik kebaikan dan kebajikan. Ia menganjurkan segala jalan-jalan ke arah keharmonian dan kebahagiaan hidup dalam negara. Ia menolak kezaliman dan segala bentuk halangan daripada melakukan kebaikan.

Dalam politik kenegaraan, istilah kebaikan diperluaskan dalam dua perkataan yang lebih menyeluruh iaitu keadilan dan kesatuan. Di dalam al Quran dan sunnah, kita akan menemukan banyak arahan agar ditegakkan keadilan dan ditegah kezaliman serta dipupuk perpaduan umat dan ditegah perpecahan dan pemutusan silaturrahim sesama manusia.

Politik Islam menolak segala cara yang menimbulkan perbalahan, kebencian, keterlampauan dan segala apa yang menambahkan duka lara kerosakan dalam kehidupan. Segala usaha-usaha politik oleh setiap muslim mestilah dengan hasrat melakukan islah, pembaharuan dan perubahan ke arah lebih baik dan melalui cara yang baik juga.

Apabila anda memahami ini, maka anda akan lebih mudah memahami mengapa PAS yang mewakili pengamalan politik cara Islam dalam negara berusaha keras ke arah itu. Ia mungkin kadang-kadang dirasai kepelikannya oleh sebahagian peminat politik, tetapi bagi pengamat agama Islam, ia akan mudah menghadamkan kebijakan dan istiqamah PAS berpolitik dalam semangat dan matlamat beribadah kepada Allah. – HARAKAHDAILY 25/3/2016

%d bloggers like this: