Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

Tazkirah Ramadhan (16)

Sebaik mana dan seadil mana seseorang itu, tetap adalah kekurangannya. Sejahat mana dan sezalim mana seseorang itu, tetap adalah kelebihannya. Tapi takkan sama antara keduanya. Yang baik dicontohi dan dibaiki kekurangannya. Yang buruk dijauhi, cuma dicontohi kebaikannya.

Justeru janganlah menerima pemimpin yang jahat kerana kebaikannya. Tolak mereka dan ambil saja kebaikannya. Sebaliknya, junjunglah dan contohilah pemimpin yang baik. Kekurangannya pasti terbaiki di tanganmu.

*****

Tazkirah Ramadhan (17)

Orang yang kurang kesungguhannya pada awal Ramadhan tetapi menambah dan memperbaikinya di akhir Ramadhan adalah lebih baik daripada orang yang bersungguh-sungguh pada awal Ramadhan tetapi layu di akhir Ramadhan.

Di dalam satu hadis:

إنما اﻷعمال بخواتيمها

“Sesungguhnya segala amalan itu dikira berdasarkan penamatnya.”

Justeru bangkitlah wahai tetamu Ramadhan pada 10 terakhir Ramadhan ini. Baikilah segala yang kurang dan cacat. Semoga ALLAH menganugerahi kita yang terbaik sepanjang umur kita ini.

*****

Tazkirah Ramadhan (18)

“Seterusnya, dipersilakan Mek binti Awang…” ujar Bilal Khairul Azwar, selaku pengacara mempersilakan dia untuk menerima sumbangan Ramadhan. Program ini diadakan di Masjid Muhammadi Kota Bharu selepas Kuliah Asar hari pertama puasa pada tahun ini.

Mek tampil ke depan menuju ke arah YB SS Dato’ Mufti Negeri ini yang sedang mengagihkan sumbangan itu. Mek tersenyum. ” Dato’, Mek inilah satu- satunya ahli jemaah Muslimat yang hadir solat berjemaah sewaktu Banjir Besar 2014, di Masjid Muhammadi ini. Orang lelaki hadir sembahyang hanyalah empat orang sahaja solat Subuh, Mek ini mengharungi air bah besar untuk mari solat…” beritahu ambo kepada Dato’ Mufti. Mek hanyalah tersengih. Dato’ Mufti juga tersengih, menyerahkan sumbangan tersebut kepada Mek.

Hari ini, Mie Kerani, staf ambo yang menguruskan urusan pengurusan jenazah di masjid ini telah memaklumkan kepada ambo bahawa Mek telah meninggal dunia tadi. Ambo terkejut kerana sehari dua ini ambo ada berseloroh dengan dia di kala berselisih di lorong kediamannya. Dia ketawa kerana ambo memujinya yang sentiasa awal ke masjid.

“Mek rebah ketika sedang membaca al Quran di masjid kita kelmarin. Terus tidak kabar. Dia dibawa ke hospital. Hari ini disahkan meninggal. Gemulah ini pesan, sekiranya dia meninggal, hendaklah diuruskan segalanya di masjid kita, jangan dibawa balik ke rumah lagi. Gemulah ini berpesan sebelum rebah lagi….” ujar Mak Nik Sah, guru al Quran kepada Mek dan juga Muslimat lain di masjid ini.

Kami menerima pesanan Mek ini. Jenazah beliau dimandi, dikapan dan disolatkan di Maajid Muhammadi petang ini.

Inna lillahi wa inna ilaihi rojiun…
Allahummaghfir laha, warham ha, wa ‘afiha wa’fu ‘anha…

Kembalinya Mek di bulan mulia
Menemui Penciptanya Yang Maha Esa
Rebah tidak kabar di masjid yang dicinta
Dimandi, dikapan, disolat sangatlah mulia
Solat diimamkan oleh Tuan Imam Tua
Meskipun di dunia tidak sempat berhariraya
Namun akan berhariraya di akhirat sana

Sejujurnya, ambo terasa kehilangan dia..
( Mek binti Awang – Lahir 1938, Meninggal 26 Jun 2016 )

Catatan Sebelum Iftor
Imam Tua
Masjid Muhammadi Kota Bharu
Ahad, 21 Ramadan 1437H

*****

Tazkirah Ramadhan (19)

Beruntunglah kita dengan rahmat-NYA yang luas meliputi segala..

Walau banyak dosa kita, kita masih seorang MUSLIM yang kekal di jalan-NYA yang lurus.

Walau berulang-ulang maksiat kita, kita masih seorang MUKMIN yang diseru-NYA dengan penuh kasih dan sayang.

Walau keras hati kita, kita masih mendengar ketukan lembut panggilan-NYA

Walau begitu lalai dan alpa kita, kita masih melihat lambaian pintu taubat-NYA yang luas.

Tuhanku,

Ampunilah dosaku
Maafilah kesalahanku
Tutupilah keaibanku
Afiatkanlah tubuhku
Kasihanilah diriku

Tuhanku,

Bersihkanlah hatiku
Cerahkanlah dadaku
Sempurnakanlah imanku
Tambahkanlah amal solehku
Tinggikanlah darjatku

Tuhanku,

Muliakanlah diriku
Berkatilah umurku
Bahagiakanlah hidupku
Terimalah daku
Hidup dan matiku..

*****

Tazkirah Ramadhan (20)

Jika hidupmu penuh aman, maka ketahuilah bahawa hidup umat nabimu penuh ketakutan. Bagaimana engkau boleh merasa aman daripada pertanggungan di hadapan ALLAH nanti?

Jika hidupmu senang lenang, maka ketahuilah saudara seIslammu di mana-mana sedang hidup dalam kesempitan. Bagaimanakah engkau boleh hidup senang sedang engkau melihat kesempitan di sekelilingmu?

Jika hidupmu penuh bebas, maka ketahuilah ugama Islammu terpenjara di mana-mana. Bagaimana engkau boleh merasa bebas membiarkan Islammu diperhambakan musuh?

Jika keamanan milikmu, maka ketahuilah ia adalah milik umat nabimu juga. Engkau merampasnya tanpa belas kasihan.

Jika kesenangan milikmu, maka ketahuilah saudaramu juga berhak hidup senang sepertimu. Engkau meragutnya demi kepentingan diri sendiri.

Jika kebebasan milikmu, maka ketahuilah itu adalah pemberian dan anugerah ugamamu. Engkau memerangkapnya dengan penuh kezaliman.

Ketahuilah Ramadhan hadir untuk mengingatkan dirimu akan kesalahan dan jenayahmu terhadap ugama dan umatmu. Masihkah engkau lalai?

Segala nikmat adalah daripada-NYA. Segala nikmat mestilah dikembalikan demi ugama-NYA. Hidup mati adalah untuk ALLAH tuhan semesta alam.

Advertisements