Archive for 22 Julai 2016


Sumber : Web JHEAINS

Bertuah, beruntung dan berbahagialah, orang yang hidupnya bertaqwa. Kerana hamba Allah SWT yang bertaqwa itu teramat istimewa dan mulia di sisi Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT menjanjikan segala rahmat, kebaikan, keberkatan dan limpah kurnia-Nya untuk hamba-hamba-Nya yang bertaqwa, beriman dan beramal soleh, antara keutamaan orang yang bertaqwa dan juga sifat taqwa itu, ialah:

1. Orang yang bertaqwa adalah hamba Allah paling mulia. Firman Allah SWT: Maksudnya: “…Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)”. (Surah Al-Hujuraat, ayat 13)

2. Bertaqwalah dengan memerhati apakah amal-amal soleh untuk hari esok, iaitu hari akhirat nanti. Firman Allah SWT bermaksud : “Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan); Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan”. (Surah Al-Hasyr, ayat 18)

3. Sebaik-baik bekalan ialah taqwa, yakni memelihari diri daripada keaifan meminta-minta sedekah. Firman Allah SWT bermaksud : “…Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaifan meminta sedekah dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahami”. (Surah Al-Baqarah, ayat 197).

4. Beruntung sungguh orang yang bertaqwa dikurniakan jalan keluar daripada kesusahan dan rezeki yang tidak disangka-sangka. Firman Allah SWT bermaksud :  “…dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu”. (Surah At-Talaaq, ayat 2-3)

5. Orang bertaqwa dipermudahkan oleh Allah SWT segala urusannya. Firman Allah SWT bermaksud : “…Dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya”. (Surah At-Talaaq, ayat 4)

6. Orang bertaqwa diampuni dosanya dan mendapat pahala yang besar di sisi Allah SWT. Firman-Nya di dalam Al-Quran maksudnya: “…dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahannya dan akan membesarkan pahala balasannya”. (Surah At-Talaaq, ayat 5)

7. Sifat taqwa dan bertaqwa dalam menjaga zuriat keturunan serta anak yatim. Firman Allah SWT bermaksud : “Dan hendaklah takut (kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak-anak yatim oleh) orang (yang menjadi penjaganya), yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak da’if (yatim) di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka, oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran)”. (Surah An-Nisaa’, ayat 9)

8. Sifat taqwa dan bertaqwa dalam melaksana perintah berlaku adil dalam kehidupan bermasyarakat, firman Allah SWT bermaksud : “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”. (Surah AlMaidah, ayat 8)

9. Sifat taqwa dalam membina bangunan seperti masjid, surau, sekolah dan lain-lain dengan asas taqwa. Firman Allah SWT bermaksud : “Maka apakah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredhaan Allah itu lebih baik, ataukah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia dengan orang yang membangunkannya ke dalam api neraka? Dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada orang yang zalim”. (Surah At-Taubah, ayat 109)

10. Sifat taqwa dan bertaqwa dalam pakaian dan pakaian taqwa sebaik-baik pakaian. Firman Allah SWT: bermaksud: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup ‘aurat kamu dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur)”. (Surah Al-A’raaf, ayat 26)

11. Sifat taqwa dan bertaqwa dalam membentuk anak isteri dan ahli keluarga, sebagaimana doa di dalam Al-Quran. Firman Allah SWT bermaksud : “Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang) yang berdoa dengan berkata: ‘Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang (mahu) bertaqwa”. (Surah Al-Furqaan, ayat 74).

12. Hidup bermasyarakat dengan nilai-nilai taqwa. Firman Allah SWT bermaksud : “…Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab siksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)”. (Surah Al-Maidah, ayat 2)

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/presiden/41923-turki-berselindung-di-sebalik-topeng-yang-koyak

Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran:

وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡيَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمۡۗ قُلۡ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلۡهُدَىٰۗ وَلَئِنِ ٱتَّبَعۡتَ أَهۡوَآءَهُم بَعۡدَ ٱلَّذِي جَآءَكَ مِنَ ٱلۡعِلۡمِ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِيّٖ وَلَا نَصِيرٍ (١٢٠ البقرة)

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikut agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikut kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” (Surah Al-Baqarah: ayat 120)

Sebaik sahaja gagalnya rampasan kuasa di Turki oleh segelintir tentera yang mengaturnya, keseluruhan negara barat, termasuk negara Islam yang berada di bawah ketiaknya yang busuk itu membuat kenyataan menyokong kerajaan Turki yang dipilih secara demokrasi, dengan peringatan supaya menghormati undang-undang dan hak asasi manusia, termasuk tidak menjatuhkan hukuman bunuh terhadap mereka yang nyata terlibat dengan rampasan kuasa yang telah terkorban dibunuh dan cedera ditembak.

Beberapa minggu dan bulan sebelum rampasan kuasa, beberapa media barat menyiarkan penulisan yang menyatakan kebimbangan dan keraguan terhadap Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang dianggap melakukan perubahan yang dikira ancaman dan bahaya oleh mereka khususnya kembali kepada Islam dan mengubah kiblat politiknya dalam hubungan antarabangsa.

(merujuk kepada Foreign Afairs 30 Mei, Foreign Policy 15 Jun, New Yorks Times 5 Julai)

Perlu diketahui senario dahulu yang diulang lakonannya, betapa kuasa besar barat yang berjaya menumbangkan kerajaan Uthmaniyyah di awal abad yang lalu, setelah berjaya mengkhadamkan pemerintah umat Islam yang berpeluang mendapat kerusi berkuasa memerintah negara tanpa hala tuju Islamnya, di samping Kerajaan Uthmaniyyah yang sangat uzur itu berjaya ditumbangkan, sehingga tanah air umat Islam dijajah, dipecah dan diperintah, rakyatnya diabdikan, hartanya rompak.

Setelah berjaya meletakkan Kamal Atartuk yang ditabalkan sebagai “Bapa Turki” moden dengan menyingkirkan Islam dan melanyaknya habis-habisan, sehingga dimasukkan ke dalam buku teks di seluruh negara jajahan termasuk negara kita supaya mengagungkan Kamal Atarturk.

Kamal Atartuk seorang ketua tentera diktator disanjung oleh barat sebagai seorang yang paling demokrasi dengan perlindungan istimewa melalui perlembagaan Turki yang dipilih anggotanya secara pilihan raya bebas dan demokratik, telah meletakkan di dalam perlembagaan Turki, prinsip dan konsep sekularisme yang mengharamkan politik Islam dengan apa cara sekalipun.

Sesiapa sahaja pemimpin yang hanya mencuba untuk memasukkan agenda Islam dalam kerajaannya mewajibkan tentera mengambil alih kuasa dengan perlindungan perlembagaan, inilah demokrasi ala Turki. Maka, sesiapa yang mahu memakai jenama Erdogan di Malaysia mesti membaca dan memahaminya.

Di  awal tahun 50-an, Ali Adnan Menderes, seorang tokoh ilmuan Turki (peguam) keluar daripada Parti Kamal Atarturk (Parti Republik Rakyat) dan menubuhkan Parti Demokrat berdasarkan sekularisme mengikut undang-undang Turki.

Parti ini mencapai majoriti besar dalam Pilihanraya Umum 1954 dan Adnan dilantik menjadi Perdana Menteri, beliau berjaya meningkatkan ekonomi Turki dalam aspek pertanian sehingga menjadi negara pengeksport pertanian besar ke pasaran Eropah, dengan mendapat sokongan besar daripada rakyat.

Tiba-tiba tentera dipimpin oleh General Jamal Jorsel merampas kuasa Adnan bersama Menteri Luar Potin Rusydi Zoghlo dan Menteri Kewangan Hasan Pulatkan dijatuhkan hukuman bunuh, kerana dituduh mengheret Turki kepada Islam. Semua negara barat berdiam diri apabila Islam menjadi mangsanya.

Selepasnya, muncul pula  Profesor Najmuddin Erbakan tokoh jurutera, pencipta jentera berat di Jerman, khususnya menggunakan diesel. Beliau pulang ke Turki pada tahun 1960, sehingga berjaya melahirkan 300 orang pakar jentera dan Turki dapat mengeluarkan 30,000 buah jentera diesel setahun, menjadikannya tokoh yang sangat dihormati di Turki.

Seterusnya, beliau masuk ke alam politik menubuhkan Parti Kebangsaan Turki. Selepas sembilan bulan parti ini diharamkan kerana amaran panglima tentera General Muhsin Batur disebabkan lantangnya bersuara Islam.

Tahun 1972, Profesor Erbakan menubuhkan Parti Selamat Negara dan berkerjasama dengan Parti Artaturk, sehingga dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri, sehingga juga berjaya mengheret Turki menyerang Cyprus bagi menyelamatkan umat Islam yang dibunuh oleh Kristian Ortodok Greece dan memulihkan hubungan Turki dengan negara Islam, serta berjaya mengharamkan Pertubuhan Fremasson yang mendukung perjuangan yahudi, seterusnya menyokong perjuangan Rakyat Palestin. Akhirnya, Jeneral Kanan Ivreen merampas kuasa kerana menyelamatkan sekularisme Turki. Profesor Erbakan ditahan dan diharamkan berpolitik.

Ketika beliau masih dikenakan tahanan rumah pada tahun 1983, saya berkesempatan berkunjung ke rumahnya dan mengenali Profesor Erbakan, selepasnya terjalin hubungan yang sangat akrab dan sering kali mengajak saya mengiringinya dalam lawatan antarabangsa.

Pada tahun 1992, Profesor Erbakan yang masih diharamkan berpolitik menubuhkan Parti Refah (kemakmuran) dengan dipimpin oleh Profesor Ahmad Tekdal.

Pada tahun 1996, Parti Refah mencapai kemenangan bersama Parti Toreliq Qawim (Jalan Betul). Kerjasama yang mencapai kemenangan menubuhkan Kerajaan Campuran, akhirnya Profesor Erbakan dilantik menjadi Perdana Menteri.

Beliau mengambil langkah menubuhkan D-8, iaitu gabungan lapan buah negara umat Islam bersama Iran, Mesir, Pakistan, Nigeria, Indonesia, Malaysia dan Bangladesh. Mewujudkan kerjasama ekonomi dan lain-lain.

Adapun Recep Tayyip Erdogan berjaya menang sebagai Datuk Bandar Istanbul, dan akhirnya tentera memaksa Profesor Erbakan meletakkan jawatan dan Parti Refah diharamkan juga, akibatnya juga Profesor Erbakan dan beberapa pemimpin termasuk Erdogan dipenjarakan. Setelah dibebaskan, Profesor Arbakan tidak dibenarkan berpolitik sehingga meninggal dunia pada 27 Februari 2011.

Pengikut tegar Profesor Erbakan menubuhkan Parti Saadat dengan meneruskan pendekatannya. Adapun Recep Tayyip Erdogan dan Abdullah Gol menubuhkan Parti Adalat dengan dasar yang lebih ekstrem berterus-terang sekularnya sehingga mengadakan perjanjian tidak melaksanakan Islam di hadapan para jeneral tentera, meneruskan hubungan dengan Israel dan barat, sehingga memenuhi segala syarat untuk menjadi anggota Kesatuan Eropah (EU) namun tidak diluluskan juga.

Langkah yang dimarahi oleh gurunya Profesor Erbakan, namun Erdogan memekakkan telinga terhadap gurunya tanpa menjawab. Langkah Erdogan membebaskan dakwah dan kegiatan masjid, serta berterus-terang menyokong Palestin, dalam masa yang sama mencipta keadaan memulihkan hubungan dengan Israel, sehingga mendedahkan diri kepada kritikan yang keras daripada dalam dan luar, tetapi tidak mendapat kepercayaan barat dan sekutu-sekutunya.

Bahkan, polisi barat mengepung Turki terlibat dengan krisis negara jirannya, dan sekutu barat menguatkan ancaman pemberontak komunis Kurdis, dan mencipta tembakan Turki ke arah pesawat Rusia dan lain-lain.

Barang kali kerana Erdogan dan rakan-rakan yang akrab dengannya tetap bersolat dan beramal dengan cara hidup seorang Islam, isteri-isteri mereka berjilbab dalam majlis rasmi pun tetap menjadi teguran yang keras daripada golongan sekular, walaupun di atas konsep demokrasi dan hak-hak asasi manusia terhadap masing-masing.

Akhirnya merobekkan topeng barat yang menipu dan berpura-pura terhadap umat Islam di sepanjang masa, menunjukkan  prejudis, oportunis, “double-standard”, hasad dan lain-lain sifat lagi yang sangat negatif terhadap Islam, walaupun Islam dan penganutnya sangat berbudi dan berbahasa terhadap mereka, sejak zaman keemasan tamadun Islam sehinggalah zaman menjadi sasaran kezaliman mereka, dengan penjajahan, perhambaan, sehinggalah dijadikan mangsa pembunuhan perebutan kuasa dan ujian senjata.

Umat Islam terus menjadi sasaran fitnah kerana agamanya. Demokrasi, hak asasi manusia, kebebasan yang sebenar, keadilan yang saksama hanya ungkapan manis yang tidak dirasa kalau berbau Islam sahaja. Semua kemenangan parti yang berteraskan Islam atau ada tanda-tanda menuju ke arah Islam tanpa mengira bangsa dan mazhab tetap dinafikan.

Sejarah kemenangan Masyumi di Indonesia di tahun 50-an diguling dan diharamkan, kemenangan Mujahidin Afghanistan menghalau Soviet dikacaubilaukan sehingga mencetuskan huru-hara yang tidak padam sehingga kini, begitu juga kemenangan Parti Islam FIS di Algeria hanya dalam pilihan raya Majlis Perbandaran dirampas kuasa dan diharamkan secara terbuka, menjatuhkan Presiden Mursi di Mesir dengan dramanya yang tersendiri, sikap barat terhadap Revolusi Islam bermazhab Syiah di Iran juga dipulau dengan fatwa negara barat sehingga menyekat segala usahanya menyatukan umat menentang Israel dan lain-lain.

Kini giliran Turki dengan pendekatan Erdogan yang dinafikan Islamnya secara undang-undang yang merumitkan, dilakukan rampasan kuasa tentera yang diulang senarionya tiba-tiba menemui kagagalan. Sebaik sahaja beritanya tersebar, dapat disaksikan betapa negara penjajah dan sekutunya menunggu dan lihat siapa yang menang.

Kecuali Mesir yang menyokong rampasan kuasa gagal itu secara berani kerana mengikut sunnahnya, sehingga lebih ke hadapan daripada Israel yang membisu.

Semua negara barat terkini mendesak supaya Turki menghormati undang-undang tidak menjatuhkan hukuman mati oleh mahkamahnya nanti ke atas mereka yang nyata terlibat dalam rampasan kuasa yang gagal itu, sedangkan mereka boleh melakukan pembunuhan kerana perbezaan warna kulit membunuh beramai-ramai menyerang Afghanistan dan Iraq kerana khabar angin adanya senjata merbahaya atau adanya seorang sahaja yang diburu seperti Osama bin Laden, Saddam Hussin, Muammar Ghadafi atau Ayatullah Khomeini dan sebagainya, sebaliknya melindungi Salman Rusydi dan rakan-rakannya tanpa mahkamah dan bukti yang kukuh.

Mereka juga memejam mata terhadap pembunuhan rakyat Palestin, Rohingya dan terakhirnya hukuman mati ke atas para pemimpin Jamaat Islami di Bangladesh kerana kesalahan tidak menyokong perpecahannya daripada Pakistan setelah berlalunya masa lebih empat puluh tahun.

Perlu diperkenalkan tiga tokoh yang menggagalkan rampasan kuasa Turki, mereka bersama Erdogan, mereka ialah, Perdana Menterinya Binali Yildirim, Pemangku Penglima tentera yang memimpin operasi menentang pemberontakan, Jeneral Omet Dawardar dan Ketua Perisikan, Jeneral Dr Hakan Fidan.

Kali ini diharapkan jeratnya tidak mengena, laksana ayamnya terlepas, tangan berbau najis.

Benarlah firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 109:

وَدَّ كَثِيرٞ مِّنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَٰبِ لَوۡ يَرُدُّونَكُم مِّنۢ بَعۡدِ إِيمَٰنِكُمۡ كُفَّارًا حَسَدٗا مِّنۡ عِندِ أَنفُسِهِم مِّنۢ بَعۡدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ ٱلۡحَقُّۖ فَٱعۡفُواْ وَٱصۡفَحُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ  (١٠٩البقرة.)

“Banyak di antara ahli kitab menginginkan sekiranya mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman, kerana rasa dengki dalam diri mereka, setelah kebenaran jelas bagi mereka. Maka maafkanlah dan biarkanlah mereka, sampai Allah mendatangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.”

“BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
16 Syawal 1437 / 21 Julai 2016 – HARAKAHDAILY 21/7/2016

%d bloggers like this: