Sumber : Web JHEAINS

Kalimah takbir yang berkumandang sepanjang malam hingga ke subuh dan pagi Aidil Fitri adalah isyarat jelas lagi nyata bahawa umat Islam hanya mengagong dan membesarkan Allah SWT Yang Maha Kuasa, Maha Perkasa lagi Maha Agong. Ini bermakna umat Islam wajib meyakini 100% bahawa tiada lagi yang Maha Agong, Maha Kuasa dan Maha Perkasa selain Allah SWT.

Justeru itu, umat Islam mesti meninggalkan segala perbuatan khurafat, tahyul dan amalan mempercayai pada kuasa jin, ramalan bomoh, azimat dan seumpamanya yang boleh menyebabkan syirik. Sepatutnya dalam kehidupan seharian umat Islam tidak ada lagi istilah takut kepada hantu, syaitan dan jin.

Tidak ada lagi adat kepercayaan yang mempercayai kata-kata ramalan bomoh-bomoh yang sesat dan menyesatkan. Sekiranya tersilap, maka umat Islam hendaklah memperbetulkan, sekiranya kita terikut-ikut bawaan adat tradisi dan kepercayaan yang salah yang boleh menyebabkan tercabut iman, NA’UZUBILLAHI MIN ZALIK. Inilah masa terbaik untuk kita memperbetulkan.

Oleh itu, bersama-sama kita bersihkan iman, mantapkan kefahaman dengan sentiasa belajar dan menambah ilmu pengetahuan supaya kita selamat dari segala perbuatan khurafat, tahyul dan amalan syirik yang mungkin tidak disedari sama ada dalam niat, kata-kata, amalan dan tindakan.

Sambut dan rayakanlah Aidil Fitri yang mulia ini dengan mendaulatkan ajaran dan Syariat Islam dengan melaksanakan setiap yang diperintahkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya, sebagaimana firman Allah SWT:

“…Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (SAW) kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amatlah berat azab siksa-Nya (bagi orang yang melanggar perintahNya)”. (Surah Al-Hasyr, ayat 7)

Islam adalah agama yang syumul dan lengkap untuk semua bidang kehidupan manusia, firman Allah SWT: “…Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu…” (Surah Al-Maidah, ayat 3)

Sehubungan itu, umat Islam hendaklah menjadikan Syariat Islam itu sebagai landasan kehidupan dalam segala sistem, peraturan, amalan, akhlak dan juga tindakan termasuk ketika menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Ini bermakna umat Islam wajib menjadikan ajaran dan Syariat Islam yang termaktub di dalam Al-Quran, Sunnah Rasulullah SAW serta Ijmak dan Qiyas sebagai asas, dasar dan panduan terbaik dalam kehidupan, sosial, pendidikan, ekonomi, pengurusan, politik dan lain-lain.

Advertisements