Sumber : Web JHEAINS

Salah satu ciri Muslim yang bertaqwa ialah segera bertaubat dengan sesungguh hati kepada Allah SWT setelah menyedari dan menyesali akan keterlanjurannya melakukan kesalahan dan dosa. Ia diiringi dengan tekad yang sungguh-sungguh untuk tidak mengulangi lagi perbuatan-perbuatan yang boleh membawa kepada dosa dan mengundang kemurkaan Allah SWT.

“Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah. Dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salah dan akibatnya).” (S. Ali-Imran: 135).

Sungguhpun demikian, ramai manusia masih berterusan melakukan kesalahan dan dosa sama ada terhadap Allah SWT mahupun terhadap sesama manusia dan makhluk lainnya. Mereka merasa seolaholah tidak bersalah mengingkari perintah dan larangan Allah SWT, melakukan kerosakan, mengeruhkan suasana aman dan lain-lain lagi yang boleh membawa mudarat kepada diri sendiri dan juga orang lain.

Dan, manusia yang bersifat seumpamanya diibaratkan sebagai binatang ternak serta digolongkan sebagai orang yang lalai. Ia disebabkan oleh sikap mereka yang enggan atau tidak mahu memahami ayat-ayat Allah, tidak mahu melihat bukti keesaan Allah dan tidak mahu mendengar ajaran serta nasihat yang terkandung di dalam al-Quran.

Sebagai akibat kelalaian mereka daripada menghargai dan mensyukuri kurniaan Allah SWT seperti hati dan akal, pancaindera mata dan telinga, maka pada hari akhirat kelak mereka akan mengisi neraka jahanam. Hal ini diperingatkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang yang lalai.” (S. Al-A’raaf: 179).

Dengan berpandukan kepada mafhum ayat yang baru dibacakan itu, adalah jelas bahawa orang yang enggan memahami ayat-ayat Allah SWT, tidak mahu melihat bukti keesaan Allah SWT dan tidak mahu mendengar ajaran serta nasihat yang terkandung di dalam al-Quran adalah orang yang rugi. Mereka bukan sahaja rugi di dunia, bahkan lebih rugi dan malang lagi di akhirat kerana akan dibalas dengan azab neraka.

Namun selain mereka, terdapat beberapa golongan manusia lagi yang hidup dalam kerugian. Perihal ini didedahkan dan dijelaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran, sebagaimana berikut:

Pertama, orang yang menganuti atau mencari agama selain daripada Islam. Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:  “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.” (S. Ali-Imraan: 85).

Kedua, orang yang berlaku syirik atau mempersekutukan Allah SWT dengan sesuatu. Yakni mempercayai adanya kuasa selain Allah SWT yang boleh memberi manfaat dan mudarat kepada manusia. Mereka tergolong sebagai orang yang rugi kerana segala amal baik yang dilakukan akan lupus sebagaimana ditegaskan oleh Allah SWT:

“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabinabi yang terdahulu daripadamu: Demi sesungguhnya! Jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang yang rugi.” (S. Az-Zumar: 65).

Ketiga, orang yang mengikut atau tunduk kepada desakan hawa nafsunya sehingga tergamak dan sanggup melakukan sesuatu yang bercanggah dengan ajaran agama. Ini sebagaimana kisah pembunuhan Habil oleh saudaranya, Qabil yang terakam di dalam al-Quran:

“Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga dia tergamak) membunuh saudaranya, lalu dia membunuhnya, oleh itu menjadilah dia dari golongan orang yang rugi.” (S. Al-Maidah: 30).

Keempat, orang yang percaya kepada perkara yang salah dan tidak percaya kepada Allah SWT. Dengan kata lain, mereka mendustakan al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Kerananya, mereka tergolong sebagai orang yang rugi sejajar dengan firman Allah SWT:  “Katakanlah (wahai Muhammad): Cukuplah Allah menjadi saksi (yang mengetahui perkara yang berbangkit) antaraku dengan kamu; Dia mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi. Dan mereka yang percaya kepada perkara yang salah dan tidak percaya kepada Allah, mereka itulah orang yang rugi.” (S. Al-Ankabut: 52).

Kelima, orang yang lalai melaksanakan perintah Allah SWT disebabkan terlalu sibuk mengurus harta benda dan anak-pinaknya. Allah SWT menegaskan hal ini dalam firman-Nya:  “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta-benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang yang rugi.” (S. Al-Munafiqun: 9).

Advertisements