Tarikh : 27 Oktober 2015
Lokasi : Genting Highland
Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/38213-pas-64-tahun-memperkasa-pendidikan-dan-pembinaan-kader
PAS semenjak ditubuhkan pada tahun 1951 telah mengalami pasang surut perjuangan, serta kepimpinan yang sentiasa berubah. Menarik juga apabila kepimpinan utama PAS akan menuntun cara PAS bekerja termasuk di bidang pendidikan.
Secara radikal, peralihan kepimpinan baru berlaku pada tahun 1982 di dalam Muktamar PAS ke-28 yang berlangsung di Balai Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur pada 23 Oktober 1982. Pertama kali juga dalam sejarahnya, Ucapan Dasar Presiden PAS ditolak oleh perwakilan dengan usul yang dibawa oleh Dewan Pemuda PAS.
Datuk Asri telah meletakkan jawatan dalam Muktamar tersebut. Muktamar telah melantik kepimpinan ulama yang baru, Haji Yusof Rawa sebagai Pemangku Presiden, Ustaz Fadzil Noor sebagai Timbalan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Naib Presiden, manakala Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Ketua Dewan Ulama. Kemunculan PAS di bawah era kepimpinan ulama ini telah menarik minat golongan berpendidikan agama khususnya tok-tok guru pondok di merata tempat (Nasaruddin Mohd Isa, 2001).
PAS melalui ulama muda yang progresif telah menyusun skema dan program pentarbiahannya kepada ahli-ahli parti. Program pendidikan kepada ahli ini telah menjadi begitu rancak pada dekad 1980-an untuk membina pemikiran politik ahli PAS supaya diselaraskan dengan matlamat parti tersebut.
Program pendidikan untuk ahli seperti usrah, tamrin, daurah, ijtimak dan sebagainya lagi program perkaderan dakwah, telah mewarnai parti tersebut apatah lagi dengan kebangkitan Islam yang berlaku di negara ini dan seluruh dunia. Aktivis muda PAS pula ghairah untuk menubuhkan rangkaian pendidikan dan telah memulakannya dengan penubuhan prasekolah yang dinamakan TASKI.
Peranan seorang ulama bukan terbatas kepada peranan keagamaannya sahaja seperti menjadi imam sembahyang tetapi juga menyangkut peranan kemasyarakatan (social roles). Penglihatan semaksimum mungkin golongan ulama dalam aktiviti masyarakat akan menyumbang pulangan politik yang baik bagi pengembangan dan seterusnya kemenangan PAS.
Golongan ulama yang perlu digerakkan sebagai satu tenaga politik terangkum, secara tersirat dalam perlembagaan PAS fasal 40(5)(a) yang menyebut: menyatu tenaga dan pemikiran ulama Islam di negeri ini dan berusaha mengembang dan menyebarkan kefahaman dan kesedaran Islam ke segenap lapisan masyarakat menerusi gerakan dakwah dan pengembelingan tenaga yang berterusan.
Fasa ini mencerminkan pemahaman PAS yang matang dan visionary dalam erti kata PAS benar-benar memahami hakikat tidak boleh berlaku pemisahan di antara politik dan agama kerana Islam merupakan satu entiti yang syumul (Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latif: 2001).
Kepimpinan ulama yang menjadi tonggak baru kepimpinan PAS telah juga membawa budaya baru terhadap gerakan Islam tersebut selepas tahun 1982. Seluruh kepimpinan PAS bersaing dan berusaha untuk menubuhkan sekolah dan pusat pengajian, sama ada di kawasan atau di bawah seliaan dewan-dewan. Dewan Ulama dan Dewan Pemuda PAS antara organisasi PAS yang paling ke hadapan menubuhkan pusat pengajian selepas berlaku peralihan kepimpinan ulama pada tahun 1982.
PAS telah mengalami transformasi kepimpinan pada awal dekad 1980-an, akhirnya telah menjenamakan semula parti mereka sebagai gerakan Islam yang menolak secara total fahaman kebangsaan dan ideologi manusia yang lain. Dengan erti kata lain PAS ingin bergerak dalam kerangka ‘fundamentalis Islam’ (Chandra Muzaffar: 1987).
PAS dalam dasawarsa ini cuba bangkit kembali dalam pentas politik negara ini setelah mengalami kemerosotan dalam Pilihan Raya Umum 1978 dan 1982. PAS telah berusaha membina ahli-ahli yang mempunyai kefahaman yang jelas terhadap perjuangan Islam maka program pendidikan telah digerakkan semaksimum mungkin.
PAS selepas dipimpin oleh kepimpinan ulama dikesan memberikan penumpuan kepada bidang pendidikan dan pemerkasaan dalaman parti dengan tujuan menghasilkan ahli-ahli yang faham kepada perjuangan Islam, bukan menjadi penyokong semata-mata, PAS telah menggerakkan program kaderisasi dengan lebih giat terhadap ahli-ahlinya di seluruh negara. PAS juga telah mula membangunkan pusat pendidikan bermula dengan prasekolah, sekolah rendah Islam dan juga membangunkan sekolah agama rakyat dengan lebih teratur.
Antara keseriusan PAS dalam membangun dan menyelia institusi pendidikan di bawah parti ialah dengan menubuhkan Majlis Pendidikan PAS, Majlis Muassasah, termasuk mengadakan Lujnah Pendidikan sebagai portfolio dalam struktur pengurusan parti di peringkat pusat dan negeri.
Lujnah Tarbiah PAS juga dikesan memainkan peranan penting dalam menggerakkan semangat untuk menuntut ilmu kepada pendokong PAS. Kesungguhan ini boleh dikesan selepas era kebangkitan Islam yang melanda dunia Islam dan negara ini dan juga bertitik tolak daripada kepimpinan ulama yang mengambil alih parti juga berkait rapat dengan suntikan ‘darah muda’ dalam organisasi PAS.
PAS selepas dipimpin oleh kepimpinan ulama juga menunjukkan orientasi perjuangan yang lebih bersifat antarabangsa dan menunjukkan penegasan kepada gagasan Islam yang syumul. Ini juga berkait rapat juga dengan kesan pengaruh Ikhwanul Muslimin yang telah meresapi kepimpinan PAS yang mendapat pendidikan di dalam dan luar negara.
Ikhwanul Muslimin yang diasaskan oleh Hassan al-Banna telah berjaya membangunkan sistem pendidikan mereka sehingga menjadi sebuah pertubuhan agama cuma politik yang berkesan di Asia Barat (Riduan Mohamad Nor, 2004).
Seluruh gerakan Islam di luar negara mempunyai orientasi yang sama, iaitu menggerak dan membangunkan pendidikan Islam. Ini terbukti seperti yang dilakukan oleh Jamiat Islami di negara Asia Selatan, Parti an-Nahdhah di Tunisia, gerakan an-Nur di Turki, Refah di Turki, Font Islamic Salvation (FIS) di Algeria dan parti-parti Islam di seluruh dunia. –HARAKAHDAILY 2/11/2015
(Penulis adalah AJK PAS Pusat, Pengerusi Lujnah Kesenian dan Kebudayaan)