Archive for 24 November 2015


Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/38615-24-11-ulang-tahun-pas-64-menongkah-arus

ALANG IBN SHUKRIMUN | 24 November 2015.

TARIKH yang cukup bersejarah hari ini. Tanggal 24 November 64 tahun yang lalu, sebuah parti politik berteraskan Islam di Malaysia secara rasminya ditubuhkan.

Diberi nama Persatuan Islam Se-Malaya, kewujudannya bukan sekadar parti politik biasa, tetapi sebagai sebuah gerakan massa yang memperjuangkan Islam secara syumul. Walaupun nama dan tabiatnya bersifat parti politik, tetapi gerakerjanya mengimbangi antara siasah, dakwah dan tarbiah.

Parti ini meneruskan kesinambungan abang-abangnya terdahulu. Setelah dasar pecah perintah penjajah berjaya memisahkan tanah air umat Islam, Sarekat Islam yang berpusat di Indonesia tidak lagi berjaya digerakkan di Malaysia.

Baton perjuangan disambut gerakan Hizbul Muslimin, namun jangka hayatnya ditakdirkan tidak panjang. Belum sampai setahun, parti tersebut diharamkan dan ramai pemimpinnya ditangkap atas berbagai-bagai dakwaan.

Beberapa kepimpinannya memilih Umno sebagai wadah baru, dengan harapan mampu menghidupkan perjuangan Islam dengannya. Tetapi setelah beberapa tahun mencuba, Islam tidak mendapat tempat di sana.

Para Ulama beberapa kali bersidang mencari penyelesaian, sehinggalah mengambil keputusan untuk sekali lagi berdaftar sebagai parti. Akhirnya lahirlah PAS, sebagai mata rantai kepada gerakan Islam terdahulu yang diasaskan oleh baginda SAW.

Adat sebagai sebuah parti politik, PAS telah menyertai pilihan raya sejak pertama kali ia diadakan sehinggalah yang terkini. Jikalau tidak kerana penipuan dan berat sebelah pemimpin negara sekarang, sudah tentu PAS sudah bertukar sebagai sebuah kerajaan. Namun Allah telah aturkan jalan yang sebaiknya untuk PAS, agar kemenangan itu benar-benar bermakna.

Walau bagaimanapun, kerja-kerja dakwah memahamkan bergerak selari dengan kemajuan politik yang diraih. Tiada siapa mampu menyangkal peranan PAS dalam meletakkan martabat Islam dalam negara ini.

Hari ini walaupun masih banyak kekurangan Islam di negara ini, kita boleh berbangga bahawa kedudukan Islam di Malaysia merupakan yang terbaik berbanding kebanyakan negara Islam yang lain, termasuk bekas pusat khilafah Islam, Iraq, Syria dan Turki. Kefahaman dan sensitiviti rakyat terhadap Islam amat tinggi berbanding mana-mana negara umat Islam yang lain.

Dari segi penubuhannya, PAS merupakan parti politik tertua di Malaysia setelah Umno diharamkan akhir dekad 80-an. Adalah suatu pembohongan jika dikatakan dengan usia sematang itu, PAS tidak pernah diganggu kontroversi dan krisis.

Sepanjang pelayarannya membelah arus politik dan perkembangan semasa, telah banyak fitnah dan mehnah yang dihadapi. Sedikit sebanyak perkara tersebut memberi kesan dalam mematangkan PAS sebagaimana yang ada pada hari ini.

Setiap kali kepimpinan PAS mengambil pendekatan politik yang berskala besar seperti meminda perlembagaan, bekerjasama atau berputus hubungan dengan mana-mana pihak, pasti ada ahli yang tidak berpuas hati. Timbullah berbagai gerakan picisan mendakwa PAS sudah lari daripada perjuangan asal. Maka muncul Akim, Islah, Hamim, Berjasa, Jati, dan terbaru Pan memberi asakan agar PAS lemah.

Setiap kumpulan ini pada kemunculannya awalnya sangat menarik perhatian. Tetapi lakunya hanya ibarat goreng pisang panas, laris pada awalnya tapi tidak lagi dihirau setelah lama. Walaupun tetap memberi kesan kepada kestabilan PAS, tetapi sejarah membuktikan PAS tidak tergugat lama dengan masalah tersebut.

PAS dipandu dengan Nur Allah, yang dijamin tidak akan padam selama-lamanya. Kepimpinan yang dipilih melalui konsep syura bijak mengurus konflik sehingga PAS bangkit kembali dan semua serpihannya kini ibarat hidup segan, mati tak mahu.

Hari ini, PAS semakin utuh di arena politik negara. Gerak gerinya sentiasa diperhati kawan dan lawan. Setiap tindakan dan kenyataannya mendapat liputan luas media masa berbagai latar belakang. Berbagai-bagai lapisan dan kumpulan memberi komentar dan ulasan kepada setiap strategi PAS, antara menyokong jua membantah.

Memang pendekatan yang PAS ambil banyak mencarik adat dan menongkah arus semasa menyebabkan ia jadi bualan umum, tetapi pada akhirnya semua akur dan menjumpai hikmahnya.

Ahli PAS bukan ahli sembarangan. Mereka diasuh dan ditarbiah untuk sanggup berkorban demi jemaah. Sayang mereka terhadap PAS setanding sayangnya muslim terhadap Islam itu sendiri. Muktamar terbaru yang dikenali sebagai muktamar terhangat dalam sejarah, telah menunjukkan bahawa ahli PAS yang ada hari ini masih mewarisi semangat dan akidah perjuangan ahli-ahli Badar terdahulu.

Insya-Allah, PAS akan terus kekal memandu ummah dengan cahaya Islam. Masa depan adalah milik kita sekiranya kita kekal di atas prinsip dan dasar agama. Diharapkan kepimpinan yang ada bekerja kuat menakhodai bahtera milik semua ini. Kami di peringkat bawahan akan sentiasa patuh dan taat selagi bukan kemungkaran yang diperintahkan.

Semoga PAS dan seluruh anggotanya terus istiqamah memburu janji Allah. Berjuanglah tanpa gentar dan ragu lagi. Pastikan keduanya milik kita; Putrajaya dan juga SYURGA! –HARAKAHDAILY 24/11/2015

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/38604-jamiat-islami-bangladesh-diterjang-badai-ujian

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | 23 November 2015.

Perjuangan umat Islam di rantau sub-continent atau benua kecil India merupakan jalur sejarah yang panjang di mana umat Islam ke rantau ini pernah memiliki kerajaan Islam seperti empayar Moghul dan kesulitan Delhi. Wilayah ini juga turut memancarkan cahaya kebenaran Islam ke rantau lain melalui usaha perdagangan sehingga rantau Asia Tenggara turut menerima angin sejahtera Islam. British di rantau berjaya meruntuhkan kerajaan Islam yang menguasai benua kecil India dan telah berlaku perlawanan yang hebat umat Islam terhadap penjajahan British di rantau tersebut. India utara sejak zaman-berzaman juga terkenal dengan dengan reputasinya sebagai pusat pengajian hadith. Antara gerakan Islam yang paling berpengaruh di rantau ini ialah Jamiat Islam.

Jami’at Islami telah ditubuhkan di Labor pada 26 ogos 1941 untuk melaksanakan tuntutan al-Quran dan sunnah. Maududi telah mengundang seramai 150 orang pencinta Islam untuk bermesyuarat di kediamannya yang terletak berhampiran dengan masjid Mubarak, Islamia Park. Kelompok awal ini terdiri daripada mereka yang mendapat pendidikan moden yang terdiri di kalangan pemikir Muslim dan mewakili pelbagai latar belakang profesion. Majoriti kelompok ini ialah anak muda yang terdiri daripada kalangan yang berumur 20 hingga 40 tahun, serta mempunyai latar belakang pendidikan yang baik.

Jamiat Islami Bangladesh telah ditubuhkan selepas munculnya negara Bangladesh yang berpisah daripada Pakistan pada tahun 1971, berakar daripada pengasasnya di Pakistan pada tahun 1941. Gerakan ini juga mendapat sambutan yang menggalakkan daripada umat Islam Bangladesh yang juga kuat beragama, kesan daripada bersemaraknya pusat pengajian Islam di kawasan bandar dan juga sub bandar dalam dekad 80-an. Negara ini juga sering terjadi wabak penyakit. Juga terletaknya daerah Tinggi yang merupakan tapak ijtimak jamaah Tabligh terbesar dunia.

Semasa awal mewujudkan Bangladesh, Jamiah Islami diharamkan di sana. Pemimpin Jamiat iaitu Ghulam Azam berhijrah ke UK dan Timur Tengah kerana kerakyatannya dibatalkan oleh kerajaan Bangladesh yang dipimpin oleh Mujibur Rahman. Perbalahan politik berlaku di Bangladesh apabila Ghulam Azam dibenarkan kembali ke Bangladesh tetapi dia tidak dibenarkan terlibat dengan aktiviti politik. Jamiat Islami mula menjadi parti politik di Bangladesh pada tahun 1982 dan mereka memenangi 10 kerusi parlimen dalam pilihan raya tahun 1986.

Perjalanan Jamiat Islami dalam politik Bangladesh sangat berliku, mereka diasak dengan kebencian awam melalui media perdana dan juga mahkamah, terutama dalam isu perang saudara 1971. Jamiat Islami Bangladesh telah dituduh bersubahat dengan pihak tentera Pakistan dan juga menubuhkan gerakan militia seperti ‘al-badar’. Pada 1 ogos 2013 Mahkamah Agung Bangladesh telah mengharamkan pertubuhan politik Islam terbesar Bangladesh ini dan juga menjatuhkan hukuman kepada pemimpin Jamiat.

Antara yang telah dijatuhkan hukuman sampai mati ialah Abdul Kader Molla, Penolong Setiausaha Agung Jamiat  Islami. Lebih 40,000 anggota Jamiat Islami telah dipenjarakan di seluruh penjara Bangladesh. Tekanan ini juga telah membawa kepada bantahan awam terutama oleh penyokong muda mereka yang melihat tindakan mahkamah ini lebih bermotifkan politik untuk meredam kebangkitan Jamiat Islami.

Rejim semakin menggila dengan semangat rakyat menolak kezaliman dan api dendam mereka terhadap Jamiat Islami Bangladesh. Rejim juga telah menjatuhkan hukuman bunuh kepada Ustaz Kamaruzaman yang merupakan anggota Dewan Harian Jamiat. Terkini, dunia Islam juga tersentak dengan hukuman bunuh yang dijatuhkan kepada Setiausaha Agung Jamiat Islami, Sheikh Ali Ahsan Muhammad Mujahid. Jamiat Islami Bangladesh juga sering memberikan komitmen dalam program yang dianjurkan oleh PAS seperti Ijtimak Alami, Muktamar Tahunan dan sebagainya. Tribulasi dan mehnah yang mereka alami akan terus membajai perjuangan untuk mendaulatkan syariat Islam di tanah Moghul itu. –HARAKAHDAILY 23/11/2015

Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Lujnah Politik Pusat.

%d bloggers like this: