Sumber : Web JAKIM

Islam amat menitikberatkan rezeki yang halal, rezeki yang diperolehi secara rasuah, pecah amanah dan suatu yang negatif adalah haram dan berdosa. Sedangkan banyak lagi bidang rezeki yang halal di atas muka bumi ini. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 168 yang bermaksud :

Wahai sekalian manusia, makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu musuh yang terang nyata bagi kamu”.

Dalam satu riwayat bahawa, Rasulullah SAW mengirim seorang utusan untuk mengumpul zakat dari satu kabilah, tetapi setelah utusan itu menghadap Nabi SAW, sebahagian barang yang dibawanya itu dipegang dan dia berkata kepada Rasulullah SAW :

Ini untukmu dan ini pula untuk saya yang diberikan oleh pembayar zakat, sebagai hadiah kepada saya.

Mendengar kata-kata itu Nabi Muhammad SAW marah sambil bersabda yang bermaksud: “Mengapa tidak sahaja kamu tinggal di rumah bersama kedua-dua ibu-bapa kamu sehingga hadiah itu sampai kepadamu, sekiranya kamu orang yang jujur”. 

Pengamal rasuah akan sentiasa hidup dalam keresahan dan kebimbangan dan menganggap orang lain sebagai musuh yang ingin membongkar kesalahan mereka. Justeru, marilah sama-sama kita menjauhkan diri daripada perbuatan memberi atau menerima rasuah kerana perbuatan itu adalah merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang boleh dikenakan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000.00 atau yang mana lebih tinggi. Ingatlah, perbuatan rasuah amat dimurkai Allah SWT dan juga boleh menghancurkan masyarakat, agama dan negara.

Islam mengharamkan rasuah dalam apa jua bentuk dan nama. Saidina Omar bin Abdul Aziz pernah diberikan hadiah sewaktu menjadi khalifah tetapi ditolaknya, kemudian dia dikatakan kepadanya “Rasulullah SAW menerima hadiah” maka Saidina Omar bin Abdul Aziz menjawab, “apa yang diterima oleh Rasulullah SAW itu memang hadiah, tetapi ini buat saya adalah suapan (rasuah)”.

Ambillah pengajaran dari sikap berhati-hati yang ditunjukkan oleh Khalifah Omar bin Abdul Aziz. Tetapi pada akhir zaman ini sebahagian umat Islam tidak lagi menapis sumber rezeki mereka, asalkan menguntungkan mereka. Mereka ini ingin cepat kaya dan menganggap harta kekayaan sebagai matlamat penting dalam kehidupan. Lantaran itu mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat dan keinginan masing-masing.

Advertisements