Tag Archive: Rasuah


RASUAH : MASA UNTUK ISLAM

Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/42751-rasuah-masa-untuk-islam

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | 08 Oktober 2016.

Negara kita dikejutkan dengan penahanan dua orang pegawai kanan kerajaan di negeri Sabah yang dikatakan terlibat dengan kesalahan rasuah yang melibatkan ratusan juta ringgit. Menurut SPRM, ia adalah kejayaan membongkar skandal yang melibatkan jumlah wang ringgit terbesar semenjak ditubuhkan.

Rasuah bukanlah isu asing dan janggal dalam negara kita. Ia adalah gejala harian dan bukan bermusim sebagaimana musim buah durian dan rambutan. Tiap-tiap hari rasuah berlaku dalam negara kita sama ada kecil atau besar, dibongkar atau pun tidak. Ia sebahagian cara rakyat Malaysia mencari rezeki walaupun hina dan haram. Di negara kita, tidak semua merasa malu untuk hidup hina dengan punca rezeki yang haram.

Skandal besar rasuah yang baru terbongkar di negara kita itu, bagi para pengamat politik negara, bukanlah sukar untuk ditelah bahawa ia pastinya melibatkan orang politik. Projek kerajaan berjumlah RM3 bilion adalah dengan kelulusan orang politik. Ia masuk ke Sabah dengan pengetahuan orang politik. Umno BN pula terkenal sebagai parti hamba abdi rasuah sejak puluhan tahun. Bagaimana Umno hidup memancing undi rakyat Sabah juga diketahui umum. Masakan projek seenak ini tidak menggiurkan mereka.

Tetapi bagi rakyat dan orang awam yang enggan berfikir, rela kekal hanyut dan membiarkan diri ditipu, mereka akan berfikir bahawa yang bersalah adalah dua orang itulah dan beberapa individu lagi yang terlibat dalam projek melibatkan RM3 bilion itu sahaja. Sebaik dihukum, maka kes ditutup dan selesai. Adapun orang-orang politik, mereka akan kekal selamat sehinggalah mereka ditangkap dengan kes yang sama. Bila? Jawabannya bila-bila pun, mereka akan kekal selamat.

Lihatlah kepada beberapa skandal kewangan besar di negara kita. Sebahagian besarnya kekal misteri. Hakikatnya, ia bukanlah misteri. Ia hanyalah kes yang dipaksa untuk ditutup dan dighaibkan oleh orang politik yang berkuasa.

Begitulah, kawanan kambing hitam akan kekal hidup diternak di negara kita dan masanya satu persatu akan disembelih dengan reda tuannya. Rakyat akan terus dihidangkan dengan jamuan opera seperti ini. Ia bagai satu rasuah awam terancang untuk kesekian kalinya bagi mengabui mata rakyat seolah-olah kerajaan sentiasa bertindak ke atas salah laku rasuah. Rupanya, begitulah penyakit rasuah terus hidup subur di dalam negara.

Kita mengucapkan tahniah kepada SPRM yang telah berjaya menyelamatkan wang negara daripada dirompak oleh para pengkhianat yang berlakon sebagai orang baik-baik dan berkhidmat untuk negara. Seharusnya mereka dihukum dengan seburuk-buruk hukuman. Mereka patut dipenjarakan hinggalah ke lubang kubur sekalipun.

Kejayaan ini walau bagaimanapun tidaklah bermakna kejayaan negara memerangi rasuah. Bukan. Bahkan ia hanyalah sekalung tahniah di atas kejayaan SPRM berusaha membebaskan dirinya daripada cengkaman orang-orang politik.

Gejala rasuah dikesan tumbuh dan menyubur sejak zaman Tun Mahathir lagi. Politik wang adalah buah pertama tanaman rasuah pada zamannya. Dengannya Tun Dr Mahathir berkuasa besar ke atas negara, mencantas musuh dalamannya dan memerangi musuh luarannya sepenuhnya. SPRM pada masa itu hanyalah budak suruhan yang mengikut telunjuk dan hanya tahu mengangguk dan tidak pernah diajar untuk menggeleng kepala.

Jadi apabila SPRM semakin berani bertindak hari ini dan sudah wujud tanda-tanda pertentangan dengan kehendak orang-orang politik, ia sudah cukup untuk rakyat menarik nafas lega untuk beberapa waktu sebelum meneruskan perjuangan memerangi rasuah sehingga hujungnya nanti.

Apabila ratusan juta wang rakyat dicampak ke dalam kitaran rasuah, maka ia akan membeku dan hanya berpusing dan berlegar dalam kalangan orang-orang kaya sahaja. Kemudian wang itu akan dibazirkan dengan cepat melalui pemborosan dan aktiviti mungkar dan haram. Pemborosan dan pembaziran akan bersambungan dengan kerosakan demi kerosakan ke seterusnya dalam kehidupan rakyat.

Seterusnya negara akan mengadu kehabisan wang. Rakyat terutama orang-orang miskin yang sedang kelaparan akan dipujuk untuk membantu mengukuhkan negara dengan kenaan cukai dan bukan cukai. Di longkang inilah nyamuk GST diternak yang akhirnya menyebarkan wabak denggi dan zika ekonomi negara.

Rasuah sedang menghancurkan negara. Vaksinnya sudah ditawarkan dan tidak mampu lagi melawannya. Banyak mana pun hospital dibina, rasuah terus menyerang dengan niat yang jelas iaitu untuk menghancurkan negara.

Jika kerajaan dan parti pemerintah enggan untuk merasa malu dan hina dengan penyakit bahaya yang melanda negara ini, rakyat mestilah malu untuk memiliki kerajaan dan orang politik seperti ini. Jika tidak, tiada lagi senjata dan pertahanan yang boleh menyelamatkan negara.

Rakyat mestilah disedarkan dengan beberapa hakikat yang sering diketepikan. Pertama, kegagalan berterusan pemerintah memerangi rasuah adalah tanda hilangnya taring atau kelayakan untuk terus menerajui negara. Kedua, punca kegagalan adalah kerana wujud kelompok atasan yang kebal dan kalis undang-undang. Merekalah sebenarnya penternak yang menyuburkan rasuah yang mesti diperangi.

Ketiga, tiada lagi kekuatan untuk memerangi rasuah selain keazaman dan keberanian rakyat untuk berubah. Ia sama ada akan berjaya menyedarkan kerajaan untuk benar-benar bertaubat dan bertindak benar memerangi rasuah dan sepertinya, atau akan menjatuhkan dan menukarkan kerajaan sedia ada dengan kerajaan baru yang lebih bertanggung jawab. Sudah hampir pasti, menanti kerajaan Umno BN bertaubat adalah begitu sukar.

Keempat, kesegeraan untuk memahami penyelesaian terbaik memerangi rasuah dan memacu negara ke hadapan dengan formula yang lebih menjamin kemajuan, keamanan dan kelestariannya.

Bagaimana memerangi rasuah? Ada dua cara di hadapan kita. Pertama, cara barat. Kedua, cara Islam. Cara barat bermaksud penyelesaian yang dihasilkan melalui ketamadunan semasa manusia yang sentiasa berkembang melalui ilmu dan disiplin untuk hidup maju dan makmur di dunia.

Dunia barat hari ini dinamakan sebagai contoh kejayaan memerangi rasuah sehingga ke akarnya. Ia menjadikan rasuah dipandang hina oleh rakyat dan mereka begitu bersedia untuk tidak bertolak ansur dengan pemimpin yang terlibat dengan rasuah.

Cara Islam bermaksud penyelasaian menyeluruh melalui pengajaran al-Quran dan sunnah al Rasul yang telah terbukti berjaya membina tamadun manusia yang melihat kepada kejayaan di dunia dan akhirat. Penyelesaian Islam tidak berlaku hari ini akibat umat Islam sendiri yang meninggalkan pengajaran ugama mereka. Harapan kembali segar dengan pesat kerana wujud kebangkitan Islam akhir-akhir ini yang menyeru umat Islam untuk kembali kepada Islam yang menyeluruh dan sempurna.

Ciri utama yang membezakan kedua-dua penyelesaian ini ialah bahawa cara barat lebih bersifat membina dengan tangan kanan manakala tangan kiri meruntuhkan. Cara Islam adalah sebaliknya. Ia sepenuhnya membangunkan bahkan sehingga kebahagiaan di akhirat nanti.

Sebagai contoh, barat memerangi rasuah, tetapi dalam masa yang sama mereka mempromosi ekonomi riba. Hari ini, ketika mereka berbangga dengan kejayaan membersih diri daripada pemimpin yang korup dengan rasuah, tetapi mereka sedang melihat negara dan tamadun mereka sedang di ambang keruntuhan akibat ekonomi riba yang mula menyerang negara-negara kecil mereka.

Sebagai contoh, dalam isu 1MDB, hutang luarnya yang besar yang dijamin kerajaan secara salah semakin mencekik 1MDB akibat bunga dan riba yang dikenakan. Akhirnya kerajaan terpaksa menanggungnya.

Maksudnya, jika kita mengamalkan penyelesaian cara barat, kita masih tetap berhadapan pukulan tangan kiri yang diajar oleh barat juga.

Cara Islam adalah menyeluruh. Ia memerangi rasuah dan riba. Ia memerangi dadah dan arak. Ia memerangi rogol dan zina. Ia memerangi autokratik dan kebebasan mutlak. Lihat bahawa barat adalah sebaliknya. Ia memerangi satu dan menternak yang satu lagi.

Mana satu pilihan kita untuk negara? PAS secara tegas dan tanpa dolak dalih menyeru kepada penyelesaian Islam untuk isu gejala rasuah dan segala isu dalam negara. PAS menyeru rakyat untuk berani berubah kepada Islam dan bersama mendukung perubahan negara yang lebih menjamin kejayaan di dunia dan akhirat.

Pemerintah mesti berubah kepada Islam. Rakyat juga mesti berubah. Perubahan rakyat adalah lebih diharapkan walaupun perubahan kerajaan sedia ada tetap dinantikan. – HARAKAHDAILY 8/10/2016

Artikel adalah untuk kolum ‘Terang Rembulan’ akhbar Harakah.

Sumber : Web JAKIM

Islam amat menitikberatkan rezeki yang halal, rezeki yang diperolehi secara rasuah, pecah amanah dan suatu yang negatif adalah haram dan berdosa. Sedangkan banyak lagi bidang rezeki yang halal di atas muka bumi ini. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 168 yang bermaksud :

Wahai sekalian manusia, makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu musuh yang terang nyata bagi kamu”.

Dalam satu riwayat bahawa, Rasulullah SAW mengirim seorang utusan untuk mengumpul zakat dari satu kabilah, tetapi setelah utusan itu menghadap Nabi SAW, sebahagian barang yang dibawanya itu dipegang dan dia berkata kepada Rasulullah SAW :

Ini untukmu dan ini pula untuk saya yang diberikan oleh pembayar zakat, sebagai hadiah kepada saya.

Mendengar kata-kata itu Nabi Muhammad SAW marah sambil bersabda yang bermaksud: “Mengapa tidak sahaja kamu tinggal di rumah bersama kedua-dua ibu-bapa kamu sehingga hadiah itu sampai kepadamu, sekiranya kamu orang yang jujur”. 

Pengamal rasuah akan sentiasa hidup dalam keresahan dan kebimbangan dan menganggap orang lain sebagai musuh yang ingin membongkar kesalahan mereka. Justeru, marilah sama-sama kita menjauhkan diri daripada perbuatan memberi atau menerima rasuah kerana perbuatan itu adalah merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang boleh dikenakan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000.00 atau yang mana lebih tinggi. Ingatlah, perbuatan rasuah amat dimurkai Allah SWT dan juga boleh menghancurkan masyarakat, agama dan negara.

Islam mengharamkan rasuah dalam apa jua bentuk dan nama. Saidina Omar bin Abdul Aziz pernah diberikan hadiah sewaktu menjadi khalifah tetapi ditolaknya, kemudian dia dikatakan kepadanya “Rasulullah SAW menerima hadiah” maka Saidina Omar bin Abdul Aziz menjawab, “apa yang diterima oleh Rasulullah SAW itu memang hadiah, tetapi ini buat saya adalah suapan (rasuah)”.

Ambillah pengajaran dari sikap berhati-hati yang ditunjukkan oleh Khalifah Omar bin Abdul Aziz. Tetapi pada akhir zaman ini sebahagian umat Islam tidak lagi menapis sumber rezeki mereka, asalkan menguntungkan mereka. Mereka ini ingin cepat kaya dan menganggap harta kekayaan sebagai matlamat penting dalam kehidupan. Lantaran itu mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat dan keinginan masing-masing.

Sumber : Web JHEAINS

Sejak dulu lagi telah dikenal pasti bahawa pangkat, harta dan wanita merupakan tiga elemen utama yang boleh menggugat dan melemahkan keimanan serta jati diri seseorang insan. Maka, tidak menghairankan bilamana kaum kafir Quraisy di kota Makkah menggunakan strategi ini untuk menghentikan gerakan dakwah Islam yang dilakukan Nabi Muhammad SAW.

Mereka sanggup dan bersedia menawarkan segala pangkat kebesaran, harta yang banyak dan wanita yang tercantik kepada Nabi Muhammad SAW dengan harapan baginda mahu dan bersetuju menghentikan dakwahnya yang mengancam kepercayaan serta adat yang mereka warisi turun-temurun dari datuk nenek mereka.

Namun demikian, tawaran yang lumayan itu tidak langsung dihiraukan oleh Nabi SAW kerana bagi baginda menjunjung titah perintah Allah SWT menyampaikan risalah Islam itu adalah wajib dan lebih besar ganjarannya berbanding pangkat, harta dan wanita.

Malah, tekanan serta tentangan kaum kafir Quraisy yang maha hebat disambut baginda dengan semangat serta keazaman yang berkobar-kobar meneruskan dakwah Islam. Ia ditandai dengan penegasannya bahawa sekalipun matahari diletakkan di atas tangan kanannya dan bulan di tangan kirinya, namun menghentikan dakwah Islam tidak sekali.

Jawapan serta sikap Nabi SAW yang tegas itu menyemarakkan lagi api kemarahan kafir Quraisy sehingga mereka nekad untuk membunuh sahaja baginda. Bagaimanapun, perancangan Allah SWT mengatasi perancangan manusia. Rancangan serta niat jahat kaum kafir Quraisy itu tidak kesampaian bilamana Allah SWT menyelamatkan Nabi SAW melalui perintah berhijrah ke Madinah.

Dari peristiwa yang dipaparkan tersebut, jelas berlaku satu perbuatan rasuah. Dengan memberikan pangkat, harta dan wanita, kaum kafir Quraisy mengharapkan sesuatu imbalan dari Nabi SAW, iaitu menghentikan gerakan dakwahnya.

Walaupun dalam peristiwa itu percubaan merasuah Nabi SAW gagal, namun cuba bayangkan apakah yang akan terjadi kalau harta, kedudukan dan wanita disogokkan kepada ketua, pegawai penguasa, peniaga, petani mahupun rakyat biasa yang lemah imannya serta tidak berintegriti.

Lazimnya, manusia yang mengutamakan kehendak nafsu melihat harta, pangkat dan wanita sebagai sesuatu yang memberi kepuasan kerana dianggap lambang kemewahan dan kesenangan. Lantas, apabila ada pihak yang mahu dan bersedia memberi rasuah, maka itu merupakan satu peluang bagi mereka memperolehi sesuatu imbuhan atau manfaat.

Dalam erti kata lain, selagi ada pihak yang mahu dan bersedia memberi dan menerima rasuah, maka selagi itulah ada orang yang mengambil peluang melakukan jenayah rasuah. Hakikatnya, rasuah adalah antara masalah etika tertua dalam sejarah manusia yang berakar-umbi daripada kepincangan iman dan integriti masyarakat.

Dengan gejala rasuah menyebabkan nilai murni sesebuah masyarakat tercemar kerana rasuah merupakan satu pengkhianatan terhadap kepercayaan yang diamanahkan yang natijahnya memberi kesan negative kepada pemerintah, pembangunan, kesejahteraan masyarakat, organisasi serta masyarakat umum.

Inilah sebabnya maka rasuah yang berupa penyalahgunaan kuasa mahupun pemberian sesuatu sogokan yang lazimnya dilakukan secara rahsia dengan mengharapkan sesuatu imbalan atau kepentingan tertentu adalah perilaku yang disifatkan sebagai melanggar ajaran agama, undang-undang dan norma hidup manusia yang fitrah.

%d bloggers like this: