Malam minggu lepas, kami mengadakan halaqah ulama’, membaca kitab tafsir munir dengan bimbingan Pengerusi PUM Sabah, Ust Hj Muchlish.
Kami masih membaca huraian surah al-Fatihah. Yang menarik dan seronok, kami membaca kitab edisi asal bahasa arab sambil mengulangkaji qawaid bahasa arab dan i’rab-i’rabnya.
Antara petikan yang kami bincangkan ialah berkenaan pembahagian hidayah. Secara ringkasnya ada 5 menurut Dr Wahbah az-Zuhaili :
1) Hidayah dalam bentuk ilham secara fitrah. Ia diberikan secara fitrah kepada kanak-kanak semenjak lahir lagi. Contohnya, kanak-kanak akan menjerit menangis apabila memerlukan sesuatu – lapar, sakit perut, kencing dan sebagainya. Fitrahnya, tiada siapa yang mengajarnya menangis pun.
2) Hidayah dalam bentuk pancaindera. Ia menyempurnakan hidayah pertama dan dimiliki oleh manusia dan haiwan. Bahkan pada peringkat awal kelahiran, haiwan lebih sempurna berbanding manusia.
Ilham atau naluri haiwan sempurna selepas lahir, sedangkan manusia hanya sempurna secara berperingkat. Contohnya, indera melihat. Seorang bayi yang baru lahir, belum terus dapat melihat, ia melalui masa dan proses tertentu.
3) Hidayah dalam bentuk akal. Ia lebih sempurna dari dua hidayah tadi. Pancaindera sahaja tidak memadai untuk menjalani kehidupan seharian. Akal diperlukan untuk memandu manusia dan membetulkan kesilapan pancaindera.
4) Hidayah agama. Ia adalah petunjuk yang selalu tepat. Boleh jadi akal juga tersilap ketika memutuskan sesuatu. Jadi agamalah yang menyelamatkan manusia dari malapetaka.
5) Hidayah dalam bentuk pertolongan dan tawfiq Allah. Hidayah ini lebih khusus daripada hidayah agama. Ramai orang yang beragama Islam, tidak diberikan bantuan dan tawfiq Allah.
Firman Allah : “Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, istiqamah”.