Tag Archive: Ikhwan Muslimin


asma

Sumber : Sinar Harian

Gadis pintar berumur 17 tahun ini mempunyai masa depan yang cerah, namun akibat tindakan kejam tentera Mesir dia tidak sempat merealisasikan cita-citanya. Asmaa el-Beltagi, anak perempuan tunggal kepada Setiausaha Agung Gerakan Ikhwanul Muslimin, Mohammed Beltagi adalah salah seorang daripada 525 yang syahid selepas pihak berkuasa kerajaan sementara bertindak menyerbu dua kem penunjuk perasaan di ibu negara, 14 Ogos lalu.

Sebelum insiden dia ditembak, remaja berjiwa kental itu sempat melaungkan kata-kata semangat : Jangan berganjak! Kemenangan akan berpihak kepada kita tidak lama lagi. Jangan biarkan tentera menamatkan revolusi ini!

Ketika tentera melancarkan operasi mengusir kumpulan penyokong bekas Presiden digulingkan, Mohammed Mursi, Asmaa bersama ibunya sedang membantu mangsa cedera yang ditempatkan berhampiran khemah di Dataran Rabaa al-Adawiya.

Walaupun masih berumur belasan tahun, perwatakan dan sikapnya mencerminkan tingkah lakunya sebagai gadis yang matang. Asmaa tidak gentar dengan ancaman tentera, dia meneruskan usaha membantu saudaranya yang cedera hingga akhirnya remaja itu rebah berhampiran podium di dataran tersebut selepas ditembak pada bahagian dada dan belakangnya.

Menurut abangnya, Asmaa meninggal dunia kerana tidak dapat menjalani pemindahan darah akibat kecederaan yang dialaminya. Impiannya untuk melanjutkan pengajian di sekolah perubatan dan menyertai aktiviti bantuan global terpaksa berkubur.

Asmaa juga pernah bercita-cita untuk menyertai misi kemanusiaan, Freedom Flotilla dengan menaiki Mavi Marmara bersama bapanya. Teman baiknya, Ethar Yousef menyatakan Asmaa menjadi insan bertanggungjawab yang meniup semangatnya untuk menyertai tunjuk perasaan aman membantah rampasan kuasa oleh tentera.

“Dia percaya, rakyat akan kembali menderita jika tentera kembali memerintah negara itu,” katanya. Asmaa juga aktif menyertai beberapa siri protes yang dianjurkan di negara tersebut sejak revolusi kebangkitan rakyat pada 2011. Pada 3 Julai, Asmaa nekad untuk terus berada di Dataran Rabaa al-Adawiya selepas Jeneral Abdel Fattah al-Sisi mengumumkan rampasan kuasa yang menggulingkan Mursi.

Gadis itu sentiasa memegang al-Quran dan berada di sisi bapanya untuk memberi sokongan moral. Sejam sebelum insiden menyayat hati itu, Asmaa dilihat bertungkus-lumas mengutip batu-bata yang digunakan oleh saudaranya untuk membina sekatan di dataran tersebut.

Bagaimanapun, penyusunan semula tugas yang dibuat oleh penganjur rupa-rupanya telah menjadi perjuangan terakhirnya. Asmaa juga sempat mengemas kini status terakhir di dalam Facebooknya :

“Mereka membunuh kita di saat kita sedang rukuk dan sujud, berdoalah wahai hamba ALLAH, semoga akan datang pasukan sokongan seperti ombak di lautan,”

Selain itu, mesej terakhirnya menerusi Twitter juga memaparkan: “YA ALLAH, kami tiada sesiapa melainkan-Mu, YA ALLAH,”

Bagi memperingati perjuangan Asmaa, beberapa teman baiknya telah melancarkan akaun khusus di laman sosial termasuk simbol R4BIA yang didedikasikan khas oleh aktivis Turki untuk ikon revolusi itu.

Buat anak kesayanganku, Asma el-Beltagy,

Ayah tidak mengucapkan selamat tinggal kepadamu kerana esok kita akan bertemu lagi. Kau telah mengabdikan hidupmu untuk menentang kezaliman bagi membina semula negara ini. Ayah tidak mendapat masa yang cukup untuk dihabiskan bersamamu terutamanya ketika ayah tidak dibenarkan untuk menemanimu.

Kali terakhir kita duduk bersama di Dataran Rabaa Al Adawiya, kau pernah bertanya, “Walaupun ayah bersama kami, ayah tetap sibuk,” dan ayah menjawab ‘Hidup ini terlalu singkat untuk dinikmati.  Jadi, ayah berdoa kepada ALLAH semoga kita akan dapat menikmati hidup bersama di syurga,”

Dua hari sebelum kau dibunuh, ayah bermimpi melihat kau memakai baju pengantin berwarna putih yang menyerlahkan lagi kecantikanmu. Ketika itu, ayah bertanya, “Adakah ini malam perkahwinanmu?” kau menjawab, “Tidak ayah, ia akan ‘dilangsungkan’ pada waktu tengah hari.” Selepas ayah menerima berita bahawa kau terkorban pada tengah hari (14 Ogos), barulah ayah mengerti maksud mimpi tersebut.

Kematianmu sebagai syuhada telah mengukuhkan lagi kepercayaan ayah bahawa kita berada di pihak yang benar. Wahai anakku, hingga kini, ayah berasa amat sedih kerana tidak dapat melihat kau buat kali terakhir; tidak dapat mengucup dahimu dan tidak dapat mengimamkan solat jenazahmu. Demi ALLAH, ayah tidak hadir bukan kerana takut dengan ancaman sekeliling tetapi ayah telah berikrar untuk meneruskan dan menamatkan perjuangan kita.

Akhir kata, wahai puteri kesayanganku, ayah tetap tidak akan mengucapkan selamat tinggal kerana kita mungkin akan bertemu lagi di syurga dan ayah berharap doa ini akan dimakbulkan ALLAH SWT, Insya-ALLAH. Ayahmu, Mohammed Beltagi.

Ramai kalangan yang terpegun dengan kemenangan mengejut calon Presiden dari Ikhwan Muslimin, Dr. Mohamed Morsi dalam pilihanraya Presiden Mesir yang berlangsung baru-baru ini, namun siapakh sebenarnya Ikhwan Muslimin? Beliau dicalonkan bertanding di bawah parti politik yang baru ditubuh oleh Ikhwan, Freedom and Justice Party (FJP) atau ‘Al-Hurriyat Wal Adalah’ sebaik sahaja selepas kejatuhan rejim Hosni Mubarak pada awal tahun lepas.

Begitu juga berapa bulan lepas apabila calon-calon FJP telah memenangi lebih dari 40 peratus kerusi parlimen yang dipertandingkan serta memenangi lebih 60 peratus kerusi ‘Majlis Syura’ yang dipertandingkan bagi meneliti penggubalan perlembagaan baru Mesir selepas kejatuhan rejim Mubarak. Akan tetapi, pihak tentera SCAF telah bertindak membubarkan kedua-dua institusi ini beberapa minggu lepas setelah Mahkamah Perlembagaan Mesir mengambil keputusan membatalkan keputusan pilihanraya yang telah dijalankan itu.

Namun, ramai yang masih tidak memahami akan dasar dan liku-liku perjuangan yang telah dilalui oleh Ikhwan Muslimin ini sendiri. Ada yang menuduh ia sebagai sebuah ‘pegerakan yang radikal dan extremis, ada yang melebelkan ia sebagai ‘pertubuhan haram yang amat bahaya’ dan ada juga yang menggangap ia sebagai ‘pergerakan agama yang sesat’. Bagi menanggapi persoalan ini, berikut adalah rumusan pandangan seorang pimpinan Ikhwan Muslimin, Saiful Islam Hassan al-Banna yang juga merupakan putera sulung pengasas pergerakan ini, Hassan Al-Banna sewaktu penulis sempat menziarahi beliau di kota Kairo baru-baru ini.

1. SEJARAH AWAL IKHWAN MUSLIMIN

Nama Ikhwan Muslimin amat sinonim dengan pemimpin-pemimpin agung seperti Hassan Al Banna, Syed Qutb, Omar Telmisani, Mehdi Akiff serta pimpinan gerakan Islam yang lain. Ia mempunyai sejarah serta pengaruh yang amat besar di Mesir serta seluruh rantau Arab.

Sejak ia mula ditubuhkan oleh Hassan Al Banna pada tahun 1927 Ikhwan telah berkembang di seluruh pelusuk dunia dengan pemikiran ‘tajdid’ atau perubahan terutamanya selepas kejatuhan kerajaan Islam Othmaniah. Pemikiran serta pengaruh yang di bawa oleh Hassan Al Banna telah menggerakkan satu cetusan kebangkitan baru di kalangan masyarakat Arab di rantau tersebut pada waktu itu.

2. CABARAN YANG DI HADAPI

Aliran pemikiran serta pendekatan yang di bawa oleh Hassan Al Banna telah mendapat tentangan hebat dari kalangan pemimpin-pemimpin kebanyakan negara Arab sehingga pergerakan ini telah di haramkan dari bergerak aktif di kabanyakan negara. Malah Ikhwan Muslimin telah di tuduh sebagai sebuah pertubuhan ‘bahaya’ yang mahu merampas kuasa secara kekerasan dan membawa pendekatan yang militan.

Ramai pimpinan mereka yang di bunuh dengan kejam termasuk pengasasnya Hasan Al Banna. Sebahagian yang lain pula dikenakan hukuman penjara di serata negara Arab pada waktu itu. Walaupun mereka di uji dengan cabaran yang besar ini, pengaruh Ikhwan Muslimin tetap berkembang sehingga sekarang ke seluruh pelusuk dunia.

3. IKHWAN DAN DEMOKRASI

Kini Ikhwan Muslimin dipimpin oleh Dr. Mohamed Al-Badie’ yang merupakan seorang tokoh gerakan Islam yang tidak asing lagi di benua Arab dan dunia Islam. Di bawah pimpinan beliau, Ikhwan telah mengambil pendekatan politik yang bersifat ‘engagement’ atau berdailog dan bergerak aktif secara terbuka dalam kancah demokrasi di serata dunia Islam.

Pendekatan terbuka dan telus yang di ambil ini telah membuahkan hasil yang amat positif. Mereka terlibat secara langsung dalam sistem demokrasi dan pilihanraya Mesir sejak beberapa siri pilihanraya yang telah di adakan walaupun kedudukan Ikhwan Muslimin di Mesir waktu pemerintahan Anwar Sadat dan Hosni Mubarak berstatuskan ‘haram’. Calon-calon Ikhwan Muslimin telah masuk bertanding sebagai calon bebas dan juga menumpang di atas tiket parti lain. Uniknya, ia telah menang besar dalam setiap pilihanraya umum yang diadakan di Mesir walaupun telah berlaku banyak penipuan.

4. PENDEKATAN POLITIK IKHWAN

Menurut Saiful Islam, Ikhwan bertekad untuk melakukan perubahan sosial dan politik di Mesir secara aman dan merubah sebarang bentuk penyelewengan dan salah-guna kuasa yang berlaku di sana. Bagi Ikhwan agenda reformasi politik di Mesir adalah amat penting bersesuaian dengan suasana globalisasi dunia yang mahu mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih dan telus. Beliau menegaskan bahawa setiap rakyat dan warganegara mempunyai hak mereka untuk bersuara demi kebaikan serta masa depan negara tersebut.

Beliau juga menegaskan bahawa Ikhwan Muslimin akan terus berjuang serta komited kepada penglibatan secara demokratik walaupun ianya masih banyak kepincangannya. Beliau juga memberi jaminan bahawa Ikhwan tetap mengambil sikap untuk terus berdialog dengan mana-mana pihak termasuk tentera SCAF serta kuasa Barat seperti Amerika Syarikat, Perancis, Britain dan sekutunya.

5. DASAR UTAMA IKHWAN

Ikhwan Muslimin juga turut menggariskan empat polisi penting bagi berhadapan dengan cabaran semasa. Pertamanya, penegasan penglibatan politik parti politk yang diasaskan oleh Ikhwan melalui sistem demokrasi dan menyuarakan setiap pandangan rakyat di Parlimen Mesir. Bagi Saiful Islam, parti-parti politik, badan-badan NGO serta individu-individu sepatutnya dilibatkan dalam membincangkan masa depan negara secara telus.

Keduanya, beliau juga menegaskan bahawa sistem kuasa mutlak hanya kepada sebuah parti dan individu sahaja tidak sesuai lagi dengan peredaran zaman globalisasi yang lebih terbuka ini. Ikhwan komited kepada sebuah negara berlandaskan ‘Civil State’ dan bukannya sebuah negara berlandaskan ‘theocracy’. Ketiganya, Ikhwan Muslimin juga berpendirian agar dilaksanakan segera reformasi politik dan perubahan perlembagaan terutamanya bagi menghapuskan segala bentuk perundangan yang bertentangan dengan norma-norma demokrasi dan kebebasan.

Yang keempat, beliau menegaskan bahawa Ikhwan Muslimin mempunyai misi untuk melakukan reformasi politik, sosial, budaya dan ekonomi. Reformasi ini hanya akan berlaku sekiranya ada ketelusan dalam sistem pemerintahan.

6. KEMENANGAN DR. MOHAMED MORSI

Saiful Islam menegaskan bahawa kejayaan calon Ikhwan Dr. Mohamed Morsi memenangi pilihanraya Presiden Mesir serta menang majoriti kerusi Parlimen tidak sepatutnya menakutkan mana-mana pihak. Ikhwan menghormati hak semua agama serta mana-mana parti politik. Sejarah telah membuktikan bahawa sistem politik yang tidak telus di sesebuah negara akan membawa kepada salah guna kuasa, rasuah serta penyelewengan yang mengakibatkan kehancuran negara tersebut.

Beliau juga menyatakan bahawa Ikhwan tidak mempunyai pilihan yang lain kecuali meletakkan agenda reformasi politik dan pendemokrasian sebagai agenda utama. Bagi Ikhwan, tuntutan demokrasi dan kebebasan serta ketelusan pilihanraya adalah merupakan langkah pertama ke arah reformasi yang lebih besar bagi mewujudkan masa depan negara yang lebih positif selepas kejayaan Dr. Morsi sebagai Presiden.

Sebagai akhirnya, Saiful Islam turut menegaskan bahawa Ikhwan Muslimin akan terus berperanan kepada mewujudkan sebuah Masyarakat Madani serta bersifat terbuka dan bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi mencapai perubahan dan reformasi kearah mewujudkan keadilan dan kebebasan dan kepada seluruh rakyat dan negara.

————————————————————-

Penulis adalah Penolong Setiausaha Agong PAS. Beliau boleh dihubungi melalui e-mail: syedazmans@yahoo.co.uk,Twittter: @syedazman

Pencalonan Naib Mursyidul Am Ikhwan Muslimin Sebagai Presiden Mesir

1. Seluruh dunia dikejutkan dengan keputusan Ikhwan Muslimin secara rasmi meletakkan calon presidennya dalam pilihanraya akan datang dengan menamakan Ir Khairat Al Shater, Naib Mursyidul Amnya bagi calon Presiden Mesir 2012.

2. Setelah mengadakan mesyuarat tergempar sebanyak 3 kali pada akhir Mac lalu, akhirnya Majlis Syura Ikhw…an Muslimin mencalonkan Ir Khairat Shater sebagai calon tatkala penamaan calon masih berbaki 7 hari lagi setelah dibuka 8 Mac lalu dan akan ditutup pada 8 April 2012.

3. Yang menariknya, pada mesyuarat kali pertama Majlis Syura Ikhwan Muslimin pada 16 Mac yang lalu, seramai 81 ahli menolak untuk Ikhwan Muslimin meletakkan calon Presiden. Hal ini kerana, mengikut ketetapan yang telah dipersetujuin pada April 2011 yang lalu bahawa mereka tidak sama sekali akan mencalonkan mana-mana anggota mereka.

4. Manakala pada 27 Mac yang lalu, mesyuarat kali kedua bagi Majlis Syura seramai 61 orang pula tidak menyokong dan ia menunjukkan kemerosotan berbanding mesyuarat yang pertama. Baru-baru ini iaitu tanggal 31 Mac 2012, mereka bersidang sekali lagi bagi membincangkan perkara yang sama berdasarkan suasana dan waqi’e semasa dan dalam persidangan tersebut seramai 56 orang menyokong, manakala 52 lagi membantah daripada jumlah ahli yang hadir menyuarat seramai 108 ahli (keseluruhan Ahli Majlis Syura seramai 110 orang). Dua orang lagi ahli iaitu Dr. Sa’ad Katatni dan Dr. Essam ‘Iryan tidak hadir kerana menghadiri Persidangan Ahli Parlimen Dunia.

5. Antara mereka yang tidak bersetuju dengan pencalonan jawatan presiden tersebut adalah Dr. Helmy, Sayed Enzily dan Mohammed Mahdi Akef, bekas Mursyidul Am yang lalu akan tetapi kesemuanya berlapang dada dan thiqah terhadap keputusan yang telah dipersetujui tersebut.

6. Sumber mengesahkan bahawa, antara sebab Ikhwan Muslimin terpaksa menamakan calon daripada mereka adalah kerana melihat kepada kerajaan sementara dan tentera seolah-olah tidak mematuhi segala perkara yang telah diputuskan oleh Parlimen,satu-satunya institusi yang dipilih oleh rakyat ketika ini dan juga tidak menghormati kehendak rakyat iaitu supaya kerajaan awam diserahkan kepada rakyat, bukannya diperintah oleh tentera.

7. Sebelum daripada itu juga, Ikhwan Muslimin telah mengadakan rundingan dengan beberapa calon Islamik yang lain iaitu Syeikh Hazim Solah Abu Ismail, Abdul Mun’iem Abul Futouh dan Dr.Salim al-Awwa untuk berbincang berkenaan pencalonan Presiden akan tetapi Ikhwan Muslimin melihat bahawa terdapat beberapa perkara yang menyebabkan mereka terpaksa menamakan juga calon daripada mereka dan kesemua calon tersebut kurang menepati kriteria yang dikehendaki oleh mereka untuk membolehkan mereka membuat ketetapan menyokong mana-mana calon tersebut.

8. Terkini, sehari sebelum penamaan calon ditutup, Ikhwan Muslimin dan parti politiknya, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) memutuskan mencalonkan Presiden parti itu, Dr.Mohammad Mursi sebagai “calon simpanan” bagi jawatan Presiden jika sebarang kemungkinan berlaku kepada Khairat Shater. Ini kerana Shater sebelum ini berhadapan dengan tuduhan yang direkacipta oleh mahkamah tentera di zaman Mubarak yang disabitkan kesalahan dan dihukum penjara. Beliau baru dibebaskan setelah berlaku Revolusi 25 Januari dan kesnya masih belum selesai dan sedang diusahakan oleh para peguamnya untuk digugurkan.

9. Walau bagaimanapun, kes beliau itu hanya sebagai tuduhan yang dicipta dan Lajnah Undang-Undang Ikhwan Muslimin dan FJP telah bersepakat kondisi Shater sekarang selamat dan tidak mempunyai apa-apa masalah dari sudut perundangan kerana kesnya sekarang hanya bersifat teknikal untuk digugurkan.

10. Walau bagaimanapun, Ikhwan dan FJP melihat pihak Majlis Tentera sendiri yang cuba mengotorkan proses Pilihanraya Presiden. Hingga kini, terdapat empat nama mereka yang pro-Mubarak telah disahkan bertanding. Mereka ialah bekas Naib Presiden dan juga Ketua Perisikan di zaman Mubarak, Omar Suleiman, bekas Perdana Menteri Mubarak, Ahmed Syafiq, bekas Ketua Liga Arab ‘Amr Mousa dan Mansour Hasan.

11. Berikut jadual perjalanan Pilihanraya Presiden Mesir 2012 seperti yang diumumkan:

8 April: Pencalonan bagi Presiden Mesir ditutup tepat jam 12 tengah hari

9 April: Jawatankuasa Pilihanraya Presiden Mesir (JPPM) akan umumkan calon yang diterima borang

10 dan 11 April: Tempoh mengemukakan sebarang bantahan terhadap calon bermula jam 8 pagi hingga 8 malam. JPPM akan mengadakan perbincangan berkaitan bantahan yang dikemukakan.

16 April: JPPM mengumumkan keputusan bagi bantahan2 yang diterima

26 April: JPPM akan mengumumkan calon yg sah bertanding

30 April: Tempoh kempen bermula dan tempohnya hanya 21 hari

11 hingga 17 Mei: 7 hari masa diberikan bagi rakyat Mesir di luar negara mengundi

20 Mei: Tempoh berkempen tamat

23 dan 24 Mei: Rakyat Mesir dalam negara membuang undi

30 Mei: Pusingan ulangan dan tempoh berkempen dibuka semula selama 15 hari

3 hingga 9 Jun: Selama 7 hari lagi rakyat di luar negara membuang undi

15 Jun: Tempoh berkempen tamat pada tepat jam 12 tengah hari

16 dan 17 Jun: Rakyat dalam negara mengundi buat pusingan kedua

18 Jun: Pengiraan undi dijalankan

19 Jun: JPPM membuka sebarang bantahan terhadap proses pilihanraya

21 Jun: Keputusan penuh dijangka diumumkan

30 Jun: Presiden baru mengangkat sumpah jawatan

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

ANGKAT SUMPAH

Andainya kematian kau tangisi
Pusara kau siram dengan air matamu
Maka di atas tulang belulangku yang dah luluh
Nyalakanlah obor untuk umat ini dan
Lanjutkanlah gerak merebut kemenangan

Kematianku hanyalah suatu perjalanan
Memenuhi panggilan kekasih yang merindu
Taman-taman indah di syurga Tuhan
Terhampar menanti
Burung-burungnya berpesta menyambutku
Dan berbahagialah hidupku di sana

Puaka kegelapan pastikan lebur
Fajarkan menyingsing
Dan alam ini kan disinari cahaya lagi
Relakanlah rohku terbang menjelang rindunya
Jangan gentar berkelana ke alam abadi
Di sana cahaya fajar memancar. 

– As-Syahid Syed Qutb

Selepas 46 tahun pujangga dan sasterawan ulung as-syahid Syed Qutb melakarkan syairnya di sebalik jeriji besi penjara, kini gerakan Islam di Mesir yang diterajui Ikhwan Muslimin sedang bergerak merebut kemenangan bagi seluruh rakyat Mesir. Kemenangan besar Ikhwan di bawah kepimpinan Mursyidul Am, Dr Mohamed Badie, menerusi Parti al-Hurriyah wal ‘Adalah (parti Kebebasan dan Keadilan atau Freedom and Justice Party – FJP) dan parti-parti gabungannya dalam Pilihan Raya Umum Mesir minggu lepas, iaitu hampir setahun selepas Presiden Hosni Mubarak digulingkan, merupakan suatu perubahan besar kepada landskap politik di negara-negara Arab.

Walaupun Syed Qutb dan beberapa orang pimpinan Ikhwan dizalimi sehingga mati syahid di tali gantung pada pagi Isnin 29 Ogos 1966, tidak dapat merasai nikmat kemenangan perjuangan Islam, sekurang-kurangnya roh mereka berbahagia disisi Allah, kerana pengorbanan mereka sudah ditebus Ikhwan.

Selepas tiga pusingan pilihan raya yang dianjurkan secara bebas dengan pemantauan dunia, keputusan muktamad pilihan raya umum Mesir mencatatkan FJP menang 232 kerusi Parlimen (lebih 45 peratus kerusi), Parti Nur Salafi meraih 113 kerusi, Parti Wafdu (Sekular) dengan 47 kerusi, Parti Kutlah (Sekular) mendapat 39 kerusi, Parti Fulul (bekas penyokong Hosni) memperolehi 17 kerusi, Parti Wasot Islami 10 kerusi, Parti Thaurah Mustamirah dengan 8 kerusi dan parti bebas mendapat 14 kerusi. Sementara 18 lagi kerusi Parlimen sedang menanti untuk diadakan pilihan raya dalam masa terdekat.

Secara keseluruhannya FJP mendapat 13 juta undi, Parti Nur Salafi dengan 7 juta undi dan golongan sekular mendapat 5 juta undi. Gabungan golongan Islam FJP dan Salafi mencatatkan undi keseluruhan 20 juta undi. Dengan kemenangan besar ini, sudah pasti FJP iaitu parti tajaan Ikhwan akan menerajui Kerajaan Mesir. Sementara dalam tempoh peralihan ini (selepas Mubarak dijatuhkan) sehingga kerajaan baru mengangkat sumpah, khususnya tugas-tugas mentadbir masih lagi di bawah tugasan tentera.

Ikhwan menerusi FJP akan menjadi peneraju utama untuk menggubal Perlembagaan baru Mesir. Dalam perlembagaan baru yang bakal digubal nanti, akan ditetapkan sama ada kuasa pemerintahan akan diserahkan kepada Parlimen, atau kepada Presiden. Penggubalan Perlembagaan sudah dipersetujui untuk diserahkan kepada Parlimen yang dipilih secara demokratik oleh rakyat Mesir menerusi pilihan raya yang adil dan bebas.

Perlembagaan ini digubal kerana, sebelum ini Mesir diperintah secara diktator oleh Mubarak. Pada zamannya Parlimen hanya diberi kuasa sebagai legislatif, tetapi hak mutlak administratif dan eksekutif di bawah kuasa penuh Presiden. Pengubalan Perlembagaan ini juga akan menentukan terma-terma pembahagian kuasa antara Parlimen dan Presiden. Apa pun Perlembagaan baru Mesir akan disiapkan sebelum Pilihan Raya Presiden Mesir yang dijangka akan diadakan awal Jun depan.

Sebagai langkah peralihan kuasa, Perdana Menteri (sementara), Dr Kamal Ganzouri mengadakan perbincangan dengan Presiden FJP Dr Mohamed Morsi dan Setiausaha Agung FJP, Dr Mohamed Sa’du Katatni. Dalam pertemuan itu Dr Morsi menegaskan bahawa agenda utama yang menjadi fokus FJP untuk digubal Perlembagaan Mesir adalah, mengutamakan kepentingan rakyat termiskin. Pada pertemuan itu Dr Morsi menegaskan,”Keutamaan kami (FJP) adalah untuk mencapai kestabilan dan harmoni untuk kepentingan seluruh rakyat Mesir.

“Untuk itu, saya menekankan peri pentingnya kerjasama semua golongan dalam masyarakat, terutamanya golongan pasca revolusi yang menguasai Parlimen yang bakal dibentuk. Buat pertama kalinya dalam dekad ini (Parlimen) akan mewakili kepentingan seluruh rakyat Mesir.” Dalam langkahnya bertahaluf siyasi dengan pelbagai golongan untuk mencapai kestabilan politik dan keharmonian rakyat, FJP mencalonkan Setiausaha Agungnya sebagai calon Speaker Parlimen, yang merupakan jawatan yang mempunyai kuasa besar di dalam sistem demokrasi berpresiden.

Selain Dr Sa’du Katatni, FJP juga mengumumkan akan menyokong seorang wakil Parti Nur Salafi (golongan Islam) dan wakil Parti Wafdu yang berhaluan sekular sebagai Timbalan Speaker. Dr Katatni bukannya calang-calang orang. Beliau merupakan antara seorang pejuang Ikhwan yang ulung. Di zaman diktator Mubarak, beliau dipenjarakan dan diseksa bersama dengan Dr Mohamed Morsi dan Essam El-Erian. Dr Katatni merupakan sarjana Phd dalam jurusan sains yang pernah bertugas sebagai Profesor, mengajar subjek mikro biologi dalam bidang botani di Universiti Minia. Kemudiannya dilantik sebagai dekan fakulti pada tahun 1994-1998.

Beliau juga memperolehi ijazah dalam bidang Pengajian Islam di bawah Fakulti Sastera pada tahun 2000. Selain itu beliau merupakan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pengajar Universiti berkenaan. Selain pengalaman politik, pengamalan Dr Katatni dalam bidang akademik sangat hebat. Sepanjang kariernya, beliau mengawasi lebih 21 kajian untuk pemegang Master dan Phd dalam hal ehwal botani selain menulis 36 kajian, di mana beliau menjadi Pengerusi Persatuan Saintis di Minia.

Katatni menceburi bidang politik selepas menyertai Ikhwan Muslimin. Beliau bertanding dalam pilihan raya umum Mesir pada tahun 2005 dan menang mewakili daerah Minia. Di dalam Parlimen (pada zaman Mubarak) Dr Katatni merupakan Ketua Whip Parlimen Ikhwan sebelum disumbat ke dalam penjara oleh rejim Mubarak.  Justeru pelantikan Dr Katatni sebagai calon Speaker dari FJP berdasarkan pengalaman yang luas serta sumbangan besar beliau dalam bidang akademik dan politik di Mesir.

Tidak dinafikan bahawa perhatian dunia khususnya golongan Barat tertumpu ke Mesir pada waktu ini. Wakil-wakil Barat saban hari mengunjungi Ibu Pejabat Ikhwan di Jabal Muqattam dan pejabat FJP di Manial al-Roda. Bekas Presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter turut berkunjung. Beliau menemui Mursyidul Am, Dr Badie. Manakala Timbalan Setiausaha Luar Amerika, William Branze menemui Presiden FJP, Dr Morsi. Malah dalam pertemuan berasingan Duta Besar British ke Mesir, James Watt menegaskan pihaknya bersedia untuk memberikan sokongan bagi memulihkan ekonomi Mesir.

Kemenangan Ikhwan menerusi FJP turut menarik perhatian diplomat German. Dalam satu artikelnya dalam akhbar Frankfurter Allgemeine Zeitung, Menteri Luar German, Guido Westerwelle membicarakan tentang peranan parti-parti politik Islam yang sedang membuat perubahan kepada landskap politik di negara Benua Afrika Utara dan dunia Arab yang disifatkan sebagai Arab Spring.

Westerwelle berpendapat, perubahan besar yang melanda negara-negara seperti Tunisia, Maghribi, Libya dan Mesir terutamanya, masih berhadapan dengan beberapa ancaman, antaranya pada saat kritikal peralihan kuasa dari rejim lama kepada kerajaan baru. Selain itu, Arab Spring menghadapi cabaran besar untuk memulihkan ekonomi kerana rakyat di kebanyakan negara terbabit berada dalam belengu kemiskinan.

“Kita harus membantu proses transisi di utara Afrika dan dunia Arab dalam bentuk politik dan ekonomi. Menerusi pelaburan, kerjasama pendidikan dan pasaran terbuka. Kita boleh bantu menaiktarafkan prospek ekonomi rakyat dengan memberikan peluang yang lebih kepada mereka untuk mendapat kehidupan yang selesa,” ujar Westerwelle. (Sumber : Harakahdaily)