Khatib : Ustaz Musa Abbas

Lokasi : Masjid al-Kauthar Kg Tanjung Aru Kota Kinabalu

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan satu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah lembut terhadap orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang kafir, mereka berjuang bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, kerana Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi meliputi pengetahuan-Nya.” (S. Al-Maaidah: 54).

Orang yang murtad atau keluar Islam dan kembali dalam kekufuran tidak sekali-kali memberi sebarang mudarat kepada Allah Yang Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi meliputi pengetahuan-Nya. Malah, Allah SWT akan menggantikan orang yang murtad itu dengan golongan Mukmin yang berkualiti, yakni Mukmin yang memiliki ciri-ciri seperti berikut:-

Pertama, mereka dikasihi Allah dan mereka pun mengasihi Allah. Kedua, mereka bersifat lemah lembut terhadap sesama mukmin tetapi bersifat keras dan tegasterhadap orang kafir. Ketiga, mereka sentiasa bersedia serta sanggup berjuang di jalan Allah. Keempat, mereka sama sekali tidak merasa gentar atau takut terhadap celaan serta ancaman kelompok atau puak-puak yang memusuhi mereka.

Dalam konteks negeri Sabah, mereka yang meninggalkan Islam dipercayai dari kalangan saudara baru yang memeluk Islam atas sebab-sebab tertentu. Maka, terdapat beberapa faktor lain yang menyebabkan golongan berkenaan kembali dalam kekufuran atau keluar Islam. Ia termasuklah:-

Pertama, gagal menghayati dan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar lantaran tiada kesungguhan atau inisiatif untuk mempelajari agama yang diredai Allah itu. Kedua, kegagalan pasangan (suami ataupun isteri) membimbing atau memberi tunjuk ajar kepada pasangannya yang merupakan mualaf atau saudara baru dalam soal agama. Ketiga, kegagalan orang Islam sekeliling memberikan contoh teladan yang baik dalam menghayati dan mengamalkan ajaran dan akhlak Islam yang syumul. Keempat, desakan hubungan cinta dengan teman yang bukan Islam. Kelima, terkilan dan kecewa dengan sikap segelintir anggota masyarakat Islam yang melabelkan orang Islam dari suku kaum tertentu dan mualaf sebagai golongan Muslim kelas kedua atau bukan Muslim tulen.

Sehubungan dengan faktor-faktor tersebut, dapat dirumuskan bahawa fenomena murtad yang berlaku di Sabah ada kaitannya dengan sikap umat Islam sendiri. Dalam erti kata yang lain, jangan terlalu cepat menyalahkan orang lain atau NGO bukan Islam dalam isu murtad yang hangat diperkatakan akhir-akhir ini. Sebaliknya, umat Islam perlu terlebih dahulu mencermin diri masing-masing dengan menyedari kelemahan serta kesilapan diri sendiri, seterusnya berusaha memantapkan lagi akidah serta akhlak dan mematuhi segala syariat supaya dapat membentuk diri menjadi Muslim sejati.