1) Mengasihi Orang Beriman

“Apabila Allah kasihkan hamba, Allah menyeru malaikat Jibril dengan berkata : Sesungguhnya Allah kasihkan orang itu, maka kamu perlu mengasihinya. Jibril pun mengasihi orang itu. Kemudian Jibril mengisytiharkan kepada sekalian penduduk langit, katanya : Sesungguhnya Allah kasihkan orang itu, maka kamu sekalian perlu mengasihinya. Kemudian dia diletakkan di kalangan orang-orang yang diterima di bumi.” (HR Bukhari & Muslim)

2) Bersolawat (Berdoa) Kepada Orang Beriman

a. Malaikat bersolawat kepada orang yang mengajar kebaikan

“Sesungguhnya Allah, malaikatnya sehinggalah semut di dalam lubang dan ikan di laut sentiasa berdoa bagi sesiapa yang mengajar perkara yang baik kepada manusia” (HR Tirmizi)

b. Malaikat bersolawat kepada orang yang berada di tempat solatnya

“Sesungguhnya malaikat sentiasa bersolawat kepada orang yang masih berada di tempat solatnya selama wudhu’nya belum terbatal. Malaikat berdoa : Ya Allah, ampunilah dosanya, ya Allah kasihanilah dia” (HR Bukhari & Muslim)

c. Malaikat bersolawat kepada orang yang berada di saf pertama

“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya bersolawat kepada orang yang berada di saf pertama” (HR Ahmad, Ibnu Majah dan Hakim)

d. Malaikat bersolawat kepada orang yang merapatkan saf

“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya bersolawat kepada orang-orang yang merapatkan saf solat. Sesiapa yang merapatkan saf, Allah mengangkat satu darjat baginya”. (HR Ibnu Majah & Hakim)

e. Malaikat bersolawat kepada orang yang bersahur

“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya bersolawat kepada orang-orang yang bersahur”. (HR Ibnu Hibban dan Tabrani)

f. Malaikat bersolawat kepada orang yang bersolawat kepada Nabi SAW

“Sesiapa yang bersolawat keatasku, maka malaikat bersolawat untuknya selama orang itu bersolawat kepadaku. Oleh itu, terpulanglah kepada individu, sama ada hendak bersolawat untukku sedikit atau banyak.” (HR Ahmad)

g. Malaikat bersolawat kepada orang menziarahi muslim yang lain

“Seorang muslim yang menziarahi saudaranya yang muslim, Allah akan mengutus 70 ribu malaikat bersolawat kepadanya, sepanjang hari dan sepanjang malam sehingga pagi esoknya” (HR Ibnu Hibban)

3) Mengaminkan doa orang beriman

“Doa seseorang untuk saudaranya di tempat sunyi dimakbulkan Allah. Ada malaikat di kepalanya yang mengaminkan doanya setiap kali dia berdoa untuk kebaikan. Malaikat berkata : Ya Allah maqbulkanlah doa orang ini. Bagimu kebaikan sepertinya.” (HR Ibnu Majah)

4) Memintakan keampunan untuk orang beriman

“Dan malaikat bertasbih serta memuji Tuhan mereka dan memohon keampunan bagi mereka yang di bumi. Ingatlah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (asy-Syura : 5)

5) Berada dalam majlis ilmu

“Sekumpulan manusia yang berkumpul di masjid, membaca al-Quran dan mempelajarinya, akan turun kepada mereka ketenangan, kasih sayang Allah meliputi mereka, para malaikat menaungi mereka dan Allah menyebut-nyebut nama mereka kepada makhluk yang berada di sisi-Nya (HR Muslim)

6) Mencatat kehadiran ke masjid pada hari Jumaat

“Apabila tiba hari jumaat, malaikat bertugas pada setiap pintu masjid bagi menulis orang yang datang. Kemudian apabila imam duduk di atas mimbar, malaikat menutup lembaran kehadiran, kemudian mereka mendengar khutbah.” (HR Muslim)

7) Menyampaikan salam kepada Rasulullah SAW

“Sesungguhnya untuk Allah AWJ ada malaikat di bumi yang menyampaikan salam umatku kepadaku.” (HR Ahmad, Nasa’i dan Tabrani)

8) Berperang dalam pasukan orang beriman

“Ingatlah apabila kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu dia memperkenankannya. Sesungguhnya aku menghantar bantuan bala tentera seribu malaikat kepadamu.” (al-Anfal :9)

9) Mengaminkan fatihah

“Apabila imam mengucapkan amin sesudah membaca surah al-Fatihah, kamu hendaklah mengucapkan amin. Sesiapa yang mengucapkan amin serentak dengan ucapan malaikat, diampunkan dosanya yang telah lalu” (HR Bukhari & Muslim)