Sumber : Web JHEAINS

Nabi SAW telah memberi peringatan bahawa pada akhir zaman, sebahagian besar umat Islam akan dihidapi penyakit al-Wahn, iaitu cinta pada dunia dan takut mati. Buktinya telahpun ketara kini di mana ramai yang mengutamakan kemewahan dunia dengan berlumba-lumba mengumpulkan wang dan harta tanpa mempersoalkan halal haram sumbernya. Bagi mereka, peluang keemasan hidup di dunia ini meskipun hanya sementara, namun ia perlu direbut untuk mencapai kesenangan, kemewahan serta sanjungan manusia.

Lantaran itu, tidak ramai yang menyibukkan diri untuk membuat persediaan menghadapi mati dan hari akhirat. Hanya mereka yang benar-benar percaya dan beriman kepada hari kiamat sahaja yang akan melakukan persiapan menghadapi saat itu dengan memperbanyakan amal soleh kerana sedar bahawa segala amalan di dunia akan dihisab dan diberi balasan pada Hari Akhirat. Ini bertepatan dengan apa yang ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

“(Ingatlah) Hari (kiamat yang ada padanya) tiap-tiap seorang akan mendapat apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya sedia (dibentangkan kepadanya dalam surat-surat amalnya); dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya. (ketika itu tiap-tiap orang yang bersalah) ingin kalau ada jarak yang jauh di antaranya dengan amalnya yang jahat itu. Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diri-Nya (menyiksa kamu). Dan (ingatlah juga), Allah amat belas kasihan kepada hamba-hamba-Nya.” (S. Ali-Imraan: 30).

Dengan hal yang demikian, kita semua hendaklah memperkukuhkan keimanan kita kepada Allah SWT dan hari akhirat supaya tidak dilalaikan dan diperdayakan oleh kemewahan serta kesenangan dunia yang bersifat sementara. Sebaiknya, gunakanlah kemewahan serta kesenangan yang dinikmati itu untuk mencapai kebahagiaan yang kekal abadi di akhirat melalui pelaksanaan ibadat wajib dan sunat termasuk sedekah dan berinfaq di jalan Allah SWT.

Sesungguhnya soal kiamat merupakan hal ghaib yang wajib dipercayai dan diimani oleh setiap Muslim. Tarikh berlakunya pula hanya menjadi rahsia Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa. Ini sebagaimana firman Allah SWT:

“Manusia bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang kedatangan hari kiamat; Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada disisi Allah”. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui? Boleh jadi masa datangnya tidak lama lagi.” (S. Al-Ahzab: 63).

Walaupun hari kiamat itu adalah rahsia Allah SWT, namun sejak dulu lagi telah timbul ramalan tarik berlakunya hari yang amat dahsyat itu. Sebelum ini misalnya, dunia disogokkan dengan kepercayaan bahawa kiamat akan berlaku pada 21 Disember 2012 berdasarkan kepada kalendar suku Maya yang dijumpai di bawah runtuhan di Mexico.

Ia disensasikan lagi dengan pembikinan filem 2012 yang memaparkan kemusnahan alam maya dengan tsunami setinggi Everest, gempa yang membelah bumi dan letusan gunung berapi. Filem itu sempat meraih perhatian dan menggerunkan mereka yang menontonnya, tetapi ternyata kiamat tidak berlaku pada tarikh yang dimaksudkan. Kini kita sudah berada di penghujung tahun 2015M, kiamat masih belum berlaku. Ia jelas membuktikan bahawa manusia meskipun dibekalkan dengan ilmu pengetahuan serta peralatan dan teknologi yang canggih tidak akan mampu meramal dengan tepat saat terjadinya kiamat.

Sebagai tanda kasih sayang Allah SWT terhadap hambanya yang memang kuat sifat ingin tahunya, Allah SWT menunjukkan tanda-tanda kiamat yang kecil dan yang besar. Dengan adanya tanda-tanda berkenaan, kita boleh mengambil iktibar daripadanya sekali gus mempersiapkan diri untuk menghadapi saat yang pasti datang itu.

Dalam Hadithnya, Rasulullah SAW menjelaskan beberapa tanda KIAMAT KECIL. Sebahagian besar daripadanya sudahpun berlaku dan dapat kita lihat hari ini. Antaranya adalah seperti berikut:

1. Penaklukan Baitulmuqaddis.

2. Berleluasanya zina.

3. Nyanyian dan muzik berleluasa.

4. Memperindah masjid dan bermegah dengannya.

5. Munculnya kekejian, memutuskan silaturahim dan hubungan tidak baik dengan tetangga.

6. Tercabutnya ilmu dengan kematian para ulama dan orang soleh.

7. Orang hina mendapat kedudukan terhormat.

8. Mengucapkan salam kepada orang yang dikenal sahaja.

9. Banyak wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya telanjang.

10. Bulan sabit kelihatan besar.

11. Banyak pendusta.

12. Banyak saksi palsu dan menyimpan kesaksian yang benar.

13. Negara Arab menjadi padang rumput dan sungai.

Advertisements