Tag Archive: Zulkifli Mohamad al-Bakri


Sumber : http://ulamasedunia.org/2016/10/04/hukum-solat-jenazah-di-atas-kubur/

IRSYAD FATWA KE-90: Hukum Solat Jenazah di Atas Kubur

Soalan:

Adakah dibolehkan untuk solat jenazah di kubur?

Jawapan:

Oleh kerana berlaku salah fahaman mengenai solat jenazah di atas kubur, apakah dibolehkan atau tidak, maka kami akan menjawab persoalan ini seperti berikut:

Hukum solat jenazah di kubur adalah dibolehkan  jika seseorang itu tidak sempat untuk menyembahyangkannya di masjid atau tempat lainnya. Ini berdasarkan sebuah hadis Nabi SAW daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma:

مَاتَ إِنْسَانٌ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَعُودُهُ فَمَاتَ بِاللَّيْلِ فَدَفَنُوهُ لَيْلاً، فَلَمَّا أَصْبَحَ أَخْبَرُوهُ فَقَالَ ‏ “‏ مَا مَنَعَكُمْ أَنْ تُعْلِمُونِي ‏”‏‏.‏ قَالُوا كَانَ اللَّيْلُ فَكَرِهْنَا ـ وَكَانَتْ ظُلْمَةٌ ـ أَنْ نَشُقَّ عَلَيْكَ‏.‏ فَأَتَى قَبْرَهُ فَصَلَّى عَلَيْهِ.

Maksudnya: Telah mati seseorang yang Rasulullah SAW selalu menziarahinya maka matinya pada waktu malam dan dikebumikan juga pada waktu malam. Apabila subuh, mereka memberitahu Rasulullah SAW maka berkata Rasulullah SAW: “Apa yang menghalang kalian dari memberitahuku?”. Mereka berkata: “Sudah malam dan gelap dan kami tidak mahu menyusahkan kamu”. Rasulullah SAW telah pergi ke kuburnya dan menyembahyangkannya.

Sahih Al-Bukhari  (1247), Ibn Majah (1530)

Al-Imam Badruddin al-‘Aini (wafat 855H) Rahimahullah di dalam kitabnya ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari dalam mensyarahkan hadis di atas  menukilkan beberapa pendapat yang mengatakan boleh solat jenazah di kubur. Antaranya Imam al-Syafi’e, Imam Ahmad dan Ishak bin Rahawaih. Begitu juga dengan Abdullah bin al-Mubarak yang mengatakan sekiranya jenazah telah dikebumikan dan tidak disolatkan lagi, maka solat di atas kubur.[1]

Begitu juga dengan hadis Nabi SAW daripada Abi Hurairah RA:

أَنَّ امْرَأَةً، سَوْدَاءَ كَانَتْ تَقُمُّ الْمَسْجِدَ – أَوْ شَابًّا – فَفَقَدَهَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَسَأَلَ عَنْهَا – أَوْ عَنْهُ – فَقَالُوا مَاتَ ‏.‏ قَالَ: ‏”أَفَلاَ كُنْتُمْ آذَنْتُمُونِي”‏ ‏.‏ قَالَ: فَكَأَنَّهُمْ صَغَّرُوا أَمْرَهَا – أَوْ أَمْرَهُ – فَقَالَ ‏”‏دُلُّونِي عَلَى قَبْرِهِ”‏ ‏.‏ فَدَلُّوهُ فَصَلَّى عَلَيْهَا ثُمَّ قَالَ:‏ إِنَّ هَذِهِ الْقُبُورَ مَمْلُوءَةٌ ظُلْمَةً عَلَى أَهْلِهَا وَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُنَوِّرُهَا لَهُمْ بِصَلاَتِي عَلَيْهِمْ‏”.

Maksudnya: Sesungguhnya terdapat seorang wanita (ataupun pemuda) kulit hitam yang selalu membersihkan masjid dan Rasulullah SAW lama tidak melihatnya maka ditanyakan soalan tentangnya dan mereka berkata bahawa dia telah mati. Berkata Rasulullah SAW: “Mengapa kalian tidak memberitahuku, seakan kalian meremehkan urusannya. Kemudian Rasulullah SAW menyuruh agar ditunjukkan kuburnya lalu Rasulullah SAW solat di situ kemudian berkata: “Sesungguhnya kubur ini dipenuhi dengan kegelapan ke atas ahlinya dan Allah ‘azza wa jal menyinarinya dengan solatku ini ke atas mereka.”

Sahih Muslim (956)

Kami nukilkan beberapa pandangan dari tokoh ulama’ dalam membicarakan mengenai hukum ini. Antaranya:

Pertama: Al-Imam al-Mawardi (wafat 450H) Rahimahullah menukilkan perbahasan ini di dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir dengan menyebut: “Barangsiapa yang tidak berkesempatan untuk solat (jenazah) dikalangan wali (si mati) ataupun selainnya, maka disolatkan kali keduasebelum dikebumikan dan selepas dikebumikan di kubur dan itulah  yang paling utama bahkan al-Syafi’e memakruhkan solat sebelum dikebumikan kerana takut akan rosaknya mayat.”[2]

Ini merupakan pendapat sebahagian Sahabat seperti Ali, Umar, Ibn Umar, Abu Musa dan ‘Aisyah Radhiyallahu’anhum. Manakala dikalangan tabi’en seperti al-Zuhri dan selainnya, dikalangan fuqaha’ seperti al-Auza’ie, Ahmad dan Ishak.[3]

Kedua: Di dalam al-Majmu’, al-Imam al-Nawawi (wafat 676H) Rahimahullahmenyebut: “Jika hadir sesiapa yang belum sempat untuk solat ke atas jenazah selepas dikebumikan    atau berkehendakkan solat ke atas jenazah di negeri yang lain dibolehkan dan tiada khilaf padanya.”[4]

 

Ketiga: Begitu juga di dalam mazhab Hanbali seperti yang telah dinukilkan oleh Ibn Qudamah  al-Maqdisi (wafat 620H) Rahimahullah iaitu bagi siapa yang terlepas solat jenazah  sehingga telah dikebumikan, maka solat dikuburnya dan dibolehkan untuk solat di situ selama satu bulan. Begitulah pendapat ahli ilmu dari kalangan Sahabat Nabi SAW dan selain mereka dan itu juga pendapat al-Auza’ie dan al-Syafi’e.[5]

Justeru, selapas nukilan daripada pendapat para ulama’, kami nyatakan di sini bahawa solat jenazah di atas kubur jika tidak sempat melakukannya sebelum dikebumikan adalah harus dan dibolehkan.

Semoga dengan pencerahan dan penjelasan ini, maka terjawablah sudah isu berkaitan solat jenazah di atas kubur bagi sesiapa yang terlepas solat bersama sebelum dikebumikan.

والله أعلم بالصواب

 Akhukum fillah,

S.S. Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

22 Oktober 2015 bersamaan 9 Muharram 1437H

[1] Al-‘Aini. ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari. Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, (8/26).

[2] Al-Mawardi. Al-Hawi al-Kabir. 1999. Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, )3/59).

[3] Ibid.

[4] Al-Nawawi. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. t.t. Dar al-Fikr, (5/247).

[5] Ibn Qudamah al-Maqdisi. Al-Mughni. 1968. Maktabah al-Qaherah, (2/381).

 

Dr Zulkifli Mohammad al-Bakri, Masjid al-I’tisom

20 Julai 2013

Ceramah yang ringkas tetapi sangat berkesan ditambah dengan sesi soal jawab yang menarik .

HAFAZAN AL-QURAN

Buku yang baru dibaca :

Cover Hafazan

Penulis : Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri

Penerbit : Pustaka Cahaya Kasturi

Harga : RM25.00 / RM27.00

Di Malaysia, pusat-pusat menghafaz al-Quran terus berkembang. Sambutan yang menggalakkan di semua peringkat ini bermula dengan benihnya yang subur yang diasaskan seorang tokoh al-Quran tersohor iaitu Dato’ Tuan Guru Haji Mohd Nor Ibrahim mantan Mufti Negeri Kelantan. Beliau adalah guru tahfiz al-Quran yang pertama di maahad tahfiz yang diasaskan pada tahun 1966 di Masjid Negara.

Alhamdulillah, pada hari ini dianggarkan lebih daripada 353 maahad tahfiz wujud di seluruh pelusuk tanah air. Dan bilangan hafiz al-Quran hingga awal tahun ini dianggarkan lebih 10 ribu yang telah menamatkan pengajian mereka. Harapan setiap ibu bapa untuk melihat anak mereka menghafaz al-Quran semakin tinggi. Justeru, satu buku telah dihasilkan oleh saudara saya akhi al-Fakih Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri yang membicarakan tentang Hafazan al-Quran.

Ustaz Khairul Anuar Mohamad

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Multaqa Asatizah & Du’at (26 Jun 2012)

Kami, selaku pendakwah dan asatizah telah dan kerap ditanya berkenaan isu mengadakan pilihanraya sewaktu musim haji. Justeru itu, sebagai respon kepada pertanyaan tersebut, pihak Multaqa Asatizah & Duat (MURSHID) dalam mesyuarat yang lalu berpendapat seperti berikut:-

Di dalam sistem demokrasi, pilihanraya dan proses pengundian adalah ibarat suatu mahkamah besar bagi memilih siapa yang lebih layak diberikan amanah memerintah, maka sewaktu sistem demokrasi dijadikan panduan dan diterima oleh majoriti rakyat, tugas terbesar kerajaan melalui Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) adalah memastikan semaksima mungkin penyertaan rakyat dalam pilihanraya, justeru kempen untuk pendaftaran pengundi mestilah dipertingkatkan kecanggihannya dan dipermudah di seluruh tanahair. Rakyat Malaysia selaku pengundi layak yang berada di luar negara perlu di jamin hak mereka agar boleh mengundi melalui kaedah yang berkesan lagi dipercayai.

Kami juga bersepakat bahawa Pilihanraya dan proses pengundian TIDAK BOLEH atau HARAM dilaksanakan sewaktu musim perayaan dan ibadah umat Islam khususnya musim haji yang mana berpuluh ribu pengundi dan petugas haji sedang berada di luar Negara.

Sekiranya pilihanraya tetap dilakukan di musim haji, itu merupakan suatu pengkhianatan terhadap amanah dan sistem pemilihan. Ini adalah kerana proses pengundi adalah suatu proses KESAKSIAN. Firman Allah:

(وأشهدوا ذوى عدل منكم ..(الطلاق: 2

Mafhum : “Bersaksilah dengan mereka yang adil dari kalangan kamu”( At-Talaq: 2)

Juga Firman Allah :

وَلاَ يَأْبَ الشُّهَدَاء إِذَا مَا دُعُوا

Ertinya : Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil ( Al-Baqarah : 282)

Dalil-dalil di atas menunjukkan, apabila kita berada di dalam suatu situasi atau keadaan sistem yang memerlukan mereka yang bermaklumat memberi kesaksian demi memberikan keputusan demi keadilan, mereka adalah dikira sebagai saksi yang diharamkan untuk menolak dari memberikan keterangan dan kesaksian. Dalam konteks pilihanraya, rakyat sebenarnya bertindak sebagai SAKSI sama ada untuk menyokong atau menolak mana-mana calon yang bertanding.

Justeru, SEKIRANYA pihak berkuasa memutuskan pilihanraya akan dijalankan pada musim haji, ia adalah suatu tindakan yang akan menghalang rakyat dari keluar menunaikan tanggungjawab mengundi. Jika seorang saksi TIDAK DIBENARKAN untuk menolak tanggungjawab memberi kesaksian, maka tentunya DIHARAMKAN juga bagi pihak ketiga untuk menghalang saksi dari memberikan kesaksian seperti sengaja mengadakan sesi perbicaraan ketika saksi berada di luar negara.

Justeru, setiap individu yang mempunyai hak dan berkelayakan memberikan kesaksian samada di mahkamah, termasuk kesaksian dalam bentuk mengundi sewaktu pilihanraya, tidak dibolehkan untuk sengaja menyembunyikan kesaksian atau dinafikan hak dan ruang memberi kesaksian termasuk oleh pihak berkuasa sekalipun.Firman Allah Ta’ala:

وَلَا تَكْتُمُوا الشَّهَادَةَ وَمَنْ يَكْتُمْهَا فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلْبُهُ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ

“Maka janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Al-Baqarah :283)

Akhirnya, kami menyeru pihak berkuasa agar teguh menjalankan amanah yang terbaik buat rakyat bagi mereka menjalankan tugas dan amanah selaku pengundi yang perlu memberi penyaksian parti dan calon yang dipercayainya. Kami yakin, pihak berkuasa tentunya bijak dalam memutuskan keputusan dalam hal ini.

Sekian dari kami:

1. Dr. Zaharuddin Abd Rahman (Pengerusi)
2. Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
3. Dr. Zahazan Mohamed
4. Dr. Maszlee Malek
5. Dr. Abd Basit Abd Rahman
6. Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar
7. Dr. Khairuddin Aman Razali
8. Dr. Sukki Othman
9. Ustaz Roslan Mohammad
10. Ustaz Zamri Zainuldin
11. Ustaz Mohd Nidzam Abd Kadir
12. Ustaz Imam Muda Asyraf Ridzuan
13. Ustaz Izhar Ariff Mohd Kashim
14. Ustaz Aizam Mas’ud
15. Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
16. Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil
17. Ustaz Syed Mohamad Nurhisham Tuan Padang
18. Ustaz Ramadan Fitri Elias
19. Ustaaz Abdullah Bukhari Abd Rahim
20. Xifu Naseer Abd Rahman

KUASA IQRA

Buku yang baru dibaca :

Penulis : Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri (Phd)

Penerbit : PTS Islamika Sdn Bhd

Harga : RM12.00 / RM14.00

“Sesiapa yang ketika membeli buku, tidak berasa lebih nikmat daripada saat membelanjakan hartanya bagi membeli benda lain, atau tidak melebihi cita-cita para hartawan dalam membina bangunan, sesungguhnya dia belum mencinta ilmu. Perbelanjaannya tidak akan bermanfaat, sehingga dia lebih mengutamakan membeli buku.

Sepertimana seorang Arab Badwi yang lebih mengutamakan susu untuk kudanya berbanding keluarganya. Hingga ia berharap memperoleh ilmu seperti halnya orang Arab tadi mengharapkan kudanya.” (Al-Jahiz, ulama dan pakar ilmu zoologi pertama dalam Islam)

Bab Pertama  Ringkasan Tafsir Ayat 1 hingga 5 Surah al-Alaq

Bab Kedua  Kefahaman Mengenai Ayat 1 hingga 5 Surah al-Alaq

Bab Ketiga  Faedah dan Cara Pembacaan Berkesan

Bab Keempat  Tip-Tip dan Galakan Minat Membaca

Bab Kelima  Sejarah Tokoh yang Suka Membaca

Bab Keenam  Cara dan Minat Ulama dalam Membaca

Bab Ketujuh  Mutiara Kata Ulama Berkenaan Membaca dan Menuntut Ilmu

Bab Kelapan  Teknik dan Kemahiran Membaca Berkesan

Bab Kesembilan  Awasi Empat Perkara Ketika Membaca

Bab Kesepuluh  Sumber Rujukan Ilmu-Ilmu Islam

Bab Kesebelas  Bahan Bacaan yang Ditegah

Bab Kedua belas  Perpustakaan Terkenal di Serata Dunia

Bab Ketiga belas  Hasil Karya Penulis

Penutup 

Bibliografi 

%d bloggers like this: