Tag Archive: Zuhdi Marzuki


Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/31623-sentuh-anjing-antara-kemanusiaan-dan-anti-kemanusiaan

Oleh : Dr Mohd Zuhdi Marzuki

Sekali lagi perbahasan tentang hukum menyentuh anjing menyerabuti masyarakat Melayu setelah ia menjadi polemik umum hampir 80 tahun yang lalu.

Pada bulan Januari 1937, Sultan Kelantan telah menganjurkan perdebatan terbuka antara golongan kaum Muda yang dibarisi oleh Haji Nik Wan Musa Abdul Samad (bekas Mufti Kelantan), Haji Abbas Taha (Kadi Singapura) dan Dr Burhanuddin al-Helmi dengan golongan kaum Tua yang terdiri dari Haji Ibrahim Yusuf (Mufti Kelantan), Haji Ahmad Ismail (Ketua Kadi Kelantan) dan Haji Abdullah Tahir.

Masing-masing telah mengemukakan pandangan dengan dalil dan hujah berpandukan sumber-sumber Islam. Setelah masing-masing mengemukakan pandangan, maka Sultan Kelantan menyerahkan kepada rakyat untuk memilih pandangan yang sesuai.

Kaum Muda telah mengemukakan pandangan mereka dengan dalil dan hujah yang wibawa, bahawa boleh berpegang kepada pandangan mazhab Maliki (Talfiq) bahawa anjing tidak najis, tidak sebagaimana pegangan tradisi masyarakat Melayu berpandukan mazhab Shafie.

Perdebatan itu juga diketahui umum, terutama di kalangan masyarakat Melayu Kelantan.

Namun demikian, sehingga hari ini setelah hampir 80 tahun perdebatan itu berlaku, sukar untuk mencari sebuah keluarga Melayu termasuk yang berpegang kepada mazhab Maliki memelihara anjing untuk tujuan keselamatan, apatah lagi sebagai binatang peliharaan.

Jelaslah, ada satu aspek yang tidak boleh diabaikan dalam pengamalan Islam selain daripada dalil dan hujah, iaitu budaya atau ‘uruf.

Budaya adalah satu proses evolusi yang panjang membentuk cara hidup sesebuah masyarakat berinspirasikan pandangan semesta (worldview), hukum (termasuk adat) dan sistem nilai untuk disesuaikan dengan persekitaran mereka.

Tempoh evolusi cara hidup yang kemudiannya membentuk budaya ini sememangnya sukar untuk ditentukan, tetapi lazimnya ia berlaku secara tidak disedari malah seperti semulajadi (natural) sifatnya.

Revolusi cara hidup untuk membentuk budaya adalah satu pemaksaan terhadap masyarakat, yang lazimnya pula akan mencetuskan konflik malah boleh juga membawa kepada persengketaan yang serius. Demikian juga, revolusi cara hidup lazimnya tidak mapan.

Seorang tokoh Sosiologi Amerika, Charles A, Ellwood, pernah menulis panjang lebar teori-teori yang berkaitan dengan evolusi cara hidup, yang menurut pandangannya tidak sama dengan evolusi sosial.

Boleh disimpulkan, beliau cuba mengemukakan teori evolusi cara hidup yang bersifat organik.

Dalam konteks tradisi keilmuan Islam, evolusi budaya ini telah lebih dahulu dibahaskan oleh Ibn Khaldun sehingga beliau dikenali sebagai bapa sosiologi oleh para ilmuan moden.

Salah satu teori yang menarik juga tentang perubahan budaya ialah Structuralism, yang menyarankan bahawa budaya itu adalah interaksi manusia dengan sistem dan struktur yang lebih menyeluruh dan luas.

Berdasarkan pandangan-pandangan tersebut, dekonstruksi budaya bukan satu perkara yang mudah malah ada yang melihat lebih sukar dari dekonstruksi ilmu atau epistemologi.

Perdebatan isu anjing 80 tahun yang lalu boleh dilihat usaha untuk dekonstruksi ilmu, walaupun gagasan Dekonstruksinisme (Deconstructionism) ini dikemukakan lewat sedikit oleh Jacques Derrida.

Dekonstruksi ilmu secara aktif melibatkan para ilmuan melalui wacana dan debat yang dilingkungi oleh etika berbahas, justeru dampaknya terkawal.

Bagaimanapun, dekonstruksi budaya atau ada yang menyebut Pasca-strukturalisme akan turut melibatkan masyarakat bukan ilmuan yang akan menatijahkan dampak yang sukar dikawal malah boleh membawa kepada persengketaan, sehingga ada yang menyebutnya anti-kemanusiaan.

Kempen ‘I Want to Touch Dog’ pada pandangan saya bukanlah satu bentuk dekonstruksi ilmu sebagaimana perdebatan yang dianjurkan di Istana Sultan Kelantan hampir 80 tahun yang lalu.

Perdebatan tentang isu anjing ini berterusan berlaku sehingga hari ini, kadang-kadang suhunya tinggi dan kadang-kadang suhunya rendah. Malah perdebatan seperti ini akan berterusan sehingga bila-bila atas asas, perkara ini adalah khilaf yang sifatnya tidak berkesudahan.

Pada pandangan saya kempen “I Want to Touch Dog’ ini satu usaha untuk dekonstruksi budaya yang dampaknya boleh melewati sensitiviti dan mencetuskan suasana tidak terkawal.

Sebelum suasana tidak harmoni berlaku dalam masyarakat, usaha seperti ini termasuk ‘Pesta Arak’ Oktoberfest yang lalu perlu diberhentikan.

21 Oktober 2014
26 Zulhijjah 1435

Penulis ialah Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS.

Global-Peace-Index

Oleh : Dr Zuhdi Marzuki

1. Saya berpandangan tidak adil untuk menjadikan ranking The Safest Countries yang lazimnya berdasarkan Global Peace Index untuk menilai keberkesanan Undang-undang Islam (Hudud) untuk mencegah jenayah. Indeks tersebut berdasarkan banyak parameter bukan sekadar kadar jenayah (criminal rate).

2. Termasuk dalam parameter indeks keamanan global itu ialah kadar insiden keganasan, insiden konflik dalaman, hubungan harmoni dengan negara jiran, jumlah perbelanjaan pertahanan, jumlah anggota pasukan keselamatan, sumbangan terhadap misi keamanan PBB dan lain-lain.

3. Kalau berdasarkan parameter ini memanglah Arab Saudi dan Pakistan tertinggal ke belakang, kerana negara ini dijadikan medan untuk menghadapi terroris oleh kuasa besar sendiri. Hubungan Pakistan dengan India sampai sekarang hampir mustahil boleh distabilkan. Oleh sebab itu mengambil indeks ini untuk menilai keberkesanan Islam dan hukumnya untuk mengekang jenayah adalah tidak tepat.

4. Sepatutnya lebih sesuai diambil secara spesifik kadar jenayah yang berlaku dalam 100,000 penduduk sesuai dengan tujuan hukum jenayah Islam (hudud) adalah berkaitan dengan jenayah.

5. Kalau diambil kadar jenayah (criminal rate) negara-negara yang dikatakan paling selamat itulah yang tertinggal, sebagai contoh kadar rogol berdasarkan statistik 2009:

a. Sweden berada di kedudukan kedua dengan 53.2 kes per 100,000 penduduk
b. New Zealand di kedudukan ketiga dengan 30.9 kes
c. Ireland di kedudukan kelima dengan 22.3 kes
d. Iceland di kedudukan keenam dengan 21.6 kes

6. Keempat-empat negara ini berada di kedudukan teratas dalam Global Peace Index dari segi negara paling selamat diduduki. Negara-negara Islam termasuk yang melaksanakan sepenuh atau sebahagian hukum Islam adalah antara paling rendah kes rogol, contohnya Sudan kadarnya 2.9 dan Maldive 3 dalam 100,000 penduduk.

7. Berhubung dengan jenayah bunuh dengan niat pula, berdasarkan indeks kadar jenayah global, kadar bunuh di Arab Saudi adalah 0.8 kes bagi 100,000 penduduk dan UEA juga 0.8, lebih rendah daripada New Zealand 0.9, Sweden 1.0, Australia 1.0, Ireland 1.2, Kanada 1.6, Finland 2.2 dan US 4.8.

8. Bagi kejadian rompakan pula, kejadian rompakan di Arab Saudi (statistik tahun 2000) hanya 2.9 kes bagi 100,000 penduduk, Pakistan (tahun 2000) 0.1 kes, Qatar (tahun 2004) 2.6 kes dan Brunei (tahun 2006) 0.5 kes, berbanding dengan US (tahun 2006) 146.6 kes, Sweden (tahun 2006) 94.2 kes, Australia (tahun 2002) 81.8 kes, New Zealand (tahun 2006) 59.7 kes, Ireland (tahun 2006) 55.7 kes, Switzerland (tahun 2006) 54.6 kes dan Finland (tahun 2006) 32.3 kes.

9. Jelas sekali berdasarkan angka-angka itu dari segi kadar jenayah dan kejadian jenayah-jenayah tertentu negara-negara yang melaksanakan secara sempurna atau sebahagian hukum jenayah syariah lebih berjaya dari negara-negara Scandinavia yang dibanggga-bangggakan. Pakistan selalu dijadikan sebagai model buruk perlaksanaan hukum jenayah syariah, sedangkan semua maklum negara itu adalah negara yang politiknya tidak stabil dan banyak berlaku konflik dalaman disebabkan pengaruh kuasa-kuasa dunia yang terlibat dalam politik serantau.

10. Jumlah penduduk Pakistan pula lebih dari 180 juta, justeru amat dangkal untuk membandingkan dengan negara yang jauh daripada konflik dan tidak menjadi medan percaturan kuasa-kuasa dunia seperti di Sweden, Switzerland, Finland dan Iceland, apatah lagi penduduk mereka yang begitu sedikit seperti Iceland hanya 300,000, Finland 5 juta, Switzerland 8 juta dan Sweden 10 juta. Dalam keadaan konflik dan penduduk yang begitu ramai, Pakistan masih dapat mengatasi beberapa negara ini dalam aspek-aspek jenayah.

Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak kembali kerahmatullah pada jam 11.10 pagi ini di Hospital Sultanah Bahiyah. Jenazah almarhum disolatkan di Markas PAS Kawasan Pokok Sena, Jalan Langgar dan dikebumikan di Muasasah Darul Ulum selepas solat Asar. Foto saya ceduk dari pelbagai sumber maya.

CATATAN PENGHORMATAN USTAZ AZIZAN ABDUL RAZAK

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/22333-catatan-penghormatan-ustaz-azizan-abdul-razak

Oleh Mohd Zuhdi Marzuki, 27 Sept 2013

Ustaz Azizan Abdul Razak adalah sebuah nama besar dalam gerakan Islam di Malaysia, malah turut dikenali di kalangan pimpinan gerakan Islam di luar negara. Seorang yang hidup secara sederhana, suka bergurau tetapi sangat tegas dalam membuat keputusan.

Sifat-sifat yang ada pada beliau, menjadikan setiap mesyuarat yang beliau hadiri menjadi hidup dan begitu bermakna. Dalam mana-mana mesyuarat yang beliau hadiri, beliau antara yang kerap memberi pandangan dan komentar.

Pernah ketika aku menghadiri satu mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat, aku bertanya kepada Setiausaha Politik beliau, Saudara Muhammad Sanusi Md Nor, “Apa khabar Ustaz Azizan?”. Kata Sanusi: “Kalau dia banyak cakap dalam mesyuarat tu, tandanya dia sihat”.

Ketegasan beliau ini dibawa ke mana-mana sama ada semasa beliau berkhidmat sebagai pensyarah di UKM sehinggalah terlibat secara sepenuh masa dengan PAS. Aku pernah mendapat pengkhabaran, beliau pernah menempelak Dr Yusof al-Qaradawi sewaktu sama-sama hadir mewakili PAS dalam persidangan gerakan Islam sedunia.

Beliau menempelak Dr al-Qaradawi disebabkan beliau pernah menyebut PAS sebagai musta’jilun (golongan yang tergesa-gesa) dalam persoalan melaksanakan hukum hudud. Aku diberitahu, Ustaz Azizan bertanya Dr al-Qaradawi, adakah beliau benar-benar faqih dengan realiti Malaysia dan kalau beliau tidak faqih sepatutnya bertanyalah kepada PAS, bukannya ke datang Malaysia terus berjumpa dengan golongan sekular di dalam UMNO.

Aku mula mengenali Ustaz Azizan hampir 20 tahun yang lalu, ketika itu beliau dalam tahun-tahun terakhir berkhidmat di UKM. Ketika itu aku bertemu dengan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang untuk menyampaikan jemputan memberi pengisian ilmu kepada anak-anak muda yang bakal bertamrin.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi tidak dapat memenuhi jemputan, lalu beliau mencadangkan nama Ustaz Azizan. Ketika itulah aku mula mengenali nama Ustaz Azizan, salah seorang ulama yang mula berkecimpung sepenuh masa dengan PAS. Selepas bergraduasi, aku menjadi salah seorang ahli jawatankuasa Lajnah Tarbiyah dan Latihan Kepimpinan PAS Pusat, dan Ustaz Azizan adalah salah seorang anggotanya. Di kesempatan itulah aku semakin mengenali Ustaz Azizan dengan sifat-sifat yang dinyatakan sebelum ini.

Dalam mesyuarat-mesyuarat yang dihadiri bersama, Ustaz Azizan adalah kuat mempertahankan pandangannya, malah beliau begitu tegas dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan pengurusan kewangan. Beliau sering mengingatkan supaya ‘ikut buku’ ataupun sentiasa mematuhi peraturan-peraturan yang dibuat.

Sebagai contoh katanya, “sekiranya enta berniaga, enta jangan sesuka hati beri anak enta barangan yang diniaga (seperti gula-gula dan lain-lain). Kalau mereka ambil, minta mereka bayar atau enta sendiri keluarkan duit enta untuk membayarnya”. Ketegasan Ustaz Azizan itu, menyebabkan kadang-kadang berlaku ketegangan dalam mesyuarat, tetapi selepas selesai mesyuarat, Ustaz Azizan akan kembali ramah seperti biasa.

Bagi mereka yang tidak biasa dengan sifat-sifat Ustaz Azizan ini, pasti mereka akan terkedu pada permulaannya, tetapi setelah mengenali beliau barulah kita akan memahami tingkahlakunya. Demikianlah sifat-sifat Ustaz Azizan dalam berkecimpung sepenuh masa dengan PAS, sehingga beliau menjadi salah seorang pimpinan PAS yang sangat kritis dalam memberi pandangan dan membuat keputusan.

Ustaz Azizan terlibat dengan organisasi PAS di peringkat tertinggi, iaitu Majlis Syura Ulama sehinggalah ke peringkat akar umbi kawasan dan cawangan. Beliau mula menjadi tulang belakang utama PAS di Kedah selepas pemergian Ustaz Fadzil Mohd Nor. Selepas kemenangan PAS di Kedah dalam PRU 2008, beliau dilantik sebagai Menteri Besar Kedah.

Sewaktu menjadi Menteri Besar Kedah, beliau menunjukkan kesederhanaan sebagaimana Mursyidul Am PAS yang menjawat jawatan Menteri Besar di Kelantan. Ustaz Azizan tidak mengambil elaun-elaun selaku pengerusi beberapa syarikat berkepentingan kerajaan negeri (GLC), malah memotong elaun Menteri Besarnya untuk diinfaqkan bagi kegunaan rakyat dan parti.

Beliau tidak mendiami rumah rasmi MB, sebaliknya terus hidup di tengah-tengah rakyat bawahan di rumah yang serba sederhana. Cara beliau berpakaian juga sangat sederhana, dengan membeli pakaian-pakaian yang berharga murah sepertimana rakyat kebanyakan. Banyak sekali catatan mereka yang bersama-sama dengan Ustaz Azizan, melihat sendiri kesederhanaan beliau dalam kehidupan sehari-hari.

Ramai yang tidak menyedari bahawa Ustaz Azizan berpendidikan tinggi disebabkan kehidupannya yang seperti orang kampung. Ketika beliau mula menjawat jawatan Menteri Besar, ramai juga yang menyangka beliau berkelulusan sekolah pondok, bekas guru sekolah rendah dan lain-lain sangkaan.

Bila diberitahu Ustaz Azizan adalah bekas pensyarah UKM dan berkelulusan sarjana dari University of Kent, United Kingdom, ramai juga yang terkejut. Beliau menguasai bahasa Arab dan bahasa Inggeris disebabkan pengalamannya hidup beberapa tahun di Mesir dan United Kingdom.

Pengkhususan Ustaz Azizan adalah Syariah dan Perundangan Islam, di samping beliau mahir dalam Usul al-Fiqh. Dengan latar belakang tersebut, Ustaz Azizan sering menjadi kepercayaan Tuan Guru Haji Abdul Hadi untuk menyemak buku-buku yang ditulisnya sebelum diterbitkan.

Ketika aku menziarahi bekas Ketua Pemuda PAS, Ustaz Jais Anwar, di rumahnya di London sekitar tahun 2008, aku diberitahu bahawa Ustaz Azizan adalah salah seorang rakan karibnya. Ketika berbual tersebut, Dr Mahfuzd Mohamad yang ada bersama dalam rombongan itu menyatakan, bahawa selepas tamat pengajian di Universiti Azhar Mesir, mereka seramai empat orang mengambil keputusan tidak mahu kembali ke Malaysia.

Sebaliknya mereka merancang untuk menyambung pengajian di United Kingdom. Keempat-empat sahabat itu ialah Ustaz Jais Anwar, Ustaz Azizan Abdul Razak, Dr Mahfuzd Mohamad dan seorang lagi bekas pensyarah UKM yang aku lupa namanya. Mereka berkelana ke UK dengan tiada sebarang biasiswa atau bantuan kewangan dari mana-mana pihak.

Mereka memulakan kehidupan mereka di UK dengan melakukan pelbagai pekerjaan termasuklah membasuh pinggan, menjadi buruh kasar keretapi, berniaga sate dan lain-lain. Bila mereka mempunyai kewangan, barulah mereka menyambung pengajian mereka di peringkat sarjana. Tiga orang dari mereka berjaya menamatkan pengajian di peringkat sarjana dan PhD, dan kembali ke Malaysia menjadi pensyarah di UKM dan UM.

Manakala Ustaz Jais Anwar terus menentap di UK sehinggalah beliau meninggal dunia di sana. Aku diberitahu oleh Ustaz Jais dan Dr Mahfuzd, pengalaman mereka di sana menyebabkan mereka tidak begitu bergantung kepada orang lain dan berani untuk menyatakan pendirian masing-masing. Ustaz Jais Anwar yang merupakan menantu Dato Asri Muda, juga meninggal dunia dalam keadaan hatinya terus komit bersama dengan PAS.

Ustaz Azizan telah dijemput oleh Allah pada hari semalam 26 September 2013, meninggalkan jasanya yang begitu besar kepada anak bangsa yang pernah menuntut di UKM dan UIA, dan lebih utama lagi jasanya kepada masyarakat Kedah termasuk legasinya yang cemerlang dalam melaksanakan pentadbiran yang berhemah dan telus.

Sudah barang pasti, jasanya kepada perjuangan Islam melalui PAS juga cukup cemerlang, sehingga beliau berjaya mengemudi PAS Kedah untuk menawan negeri Kedah dalam PRU yang ke 12. Semoga ALlah memayungi Ustaz Azizan dengan rahmatNya dan mengampunkan dosa-dosanya, agar ia ditempatkan bersama-sama dengan para anbiya’, siddiqin, shuhada’ dan salihin. Semua kita akan pasti melalui detik itu, yang berbeza ialah sama ada kita akan mati dalam perjuangan meninggikan kalimah Allah atau tidak.

Ust Azizan (1) Ust Azizan (2) Ust Azizan (3) Ust Azizan (4) Ust Azizan (5) Ust Azizan (6) Ust Azizan (8) Ust Azizan (9) Ust Azizan (10) Ust Azizan (11) Ust Azizan (13) Ust Azizan (14) Ust Azizan (15) Ust Azizan (16) Ust Azizan (18) Ust Azizan (20) Ust Azizan (23) Ust Azizan (24) Ust Azizan (25)

Diskusi Resolusi Multaqa Ulama : Prinsip Tahaluf Siyasi & Survival Politik PAS

Tarikh : 20/9/2013

Masa : 9pm

Tempat : Surau KUIZM 

Anjuran : PAS Kawasan Batu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Pembentang :

1. Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh (Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS Pusat)

2. Dr Mohd Zuhdi Marzuki (Pengarah Operasi Pusat Penyelidikam PAS Pusat)

%d bloggers like this: