Tag Archive: Zakat


Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/35441-zakat-maskahwin-elaun-rumahtangga-dan-harta-jagaan

USTAZ HAMIZUL ABDUL HAMID | 15 Mei 2015.

SAYA ada beberapa persoalan mengenai zakat dan mohon pencerahan pihak ustaz.

Pertama, mengenai mahar atau ‘mas kahwin’ yang diberikan oleh seorang lelaki kepada seorang wanita yang dinikahinya, adakah ia wajib dizakatkan?

Kedua, adakah seorang wanita yang menerima elaun bulanan daripada suaminya juga wajib mengeluarkan zakatnya?

Ketiga, adakah seorang wanita yang kematian suami dan telah diwasiatkan oleh suaminya untuk mengelolakan harta tertentu bagi pihak anak-anaknya yang masih di bawah usia baligh, wajib mengeluarkan zakat bagi pihak anak-anaknya? Harap penjelasan ustaz, terima kasih.

Alhamdulillah, sesungguhnya persoalan-persoalan yang dikemukakan ini amat baik sebenarnya bagi memberikan pencerahan kepada kalangan majoriti umat Islam yang mungkin selama ini masih kabur mengenai persoalan zakat seperti di atas ini. Mudah-mudahan, Allah SWT membantu saya dalam menyajikan jawapan yang terbaik, amin.

Baiklah, mari kita telusuri satu persatu soalan yang dikemukakan. Pertama, mengenai mahar atau mas kahwin yang diberikan kepada seorang wanita, maka adakah ia wajib dizakatkan? Ada beberapa pandangan fuqaha dalam hal ini, namun majoriti fuqaha berpandangan bahawa mahar yang diberikan itu, maka ia wajib dizakatkan.

Cumanya, apakah bentuk mahar berkenaan? Ini kerana, mahar tidak semestinya dalam bentuk emas, kerana ia juga boleh dalam bentuk wang, harta yang bernilai yang lain hatta boleh juga dalam bentuk bukan harta, seperti mana diriwayatkan oleh Imam Muslim, ada sahabat nabi yang bernikah hanya membayar maharnya dengan beberapa surah daripada al-Quran kerana kemiskinannya tidak memungkinkan dia memberikan hartanya.

Maka, fuqaha menyatakan jika ia diberikan dalam bentuk emas, hendaklah disandarkan kepada zakat emas. Jika diberikan dalam bentuk wang, maka ia boleh dicampurkan dengan lain-lain harta perolehan (pendapatan) dan dikeluarkan zakatnya sebagai zakat pendapatan.

Jika dalam bentuk harta lain yang tidak berkembang, misalnya diberikan sebuah kereta atau rumah atau tanah, maka tidaklah wajib dizakatkan, kecuali harta itu berubah sifatnya menjadi harta yang berkembang (mendatangkan wang seperti disewa atau dijualkan). Jika maharnya dalam bentuk bukan harta (seperti sepotong surah), maka tidak adalah zakat ke atasnya (rujuk Dr. Amir Said az-Zahari, Tanya Jawab Tentang Zakat, hal. 21).

Kedua, mengenai zakat ke atas wang elaun bulanan yang diberikan oleh seorang suami kepada isterinya? Hakikatnya, bukan sahaja wang elaun bulanan daripada seorang suami kepada isteri, malah ia juga boleh dikembangkan lagi kepada semua jenis pemberian daripada orang-orang yang lain, misalnya daripada anak-anak, daripada saudara-mara hatta sesiapa sahaja. Ini kerana, setiap pemberian itu hakikatnya bersifat harta perolehan kepada si penerima.

Berdasarkan fatwa zakat pendapatan di Selangor, semua jenis harta perolehan termasuklah pemberian daripada seseorang, maka ia dikategorikan sebagai pendapatan dan wajib dizakatkan sebagai zakat pendapatan. Maka, di sini jelaslah pemberian elaun daripada suami kepada isterinya itu, wajib dizakatkan.

Cuma, hendaklah diperhatikan terlebih dahulu apakah elaun bulanan itu diberikan oleh suami, sebagai elaun khusus buat isteri atau perbelanjaan asasi bagi rumahtangga. Misalnya, jika si suami memberikan RM4,000 dan diberi tahu kepada isterinya, RM2,000 adalah untuk keperluan rumahtangga, misalnya untuk belanja dapur, bayaran bil elektrik dan air serta sebagainya lagi, dan RM2,000 lagi ialah khusus untuk isterinya, maka hanya RM2,000 itu sahajalah yang wajib dizakatkan oleh isterinya sebagai zakat pendapatan.

Ketiga, apabila seseorang ibu atau wanita itu menerima wasiat suaminya untuk mengelolakan sebahagian harta bagi pihak anak-anaknya, maka di sini pengelolaan tersebut termasuklah juga kewajipan menjaga hak zakat ke atasnya. Ini kerana, wasiat mengelolakan harta tersebut bermaksud menjaga agar harta itu tidak binasa, dan berzakat adalah salah satu cara agar harta tidak binasa, yakni disejahterakan oleh Allah SWT daripada sebarang mara bahaya.

Hadis Nabi Muhammad SAW: “Lazimnya habuan (bahagian) zakat (yang tidak dikeluarkan dan dibiarkan) bercampur dengan mana-mana harta, (maka tidak memberikan kebaikan) melainkan ia akan membinasakan harta itu.” (Hadis riwayat Imam Syafie)

Dan sebuah hadis lagi: “Peliharalah hartamu dengan zakat dan ubatilah penyakitmu dengan sedekah.” (Hadis riwayat Imam Tabrani)

Manakala, kewajipan zakat kepada harta yang dikendalikan bagi anak-anak sememangnya ada dalil khusus baginya, seperti mana yang disebutkan di dalam suatu hadis: “Berniaga, labur atau usahakanlah harta-harta anak yatim, semoga ia tidak surut (semakin berkurang) dengan (sebab) zakat (dizakatkan setiap tahun sehingga harta terus menjadi sedikit).” (Hadis riwayat Imam Baihaqi)

Maka, berdasarkan hadis di atas, jelas bahawa nabi sendiri memerintahkan agar harta milik anak-anak yatim yang dipelihara oleh penjaganya, maka hendaklah dizakatkan dan dalam masa yang sama juga, harta itu perlu dikembangkan, agar ia tidak menyusut kerana zakat yang dikeluarkan ke atasnya saban tahun.

Dengan menggunakan konsep qiyas di dalam hukum Islam, hal ini juga bolehlah dikembangkan kepada sesiapa sahaja yang diamanahkan menjaga harta bagi pihak orang lain. Misalnya harta bagi orang yang dipenjara, dibuang negeri dan sebagainya. Maka, kewajipan zakat ke atasnya juga masih terlaksana, yakni ditunaikan oleh si penjaga, sesuai dengan mafhum hadis di atas.

Hal ini sesuai dengan konsep ibadah zakat itu sendiri yang berbentuk ibadah maliyyah atau harta benda, dan kewajipan ke atasnya harus terlaksana apabila ada orang yang dipertanggungjawabkan mengendalikannya secara sepenuhnya, bagi pihak pemilik asalnya.

Ia juga menepati kehendak Allah SWT di dalam al-Quran: “Dan hendaklah kamu bertolong bantu dalam perkara baik dan ketakwaan.” (al-Maidah: 2)

Apabila penjaganya mengeluarkan zakat bagi harta berkenaan, maka akan terlepaslah beban zakat kepada pemiliknya yang mungkin terpenjara. Hal ini samalah seperti kes, orang yang mati dan dia mempunyai qada zakat, maka kewajipan menunaikan qada zakat itu terbeban atas bahu warisnya dan sebahagian fuqaha menyatakan, warisnya wajib mengeluarkan zakatnya walaupun tidak diwasiatkan oleh si mati (rujuk Dr. Abdul Karim Zaidan, Ensaiklopedia Fiqh Wanita Jilid 2, hal. 28).

Kesimpulannya, kewajipan zakat itu adalah sesuatu yang wajib diperhatikan kerana ia bukanlah kewajipan seperti solat atau puasa dan haji yang lebih bersifat ibadah badaniyyah, melainkan ia kewajipan harta yang boleh diwakilkan kepada orang lain untuk dilaksanakan sehingga terlepaslah diri seseorang daripada tanggungan dosa kerana mengingkarinya. – http://www.hamizul.com/

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/33763-emas-perhiasan-dipinjam-anak-anak-apa-hukum-zakatnya

USTAZ HAMIZUL ABDUL HAMID | 10 Februari 2015.

Ibu saya mempunyai banyak barangan kemas daripada emas yang dipusakai daripada almarhumah ibunya, tetapi telah dipinjam oleh kakak-kakak saya dan mereka tidak pula memulangkannya kembali kepada ibu, walaupun sudah lebih 10 tahun meminjamnya. Selama itu juga, ibu saya tidak mengeluarkan zakatnya ke atas emas perhiasan itu atas alasan tidak ada sempurna milik, kerana dia tidak menyimpan dan memakainya. Adakah betul tindakan ibu saya tersebut dan apakah pula hukumnya ke atas kakak-kakak saya yang tidak memulangkan emas perhiasan tersebut?

Terima kasih atas persoalan yang dikemukakan. Mungkin masih ramai wanita di luar sana yang mempunyai persoalan yang sama seperti ini akan mendapat manfaatnya, insya-Allah.

Baiklah, emas perhiasan yang dipinjam oleh anak-anak perempuan atau kakak-kakak berkenaan, yang boleh jadi dipinjam sewaktu mereka melangsungkan pernikahan dan telah terlupa atau sengaja tidak dipulangkan kepada ibu saudara sehingga melangkaui haul selama 10 tahun. Apakah statusnya?

Baiklah, di sini suka dijelaskan bahawa emas perhiasan itu hakikatnya adalah milik ibu saudara. Apabila ia dipinjam oleh anak-anak perempuannya, maka persoalan yang wajib ditanya, adakah ketika itu sudah hilang milikan sempurna ibu saudara ke atas semua emas perhiasan itu?

Maka, jawapannya ialah, masih ada milikan sempurna. Ini kerana, emas perhiasan itu masih miliknya dan ibu saudara pada bila-bila masa sahaja, boleh mengambilnya semula daripada anak-anaknya, tanpa terhalang dengan suatu halangan apa-apa pun. Lainlah jika anak-anaknya telah menghilangkan diri mereka dan tidak lagi dapat dikesan, maka kala itu hilang sudah pemilikannya.

Maka, dalam konteks ini, jelaslah bahawa biar pun ibu saudara tidak memakai, menyimpan atau memegang emas berkenaan, namun hakikatnya ia masih milik sempurna ke atas dirinya dan pada saat itu, dia masih wajib mengeluarkan zakat ke atasnya. Oleh sebab ia dipakai, maka ia dikenakan zakat emas perhiasan yang dipakai, iaitu dikenakan bagi berat emas perhiasan yang mencapai dan melebihi ‘uruf semasa (rujuk di pusat zakat negeri saudara untuk mengetahui jumlah ‘uruf).

Tidak sekadar itu, ibu saudara juga wajiblah mengqada kesemua 10 tahun lalu yang telah diabaikan zakat ke atasnya, dengan mengambil kira jumlah berat emas yang ditukar kepada nilai RM pada masa itu dan juga ‘uruf emas pada waktu itu.

Hakikatnya, peminjaman emas perhiasan berkenaan kepada anak-anak adalah sama dengan kondisi seseorang yang meminjamkan (atau memberi hutang) kepada orang lain, yang mana pada pandangan fuqaha, kekayaan asalnya masih milik ibu saudara dan ia tidaklah menghilangkan kewajipan zakat atas harta kekayaan berkenaan.

Dr. Abdul Karim Zaidan ada menyatakan seperti berikut mengenai hutang, iaitu menurut terminologi fuqaha: “Hutang ialah, harta kekayaan yang secara hukum berada di bawah kekuasaan seseorang.” Ini bererti, secara perundangan seseorang itu memiliki harta kekayaan, tetapi ia berada di tangan orang lain. (Rujuk Ensaiklopedia Fiqh Wanita, Jilid 1, hal. 93).

Kecualilah ibu saudara bertindak memindahkan hak miliknya ke atas anak-anak perempuannya, maka kewajipan itu pun berpindah pulalah kepada mereka. –http://www.hamizul.com

Sumber : http://www.m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/33501-bolehkah-zakat-isteri-bayar-hutang-suami

HAMIZUL ABDUL HAMID | 27 Januari 2015.

Saya seorang isteri yang berkerjaya dan punya pendapatan saya agak besar. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, perniagaan suami saya merudum dan beliau menanggung rugi. Akibatnya, beliau hampir diisytiharkan muflis.

Setelah berbincang, saya mahu membantu beliau menyelesaikan masalah hutang piutang dengan cara menggunakan wang zakat saya yang dibayar in-advance. Maksudnya, saya akan mengira jumlah zakat saya buat beberapa tahun ke hadapan dan saya akan menjelaskannya lebih awal kepada suami saya. Soalan saya, adakah syarak mengizinkan perbuatan ini?

Terima kasih kerana mahu bertanya sebelum melaksanakan keputusan perbincangan tersebut. Suka dinyatakan, seorang suami memang boleh menerima zakat daripada isterinya, kerana suami bukanlah tanggungan wajib si isteri. Manakala, orang yang berhutang juga memang merupakan salah satu asnaf zakat, iaitu asnaf al-gharimin. Islam juga memberikan keizinan kepada pembayar zakat untuk menunaikan zakatnya lebih awal dari waktu haul zakatnya, yakni mendahului tempoh wajibnya.

Maka, jika kita melihat secara sepintas lalu, secara asasnya tindakan puan untuk menyerahkan keseluruhan zakat puan kepada suami puan, langsung tidak bercanggah dengan kehendak syarak. Benarkah begitu?

Sebelum kita pergi lebih lanjut, maka terlebih dahulu ada baiknya kita memahami dengan minda yang jernih tentang prinsip, matlamat dan roh zakat. Ini kerana, zakat adalah amalan ijtimai’e (kebajikan dan keadilan sosial) yang ruang lingkupnya amat luas.

Sungguhpun zahirnya kita tidak melanggar kehendak syarak, namun itu tidak bererti apa yang akan kita lakukan itu berbetulan dengan prinsip, matlamat dan roh zakat. Dr Yusuf al-Qaradawi telah pun membicarakan secara rinci perihal ini di dalam kitabnya Hukum Zakat, pada halaman 877-885 dengan tajuk ‘Tujuan zakat dan dampaknya dalam kehidupan masyarakat’.

Realitinya, prinsip, matlamat dan roh zakat amat jelas, iaitu menyantuni dan memenuhi keperluan umat Islam yang termasuk ke dalam kategori lapan asnaf zakat, iaitu fakir, miskin, amil, mualaf, riqab, gharimin, fisabilillah dan ibn sabil.

Maka, dalam hal ini, para fuqaha menyatakan secara jelas, seorang muzakki itu adalah tidak wajar hanya menyerahkan keseluruhan hartanya hanya kepada salah satu asnaf zakat sahaja. Tindakan ini secara langsung telah menidakkan hak asnaf atau mustahiq lain yang juga berhak ke atas harta zakatnya.

Sebagai rujukan, pada pandangan Imam Syafie sendiri, zakat yang hendak diagihkan itu mestilah dibahagikan kepada setiap golongan yang telah disebutkan (kecuali asnaf amil), dan seandainya kesemua golongan asnaf itu ada, maka zakat itu wajib diserahkan kepada semua asnaf dan tidak boleh dikecualikan walaupun satu golongan. Cuma sebahagian fuqaha telah memberikan kelonggaran dengan tidak mewajibkan kesamarataan dalam pengagihan zakat.

Bahkan pada sisi Syafie, seseorang yang mahu mengagihkan sendiri zakatnya, maka mereka mestilah memberikannya kepada sekurang-kurangnya tiga orang daripada setiap golongan asnaf, sekiranya bilangan asnaf itu terlalu ramai.

Maknanya, asnaf fakir tiga orang, miskin tiga orang, mualaf tiga orang dan begitulah seterusnya sehingga memenuhi semua tujuh asnaf (di sini asnaf amil tidak dimasukkan sebagai penerima, kerana ia diagihkan sendiri oleh pemilik harta zakat) (Rujuk Hukum Zakat, hal. 664).

Di samping itu, memang ada juga dalam kalangan ulama fikah lain yang membolehkan ia diserahkan walaupun hanya kepada satu golongan. Namun dalam hal ini, Imam Malik pula menegaskan: “(hendaklah) diserahkan (zakat itu) kepada yang paling memerlukan.” (Rujuk Fiqhul Manhaji al-Shafie, Jilid 1, hal. 466 – 467).

Apa yang dapat difahami di sini ialah, para fuqaha telah meletakkan keutamaan agar pengagihan zakat itu hendaklah berpandukan kepada pertunjuk ayat 60 dalam surah at-Taubah, iaitu mestilah diutamakan golongan fakir, miskin dan mualaf sebelum gharimin (orang berhutang).

Maka, apabila seseorang itu memberikan zakatnya tanpa merujuk kepada hierarki keutamaan asnaf, sudah pasti berlaku ‘ketempangan’ di sini. Ia juga telah mencanggahi pandangan yang dikeluarkan oleh Imam as-Syafie sendiri.

Dalam pada itu, sungguh pun fuqaha menyatakan, adalah harus bagi seseorang muzakki itu untuk mendahulukan haul zakatnya; namun fuqaha juga menyatakan, ia hendaklah dengan syarat bahawa orang yang bakal menerima zakatnya itu, berkekalan dia sebagai mustahiq zakat sehinggalah tempoh yang sepatutnya.

Misalnya, jika puan mengeluarkan zakat bagi suami puan dari tahun 2010 sehingga tahun 2015, maka adakah puan pasti sehingga tahun 2015 itu, suami puan masih lagi seorang asnaf zakat? Ini kerana, dalam perkiraan zakat, ia masih mengambil kira haul sebenar ketika mana zakat itu sepatutnya dikeluarkan. Seandainya ketika itu penerima sudah terkeluar dari kelompok mustahiq zakat, maka pemberian itu bukan lagi dianggap sebagai zakat (rujuk Fiqhul Manhaji al-Shafie, Jilid 1, hal. 458).

Maka, dalam mempertimbangkan pelbagai sudut agar zakat yang dikeluarkan itu benar-benar mencapai matlamat dan menepati rohnya, maka sayugianya dicadangkan agar puan tidak memberikan keseluruhan zakat puan itu hanya kepada satu sasaran sahaja.

Ini kerana, ia bukan sahaja akan menidakkan hak yang sepatutnya turut dimiliki oleh asnaf lain; bahkan dikhuatiri pertimbangan itu lebih kerana atas kepentingan peribadi dan individu.

Sebaik-baiknya, hendaklah puan membahagikan zakat itu kepada tiga bahagian dan menyerahkan dua bahagian kepada institusi zakat agar ia dapat dilestarikan kepada asnaf zakat yang lain dan hanya sepertiga yang puan serahkan kepada suami puan atas asnaf gharimin.

Ini kerana mengambil kira suami puan adalah orang yang rapat dengan puan, dan Islam juga menuntut agar seseorang itu mengambil kira faktor kekerabatan ini dalam memberikan sedekahnya. Manakala jumlah sepertiga, kerana ia adalah jumlah minimal yang sesuai dan tidak dilihat berlebih-lebihan serta tidak pula terlalu kecil bagi menampung keperluan suami puan. Misalnya, jika zakat puan adalah RM1 juta, maka 1/3 adalah RM333 ribu.

Ingin saya nukilkan di sini sedikit cuplikan dari kitab Hukum Zakat, susunan al-‘Allamah Syeikh Yusuf al-Qaradawi, iaitu: “Sesungguhnya keperluan (agihan zakat) itu adalah berbeza antara satu sama lain (dalam kalangan asnaf zakat). Yang penting adalah, kalaupun kelebihan itu ada, maka hendaknya (ia diberikan) berdasarkan sebab yang benar dan demi kemaslahatan, bukan berdasarkan hawa nafsu dan keinginan tertentu, dan dengan tidak merugikan sasaran (asnaf) atau peribadi yang lain.” (Hukum Zakat, hal. 671). Wallahua’lam. – http://www.hamizul.com/

Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/30198-zakat-dan-wakaf-mana-patut-didahulukan

USTAZ HAMIZUL ABDUL HAMID | 14 Ogos 2014.

Soalan:

Mutakhir ini umat Islam di Malaysia digalakkan untuk menunaikan ibadah wakaf, malah di kaunter Lembaga Zakat Selangor (LZS) sendiri, turut menerima wakaf bagi pihak Perbadanan Wakaf Selangor (PWS). Bolehkah ustaz perjelaskan perbezaan dan kelebihan di antara dua jenis ibadah ini, demi memberikan kefahaman yang lebih mendalam kepada umat Islam semasa melakukannya, terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, semoga dengan jawapan yang diberikan ini mampu memberikan pencerahan kepada umat Islam mengenai ibadah maliyyah (harta) ini. Sesungguhnya, ibadah harta memang sangat dituntut dalam Islam, kerana ia mencerminkan iltizam sebenar umat kepada agamanya.

Di dalam al-Quran, dianggarkan terdapat kira-kira 160 ayat yang menyentuh mengenai harta, dan ia sudah pastilah menggambarkan betapa perlunya orang-orang yang beriman sentiasa menguruskan hartanya di jalan yang Allah SWT redha.

Di antaranya Allah SWT berfirman: “Dan kamu (orang yang beriman) berjihad di jalan Allah dengan harta dan diri kamu, dan yang demikian itulah lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.” (as-Saff: 10)

Baiklah, memang ada orang yang agak keliru dengan dua jenis ibadah ini, iaitu ibadah zakat dan wakaf. Malah, pengalaman penulis sendiri semasa menjaga kaunter zakat di LZS, memang ada orang yang mahu menunaikan wakaf tanpa terlebih dahulu menyemak status zakatnya, wal hal kita mestilah terlebih menyedari keutamaan (hierarki atau awlawiyat) di antara dua jenis ibadah berkenaan.

Sebagai umat Islam, sudah sepatutnyalah kita mengetahui perbezaan di antara keduanya, agar apabila kita melakukannya, maka kita benar-benar diberikan pahala oleh Allah SWT. Maka, untuk mempermudahkan kita semua dalam memahami dan menyelami perbedaan di antara kedua-duanya, di sini penulis paparkan perbedaannya:

ZAKAT

1. Hukumnya adalah wajib, malah berstatus fardu kerana ia merupakan rukun Islam yang ketiga. Maka menunaikan zakat adalah wajib, berpahala menunaikannya dan haram jika ditinggalkan, serta berdosa besar.

2. Zakat bererti, mengeluarkan harta tertentu dengan syarat-syarat yang tertentu dan diagihkan kepada golongan atau mustahiq atau asnaf yang tertentu.

3. Zakat hanya boleh dikeluarkan apabila pemilik harta itu sudah mempunyai harta yang melebihi keperluan dirinya dan tanggungannya yang wajib, dan harta itu juga melebihi atau mencapai paras nisab.

4. Zakat juga ada lima syarat asas yang wajib dipatuhi, iaitu Islam, merdeka, sempurna milik, cukup nisab dan cukup haul. Tidak boleh mengeluarkan zakat tanpa cukup syaratnya.

5. Kanak-kanak yang di bawah usia akil dan baligh masih wajib mengeluarkan zakat hartanya, yakni dikeluarkan oleh penjaga atau ibu bapa mereka.

6. Menunaikan zakat mesti dengan harta tertentu, misalnya disyaratkan ada unsur pengembangan (an-nama’) ke atasnya, baharu wajib zakat. Maka, tanah atau rumah yang tidak berkembang (tidak mendatangkan hasil), tidak wajib zakat.

7. Penerima harta zakat (mustahiq atau asnaf) juga sudah tertentu, iaitu lapan golongan sahaja, fakir, miskin, amil, mualaf, riqab, gharimin, fisabilillah dan ibnu sabil. Tidak boleh sama sekali menyalurkan harta zakat kepada bukan mustahiqnya, malah boleh membawa kepada tidak sah zakat berkenaan.

8. Harta zakat mestilah didahulukan pengagihannya kepada mereka yang terdekat dan berada di sekitar tempat di mana ia diperoleh, maknanya ditegah daripada membawa keluar harta zakat melainkan dengan syarat yang ketat, misalnya ada keperluan terdesak di tempat lain.

9. Harta zakat yang dikeluarkan oleh seseorang individu hendaklah disalurkan kepada orang yang di luar tanggungan wajibnya, misalnya tidak boleh anak dan isterinya memakan harta zakatnya.

10. Zakat turut dikenakan kepada harta milik individu atau organisasi perniagaan yang bersifat perniagaan (syaksiyyah i’tibariyyah). Maka, jika harta yang diniatkan kepentingan umum, misalnya harta milik persatuan penduduk, masjid dan sebagainya, ia tidaklah dikenakan zakat.

11. Zakat boleh diwakilkan kepada orang lain untuk ditunaikannya. Namun, tidak boleh bagi seseorang itu mengeluarkan zakat bagi pihak orang lain dengan hartanya sendiri, melainkan dengan izin si pengeluar zakat. Malah, jika ditunaikan zakat dengan harta orang lain, ia dikira sudah menambahkan jumlah harta pemilik harta asal dan sekaligus meningkatkan jumlah zakatnya.

Contoh: Si B kena zakat pendapatan RM1,000 daripada jumlah pendapatannya yang berjumlah RM40,000; tiba-tiba si A membayarkannya dengan izin si B daripada harta si A sendiri, maka hakikatnya harta si B bukan lagi RM40,000 tetapi sudah menjadi RM41,000 dan zakatnya bukan lagi RM1,000 tetapi RM1,025.00.

RM40,000 + RM1,000 X 2.5 % = RM1,025.00

WAKAF

1. Hukumnya adalah sunat dan termasuk salah satu urusan muamalat Islam (sama seperti jual beli). Maka, menunaikannya adalah sunat, diberikan pahala melakukannya dan tidak berdosa jika tidak dilaksanakannya.

2. Wakaf bererti, menyalurkan harta tertentu dengan niat untuk dimanfaatkan oleh orang ramai demi mendekatkan diri kepada Allah SWT. Semua orang boleh menikmatinya.

3. Wakaf tidak ditentukan syarat mesti mencapai paras nisab, melainkan ia hanyalah sekurang-kurangnya melebihi keperluan diri sendiri dan tanggungannya sahaja, kerana tidak boleh memberikan sedekah (termasuklah wakaf) sehingga menzalimi diri sendiri dan tanggungan wajib.

4. Wakaf mempunyai syarat lebih longgar, termasuklah dalam berwakaf, orang non-muslim juga boleh berwakaf, dengan syarat harta itu memang sempurna milik atas dirinya dan tidaklah ada syarat cukup nisab dan haul atasnya.

5. Disyaratkan mereka yang mahu berwakaf, mestilah sudah sampai usia baligh dan berakal, dan inilah pandangan di sisi Syafie. Maka, anak-anak kecil tidak boleh berwakaf.

6. Tidak disyaratkan jenis harta tertentu, maka seseorang boleh mewakafkan apa sahaja hartanya, sama ada dalam bentuk hartanah, harta beku mahu pun wang tunai, asal sahaja harta itu halal dan membawa faedah.

7. Penerima manfaat harta wakaf tidak disyaratkan muslim atau golongan tertentu sahaja, maknanya semua pihak boleh menerima manfaat atas harta wakaf.

8. Tidak dikenakan sebarang syarat dalam menyampaikan manfaat wakaf, kerana ia memang diniatkan untuk semua orang bagi mendapatkan kebaikannya, maka semua pihak termasuklah di luar negara boleh menikmati hasilnya.

9. Harta wakaf sebaliknya boleh diwakafkan secara wakaf ahli, yakni untuk ahli keluarga atau keturunannya sendiri, dan mereka berhak menikmatinya.

10. Zakat masih dikenakan kepada harta wakaf ahli, kerana ia masih bersifat ‘satu harta’ dengan disandarkan kepada konsep harta bercampur (harta khultah). Namun, zakat tidaklah dikenakan ke atas harta yang diwakafkan untuk wakaf khairi (kebajikan orang luar dari ahlinya atau wakaf umum).

11. Wakaf juga boleh diwakilkan kepada orang lain, malah boleh juga bagi seseorang itu untuk menunaikan ibadah wakaf bagi orang lain tanpa diketahui pun oleh orang berkenaan. Misalnya, si A mewakafkan hartanya atas nama si B, maka ia dianggap sah tanpa sebarang halangan di sisi syarak.

Demikianlah beberapa perbedaan yang nyata di antara ibadah zakat dan wakaf, ia melibatkan status fardu atau sunatnya, melibatkan siapakah penerimanya, jenis hartanya, batas kepada pengeluarnya dan juga beberapa perkara lain yang perlu sangat diperhalusi.

Walau bagaimanapun, keluarkan zakat terlebih dahulu jika kita sudah sampai syarat wajibnya dan kemudian, baharulah dikeluarkan wakaf jika kita masih mempunyai harta yang melebihi keperluan demi mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.

Ini kerana dari segi hukum wajiblah mendahulukan ibadah yang fardu dan kemudian diikuti ibadah yang sunat. Inilah keutamaan beribadah di dalam Islam, wallahua’lam.

HARAKAHDAILY 14/8/2014

nik-zawawi

Sumber : http://ulamak.pas.org.my/v3/index.php/artikel02/minda/150-mengupayakan-mekanisme-agihan-zakat-untuk-basmi-kemiskinan

Zakat merupakan rukun Islam ke-4 yang wajib ditunaikan setaraf dengan kewajipan solat. Tujuan utama di syariatkan zakat adalah untuk merapatkan jurang ekonomi dan pendapatan dalam sesebuah masyarakat di antara golongan kaya dan miskin, membasmi kemiskinan dan meringankan beban golongan asnaf. Zakat juga mampu menjana kuasa beli rakyat dan mempertingkatkan produktiviti negara.

Satu ketika dahulu, negara dikejutkan dengan isu kemiskinan sehingga ada dalam kalangan rakyat yang menagih simpati daripada penganut Kristian dan sanggup dimurtadkan. Berlaku juga dakwaan salah laku wang Yayasan Taqwa oleh menteri, lebihan wang zakat tahunan berjuta-juta dan pada masa yang sama berita kemiskinan di pelusuk tempat dilaporkan, pelajar tidak mampu menampung pengajian kerana tiada bantuan dan birokrasi dalam pemberian bantuan zakat kepada para asnaf. Justeru, timbul persoalan di minda masyarakat tentang keberkesanan agihan zakat dalam membasmi kadar kemiskinan rakyat.

Kadar Kemiskinan negara merupakan lambang kemunduran bagi sebuah masyarakat dan negara. Walaupun kadar kemiskinan pada 2012 telah menurun lebih 60 peratus kepada 1.7 peratus sejak awal kemerdekaan dan kadar isi rumah bulanan pula meningkat daripada RM4,025 pada tahun 2009 kepada 5,000 pada 2012. Namun ia tidak meletakkan pihak pengurusan zakat di zon selesa walaupun kutipan dan agihan zakat meningkat saban tahun tapi isu kemiskinan sering kedengaran dan perlu diambil berat oleh semua pihak.

Jika dilihat kepada punca berlakunya kemiskinan, ia dapat dilihat kepada dua sudut; kemiskinan bandar dan kemiskinan luar bandar. Kemiskinan bandar berpunca dari penghijrahan rakyat dari luar bandar. Sesetengah dari mereka tidak mempunyai kemahiran professional untuk mendapatkan kerja, disamping kos sara hidup di bandar adalah tinggi dan kekurangan peluang pekerjaan. Manakala kemiskinan luar bandar atas faktor pekerjaan yang terhad dan taraf pendidikan yang rendah.

Islam sentiasa menganjurkan usaha membasmi kemiskinan kerana kesannya amat besar terhadap individu, masyarakat dan negara. Kemiskinan menghampiri kekufuran, ia telah dijelaskan oleh Nabi SAW dalam sabdanya: “Hampir orang yang fakir miskin itu membawa kepada kekufuran.” – (Riwayat Abu Namin daripada Anas). Kemiskinan juga menyumbang kepada keruntuhkan akhlak dan budi pekerti dan akan mengancam keselamatan masyarakat dan negara.

Masyarakat cukup memuji langkah yang diambil pihak penguasa agama dengan usaha memudahkan masyarakat untuk membayar zakat dan sekaligus memudahkan pihak berkenaan mengutip zakat. Namun isu besar yang harus diutamakan ialah soal pengagihan zakat perlulah diutamakan dan tindakan secara efektif perlu diambil dalam membasmi kemiskinan rakyat. Isu pengagihan zakat sudah mendapat tempat dalam hati masyarakat hari ini setelah isu kutipan zakat sudah selesai dengan melihat kepada jumlah kutipan zakat meningkat setiap tahun. Oleh sebab itu, tidak pelik jika rakyat mempersoalkan tentang pengagihan zakat bila timbulnya isu kemiskinan.

Dalam hal ini, isu birokrasi dan prosedur pihak pengurusan zakat bagi menjaga harta zakat agar diberi kepada asnaf yang layak dan mengelak dari ketirisan perlulah diseimbangkan dengan tuntutan ‘memudahkan’ agar rakyat tidak putus asa dengan institusi zakat.

Tidak cukup sekadar institusi zakat ‘menunggu’ golongan asnaf untuk datang meminta bantuan zakat di Pejabat Zakat atau Majlis Agama Islam Negeri, bahkan mereka haruslah ‘mencari’ golongan fakir miskin khususnya untuk diberikan bantuan melalui kerjasama institusi zakat dengan pihak-pihak lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Jika rancangan TV seperti Bersamamu mampu menjejak golongan fakir miskin, satu keaiban bagi institusi zakat jika gagal berbuat demikian. Maka, satu jawatankuasa bertindak harus ditubuhkan bagi menyiasat kemiskinan di sebahagian tempat untuk mengatasi masalah ini. Usaha Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengadakan Ops Jejak Kemiskinan yang memfokuskan kemiskinan bandar wajar diteruskan dan diteladani.

Zakat juga bertujuan sebagai pintu keluar dari beban kemiskinan. Bantuan bersifat one-off dan kurangnya kesedaran golongan asnaf untuk keluar dari kepompong kemiskinan berlawanan dengan maqasid zakat itu sendiri. Saidina ‘Umar r.a. pernah berkata: “Apabila engkau memberi zakat, kayakanlah mereka”. Prof. Dr Yusuf al-Qaradhawi juga menyebut bahawa “ fungsi zakat bukan seperti suntikan penenang yang boleh meringankan derita untuk beberapa saat tetapi sebagai ubat penyembuh yang boleh basmi penyakit sehingga akar umbi.”

Di antara langkah yang boleh diambil oleh pihak kerajaan dan pihak penguasa agama dengan mengkaji semula paras kemiskinan rakyat dan memberikan bantuan yang memadai dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Pengutan zakat juga perlu dipungut dan diagihkan secara setempat agar keciciran golongan asnaf tidak berlaku dan mampu menyelesaikan masalah kemiskinan setempat. Dengan lebihan wang zakat setempat barulah wang zakat diagihkan ke kawasan sekitar yang tidak mencukupi.

Pihak pengurusan masjid juga boleh menganjurkan program keluarga angkat masjid dengan mensasarkan ahli qaryah bekerjasama membantu keluarga miskin secara konsisten dan seterusnya mengeluarkan mereka dari kemelut kemiskinan.

Budaya kerjasama antara institusi zakat dengan pihak masyarakat harus bergandingan bahu dalam menyelesaikan isu agihan zakat dalam membasmi kemiskinan. Masyarakat boleh mencadangkan nama-nama asnaf yang layak menerima zakat kepada pihak institusi zakat dan mereka akan menyiasat latarbelakang dan mengagihkan bantuan jika layak.

Kesimpulannya, masyarakat harus sedar bahawa zakat yang menjadi sebahagian polisi fiskal negara akan menjadi kayu ukur tentang pendekatan Islam dalam menyusun dan membangun masyarakat melalui keberkesanan agihan zakat.

Ustaz Nik Zawawi

Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas.

%d bloggers like this: