Tag Archive: Wisma MUIS


Alhamdulillah, Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Sabah kali ke-4 di Dewan Saadah Wisma MUIS berjalan lancar pada sabtu lepas dengan penyertaan 17 orang peserta termasuk anak-anak Sabah yang menuntut di Darul Quran Kuala Kubu Baru, Maahad Tahfiz Sandakan dan Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah sendiri. Dalam penganjuran yang serba kekurangan terutama kehadiran orang ramai yang mengecewakan, saya tetap menyanjung usaha-usaha mengangkat dan memperkenalkan budaya menghafaz al-Quran di negeri Sabah ini.

Memang walaupun orang Sabah sudah ada yang menghafaz al-Quran sejak akhir tahun 1960an lagi, tetapi perkembangannya sangat perlahan. Apa yang saya ketahui ialah sehingga akhir 1980an pun jumlahnya belum mencapai 10 orang. Ia semakin baik dan berkembang pada pertengahan dan akhir 90an, apatah lagi Maahad Tahfiz Sabah mula beroperasi. Jumlah anak-anak Sabah mungkin sudah melebih 200 orang, mengambil kira lepasan Maahad Tahfiz Sabah, Darul Quran Kuala Kubu Baru, serta institusi tahfiz persendirian seperti di Kg Bingkul Beaufort, Maahad Tahfiz Sandakan, Maahad Tahfiz asy-Syatibi di Masjid Bandar Kota Kinabalu dan lain-lain.

Saya sangat optimis bahawa dengan penganjuran Majlis Menghafaz al-Quran seperti yang diadakan baru-baru ini jika terus diperbaiki kelemahan yang berlaku untuk tahun-tahun mendatang, insya Allah institusi tahfiz di Sabah akan terus meriah dengan kemasukan calon-calon penghafaz al-Quran terutama di kalangan orang-orang muda.  Walaubagaimanapun, kami angkatan akhir 90an dan awal 2000 yang bersembang hari itu berasa sangat teruja kerana kini Majlis Menghafaz sudah diangkat lokasinya ke tempat yang lebih berprestij. Maklumlah tiga tahun sebelum ini majlis berkenaan diadakan di Maahad Tahfiz al-Quran saja.

Para hakim hari itu dipimpin oleh Ybhg Datuk Haji Mokhtar Rapok, orang lama dalam dunia tahfiz di Sabah. Beliau orang ketiga menghafaz al-Quran pada awal 70an, dan kami orang-orang muda membantu dan menimba pengalaman yang sangat berharga pada hari yang bersejarah ini. Sahabat karib saya sejak 20 tahun lalu, Ustaz Rahim Yahya Abdul Rahman yang juga rakan sekelas sejak zaman sekolah dan di Maahad turut bersama-sama duduk di kerusi panel hakim bersama Ustaz Md Jumat Abdul Razak (Pejabat Mufti), Ustaz Haji Ibrahim Kisab (Imam Besar Masjid Negeri Sabah). Ustaz Zulfauzi Awang Besar dan Ustaz Md Hailmi Misbah berada di pentas sebagai hakim fatih dan munabbih.

Muhammad Khairul Razikin Abdul Razak yang mendapat 93 peratus untuk johan kategori 1-30 juzu’ sekali lagi akan mewakili Sabah bersama Muhammad Nasir Muhammad Mursal (johan 1-10) dan Astizam Adam Malik (wakil 1-20 juzu’) ke Majlis Menghafaz Kebangsaan di Perlis pada 12-15 April. Tiada wakil bahagian perempuan yang layak pada tahun ini pada ketiga-tiga kategori.

Kepada peserta yang diangkat sebagai pemenang, tahniah diucapkan dan semoga menjadi pencetus semangat, motivasi dan contoh yang baik kepada orang lain. Kepada peserta yang lain, pengalaman dapat naik pentas dan mempersembahkan hafazan di hadapan khalayak sudah tentu menjadi pengalaman yang sangat berharga dan manis yang tidak dapat dirasai oleh semua orang, semoga boleh tampil dengan lebih baik pada tahun akan datang.

Majlis Penutupan dilakukan oleh Aspah Abdullah Sani, Timbalan Pengerusi MUIS mewakili Pengerusi MUIS YB Datuk Haji Mohd Suhaili Said. Turut hadir ialah Ustaz Saifuddin Daud, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JHEAINS yang mewakili Pengarah JHEAINS Datuk Haji Amri Suratman.

Sumber berita : di sini

Oleh: Ahmad Haji Yassin

KOTA KINABALU – Adik Nurfadhilah binti Syamsudin telah dianugerahkan pelajar terbaik dalam peperiksaan Sijil Tinggi Menengah Agama Malaysia (STAM) 2011 dengan pencapaian 6 Mumtaz, 3 Jayyid Jiddan dan 1 Jayyid semasa Majlis Ihtifal Sekolah Menengah Agama Islam Toh Puan Hajah Rahmah Kinarut di Dewan Saadah Wisma MUIS, dekat sini pagi tadi.

Empat orang pelajar STAM yang lain telah mendapat Jayyid Jiddan ialah Syahrul Hikma Ramadan Syamsuddin yang mendapat 4 Mumtaz dan 6 Jayyid Jiddan, Nusaibah Idrohom mendapat 4 Mumtaz dan 6 Jayyid Jiddan, Mohd Hafiz Mohd Sidik mendapat 3 Mumtaz, 6 Jaiyid Jiddan dan 1 Jaiyid manakala Ghazali Anang mendapat 3 Mumtaz, 6 Jayyid Jiddan dan 1 Jayyid.

Majlis Penyampaian Hadiah & Sijil kepada para pelajar cemerlang telah disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Tuan Haji Saifuddin Haji Daud yang mewakili Pengarah JHEAINS Datuk Haji Amri A. Suratman. Dalam teks ucapan Datuk Pengarah yang disampaikan oleh Haji Saifuddin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Sekolah Menengah Agama Negeri Toh Puan Hajah Rahmah diatas kejayaan dan kecemerlangan yang dicapai dalam peperiksaan.

Peperiksaan Menengah Rendah 2011 telah mendapat keputusan 100% lulus, 5 orang pelajar mendapat 9A manakala Sijil Menengah Agama (SMU) telah mendapat keputusan 98.9% lulus. Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapat keputusan 100% lulus, adik Nazira binti Shamad dalam aliran Sains mendapat 9A & 2B manakala adik Nurhaida binti Makda dalam aliran Sastera mendapat 8A & 2B.

Datuk Amri juga  mahu SMAN Toh Puan Hajah Rahmah agar terus melahirkan pelajar cemerlang. Oleh sebab itu, beliau menyarankan kepada seluruh warga pendidik termasuk pengetua agar merancang hala tuju seperti yang digariskan dalam pelan strategik SMAN Toh Puan Hajah Rahmah (2012 – 2016) dapat direalisasikan kerana ianya merupakan amanah yang perlu dilaksanakan oleh warga pendidik bagi melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dalam membina sebuah negara maju pada tahun 2020, katanya.

Katanya, kita penuh yakin, sekolah tersebut telah banyak melahirkan ramai pelajar yang berwibawa dan berketerampilan. Pada hari ini, ramai dikalangan mereka bukan sahaja berkhidmat dengan JHEAINS tetapi juga berkhidmat dengan jabatan-jabatan lain termasuklah menjadi pensyarah di universiti-universiti tempatan. Ini merupakan satu kejayaan yang telah dicapai sejak beroperasi pada 1974 lagi.

Kepada para pelajar, beliau menyarankan bahawa dalam era globalisasi pelajar seharusnya sanggup menghadapi pelbagai cabaran baru dalam dunia pendidikan yang sentiasa berubah-ubah. Peranan pelajar kini semakin mencabar dalam usaha membina diri untuk menguasai pelbagai ilmu. Dalam kita memburu kemajuan, jangan pula dilupakan aspek kerohanian, akhlak, dan tatasusila. Setiap individu berperanan menjana kecemerlanghan berlandaskan akal budi yang luhur, tegasnya.

Terdahulu dalam ucapan Pengetua SMAN Toh Puan Hajah Rahmah, Tuan Haji Omar Gana meminta pihak pengurusan JHEAINS agar dapat membina dua bilik makmal sains dan makmal bahasa. Ini bagi memudahkan para pelajar bagi meningkatkan lagi kecemerlangan pelajar. Selain itu, beliau juga mengharapkan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam STAM 2011, dalam aliran Sains dapat dihantar ke Universiti Al-Azhar di Mesir untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan, katanya.

 

Sumber : http://www.islam.gov.my/konvensyen-pendidikan-islam-peringkat-pengajian-rendah-negeri-sabah-2012

Sukacita dimaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah bersama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) telah menganjurkan Konvensyen Pendidikan Islam Peringkat Pengajian Rendah Negeri Sabah Tahun 2012 pada 26 hingga 27 Februari 2012 bertempat di Dewan Saadah, Wisma MUIS, Kota Kinabalu, Sabah. Majlis tersebut telah dirasmikan olehYB. Dato Sri Haji Nasir bin Tun Haji Sakaran, Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah. Turut hadir Y.Bhg. Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Y.Bhg. Dato Haji Amri A. Suratman, Pengarah JHEAINS.

Objektif penganjuran Konvensyen Pendidikan Islam 2012 ini ialah untuk memperkasa pelaksanaan pendidikan Islam di peringkat pengajian rendah secara kolektif serta mengenal pasti cabaran dan realiti sistem pendidikan Islam di peringkat pengajian rendah. Selain itu, ia mampu meransang perkongsian maklumat dan pengalaman dalam pelaksanaan sistem pendidikan Islam yang berkesan kepada pelajar-pelajar di peringkat pengajian rendah. Konvensyen ini juga akan mengeratkan silaturrahim di kalangan warga pendidik SAN, KAFA dan SAR di negeri Sabah.

Konvensyen yang julung kali diadakan itu telah menampilkan para pembentang kertas kerja yang berwibawa. Antaranya ialah Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Sidek bin Baba, Pensyarah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Selain itu, ahli panel yang lain yang terlibat ialah Ustaz Ansarullah bin Mohd Hasyim, Ketua Penolong Pengarah KAFA Bahagian Kemajuan Islam JAKIM Putrajaya, Ustaz Mohd Taif bin Kassim, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Ustaz Rapihi bin Derim @ Wasihim, Institut Perguruan Gaya dan Ustaz Sulaiman bin Musinin, Jabatan Pelajaran Negeri Sabah. Kehadiran peserta yang memberansangkan iaitu hampir 700 orang pada konvensyen kali ini juga membuktikan penganjurannya adalah berjaya dan bermanfaat.

Dato’ Ketua Pengarah JAKIM mengucapkan jutaan tahniah kepada kerajaan Negeri Sabah kerana menyambut baik resolusi Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia 2011 yang lepas yang mencadangkan Konvensyen Pendidikan Islam ini diadakan. Negeri Sabah adalah negeri kedua di Malaysia yang menganjurkan konvensyen ini selepas Perlis.

Dalam ucapan perasmiannya, YB. Dato Sri Haji Nasir bin Tun Haji Sakaran, Menteri di Jabatan Ketua Menteri menyifatkan penganjuran konvensyen seumpama ini akan menyemarakkan lagi aktiviti pendidikan Islam di negeri Sabah khususnya dan di Malaysia amnya. Beliau juga mengharapkan konvensyen kali ini akan menjadi wadah pencetus idea, memperkasa sistem pendidikan Islam sedia ada dan menghasilkan strategi kerjasama pintar diantara semua agensi terutamanya JAKIM, JHEAINS dan Jabatan Pelajaran Negeri Sabah dalam usaha penambahbaikan yang berterusan.

Konvensyen selama 2 hari tersebut telah ditangguhkan oleh YB. Dato’ Haji Ustaz Mohd Suhaili Haji Said, ADUN kawasan N49 Tungku, merangkap Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS). Turut hadir ialah Y.Bhg. Tuan Haji Mohd Nordin bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Dasar, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Tuan Haji Rumaling Epit, Timbalan Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.

Mungkin di kalangan pelayar blog ini mengetahui ada satu rancangan di RTM  (tv1) bernama Adik-Adikku Musim Kedua -pencarian daie-daie kecil berbakat besar sedang disiarkan di TV1 setiap petang. Salah satu daripada 16 orang pesertanya ialah dari Sabah iaitu adik Najahatus Solehah binti (Ustaz) Rafihi.

Kini rancangan realiti Imam Muda yang mendapat sambutan dan perhatian  dari pelbagai media dalam dan luar negara juga memasuki musim kedua.  Sebagaimana dimaklumkan oleh pihak Astro Oasis bahawa lokasi pencarian diluaskan termasuk ke Sabah, diadakan di Wisma MUIS pada 26 & 27 Februari 2011.

***

Tajuk asal : Pencarian Imam Muda Musim Kedua Diperluas (mstar.com.my)

Oleh KEMALIA OTHMAN

Majlis tandatangan usahasama Astro Oasis dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR: Selepas mendapat sambutan menggalakkan, program realiti popular terbitan Astro Oasis, Imam Muda bakal bersiaran untuk musim kedua. Lebih istimewa ia bukan sahaja membuka peluang kepada peserta dalam negara malah kepada warganegara luar yang berminat.

Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, penyertaan dibuka kepada warganegara luar berikutan permintaan mereka menerusi laman interaksi Imam Muda dan laman sosial Facebook.

“Ramai penonton dari negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Brunei menyatakan hasrat untuk menyertai program ini. Oleh itu kami telah berbincang dengan pihak Jawi dan menganggap ia sebagai satu cabaran dan persaingan yang baik.

“Selain itu, ia juga terbuka kepada pelajar-pelajar luar negara yang sedang belajar di sini. Bagaimanapun ia bergantung kepada tahap penguasaan Bahasa Malaysia juga sebab kita beri kelebihan kepada yang boleh berbahasa Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Imam Muda musim kedua di Restoran Al-Diafah, Seri Petaling di sini, Khamis.

Majlis turut dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Dalam pada itu, lokasi uji bakat turut ditambah berbanding musim lalu. Pertambahan lokasi iaitu di Kota Kinabalu, Sabah.

Bagi musim kedua, bakal imam-imam muda akan menjalani jadual ketat, peraturan agama, tugas rutin dan pemahaman khusus mengenai tugas-tugas seorang imam, memimpin keluarga dan selaku pemimpin masyarakat setempat. Bagaimanapun mereka turut menerima cabaran baru bersesuaian dengan keadaan semasa seperti ekonomi, perdagangan dan perubatan Islam melalui ayat-ayat suci Al Quran.

“Modul dan pengisian lama masih dipraktikkan untuk musim ini, tetapi kita akan tambah modul terbaru mengikut cadangan yang bayak dikemukakan penonton pada musim lalu. Ia masih berteraskan kitaran kehidupan manusia seperti pendedahan kepada kes buang bayi, perkahwinan dan pengurusan jenazah di samping memperkenalkan beberapa topik baru seperti aktiviti dakwah kepada Orang Asli, amalan perubatan Islam dan aktiviti sukan yang disarankan dalam Islam,” kata Izelan.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) terus-menerus memberi sokongan dan meneruskan kerjasamanya untuk memantapkan program Imam Muda. Bagi yang berminat untuk menghadiri sesi uji bakat di jemput hadir ke lokasi-lokasi berikut.

22 –23 Januari 2011: Pusat Islam Iskandar Johor, Johor Baru.

28 –29 Januari 2011: Balai Islam Lundang, Kota Baharu, Kelantan.

11 –12 Februari 2011: Masjid Zaher, Alor Setar, Kedah.

19 – 20 Februari 2011: Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan, Pahang.

26 – 27 Februari 2011: Wisma MUIS, Kota Kinabalu, Sabah.

05- 06 Mac 2011: Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur.

Kriteria masih lagi seperti musim lepas iaitu lelaki beragama Islam yang fasih berbahasa Melayu dan boleh menguasai lebih dari satu bahasa di samping berusia di antara 18 hingga 27 tahun serta sihat tubuh badan.

Bagi yang berminat hanya perlu membawa salinan kad pengenalan berserta dua keping gambar berukuran 4R di samping boleh membaca Surah Al-Fatihah serta surah-surah lazim dan mempunyai pengetahuan mendalam dalam agama Islam.  Siri pencarian Imam Muda musim kedua bakal bersiaran di saluran rasmi, Astro Oasis bermula 25 April 2011.

Seingat saya, saya mula mengajar mengaji iqra dan seterusnya al-Quran bermula dengan kanak-kanak dan remaja pada tahun 1997 di kampung Sembulan Tengah di rumah keluarga mertua abang sulung saya. Saya juga pernah terlibat mengajar mengaji kepada saudara kita di Masjid Bandaraya, Likas.

Gaya dan pendekatan saya  ialah mengambil jalan yang susah kepada pelajar, iaitu mengaji seorang demi seorang bagi memastikan mereka boleh membaca secara individu.  Walaupun ada kawan-kawan yang mengajar dengan cara beramai-ramai dan serentak, saya tidak berkenan untuk saya praktikkan kaedah itu dalam kaedah mengajar saya.

Saya mahu melazimi mereka dengan sikap bersabar dan istiqamah dalam pembelajaran al-Quran (bahkan dalam ilmu apa juga sebenarnya). Kaedah itu, ada orang yang suka kerana sebahagiannya merasa tercabar dan mahu ditegur secara langsung, bukannya berselindung di balik kepandaian rakan-rakan mereka jika membaca secara serentak dan bersama-sama.

Namun ramai juga yang tidak suka kaedah itu. Kebanyakan alasan yang saya ketahui, kaedah itu lambat. Bukan lambat pandai, tapi lambat habis kerana saya mahu setiap orang khatam dengan tilawah masing-masing. Tidak mengapa kerana saya merasakan itu adalah proses pemutihan dan menguji kesabaran saya dan juga mereka.

Kaedah demikian juga saya terapkan semasa kelas al-Quran di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SPANS) sejak April 2008 setiap tengahari isnin hingga khamis. Ia bermula dengan 3-4 orang, kemudian bertambah sehingga lebih 13 orang dan kemudian susut sedikit demi sedikit. Saya berhadapan dengan pelajar yang lebih berusia berbanding saya.

Pada 29 Disember lalu, setelah melalui tempoh antara dua tahun hingga dua tahun setengah, ada enam orang kumpulan pertama menamatkan kelas talaqqi al-Quran mereka. Saya bersyukur kerana satu majlis meriah mereka adakan di ruang legar pejabat berkenaan dengan dihadiri sendiri oleh Pengerusi SPANS Datuk Haji Ismail Awang Besar dan Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim yang tampil sebagai penceramah undangan.

Wakil di kalangan mereka berenam tampil berucap. Encik Mumin Rasam yang juga ketua kampung di Cenderamata Likas sebak dan mengalirkan air mata di hadapan yang hadir. Majlis ini suatu yang istimewa bagi mereka dan bermakna bagi saya juga. Saya melihat perubahan yang sangat baik di kalangan mereka dan paling menonjol sekali ialah Encik Mumin Rasam sendiri. Bukan setakat mengajinya, tetapi saya tahu beliau semakin rajin berjamaah di masjid.

Cik Hassa Matjin yang paling saya kagumi, memiliki kelas bacaan yang tersendiri dan terbaik sejak awal sementara Sdr Jamri Awang Damit dan Metan Julan tidak kurang kelancaran mereka dan sering bersaing sesama mereka. Kak Jijah Sirom barangkali antara yang teruk ‘menderita’ dengan teguran dan sasaran kemarahan saya. Namun saya wajar tabik kepadanya yang cukup bersabar menerima teguran bermula dari iqra sehingga khatam al-Quran dalam tempoh dua tahun setengah. Tuan Haji Said sebagai antara pelopor kelas ini walaupun yang terakhir khatam tetapi tetap bersungguh apatah lagi beliau melihat satu demi satu rakannya khatam al-Quran lebih awal.

Saya menyanjung tinggi tazkirah Ustaz Haji Muchlish yang mengingatkan agar pengajian al-Quran tidak sepatutnya habis dengan hanya belajar membaca. Belajar membaca al-Quran merupakan satu permulaan, bukan suatu penamat. Beliau turut mengungkapkan bahawa majlis khatam adalah suatu majlis yang dirahmati, disertai oleh para malaikat utusan Allah SWT. Biarlah majlis khatam dan sijil khatam berkali-kali pun tidak mengapa, katanya.

Saya terus dipelawa untuk mengajar al-Quran kepada warga SPANS, namun saya terpaksa menjelaskan bahawa saya mesti memberi tumpuan terlebih dahulu kepada beberapa peminat al-Quran di beberapa buah jabatan dan syarikat swasta lain yang turut menempah saya lebih awal sebelum kembali ke sini. Bahkan sedang majlis khatam berlangsung, saya sempat dihubungi lagi oleh wakil sebuah jabatan yang lain.

Saya wajar berterima kasih tidak terhingga khususnya kepada Datuk Haji Ismail Awang Besar atas sokongan beliau dalam program ini sejak awal lagi, juga bantuannya yang tidak henti-henti kepada saya, juga Setiausaha SPANS Tuan Yunos yang juga pernah bersama-sama mengaji pada peringkat permulaan. Saya dikhabarkan beliau sedang bercuti sebelum bersara wajib dalam tempoh terdekat. Seterusnya kepada seluruh JK Badan Kebajikan Islam SPANS warga SPANS amnya. Insya Allah, saya masih mahu menyumbang di SPANS suatu hari nanti.

 

DERMA DARAH

Ketika sambutan Ma’al Hijrah 1432 Peringkat Negeri Sabah berlangsung di Dewan Sa’adah Wisma MUIS pada pagi selasa, JHEAINS melalui Bahagian Pendidikan dengan kerjasama Tabung Darah Hospital Queen Elizabeth menganjurkan kempen derma darah di ruang legar Wisma MUIS.

Lebih 100 orang telah mendaftar untuk menderma darah dan daripada jumlah itu lebih 30 orang tidak dapat menderma kerana halangan-halangan penyakit yang dihidapi. Walaubagaimanapun, setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua pihak, penganjur dan peserta semoga amal baik diterima oleh Allah SWT.

 

KARNIVAL KESENIAN ISLAM

20 Oktober 2010M / 12 Zulkaedah 1431H di Wisma MUIS Kota Kinabalu Sabah. Semua dijemput hadir.

PENGISLAMAN SETIAP HARI

“Sesungguhnya engkau Wahai Muhammad tidak dapat memberi hidayah kepada sesiapa yang engkau sayangi, tetapi Allah sebenarnya yang memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya..”

Dakwah mesti dilakukan secara berterusan, baik kepada sesama muslim, atau kepada orang yang belum memeluk Islam. Dakwah berlaku dengan pelbagai cara, lisan seperti ceramah, forum, tazkirah, wawancara; melalui tulisan seperti di majalah, buku, akhbar dan media internet; dan yang terbaik adalah dakwah melalui teladan dan akhlak yang mulia. Dengan izin Allah SWT, manusia akan tertarik kepada Islam. Walau hidayah daripada Allah, umat Islam mesti menanam saham untuk menyebarkan Islam menurut kemampuan masing-masing.

Foto di atas adalah sesi pengislaman di Bahagian Dakwah JHEAINS Wisma MUIS pada 7 September 2010, beberapa hari sebelum umat Islam menyambut Eidul Fitri. Maklumat dalaman menyatakan bahawa pengislaman berlaku setiap hari dengan purata 4-5 orang sehari, baik di ibu pejabat JHEAINS, JHEAINS daerah atau mana-mana institusi Islam seperti USIA, masjid dan surau merata tempat di seluruh Sabah.

BERBUKA BERSAMA WARGA SPAN

Seperti tahun-tahun lalu, saya sekali lagi diundang dalam majlis berbuka puasa bersama warga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SPAN) di blok b, Wisma MUIS. Majlis berkenaan dihadiri oleh pengerusinya Datuk Haji Ismail Awang Besar dan kebanyakan ahli suruhanjaya serta wargakerja yang lain.

Saya mempunyai banyak kenangan dan hutang budi dengan Datuk Haji Ismail, khususnya sokongan beliau ketika saya bertugas di Masjid Negeri Sabah sedangkan beliau adalah pengerusi JK Masjid Negeri Sabah ketika itu dan sehingga kini. Hubungan  terjalin sejak saya bersekolah menengah sehingga kini dan saya mengetahui banyak kebaikan beliau.

Kami bersama-sama menunaikan solat maghrib, isyak, tarawih dan witir bersama-sama dan sebelum bersurai saya menyampaikan tazkirah ringkas sekitar 10 minit berkaitan tentang ibadah Ramadhan.


Ketika mesyuarat JK Wakaf Masjid Penampang diadakan sebelum Ramadhan lalu, timbul idea daripada Cikgu Annuar Ali agar mengadakan Himpunan Perdana Ramadhan. Ia satu strategi agar kempen wakaf sempena pembinaan Masjid Daerah Penampang ini dapat diperluaskan.

Idea itu rasanya timbul berikutan usaha bersungguh-sungguh JK ini agar pembayaran tanah dapat disegerakan khususnya selepas hari raya. Jadi satu program besar diusahakan bagi menghimpun umat Islam.

Kerja keras bagi himpunan ini dilakukan pada seminggu terakhir sebelum majlis diadakan. Mesyuarat JK Pelaksana diadakan di Wisma MUIS dengan kehadiran hanya enam orang dan pembahagian tugas dilakukan dengan melibatkan ramai sahabat-sahabat di luar sana.

Paling penting adalah usaha-usaha promosi bagi menarik ramai umat Islam hadir ke Dewan Saadah Wisma MUIS pada 29 September lalu. Tarikan utama sudah tentu kehadiran wira negara dan umat Islam – Haji Jamuluddin Elias yang pernah ditangkap oleh tentera Israel di kapal Mavi Marmara pada Mei lalu.

Slot ceramah bermula sekitar jam sembilan pagi dengan tajuk ‘Pengenalan Wakaf : Hukum & Kelebihannya’ oleh Ustaz Haji Abdullah Din, Timbalan Yang Di Pertua ABIM Kedah. Beliau juga pernah bertugas di Sabah sekitar 10 tahun dan kembali ke Kedah dua tahun lalu.

Antara lain dalam ceramah beliau menjelaskan bahawa institusi wakaf  yang disebut sebagai sedekah jariah telah menyuburkan dakwah, ukhuwah dan ekonomi Islam sejak zaman Rasulullah SAW sehingga kini. Antaranya ialah Masjid Nabawi, Masjid Quba’, Universiti al-Azhar Mesir dan banyak lagi.

Slot ceramah berikutnya ialah taklimat pembinaan Masjid Penampang yang disampaikan oleh Pengerusi JK Wakaf Haji Sainuri Haji Yahmin. Menurutnya, idea pembinaan ini timbul secara serius beberapa tahun lalu berikutan kesusahan umat Islam sekitar daerah Penampang untuk mendirikan solat Jumaat.

Mereka terpaksa keluar daerah menuju ke Masjid Nurul Hikmah Bukit Padang, Masjid Negeri di Sembulan atau ke Masjid Kg Lok Kawi Baru di Putatan sedangkan kuantiti umat Islam di sana semakin bertambah ramai daripada masa ke masa. Untuk itu sokongan dan dukungan umat Islam untuk sama-sama membiayai pembinaan masjid ini sangat dialu-alukan sebagai membuktikan kesatuan umat Islam itu sendiri. Menurut beliau pembinaan masjid ini bersama kompleksnya memakan bajet sekitar RM6.5 juta.

Slot berikutnya ialah ceramah Tuan Haji Jamuluddin Elias, Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia (AMAL). Memulakan ceramahnya, beliau menyanjung tinggi usaha-usaha pembinaan dan pengimarahan masjid sebagaimana yang dilakukan oleh penganjur. Selaku akvitis yang banyak menjelajah dunia khususnya dalam misi-misi kemanusiaan beliau melihat banyak masjid yang terlibat dalam musibah. Ada masjid yang terselamat dan ada masjid yang hampir runtuh musnah dalam bencana.

Dalam ceramahnya, beliau menyentuh tentang serba sedikit sejarah Palestin dan Masjid al-Aqsa yang disebut di dalam al-Quran, kerja-kerja Israel yang cuba meruntuhkan masjid dari bawah serta misi-misi kemanusiaan yang telah dilakukan oleh Yayasan Amal Malaysia khususnya di Lubnan dan Palestin. Babak yang dinanti sudah tentu pengkisahan tentang serangan tentera Israel yang menyerang kapal mavi marmara yang membawa aktivis kemanusiaan dan barang makanan, perubatan dan sebagainya untuk disampaikan kepada penduduk Ghazzah.

Sebelum ceramah berakhir, beliau melancarkan kutipan wakaf Masjid Penampang bagi menandakan usaha rasmi JK Wakaf ini dalam mengajak umat Islam menjayakan Masjid Daerah Penampang. Kira-kira 500 orang hadir dan dimaklumkan kutipan pada hari berkenaan mencecah lebih Rm30 ribu.

%d bloggers like this: