Tag Archive: Wan Saiful Wan Jan


Sumber : http://www.mstar.com.my/kolumnis/2013/12/25/kualiti-pendidikan-benarkan-kami-rakyat-jelata-sama-bantu-baiki-mutu/

KEPUTUSAN PISA (Programme for International Student Assessment) yang terbaru amat membimbangkan. Ujian PISA, bersama-sama satu lagi ujian iaitu TIMMS (Trends in International Mathematics and Science Study) dianggap sebagai penanda aras global dalam menentukan kualiti pendidikan sesebuah negara.

Malaysia mengambil bahagian dalam kedua-dua TIMMS dan PISA. Kerajaan telah mengumumkan bahawa mereka mahu Malaysia memasuki kumpulan teratas dalam ujian global ini. Cita-cita ini merupakan satu cita-cita yang amat mencabar kerana kita baru sahaja diletakkan dalam kedudukan ke-52 daripada 65 negara. Ya, kita menduduki kumpulan hampir tercorot.

Keputusan PISA ini menunjukkan bahawa sistem pendidikan kita berada dalam krisis. PISA menguji pelajar berumur 15 tahun, iaitu umur pelajar mengambil peperiksaan PMR. Dalam peperiksaan PMR baru-baru ini, lebih ramai pelajar mendapat keputusan yang baik dan sekitar 7 peratus mendapat A dalam semua mata pelajaran.

Pencapaian dalam peperiksaan PMR inilah yang menunjukkan betapa seriusnya krisis pendidikan kita. Apa tidaknya. Pelajar kita boleh mendapat keputusan yang baik dalam PMR tetapi apabila dibandingkan dengan kumpulan umur yang sama daripada negara-negara lain, maka para pelajar kita berada di kedudukan hampir tercorot.

Bagaimanakah ini mungkin berlaku?

Jawapannya ialah sistem sekolah kita. PISA menguji kebolehan para pelajar mengaplikasikan ilmu. PISA bukan menguji sebanyak mana maklumat yang ada dalam otak tetapi ia menguji kebolehan untuk berfikir.

Jadi, keputusan PISA baru-baru ini menunjukkan bahawa sistem persekolahan kita melahirkan pelajar yang boleh menghafal maklumat tetapi tidak boleh berfikir!

Untuk mendalami krisis pendidikan ini, Kementerian Pelajaran perlu berkongsi dengan rakyat maklumat terperinci mengenai keputusan PISA.

Di antara sekolah-sekolah yang terpilih untuk mengambil ujian PISA, kita perlu tahu sekolah manakah yang mendapat tempat teratas. Ketua Pengarah Pelajaran yang baru, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof ada menyebut bahawa terdapat sekolah kita yang sama baik dengan sekolah terbaik di dunia. Jadi kita perlu tahu adakah ini merupakan sekolah swasta yang terletak di kawasan bandar seperti Kota Damansara atau adakah ia sekolah luar bandar di Behor Pulai?

Kita juga perlu tahu jika ada permata-permata berharga di kalangan sekolah-sekolah kita. Contohnya, wujudkah Sekolah Menengah Teknik yang mencapai prestasi lebih baik daripada Sekolah Menengah Kebangsaan biasa? Jika ada, maka kita mesti mengkaji apa yang telah dilakukan oleh Sekolah Teknik itu.

Satu lagi ialah mengenai perbezaan antara kawasan bandar dan luar bandar. Memang mudah untuk membayangkan bahawa kebanyakan daripada 10 sekolah terbaik terletak di kawasan bandar. Tetapi jika pembahagian di kalangan 10 sekolah terendah adalah lebih kurang sama rata, maka sudah pastilah ada kajian-kajian menarik yang boleh dijalankan.

Ini kerana keputusan PMR baru-baru ini menunjukkan seolah-olah perbezaan antara kawasan bandar dengan luar bandar sudah mengecil. Gred purata kawasan bandar ialah 2.56 tetapi di luar bandar 2.81. Adakah ini disahkan oleh PISA juga?

Saya rasa jika sekolah-sekolah yang mengambil PISA dibahagikan mengikut kategori, maka sekolah swasta termasuk sekolah Cina swasta, sekolah-sekolah berasrama penuh dan Maktab-Maktab Rendah Sains MARA akan menunjukkan pencapaian yang lebih baik berbanding Sekolah Menengah Kebangsaan.

Biasanya autonomi dan kuasa memilih pelajar akan membolehkan sekolah-sekolah mencapai keputusan yang lebih baik. Tetapi kita memerlukan data PISA untuk memeriksa perkara ini.

Sebenarnya memang ada cara mudah untuk mencapai keputusan yang lebih baik dalam ujian PISA (dan TIMMS) yang akan datang. Kedua-dua ujian ini dijalankan mengikut jadual yang tetap. Sekolah dan pelajar dipilih beberapa bulan sebelum ujian dijalankan. Jadi, jika kita mahu mendapat pencapaian lebih baik, maka tumpukan sahaja kepada sekitar 5,000 pelajar yang dipilih. Latihlah mereka untuk menjawab dengan baik.

Tetapi tindakan sebegitu akan menyebabkan tiada faedah mengambil ujian seperti TIMMS dan PISA. Ujian itu sepatutnya menunjukkan pencapaian kita berbanding negara-negara lain. Jika kita melakukan tindakan yang menyelewengkan keadaan sebenar, mana apa faedahnya mengambil bahagian?

Melatih hanya 5,000 pelajar mungkin akan membolehkan kita naik dalam ujian PISA, tetapi adakah itu bermaksud telah berlaku penambahbaikan dalam keseluruhan sistem pendidikan negara?

Sekali lagi, ketelusan adalah penting. Rakyat mesti diberitahu bagaimana kerajaan mahu memperbaiki kedudukan negara dalam ranking PISA. Hanya itu sahaja yang akan membolehkan kita tahu sama ada keputusan kerajaan adalah betul atau salah.

Kementerian Pelajaran mestilah tidak bersikap defensif dalam menangani krisis pendidikan yang sedang kita alami ini. Mesej saya kepada mereka yang berkuasa mudah sahaja. Bukalah pintu dan hati untuk membolehkan ibu bapa dan lain-lain pihak sama-sama membantu anda.

Anda tidak keseorangan dalam usaha ini. Benarkanlah kami semua membantu anda dan mulakanlah dengan memberikan kami semua maklumat yang berkaitan.

> Wan Saiful Wan Jan ialah ketua eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (www.IDEAS.org.my)

Wan Saiful Wan Jan

Satu tulisan / artikel yang baik dan wajar direnung oleh rakan-rakan penjawat awam. Berfikirlah secara matang dan berlapang dada.

Tajuk Asal : Penjawat awam perlu bersedia untuk perubahan kerajaan – IDEAS

Sumber : http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Semakin hampir pilihanraya semakin banyak isu dan ‘idea’ yang timbul dan ini menunjukkan yang PRU kali ini merupakan PRU yang sangat penting bagi kedua-dua belah pihak PR dan BN. Jika ada perubahan, maka pegawai dan kakitangan awam perlu bersedia untuk menerima perubahan dan pertukaran kerajaan yang bukan satu perkara yang mustahil malah ia merupakan satu perkara yang amat diharapkan oleh banyak pihak untuk berlaku.

Wan Saiful Wan Jan, Ketua Eksekutif IDEAS (Institute for Democracy and Economic Affairs) telah membuat kenyataan supaya Penjawat Awam boleh menerima perubahan kerajaan dan membantu proses melaksanakan perubahan itu dengan lancar dan licin. Kita boleh mengikut contoh-contoh yang baik yang berlaku didalam kerajaan negara-negara maju seperti di Britian, yang merupakan demokrasi yang tertua dalam dunia ini.

Di Britain satu perubahan berlaku tahun lepas setelah kerajaan Labour Party telah gagal untuk mempertahankan kerajaan yang dikuasainya dan telah membantu proses peralihan kuasa dari Gordon Brown dari Labour Party kepada David Cameroon yang telah menjadi Perdana Menteri apabila mewujudkan kerajaan campuran dengan parti Liberal Demokrat.

Proses perubahan pimpinan itu terlaksana dalam tempoh 6 jam sahaja sejurus Gordon Brown keluar dari Istana Buckingham setelah mengadap Ratu Elizabeth. Peralihan itu tidak ada perkara tarik menarik yang kuat diantara parti-parti kerana yang kalah menerimanya sebagai perkara biasa dalam sebuah demokrasi ulung didunia ini.

Pihak yang memerintah boleh diturunkan dan duduk dipihak pembangkang dengan hati yang terbuka dan kembali berkuasa apabila rakyat kembali memberikan mandat pada pilihanraya yang seterusnya. PM Gordon Brown sebelum mengadakan pilihanraya umum Britain, tidak ada membuat ucapan yang beliau akan berhempas pulas dengan apa cara sekali pun untuk mempertahankan 10 Downing Street.

Ahli ahli legislatif di England tahu dan menerima hakikat bahawa negara rakyat yang punya, bukannya pemimpin yang diberikan kuasa itu yang punya. Mungkin oleh kerana kesedaran itulah yang IDEAS telah bersedia untuk memberikan pandangan dan nasihat kepada rakyat negara ini untuk belajar menerima hakikat bahawa kuasa itu tidak kekal. Kuasa itu hanya kekal ditangan rakyat kerana rakyat lah yang bertanggungjawab untuk memberikan kuasa kepada pihak mana yang mereka yakini.

Nasihat Wan Saiful kepada pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan itu sangat tepat pada masanya kerana mungkin IDEAS mempunyai keyakinan yang kali ini kuasa mungkin berpindah tangan dan itu adalah perkara yang biasa berlaku dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Dipihak pemerintah sendiri sedang mengalami igauan kerana memang kemungkinan untuk rakyat memindahkan kuasa kepada pihak lain itu adalah cerah.

Oleh kerana BN merasakan yang kuasa itu adalah hak mutlak mereka sahaja, maka Najib pun berkokok yang beliau akan lakukan apa sahaja untuk mempertahankan Putrajaya. ‘By hook or by crook’ Putrajaya has got to remain with them. Ini membayangkan yang BN lah yang gila kuasa, bukannya pembangkang.

Bagi saya IDEAS sepatutnya memulakan kursus sivik kepada semua rakyat untuk memberikan mereka kefahaman tentang demokrasi dengan mendalam. Rakyat wajar di latih untuk keluar dari kepompong pemikiran yang sempit sehinggakan masih ada yang sanggup dibohongi semata-mata kerana isu-isu yang dibangkitkan terhadap pihak alternatif oleh mereka yang amat takut kepada kehilangan kuasa ini.

UMNO mahukan rakyat untuk memberikan sokongan kepada mereka walaupun mereka bergelumang dengan rasuah yang besar-besar kerana kononnya UMNO telah mencapai kemerdekaan negara. Oleh kerana UMNO yang membawa negara kemerdekaan, UMNO mahukan rakyat mengikut sahaja walaupun mereka telah merosakkan perbendaharaan negara dan membinasakan budaya politik kita sampai ketahap yang tidak dapat dikenali lagi.

Saya memandang IDEAS sebagai satu NGO yang sangat relevan untuk kehadapan bagi memberikan ‘consequence’ yang baik untuk membina budaya demokrasi yang tulin dan mengutamakan semangat demokrasi itu dengan persepsi yang baik dan sempurna.

Saya sendiri mengenali beberapa orang anggota IDEAS ini dan mereka adalah dari gulungan yang baik dan menerima hakikat yang negara perlu kepimpinan yang beretika tinggi serta pimpinan yang mengikut ‘rule of law’ serta percaya kepada pembahagian kuasa diantara Eksekutif, Legislatif dan Judiciari yang mantap.

Kepada Penjawat Awam, mereka mesti akur dengan pilihan rakyat dan melaksanakan tanggungjawab seperti biasa tidak kira siapa yang diamanahkan untuk memerintah. Penjawat Awam wajar tidak memihak kepada mana-mana pihak dan berhak untuk memilih sesiapa sahaja dalam pilhanraya yang akan datang secara sulit, tanpa rasa takut kepada tekanan yang datang dari mana-mana pihak.

%d bloggers like this: