Tag Archive: Wakaf Masjid Penampang


TERKINI WAKAF MASJID PENAMPANG, SABAH.

Kerja-kerja penambakan tanah telah bermula, dijadualkan mengambil masa antara 30-60 hari, sekiranya cuaca dalam keadaan baik, kerja-kerja ini akan dapat disiapkan lebih awal daripada yang dijadualkan. Doakan semoga dipermudahkan urusan ini. Sebarkan kepada rakan-rakan Muslimin.

Sumber : Halaman FB Wakaf Masjid Penampang

wakaf penampang1 wakaf penampang2 wakaf penampang3 wakaf penampang4 wakaf penampang5 wakaf penampang6 wakaf penampang7

WAKAFKANLAH HARTAMU

Semalam saya menghadiri mesyuarat JK Wakaf Masjid Penampang di pejabat ABIM Sabah di Grace Square, Sembulan. Mesyuarat dipengerusikan oleh Tuan Haji Sainuri Yahmin dan dihadiri sebahagian besar AJK yang lain. Perkara yang mendominasi perbincangan kali ini ialah untuk mempelbagaikan lagi kaedah mendapatkan sumbangan wakaf daripada umat Islam.

Ada usaha-usaha untuk menghantar surat kepada pejabat-pejabat kedutaan asing khususnya negara-negara timur tengah, ahli-ahli korporat seluruh negara dan sebagainya. Sudah tentu usaha ini tidak dapat diungkayahkan oleh hanya dua tiga orang JK sahaja melainkan semua umat Islam prihatin dan turut sama berikhtiar serta memanjangkan promosi ini.

Saya kira usaha untuk menyebarluaskan pembinaan Masjid Daerah Penampang ini belum digiatkan secara maksima. Mari kita bersama-sama mendukung hasrat murni ini, memotivasikan umat Islam untuk menyumbang dana waqaf, kemudian menyebarkannya kepada saudara-saudara yang lain. Di pejabat, di taman perumahan, di kampung, ahli persatuan, kilang-kilang, syarikat-syarikat,  sekolah, institut pengajian tinggi awam dan swasta, masjid dan surau, dalam dunia blog, facebook dan twitter.. terlalu banyak yang belum diteroka.

Tanah bernilai lebih setengah juta sudah bertukar milik. Usaha menambah dana terus berjalan. Hulurkan sumbangan untuk waqaf Masjid Penampang ke Akaun Bank Islam bernombor : 100 160 100 745 17.

Khatib : Abu Nuha

Tempat : Masjid Nurul Hikmah Bukit Padang

“Sesiapa yang membina sebuah masjid kerana Allah SWT, Allah SWT akan membinakan untuknya sebuah mahligai di dalam syurga” (HR Muslim).

Pengimarahan Masjid @ Rumah Allah SWT bukanlah sekadar mengisi ruang untuk hadir solat berjamaah semata-mata. Ia bermula dengan sokongan dan dukungan umat Islam untuk sama-sama mendirikan rumah Allah, apatah lagi di sebuah lokasi yang sangat memerlukan seperti di daerah Penampang yang tidak mempunyai sebuah masjid pun untuk solat Jumaat.

Daerah Penampang adalah jiran kepada Bandaraya Kota Kinabalu. Kepesatan pembangunan, pertambahan penduduk berlaku dengan pantas termasuk membabitkan umat Islam. Penjawat awam, pelajar sekolah, para peniaga adalah antara penyumbang kepada pertambahan penduduk di daerah berkenaan.

Justeru, umat Islam wajar sekali membantu dengan menyumbang wakaf tunai bagi mendirikan sebuah rumah Allah SWT di daerah ini. Jawatankuasa Wakaf Masjid Penampang buat masa ini telahpun mendapatkan sebidang tanah seluas di Jalan Bypass Penampang bernilai kira-kira setengah juta ringgit. Proses pemilikan tanah ini telah dilakukan baru-baru ini. Pemilik asal tanah, seorang saudara baru telah bermurah hati menjual tanah berkenaan dengan harga yang murah berbanding dengan pasaran semasa.

Sistem wakaf adalah sebahagian kaedah yang diajar dalam Islam bagi umat Islam menyumbang dana bagi kepentingan umat secara keseluruhannya. Wakaf diajar oleh Rasulullah SAW dan dipraktikkan oleh para sahabat sehinggalah ke hari ini. Suatu contoh amal sedekah jariah yang sangat berjaya antaranya ialah Universiti al-Azhar di Mesir yang sudah berusia lebih 1000 tahun adalah hasil sumbangan wakaf umat Islam.

“Tiadalah suatu pagi yang berlalu kepada hamba-hamba Allah kecuali ada dua malaikat yang turun dari langit. Malaikat pertama berdoa : Ya Allah, beri ganti berganda-ganda keada orang suka bersedekah. Malaikat kedua pula berdoa : Ya Allah berikan kerugian kepada orang yang tamak dan menahan hartanya daripada bersedekah”


Ketika mesyuarat JK Wakaf Masjid Penampang diadakan sebelum Ramadhan lalu, timbul idea daripada Cikgu Annuar Ali agar mengadakan Himpunan Perdana Ramadhan. Ia satu strategi agar kempen wakaf sempena pembinaan Masjid Daerah Penampang ini dapat diperluaskan.

Idea itu rasanya timbul berikutan usaha bersungguh-sungguh JK ini agar pembayaran tanah dapat disegerakan khususnya selepas hari raya. Jadi satu program besar diusahakan bagi menghimpun umat Islam.

Kerja keras bagi himpunan ini dilakukan pada seminggu terakhir sebelum majlis diadakan. Mesyuarat JK Pelaksana diadakan di Wisma MUIS dengan kehadiran hanya enam orang dan pembahagian tugas dilakukan dengan melibatkan ramai sahabat-sahabat di luar sana.

Paling penting adalah usaha-usaha promosi bagi menarik ramai umat Islam hadir ke Dewan Saadah Wisma MUIS pada 29 September lalu. Tarikan utama sudah tentu kehadiran wira negara dan umat Islam – Haji Jamuluddin Elias yang pernah ditangkap oleh tentera Israel di kapal Mavi Marmara pada Mei lalu.

Slot ceramah bermula sekitar jam sembilan pagi dengan tajuk ‘Pengenalan Wakaf : Hukum & Kelebihannya’ oleh Ustaz Haji Abdullah Din, Timbalan Yang Di Pertua ABIM Kedah. Beliau juga pernah bertugas di Sabah sekitar 10 tahun dan kembali ke Kedah dua tahun lalu.

Antara lain dalam ceramah beliau menjelaskan bahawa institusi wakaf  yang disebut sebagai sedekah jariah telah menyuburkan dakwah, ukhuwah dan ekonomi Islam sejak zaman Rasulullah SAW sehingga kini. Antaranya ialah Masjid Nabawi, Masjid Quba’, Universiti al-Azhar Mesir dan banyak lagi.

Slot ceramah berikutnya ialah taklimat pembinaan Masjid Penampang yang disampaikan oleh Pengerusi JK Wakaf Haji Sainuri Haji Yahmin. Menurutnya, idea pembinaan ini timbul secara serius beberapa tahun lalu berikutan kesusahan umat Islam sekitar daerah Penampang untuk mendirikan solat Jumaat.

Mereka terpaksa keluar daerah menuju ke Masjid Nurul Hikmah Bukit Padang, Masjid Negeri di Sembulan atau ke Masjid Kg Lok Kawi Baru di Putatan sedangkan kuantiti umat Islam di sana semakin bertambah ramai daripada masa ke masa. Untuk itu sokongan dan dukungan umat Islam untuk sama-sama membiayai pembinaan masjid ini sangat dialu-alukan sebagai membuktikan kesatuan umat Islam itu sendiri. Menurut beliau pembinaan masjid ini bersama kompleksnya memakan bajet sekitar RM6.5 juta.

Slot berikutnya ialah ceramah Tuan Haji Jamuluddin Elias, Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia (AMAL). Memulakan ceramahnya, beliau menyanjung tinggi usaha-usaha pembinaan dan pengimarahan masjid sebagaimana yang dilakukan oleh penganjur. Selaku akvitis yang banyak menjelajah dunia khususnya dalam misi-misi kemanusiaan beliau melihat banyak masjid yang terlibat dalam musibah. Ada masjid yang terselamat dan ada masjid yang hampir runtuh musnah dalam bencana.

Dalam ceramahnya, beliau menyentuh tentang serba sedikit sejarah Palestin dan Masjid al-Aqsa yang disebut di dalam al-Quran, kerja-kerja Israel yang cuba meruntuhkan masjid dari bawah serta misi-misi kemanusiaan yang telah dilakukan oleh Yayasan Amal Malaysia khususnya di Lubnan dan Palestin. Babak yang dinanti sudah tentu pengkisahan tentang serangan tentera Israel yang menyerang kapal mavi marmara yang membawa aktivis kemanusiaan dan barang makanan, perubatan dan sebagainya untuk disampaikan kepada penduduk Ghazzah.

Sebelum ceramah berakhir, beliau melancarkan kutipan wakaf Masjid Penampang bagi menandakan usaha rasmi JK Wakaf ini dalam mengajak umat Islam menjayakan Masjid Daerah Penampang. Kira-kira 500 orang hadir dan dimaklumkan kutipan pada hari berkenaan mencecah lebih Rm30 ribu.


Malam ini saya menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Wakaf Masjid Daerah Penampang. Saya melihat kesungguhan JK ini dalam berusaha merealisasikan cita-cita dakwah ini tercapai. JK ini terdiri daripada NGO’s Islam, wakil penduduk Islam Penampang, korporat, peguam, pendidik dan sebagainya.

Alhamdulillah, setahu saya JK ini menepati sasaran mesyuarat setiap bulan bagi mengetahui perkembangan semasa khususnya kerja-kerja promosi dan kutipan wakaf.

Meski saya tidak dapat menyertai setiap mesyuarat kerana pertembungan acara dan program, namun rakan-rakan tetap memaklumkan perkembangan semasanya. Dalam catatan lalu, saya pernah memberitahu bahawa harga semasa tanah ini lebih daripada RM1 juta. Namun tuan tanah begitu baik hati dengan hanya menjual dengan harga diskaun lebih 40 peratus.

Kami dimaklumkan kutipan setakat ini baru lebih RM200 ribu. Untuk bayaran tanah sahaja, kita memerlukan lebih RM300 lagi dengan kadar segera. Kami memohon bantuan umat Islam yang prihatin untuk sama-sama mempromosi cita-cita murni ini dengan menyebarluaskan maklumat kepada ahli keluarga dan kawan-kawan di mana juga berada.

Kami turut mengalu-alukan dan berbesar hati jika jabatan, pejabat, syarikat, agensi, sekolah,  JK masjid dan surau, persatuan, kelab atau mana-mana kumpulan tuan-tuan dan puan-puan berhasrat menjemput wakil kami mengadakan sesi penerangan berkenaan pembinaan masjid ini. Saya sendiri menerima beberapa undangan untuk bercakap berkenaan hal ini. JK kami bersedia untuk hadir.

Jiran tetangga, rakan sepejabat, keluarga di kampung dan di bandar, kenalan siber seperti blog, facebook, twitter dan sebagainya. Jika ada kenalan di luar negara, sila maklumkan kepada mereka akan permohonan ini. Selepas urusan tanah selesai, proses seterusnya ialah pembinaan masjid dan kompleksnya pula. Masjid ini menjadi harapan semua agar menjadi pusat hentian bagi perkembangan dakwah umat Islam di Penampang dan Kota Kinabalu.

Insya Allah dalam bulan ramadhan, JK ini akan mengadakan satu himpunan berkenaan Wakaf Masjid Penampang. Ia akan mendedahkan berkenaan kepentingan institusi masjid, institusi wakaf dan menuntut umat Islam untuk turut serta membantu menegakkannya.

Borang waqaf boleh dimuat-turun dengan meng’klik’ foto Waqaf Masjid Penampang di sisi kanan blog ini.

%d bloggers like this: