Tag Archive: Valentine Day


Sumber : Teks JHEAINS

Keimanan dan keyakinan terhadap Aqidah Syariat Islam amat perlu untuk membolehkan kita mematuhi Islam secara keseluruhan. Kepatuhan kepada ajaran Islam secara menyeluruh akan membolehkan kita merasakan dan menampilkan keindahan Islam yang sebenar. Namun demikian, disebabkan kurangnya iman dan keyakinan terhadap Islam membuatkan segelintir manusia cenderung melakukan perkara yang menyalahi Aqidah dan Syariat.

Sebagai contoh, menjelang 14 Februari setiap tahun, terdapat di kalangan umat Islam terutama sekali generasi muda yang meraikan Hari Kekasih atau Valentine’s Day. Mereka meraikannya kononnya untuk menyatakan serta membuktikan perasaan cinta dan kasih terhadap pasangan masing-masing.

Ada pasangan yang menzahirkannya dengan pemberian bunga dan hadiah-hadiah lain. Dan tak kurang pula yang meraikannya dengan melempiaskan hawa nafsu atas alasan “demi cintaku padamu, kuserahkan jiwa raga”. Ekoran itu, berlakulah khalwat pasangan Islam yang belum berkahwin yang secara langsung membuktikan bahana sambutan Hari Valentine tersebut.

Padahal, sudah terang lagi bersuluh bahawa Valentine’s Day adalah perayaan orang Barat bukan Islam sekali gus haram disambut oleh orang Islam. Ia mempunyai unsur-unsur yang mempromosi perbuatan maksiat, iaitu sesuatu yang bercanggah dan dilarang keras oleh Islam.

Dengan hal yang demikian, orang Islam yang meraikan Hari Kekasih pada 14 Febuari boleh disifatkan sebagai telah meniru budaya orang Barat yang bukan Islam. Perbuatan meniru budaya negatif orang lain akan merosakkan akidah dan meruntuhkan akhlak. Hal ini diperingatkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud :

“Barang siapa yang menyerupai (meniru tingkah laku) sesuatu kaum, maka dia adalah dari kalangan mereka”. (HR Abu Daud).

Menurut Panel Kajian Akidah dan Panel Kajian Syariah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) amalan menyambut dan meraikan Hari Kekasih atau Valentine’s Day adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Manakala Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan amalan merayakan Hari Kekasih tidak pernah dianjurkan oleh Islam.

Oleh hal yang demikian, dapat dirumuskan dan ditegaskan di sini bahawa perbuatan mempromosi dan meraikan Hari Valentine adalah salah di sisi ajaran Islam. Orang Islam yang terlibat dengannya boleh diambil tindakan yang sewajarnya menurut Enakmen Undang-undang Syariah yang sedia ada.

Masjid Kg Pasir Putih Putatan

Khatib : Ustaz Haji Arifin Ali

Lokasi : Masjid Nurul Iman Kg Pasir Putih Putatan

Budaya menjadikan Valentine’s Day sebagai perayaan diminati untuk diraikan bersama kekasih amat menggusarkan kita sebagai umat Islam. Ada yang mengirimkan kad ucapan dan hadiah, mengumandangkan lagu-lagu cinta dan asmara, membuat upacara tari-menari, mengadakan acara makan malam dengan disinari cahaya lilin, bertukar-tukar perasaan di taman-taman bunga sehingga berkucupan dan akhirnya sanggup menggadaikan kehormatan diri sendiri demi membuktikan kesetiaan kepada teman masing-masing.

Menurut Ken Sweiger, perkataan “Valentine” berasal dari bahasa Latin bermaksud “Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuat, dan Yang Maha Kuasa”, digunakan pada zaman Rom Kuno  kepada Nimrod dan Lupercus, tuhan orang Romawi. Sedar atau tidak, jika seseorang meminta orang lain atau pasangannya menjadi “To be my Valentine?”, maka ianya telah melakukan suatu perbuatan yang bercanggah dengan akidah umat Islam dan dimurkai Allah SWT kerana ia telah meminta seseorang menjadi “Sang Maha Kuasa” dan hal ini sama dengan usaha menghidupkan kembali semangat budaya pemujaan berhala.

Berdasarkan kepada pandangan tokoh-tokoh agama telah menyatakan bahawa menyambut atau meraikan Sambutan Hari Valentine ini adalah bertentangan dengan Syarak. Menurut Panel Kajian Akidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, amalan ini adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Begitu juga Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Pengharaman dan larangan ini bukanlah kerana ingin menghalang keseronokan yang menjadi trend baru zaman moden tetapi ianya berlandaskan kepada apa yang dinyatakan di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Umat Islam dinasihatkan tidak merayakan hari terserbut kerana ianya bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar serta boleh merosakkan akidah dan akhlak umat Islam.

Janganlah hanya dengan alasan inginkan keseronokan serta mengikut peredaran zaman, kita sanggup membelakangkan al-Quran dan as-Sunnah. Ingatlah, agama Islam tidak sesekali melarang umatnya bercinta kerana cinta adalah fitrah semulajadi manusia, namun mestilah berdasarkan hukum Islam bukannya berteraskan hawa nafsu semata-mata.

ALTERNATIF HARI KEKASIH

Rasanya tahun ini penentangan terhadap sebarang aktiviti berkaitan Hari Kekasih atau Valentine Day lebih terbuka dan meriah. Ia bukan sahaja dirasakan dan disuarakan di mimbar-mimbar masjid, tetapi secara lebih lantang dihebahkan di media baik secara persendirian melalui media maya baru seperti blog dan facebook, juga badan-badan kerajaan, parti politik dan NGO seperti JAKIM, Dewan Pemuda PAS Pusat dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

Walaupun ada sedikit kontroversi khususnya berkaitan ceramah Ustazah  Siti Nor Bahayah yang dikritik oleh Pemuda Majlis Gereja Malaysia dan MCA, dari satu sudut ia tetap suatu kempen yang semakin baik berbanding hanya perisytiharan fatwa pada tahun  2005 terhadap satu budaya yang bukan berasal daripada ajaran Islam.

Ketika sembang-sembang saya dengan Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim awal Muharram dahulu, beliau ada menyebutkan tentang salah satu fadhilat atau amalan yang digalakkan ketika menyambut 10 Muharram selain berpuasa ialah meluaskan belanja untuk keluarga pada hari berkenaan. Ia bersandarkan kepada sebuah hadith riwayat al-Baihaqi dan at-Thobrani daripada Abu Said al-Khudriy RA :

من وسع على عياله فى يوم عاشوراء وسع الله عليه فى سنة كلها

Sesiapa yang meluaskan belanja keluarganya pada hari asyura, Allah akan meluaskan untuknya dalam setahun keseluruhannya.

Walaupun ada yang mengomentarinya sebagai hadith dhaif, namun sekurang-kurangnya tetap ada sandaran dan ia merupakan satu amalan yang baik dengan menambah belanja pada hari berkenaan dan memberikan sesuatu yang istimewa kepada isteri dan anak-anak pada hari tersebut. Paling tidak kata Ustaz Muchlish, kita hebahkan 10 Muharram bagi mengganti sambutan hari kekasih yang langsung tiada kaitan dengan umat Islam.

Berkaitan :

Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine’s Day

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 Nov 2005 telah membincangkan Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine’s Day. Muzakarah berpandangan bahawa ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.

Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Keputusan (English):

The Ruling on Muslims Celebrating Valentine’s Day

Decision:

The 71st Muzakarah (Conference) of the Fatwa Committee of the National Council for Islamic Religious Affairs Malaysia held on 22nd-24th November 2005 has discussed the ruling on Muslims celebrating Valentine’s Day. The Conference decided that the teachings of Islam stress on love and there is no specific day in Islam to celebrate it.

Therefore, The Conference decided that the practice of celebrating Valentine’s Day is not part of Islam. The spirit of the celebration contains elements of Christianity and its practice that is mixed with sinful acts is prohibited and contradicts with Islam.

Keterangan/Hujah:

Sejarah Valentine’s Day tidak ada di dalam Islam.  Amalan, budaya dan hasrat perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian yang bercanggah dengan Islam. Di dalam Islam tidak ada hari tertentu bagi meraikan kekasih atau kasih sayang. Islam sangat menitikberatkan soal kasih sayang dan setiap hari di dalam Islam adalah hari kasih sayang.

Islam menolak konsep kasih sayang yang terkandung dalam Valentine’s Day kerana unsur-unsur ritual keagamaan yang diamalkannya boleh menggugat akidah Islam. Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w.:

من تشبه بقوم فهو منهم

“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia termasuk dalam kaum tersebut.” ( Riwayat Abu Daud)

Rasulullah s.a.w. juga bersabda:

من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو مردود

“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kebanyakan golongan remaja Islam hari meraikan Valentine’s Day dengan perbuatan- perbuatan yang dilarang oleh Islam. Gejala seperti ini sekiranya tidak dibendung akan merosakkan generasi umat Islam akan datang.

%d bloggers like this: