Tag Archive: Utusan Borneo


Sumber : http://abdnaddin.blogspot.my/2016/05/saya-tidak-pernah-mimpi-jadi-wartawan.html

“SAYA tidak pernah bermimpi jadi wartawan,” kata Haji Hussain Kasau, seorang tokoh yang banyak terlibat dalam perkembangan sejarah di negeri ini. Mantan Setiausaha Perhubungan Awam di Kementerian Kewangan Sabah ini pernah menjadi pengarang di suratkhabar tempatan seperti Daily Ekspress dan Kinabalu Sabah Times. Beliau juga pernah menjadi pengarang bagi majalah Sinar USIA, dan beberapa buah majalah yang terbit di Kuala Lumpur seperti Sarina, Keluarga, Suara Rakyat, Suara Merdeka dan Kisah Cinta.

“Semuanya terjadi secara kebetulan saja,” katanya sambil mengakui bahawa minatnya lebih banyak kepada sastera.. “Saya hanya ingin menjadi penulis”, kata penulis yang pernah menghasilkan kira-kira 41 cerpen, sebuah naskhah drama, 25 puisi dan kira-kira 15 esei kritikan dan novel Deru dan Debu. Kini beliau berjaya menyiapkan beberapa buah buku termasuk novel, buku biografi Datuk Haji Abu Bakar Titingan , travelogue Nusantara dan menyusun sepuluh buah buku koleksi ucapan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman yang dikumpulkannnya ketika berkhidmat sejak tahun 2003 hingga 2013.

Sebagai wartawan, Haji Hussain pernah membuat liputan di Korea, Pattani, Arab Saudi, dan bersama rakan-rakannya pernah menemubual Juara Tinju Heavyweight Dunia, Muhammad Ali. Beliau berkawan rapat antaranya dengan Tan Sri A Samad Ismail, Sasterawan Negara Dato A Samad Said, Sutan Shahril Lembang dan Haji Subky Latif.

Beliau juga pernah berkenalan dengan tokoh-tokoh seperti Mochtar Lubis (Wartawan terkemuka Indonesia), A Hashmy (Ulama dan Gabenor Aceh) HB Jassin (Paus Sastera Indonesia), Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yakub (mantan Ketua Menteri dan TYT Sarawak) dan mengenali hampir semua pemimpin utama di negeri ini. Namun Haji Hussain Kasau seorang personaliti yang suka merendah diri. Sebagai seorang tokoh yang lebih banyak berperanan di belakang tabir, beliau beberapa kali menolak untuk diwawancara.

Namun hatinya agak terbuka sedikit selepas diumumkan sebagai salah seorang tokoh penerima Anugerah Persuratan sempena Mahrajan Kesenian dan Persuratan Nusantara di Membakut. Haji Mohamad Hussain Kasau lahir pada 12 Februari 1949. Berkelulusan Malaysian Certificate of Education (M.C.E), personaliti yang dibesarkan di Tawau ini mula menceburi bidang penulisan pada tahun 1968.

Beliau menggunakan nama pena seperti HUKS, Asgar Husain dan Hussain M Qasau, Haji Hussain juga aktif dalam aktiviti-aktiviti kebajikan dan pernah menjadi Setiausaha Pertama Pertubuhan Belia Kebangsaan Sabah (Sanya ) Cawangan Kampung Titingan, Tawau. Beliau pernah terpilih sebagai pemenang Hadiah Pertama Penulis Cerpen Terbaik pada tahun 1969, Anugerah Penulis Cerpen dan Puisi Radio Malaysia Sabah (1973) dan banyak lagi.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual Haji Hussain Kasau di Putatan baru-baru ini mengenai pengalamannya dalam bidang kewartawanan dan penulisan sejak melibatkan diri dalam bidang seni sastera pada tahun 1968.

Di samping itu,beliau juga menceritakan serba sedikit beberapa peristiwa sejarah penting di negeri ini, “hanya sedikit saja, kerana selengkapnya nanti ada dalam buku saya,” katanya yang makin bersemangat untuk menyiapkan penulisan untuk buku-bukunya.Wartawan Sasterawan yang juga seorang pencinta buku ini memiliki perpustakaan sendiri Arena Pustaka Subhan Amanna Gappa di Puncak Iqra Papar yang menyimpan lebih 3,000 judul buku. Ikuti petikan wawancara bersama beliau:

UTUSAN BORNEO (UB) : Di kalangan wartawan, bapak dikenali sebagai seorang wartawan. Di kalangan sasterawan bapak juga dikenali sebagai penulis. Baru-baru ini tuan juga terpilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Persuratan dan Kesenian Nusantara di Membakut. Apa komentar tuan?

HAJI HUSSAIN KASAU (HK): Sebenarnya saya sudah lama tidak berada dalam arus sastera perdana. Itu sebabnya saya agak terkejut apabila diberitahu bahawa saya terpilih sebagai seorang tokoh penerima Anugerah Tokoh Mahrajan Kesenian dan Persuratan Islam Nusantara yang diadakan di Membakut. Dari segi karya, saya menghasilkan sebanyak 41 buah cerpen, 20 hingga 25 buah puisi, kira-kira 15 esei kritikan, satu drama, buku biografi dan sebagainnya. Kini saya sedang menyiapkan buku travelogue, novel yang sudah lama disiapkan tapi dirombak semula, dan banyak lagi.

UB: Biasanya di mana bapak mendapatkan ilham untuk berkarya?

HK: Cerpen-cerpen yang saya buat 90 peratus adalah pengalaman peribadi. Saya fiksikan pengalaman nyata. Semua karya yang saya hasilkan adalah pengalaman peribadi yang nyata. Bukan rekaan. Namun saya sendiri tidak menyimpan karya-karya itu.Bagi saya, setelah karya itu dihasilkan ia adalah untuk masyarakat. Bukan untuk saya lagi. Sebahagian karya saya masih tersimpan di Arkib dan Pusat Dokumentasi di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.

UB: Boleh ceritakan sedikit mengenai drama yang bapak hasilkan?

HK: Drama satu-satunya yang saya hasilkan ialah Kembali Ke Jalan Tuhan, yang dipentaskan di Panggung Kong Fah Tawau pada tahun 1968. Ia satu-satunya drama yang dipentaskan di panggung wayang. Pada malam pementasan itu, saya tempah panggung wayang itu untuk drama. Filem yang sepatutnya ditayangkan pada malam itu tidak ditayangkan untuk memberi laluan kepada pementasan drama.

Anehnya pawagam itu penuh. Lebih banyak orang datang menonton drama daripada filem. Hasil kutipan tiket pun amat memberangsangkan. Dapat banyak pendapatan. Semua tempat duduk saya bayar penuh. Saya juga mampu bayar honorarium kepada pelakon. Itulah kenangan yang sukar terulang. Untuk pertama kalinya saya tampilkan pelakon mengaji di atas pentas. Saya menyelitkan banyak agama dalam drama itu. Ada selingan muzik.

UB: Apa anugerah yang pernah bapak perolehi?

HK: Saya pernah terpilih sebagai pemenang Hadiah Pertama Penulis Cerpen Terbaik pada tahun 1969, Hadiah Sastera sajak 1972, Anugerah Penulis Cerpen dan Puisi Radio Malaysia Sabah (1973) dan banyak lagi.

UB: Oh ya. Bagaimana bapak mula terlibat dalam bidang kewartawanan?

HK: Semuanya terjadi secara kebetulan. Waktu itu saya berkunjung ke Daily Ekspress untuk berjumpa rakan-rakan. Masa itu saya sudah menulis sedikit. Tiba-tiba telefon berdering. Pemanggil menyatakan bahawa Saidi Lampoh ketika itu penolong pengarang kepada Herman Noor Ayub dikehendaki polis. Saidi ditangkap gara-gara puisi. Saya yang sedang berkunjung itu diminta untuk ambil alih tempat Saidi untuk menggantikan beliau buat sementara.

Saya sebenarnya tidak mimpi dunia kewartawanan. Saya hanya mahu menjadi penulis. Minat saya kepada sastera saja. Begitu saja saya menjadi seorang wartawan secara kebetulan. Saya yang duduk duduk bersembang ketika itu diminta tolong ambil alih tugas Saidi. Setelah satu bulan begitu, Saidi yang sudah marah sangat dengan Tun tidak meneruskan tugasnya sebagai pembantu pengarang. Saya terpaksa meneruskan tugas sebagai pengarang.

UB: Lama bertugas di sana?

HK: Tidak lama. Satu hari saya melakukan kesilapan menyiarkan ucapan Tun. TS Hamid menghantar teks ucapan itu kepada saya. Sepatutnya ucapan itu embargo. Saya tidak diberitahu. Saya siarkan ucapan itu di muka depan Daily Ekspress, padahal Tun Mustapha ketika itu belum berucap lagi. Kemudian saya dipanggil, dapat arahan daripada Tun. Saya pun pergi dengan rasa takut. Saya tidak dihukum sebaliknya diminta membantu Allahyarham TS Hamid di Sinar USIA dengan gaji kira-kira RM1,000 sebulan. Satu jumlah yang besar ketika itu.

Saya bantu TS Hamid dan menjadi pengarang bahagian Bahagian Bahasa Melayu. Masa itu pengalaman tidak ada. Terpaksa belajar. Di Sinar USIA, saya selalu menulis rencana editorial. Saya pernah tulis satu rencana bahawa tidak ada pertentangan agama antara Muslim dengan bukan Muslim. Begitu kira-kira tajuknya. Masa itu, Prof MT Kandil sudah berada di USIA. Beliau panggil saya, Hussin, tulisanmu terlalu jauh ke hadapan, jangan menulis begini. Kerana merasa kurang selesa saya berhenti.

UB: Ketika bekerja di Sinar USIA itu mungkin banyak pengalaman yang diperolehi?

HK: Banyak pengalaman ketika bekerja di USIA. Masa itu saya tinggal di Sembulan. Tan Sri Pandikar Amin (Speaker Dewan Rakyat) Tun Juhar (TYT sekarang) selalu pergi ke rumah saya di Sembulan sepulangnya mereka dari England. Saya selalu mendapatkan inspirasi dari perbincangan-perbincangan itu. Dari sana saya berkembang. Saya ingat dari anak Semporna yanhg belajar dari London, Abdul Rahman dari Sipitang, juga belajar dari London yang sering singgah rumah. Dari pergaulan-pergaulan dengan mereka saya berkembang.

UB: Selepas berhenti dari USIA, di mana bapak bekerja?

HK: Saya berhijrah di Kuala Lumpur dan bekerja di sana. Saya menjadi pengarang Sarina, Keluarga dan Kisah Cinta. Di Kuala Lumpur, saya berkawan rapat dengan Haji Subky Latiff, seorang wartawan tersohor. Selain itu, ketika bekerja di sana, saya berkawan rapat dengan Tan Sri A Samad Ismail, Dato A Samad Said, sasterawan Negara dan Sutan Shahril Lembang. Selepas A Samad Ismail ditangkap, saya menderita.

Dua minggu saya diinterogasi oleh Polis, haru hari mereka datang untuk bertanya hubungan saya dengan Pak Samad. Saya dituduh sosialis juga. Akhirnya saya jadi berkawan dengan Inspektor Zainudin yang menyiasat saya. Selepas bersara beliau tinggal di Labuan.

UB: Mungkin banyak pengalaman ketika bertugas sebagai wartawan. Boleh ceritakan sedikit?

HK: Ketika menjadi wartawan, saya pernah meliputi lawatan Juara Heavyweight Dunia Muhammad Ali di Kota Kinabalu pada tahun 1973. Itu antara pengalaman manis ketika menjadi wartawan. Saya pernah juga terpilih untuk membuat liputan mengenai penerbangan Haji dari Sabah pada tahun 1975. Tapi saya hanya sampai di Jeddah saja pada masa itu. Tidak ikut menunaikan haji.. Satu lagi ialah ketika saya terpilih sebagai wartawan Sabah dalam penerbangan pertama Mas ke Seoul Korea pada 1979.

UB: Boleh ceritakan sedikit pengalaman di Korea?

HK: Sesampainya di Korea, saya dapat jemputan dari Kedutaan Korea. Saya dipanggil kerana dalam pasport saya dinyatakan bahawa saya bekerja sebagai wartawan. Rupanya mereka meminta saya agar menulis baik baik mengenai Korea. “Tulis bagus-bagus mengenai Korea” katanya. Saya berada di Korea untuk menghadiri Perasmian Masjid dan mengikuti seminar Minoriti Islam.

Mulanya saya sendiri yang mendapat jemputan untuk menghadiri program di sana. Tetapi kemudian pemergian saya itu tidak menyenangkan setengah pihak. Akhirnya pemergian saya di sana ditanggung oleh kerajaan dan diberikan wang poket USD3000. Satu lagi pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah ketika tiba di Hong Kong. Ketika check in di Hotel, saya mendapat keistimewaan terlebih dahulu dan dipanggil lebih dulu kerana di pasport saya tertulis journalist.

UB: Apa kesan terhadap arwah Tun Mustapha?

HK: Sebenarnya saya tidak banyak mengenalinya secara rapat kerana beliau banyak berada di luar negara masa itu. Beliau seorang yang luar biasa. Seorang karismatik. Berada di hadapannya kita rasa kaku dan kelu. Melihat wajahnya saja, kita merasakan betapa beliau seorang yang karismatik.

UB: Bagaimana pula mula perkenalan dengan Datuk Musa (Datuk Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah).

HK: Saya berkenalan dengan beliau secara kebetulan. Ketika itu saya membantu Allahyarham K Bali untuk menyiapkan Buletin Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (DPBS). Saya tulis satu artikel. Artikel itu menarik perhatian Datuk Musa yang ketika menjadi Yang Di Pertua DPBS. Beliau mencari saya kerana artikel yang saya tulis itu. Sejak itulah saya mula mengenali beliau sebagai seorang yang amat baik, berwawasan dan penuh komited.

UB: Selepas bersara, apa yang bapak lakukan mengisi masa lapang?

HK: Saya banyak mengembara jelajah Nusantara. Saya menyiapkan beberapa buah buku termasuk novel saya yang saya sunting semula, buku perjalanan, biografi Datuk Abu Bakar Titingan dan buku Kumpulan Ucapan Datuk Musa Haji Aman dari tahun 2003 hingga 2013 sebagai hadiah saya kepadanya.

UB: Terima kasih kerana sudi berkongsi pengalaman dengan kami. Sebagai seorang wartawan pasti punya segudang pengalaman yang menarik.

HK: Saya sebenarnya tidak pernah bermimpi menjadi wartawan. Minat saya kepada sastera. Saya hanya mahu menjadi penulis saja. UTUSAN BORNEO 28. 5.2016

Sumber : http://abdnaddin.blogspot.com/2014/03/awang-laiman-pernah-jual-ikan-sebelum.html

AWANG LAIMAN, PERNAH JUAL IKAN SEBELUM SEKOLAH DI AL-AZHAR

SEBELUM menjadi ahli politik sepenuh masa, beliau pernah melalui pelbagai pengalaman dalam hidup. Beliau pernah menjadi guru agama, penolong pegawai penguatkuasa agama, pendakwa di Mahkamah Syariah, kaunselor dan kemudian menjadi pengetua Rumah Anak Yatim Tambunan.

Malah sebelum melanjutkan pelajaran di universiti, beliau juga pernah menjadi penjual ikan dan pemandu kereta pick-up, sejenis kenderaan untuk pengangkutan awam paling popular di Kota Belud.

Dalam banyak perkara, beliau bertindak sebagai pelopor. Beliau adalah orang pertama dari Kota Belud yang belajar sekolah agama di Semenanjung atas biaya sendiri. Selepas itu, ramai yang mengikuti jejak langkahnya. Selain itu, beliau adalah seorang yang aktif dalam pergerakan belia dan masyarakat sejak masih berada di bangku sekolah lagi.

Seorang ahli pidato dan pemimpin masyarakat yang disegani, kini beliau meneruskan perjuangan dalam bidang sahsiah di bawah bendera Parti Islam Se Malaysia (PAS) sebagai Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Sabah.

USTAZ Haji Awang Laiman Haji Ikin dilahirkan di Kampung Tamau Kota Belud pada 15 Oktober 1961. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Tamau pada tahun 1968 hingga 1973. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di peringkat `bridge class’ di GSS Taun Gusi.

Selepas itu, beliau melanjutkan pendidikan di SMK Arshad dari Form 1 hingga Form 3 hingga menduduki peperiksaan Lower Certificate of Education. Kemudian beliau beralih kepada pendidikan agama dan memasuki Madrasah An Nuar, Taun Gusi dan tidak lama kemudian, Awang Laiman melanjutkan pelajaran di Madrasah Khairiah, Pokok Sena, Pulau Pinang dari tahun 1980-1985.

Selepas itu beliau bertugas sebagai guru agama di SUI Merabau dari tahun 1985 hingga 1986. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Al Azhar, Kaherah Mesir pada 1989-1993.

Sekembalinya ke tanahair, Awang Laiman bertugas sebagai Penolong Pegawai Penguatkuasa dan Pendakwa di Mahkamah Syariah, Selepas itu, beliau menjadi kaunselor di Rumah Anak Yatim Tambunan dan kemudian menjadi Pengetua Rumah Anak Yatim (RAY)Tambunan sejak 2001 hingga 2008.

Bagi memenuhi seruan perjuangan, beliau menceburi bidang politik sepenuh masa. Mulanya Awang Laiman bertanding kerusi Tempasuk atas tiket PKR. Tetapi kemudian,dalam pilihanraya 2013,beliau bertanding semula kawasan DUN Tempasuk atas tiket PAS tetapi kurang bernasib baik.Walaupun mengalami pahit getir perjuangan, beliau tetap istiqamah.

Sejak 2011, Awang Laiman dilantik sebagai Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Sabah.Beliau mendirikan rumah tangga dengan Ustazah Halimah binti Likin dan dikurniakan enam cahaya mata.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat menemubual beliau untuk berkongsi sedikit sebanyak pengalamannya ketika zaman persekolahan hingga cerita bagaimana beliau menceburkan diri dalam politik. Ikuti petikan wawancara bersama beliau yang diadakan pada satu pagi Khamis lepas.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang Ustaz?

USTAZ HAJI AWANG LAIMAN: Saya dilahirkan pada 15 Oktober 1961 di Kampung Tamau Kota Belud. Saya lahir di tengah-tengah masyarakat petani dan nelayan. Kemudian, saya menduduki sekolah rendah di SRK Tamau dari tahun 1968 hingga 1973.

UB: Siapa rakan-rakan sekolah di sekolah rendah? masih ingat?

USTAZ: Antara rakan sekolah saya ialah Badru Haji Asmah, Sayun Haji Abdul Razak, Imam Asrakal, Dayang Sari,Jupry Abdul Razak, Armawan, Judin, Ludangan, Basmah, itu antaranya.

UB: Selepas darjah enam, dimana ustaz melanjutkan pelajaran?

USTAZ: Kemudian saya mengikuti kelas peralihan, waktu itu disebut Bridge Class di GSS Taun Gusi atau SMRK Taun Gusi. Antara rakan saya ialah Haji Mayur Radim, Andur dan lain-lain. Selepas itu,dari Form 1 hingga Form 3, saya belajar di SMK Arshad dari tahun 1975 hingga 1977.

Antara rakan sekelas saya ialah Lamsil Hamidsor, Naib Yang DiPertua USIA, dan Haji Aminuddin Aling , Pesuruhjaya PAS Sabah,. Kamilah angkatan pelajar terakhir yang menduduki LCE sebelum peperiksaan itu dimansuhkan.

UB: Jauhkah rumah ustaz dari sekolah? Naik apa ke sekolah?

USTAZ: Kami berjalan kaki dari rumah ke sekolah. Ketika bersekolah di Kelas Peralihan, di GSS Taun Gusi, saya menunggang basikal ke sekolah. Pelbagai pengalaman saya alami. Saya pernah jatuh dari jambatan kerana jambatannya sebatas titian saja. Pernah juga jatuh parit. Satu ketika saya terjatuh ke parit waktu pergi ke sekolah. Saya terjatuh kemudian saya ditimpa basikal.

UB: Selepas itu, dimana ustaz melanjutkan pelajaran?

USTAZ: Saya melanjutkan pelajaran Form 1 hingga Form 3 di SMK Arshad. Kami adalah pelajar terakhir menduduki LCE. Selepas itu, peperiksaan itu dimansuhkan.

UB: Kemudian?

USTAZ: Selepas itu, dengan keputusan LCE yang kurang meberangsangkan, saya tidak dapat melanjutkan tetapi semangat belajar masih kuat.Oleh sebab saya tidak dapat menyambung pelajaran selepas LCE walaupun minat untuk bersekolah masih kuat, saya masuk belajar di Madrasah Annuar Kampung Taun Gusi. Ketika itu, untuk masuk sekolah itu tidak ada had umur.

UB: Oh ya, Bagaimana timbul kesedaran belajar agama? 

USTAZ: Pada asalnya timbul kesedaran dari diri sendiri. Bila melihat Si Paka’ (Haji Omar Bantayan) menyampaikan khutbah. Beliau antara guru agama yang terawal di kampung kami di Kampung Tamau.

Saya terfikir, kalau mereka meninggal dunia, siapa yang boleh menggantikan mereka. Tokoh-tokoh yang banyak berjasa seperti Imam Haji Omar Bantayan dan Haji Yusuf Ibrahim tetapi selepas mereka siapakah generasi pelapis mereka. Siapa setelah mereka? Dari situ timbul di minda saya untuk menuntut ilmu agama.

Pada masa itu tidak ramai anak-anak kampung yang belajar di Semenanjung. Kalau adapun ialah anak-anak yang mendapat biasiswa Yayasan Sabah seperti Badru Haji Asmah, Akmadin Omar, Razak Rakunman, Mokdin Haji Mansur. Jadi apabila kami ke Semenanjung, belajar atas biaya sendiri, itu menjadi satu dorongan untuk ibubapa menghantar anak-anak mereka belajar agama di Semenanjung.

UB: Itu sebabnya ustaz sanggup berbelanja sendiri untuk belajar agama di Semenanjung?

USTAZ: Ya. Dari Madrasah An Nuar Taun Gusi, saya melanjutkan pelajaran di Sekolah pondok, Madrasah Khairiah Pulau Pinang. Sayalah orang pertama dari Kota Belud yang belajar di sekolah itu.

Saya terbang ke Semenanjung bulan Januari, kemudian barulah rakan-rakan lain meyusul setelah saya sekolah di sana. Mulanya saya belajar atas biaya sendiri. Setengah tahun kemudian barulah saya mendapat biasiswa Yayasan Sabah.Saya belajar di Madrasah Khairiah dari tahun 1980-1985.

UB: Siapa yang banyak memberi dorongan kepada Ustaz?

USTAZ: Orang yang banyak memberikan galakan kepada kami ialah Ustaz Yusuf Abdul Rahman. Beliau berasal dari Melaka. Beliau memberikan banyak pertolongan. Beliau sanggup berulang-ulik ke pejabat Imigresen untuk membantu pengurusan pasport. Malah beliau sanggup mengeluarkan duit sendiri.bayaran untuk pasport ialah RM30.

Masa itu, Beliaulah yang banyak beri dorongan. Masa itu, ramai ibu bapa yang masih takut menghantar anak mereka belajar sekolah agama dengan alasan tidak berkemampuan. Padahal belanja yang diperlukan tidak banyak. Belanja bulanan kira-kira RM70 ringgit. Beliau tanya kepada ayah saya, apakah beliau sanggup?

Bapa saya berkata, kalau setakat itu, RM100 pun saya sanggup. Ketika itu saya sudah belajar bawa kereta`pick-up dan ada kereta sendiri. Satu minggu pendapatan saya kira-kira RM400 seminggu. Tetapi demi semangat untuk belajar, saya meninggalkan semuanya untuk belajar di Pulau Pinang.

Pada masa itu juga, kebetulan bapa angkat saya, Haji Osman berada di Kota Belud. Saya ikut beliau ke Semenanjung. Masa itu, tiket KK-KL-Pulau Pinang berharga kira-kira RM175. Agak murah.

UB: Siapa rakan ustaz pada masa itu? Maksud saya di Madrasah Khairiah?

USTAZ :Pada masa itu, Datuk Haji Aidi Mokthar, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah sudah lebih dulu belajar di sana. Saya baru masuk. Saya orang kelima dari Sabah yang belajar di Madrasah Khairiah. Orang pertama dari Sabah yang belajar di Madrasah Khairiah itu ialah Datuk Haji Utoh, kemudian adiknya Ustaz Abdul Kata, Datuk Haji Aidi, seorang bernama Halim tapi tidak meneruskan dan lepas itu saya.

Antara pelajar dari Sabah yang belajar di Madrasah Khairiah ialah Ustaz Malai Ali, Ustaz Awang Syairin Bakar, Ustaz Seman Jipar, Ustaz Zuldin Haji Abdul Hamid, Drs Satri Putung, Ustaz Daiman Salalah, Ustaz Abdullah Maria, Ustaz Saifudin Haji Sepion,. Sehingga pada satu ketika pelajar Sabah mencapai 58 orang.

UB: Apa kelebihan belajar di sekolah pondok?

USTAZ:: Banyak kelebihan sekolah pondok. Sistem pendidikan sekolah pondok melahirkan manusia yang mampu berdikari. Selain itu, sekolah pondok banyak bertumpu kepada pembangunan insan. Banyak pelajaran yang langsung boleh dipraktikkan di tengah masyarakat. Di samping itu, di sekolah sentiasa ada pengisian, selepas maghrib dan selepas subuh. Setiap Khamis pula ada majlis muhadarah Setiap minggu ada pidato dipantau oleh guru.

Sewaktu di Madrasah Khairiyah, saya nenjadi Timbalan Ketua Umum pelajar. Antara yang pernah belajar di Madrasah Khairiyah ialah Ustaz Ibrahim Libya, Abdul Hamid Zainal Abidin, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Di sinilah saya mula mendapat pendedahan dalam politik. Pengasas Sekolah Pondok, Tuan Ahmad Tuan Hussein, adalah ahli Parlimen Pas yang pertama mewakili kawasan itu. Beliau menjadi wakil tunggal Pas di Parlimen pada masa itu. Tapi sewaktu saya masuk, beliau sudah meninggal. Tapi perjuangan itu diteruskan oleh anak-anaknya Ustaz Ali, Ustaz Osman dan Ustaz Omar.

Bercerita tentang politik, saya pernah menjadi juru kempen ketika Datu Hamid Tun Mustapha menjadi calon USNO pada tahun 1986 di Usukan. Masa di Mesir juga saya aktif di Masjid Ridwan. Sebut saja, Masjid Ridhwan, orang tahu bahawa ia adalah markas Ikhwanul Muslimin.

UB: Apa kegiatan Ustaz sewaktu di pondok dulu selain kuliah?

USTAZ: Selain kuliah, Saya juga aktif dalam Gerakan Belia 4B, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

UB: Balik dari Pulau Pinang, ustaz bertugas dimana?

USTAZ: Balik dari Semenanjung, saya bertugas sebagai Guru di SUI Merabau.

UB: Masih terlibat pergerakan belia? Sesudah balik kampung?

USTAZ: Ya, di samping tugas sebagai guru, saya juga aktif dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)dan Belia USIA, Naib Presiden PISBA.

UB: Lama jadi guru agama? lepas itu ke mana?

USTAZ: Saya jadi guru dari tahun 1986 hingga 1988. Selepas itu, pada tahun 1989 hingga 1993, saya berangkat ke Kaherah untuk belajar di Universiti Al Azhar Mesir, universiti tertua di dunia. Antara rakan yang belajar di Al-Azhar ketika itu ialah YB Datuk Haji Mohd Arifin Arif, kini Pembantu Menteri dan ADUN Membakut,Pengarah Jasa, Haji Abdul Manap Lakariba.

UB: Di Mesir, apa persatuan yang pernah diikuti?

USTAZ: Saya pernah jadi Setiausaha dan kemudian Yang Di Pertua Badan Kebajikan Pelajar Sabah Mesir. Saya juga terlibat mengasas Persatuan Pelajar Malaysia Mesir di Kaherah. Sewaktu di Kaherah, antara rakan saya ialah YB Zulkifli Yakub, pernah jadi ADUN di Kelantan, dan di Terengganu Nik Zawawi Nik Mohamad. Mereka aktif dalam PMRAM atau Persatuan Melayu Republik Arab Mesir.

Di sanajuga saya bertemu dengan Dr Mujahid Yusuf Rawa,yang bertindak sebagai rakan pembimbing. Begitu juga Nik Amar dan Nik Rahim, anak Tuan Guru Nik Aziz. Dari Filipina, antara rakan saya ialah Aleem Said Bashir, Bukare dan ramai lagi. Ramai juga pelajar dari Mindanao pada masa itu.

UB: Sekembalinya dari Mesir, Ustaz kerja apa?

USTAZ: Saya bekerja sebagai Penolong Pegawai Penguatkuasa dan Pendakwa di Mahkamah Syariah. Selepas itu, saya dilantik sebagai kaunselor Rumah Anak Yatim Tambunan.Lepas itu saya jadi pengetua Rumah Anak Yatim hinggalah saya berhenti dari perkhidmatan kerajan pada tahun 2008.

Saya diminta untuk bertanding atas tiket PKR. Badan Perhubungan PAS Negeri sedia maklum pada masa itu. Kemudian pada tahun 2011, saya diamanahkan sebagai Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri. Sekarang sudah masuk penggal kedua saya diamanahkan sebagai Setiausaha.

UB: Kita beralih sedikit kepada soalan politik.Bagaimana sambutan masyarakat terhadap PAS di Sabah?

USTAZ: Bagi saya, Pas mempunyai masa depan yang cerah. Pas bersama PR aalah Politik masa depan. Penyertaan golongan profesional dalam PAS makin ramai, makin diminati. Pendekatan PAS tidak semata-mata politik tetapi tarbiyah dan dakwah dengan motto Islam For All. Tidak saja untuk golongan Islam bahkan golongan non muslim juga.

Sambutan masyarakat amat memberangsangkan.Malah dalam pilihanraya lepas, saya menang di satu kawasan daerah mengundi Non Muslim, yang menunjukkan bahawa sokongan terhadap PAS memang hebat. Masa depan PAS dalam politik Sabah memang amat cerah. Sekarang ini kita tidak menang tangan.

Banyak program dianjurkan untuk memenuhi keperluan masyarakat. Kami mendekati masyarakat dari bawah. Kami memperjuangkan aspirasi rakyat yang selama ini terpinggir. Banyak isu seperti isu tanah, isu kemudahan infrastruktur dan sebagainya. Isu yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat kampung. Isu yang berkaitan dengan kehidupan rakyat secara keseluruhannya.

UB: Siapa pemimpin yang menjadi role model Ustaz?

USTAZ: Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat. Beliau seorang yang istiqamah, seorang yang terbuka

UB: Apa hobi ustaz di masa lapang?

USTAZ: Saya suka membaca buku. Selain itu, saya juga suka menjala ikan, berkebun dan sebagainya. Jika ada kelapangan di hujung minggu, saya suka mandi laut.

UB: Terima kasih kerana sudi ditemubual untuk ruangan Sembang Sabtu.

USTAZ: Terima kasih kembali. Semoga bermanfaat

SEPETANG BERSAMA ANAK-ANAK KAIDUAN

Disalin dari blog Abd. Naddin Shaiddin

Emma Pius kelihatan malu-malu ketika saya bertanya kepadanya.

“Saya bercita-cita menjadi doktor,” kata gadis berusia 13 tahun itu. Rakannya, Amelina juga mahu menjadi doktor. Jarlin yang duduk di tepi sekali pula bercita menjadi polis.

“Di kampung kami, belum ada orang yang menjadi doktor,” kata Emma. “Saya mahu mengubat orang sakit,” katanya kepada saya dalam perjalanan ke Kampung Kaiduan, Papar.Sekolah ditutup selama dua minggu dan petang itu, mereka pulang ke rumah masing-masing.

Mereka merupakan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Kinarut Papar. Hari itu, Cikgu Abdul Hamid Abu Bakar ditemani Cikgu Azmi Mohd. Buang mengambil inisiatif menghantar mereka pulang kampung dengan kereta Hi-Lux yang dipandu Ibrahim Dukalan. Pelajar-pelajar dari Kaiduan dan kampung-kampung di sekitarnya, 12 orang semuanya, terpaksa bersesak-sesak dalam kereta itu untuk pulang kampung.

Saya diajak Cikgu Hamid untuk ikut serta bagi merasai pengalaman `naik bukit, turun bukit’ semata-mata untuk menimba ilmu. Jarak antara Kampung Kaiduan dengan SMK Kinarut memang agak jauh. Sebelum ini mereka terpaksa berangkat dari rumah kira-kira jam 4.00 pagi. Mereka berjalan kaki dari rumah hingga ke sekolah dan tiba di sekolah sebelum loceng dibunyikan. Mereka terpaksa berjalan kaki menyusuri jalan berbukit bukau yang sepi, meredah dingin udara pagi dalam cuaca yang kadangkala hujan.Namun ia tidak mematahkan semangat mereka untuk ke sekolah.

“Kamu tidak takutkah jalan pagi-pagi?” saya bertanya kepada Emma. “Kami nda takut,Biasa saja,” kata gadis bersemangat waja itu.Dia yang terpaksa mengharungi tiga sungai dari kampungnya sebelum merentasi jambatan gantung di Kaiduan, benar-benar dahagakan ilmu pengetahuan.

“Kenapa mahu jadi doktor?

Emma mahu menjadi doktor kerana setiap kali dia menyaksikan betapa orang-orang dari kampungnya terpaksa berjalan kaki berkilo-kilometer jauhnya untuk ke Pekan Kinarut bagi mendapatkan rawatan di klinik. “Kalau saya jadi doktor, saya boleh merawat ibubapa saya,” katanya.

Jika ada rumah persinggahan di tengah jalan dibina untuk kemudahan mereka, barangkali itu akan lebih baik. Tetapi setakat ini mereka tidak ada pilihan melainkan terpaksa kemalaman di tengah perjalanan jika tidak ada kenderaan yang mereka dapat tumpangi. Bagi kanak-kanak seperti Emma, kehidupan ibubapa mereka yang kebanyakannya menjadi petani, mendorong mereka untuk belajar lebih tinggi lagi. Selain Emma, terdapat berpuluh-puluh pelajar lagi dari Kaiduan, Bisuang, Tamahing, Mondikot, Malansi, Moliun dan kampung-kampung lain.

Saya sempat juga berkenalan dengan Victor, Joel, Gerard, Libri dan pelajar-pelajar lain yang saya tidak ingat nama mereka. Biasanya kos tambang dari Kaiduan ke Kinarut ialah RM5.00 tetapi kalau ada kereta, “kadang kami tidak minta tambang daripada kami”, atau kadang ada juga yang membayar RM1.00. Tetapi oleh kerana mereka pelajar sekolah, maka pemilik kenderaan tidak menagih tambang daripada mereka.

Namun dalam banyak waktu, mereka terpaksa berjalan kaki dari rumah untuk ke sekolah di SMK Kinarut. Saya dapat membayangkan betapa sukarnya mereka ke sekolah dengan hanya berjalan kaki. Berjalan kaki lebih tiga jam ke sekolah memang menuntut kecekalan dan ketabahan. Cikgu Abdul Hamid memberitahu saya mengenai kesukaran para pelajar itu untuk ke sekolah. Walaupun pelajar itu kini ditempatkan di Asrama Sekolah, tetapi mereka tetap memerlukan sebuah rumah persinggahan yang perlu dibina di pertengahan jalan untuk berteduh daripada cuaca atau berehat melepaskan lelah. Rumah persinggahan itu perlu dibina untuk kegunaan penduduk kampung untuk berulang alik ke Pekan Kinarut yang jauh jika ditempuh dengan berjalan kaki.

Kaiduan, Bisuang,Tamahing, Mondikot dan sebagainya merupakan kampung terpencil yang perlukan perhatian daripada kerajaan terutamanya dalam memastikan anak-anak kampung itu mampu menikmati kemudahan pendidikan yang memadai. Selain itu kebajikan penduduk kampung juga perlu diberikan keutamaan. Bagaimanapun, penduduk kampung menikmati bekalan elektrik dan bekalan air paip. Cuma kemudahan jalan raya perlu diperbaiki bagi membolehkan petani memasarkan hasil pertanian mereka supaya mereka dapat menambahkan sumber ekonomi sekaligus dapat memperbaiki taraf ekonomi mereka.

Masyarakat kampung telah meminta kerajaan supaya memperbaiki kemudahan jalan raya di Kaiduan dan kampung sekitarnya. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Haji Ghulam Haidar Khan yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar turut memberikan perhatian terhadap masalah itu dan telah beberapa kali membangkitkan masalah itu dalam sidang DUN. Beliau juga difahamkan selalu turun padang melawat Kaiduan. Begitu juga Ahli Parlimen Papar, Datuk Rosnah Rashid Shirlin juga menunjukkan keprihatian terhadap permasalahan penduduk kampung.

Jika kerajaan dapat memperbaiki kemudahan prasarana seperti jalan raya, adalah tidak mustahil cita-cita Emma, Amelina, Jarlin dan anak-anak lain untuk menjadi orang berguna akan tercapai.

-tersiar di Utusan Borneo 18 September 2010


Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN (abdnaddin@yahoo.com)

Tepat jam 7.00 pagi, saya sudah berada di pintu masuk Hotel Promenade untuk memenuhi temujanji dengan Timbalan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Ustaz Nasharudin Mat Isa. Jadual lawatannya ke Sabah agak ketat tetapi beliau bersetuju ditemubual sebelum berangkat ke Kuching pada pagi 17 September itu.

Sebaik bertanya khabar, tanpa berlengah saya mengeluarkan buku nota. Ustaz Nasharudin yang mengenakan kemeja biru lengan pendek kelihatan tersenyum ketika saya memulakan pertanyaan dengan menyoal sejauh mana sokongan rakyat Sabah terhadap kehadiran parti itu di negeri ini.

“Alhamdulillah, sambutan rakyat Sabah jauh lebih baik dan menunjukkan banyak peningkatan,” kata Nasharudin yang juga Ahli Parlimen Bachok. “Ini satu petanda yang baik untuk Pakatan Rakyat (PR) melangkah maju di Sabah,” katanya kepada Utusan Borneo, sebuah akhbar tempatan berbahasa Melayu paling terkemuka di Sabah.

“Hatta, kepada PAS sendiri, sokongan pelbagai peringkat, dari kalangan Islam dan bukan Islam sangat menggalakkan,” kata Nasharudin yang merasa optimis terhadap masa depan Pakatan Rakyat di negeri ini. Tokoh pemimpin PAS yang lahir di Negeri Sembilan pada tahun 1962, Nasharudin Mat Isa merupakan mantan pensyarah universiti sebelum beliau memutuskan untuk menceburkan diri dalam bidang siasah pada tahun 1999.

Kemampuannya menguasai pelbagai bahasa asing seperti Inggeris, Perancis, Urdu dan pastinya bahasa Arab, memberi banyak kelebihan kepada tokoh ini. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Menengah St.Gabriel Kampung Pandan Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan Grafik dan Senireka. Selepas itu, Nasharudin melanjutkan pengajian Islam di Kolej Darul Ulum Lucknow India sebelum ke Jordan bagi mempelajari bahasa Arab selama dua tahun.

Ustaz Nasha mendalami undang-undang syariah di Fakulti Syariah selama lima tahun di Jordan sebelum kembali ke tanahair dan seterusnya dilantik sebagai pembantu pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa di Gombak. Beliau kemudiannya berangkat ke Universiti Glasgow England selama dua tahun dan pada tahun 1993, kembali ke UIAM untuk menyiapkan Sarjana Undang-Undang Perbandingan. Kemudian beliau dilantik sebagai pensyarah undang-undang di UIAM sebelum berpindah ke UKM Bangi pada 1997.

Dua tahun kemudian, pada tahun 1999, beliau meletakkan jawatan sebagai pensyarah seterusnya meninggalkan dunia akademik. Selepas itu, beliau dilantik oleh Presiden PAS ketika itu, Datuk Haji Fadzil Noor sebagai Setiausaha Agung PAS. Penglibatan Nasharudin dalam PAS, sebenarnya bermula sebaik beliau kembali ke tanahair. Ketika itu, Nasharudin bergerak aktif dalam Dewan Pemuda PAS dan menjadi Exco Antarabangsa. Pelantikannya sebagai Setiausaha Agung, walaupun mengejutkan banyak pihak tetapi telah mencorakkan masa depan PAS dan memberi keyakinan baru terhadap parti itu.

Nasharudin kemudian terpilih sebagai Timbalan Presiden PAS. Selepas menang dalam pilihanraya 1999 sebagai Ahli Parlimen Yan Kedah, beliau bagaimanapun tewas dalam pilihanraya 2004 ketika bertanding di Besut, Terengganu. Dalam pilihanraya umum ke 12 pada 2008, Nasharudin memenangi kawasan Parlimen Bachok. Walaupun menduduki hirarki tokoh nombor dua dalam kepimpinan PAS Pusat, Nasharudin tetap dengan gayanya yang sederhana. Tutur katanya lembut dan bersahaja, dan mudah didekati.

Ketika ditanya mengenai sokongan bukan Islam kepada parti itu , Nasharudin berkata, Dewan Himpunan Penyokong PAS kini mempunyai keahlian mencecah 20,000 orang. “Ini merupakan satu manifestasi sokongan masyarakat non-muslim terhadap perjuangan PAS yang tidak berlandaskan perkauman yang sempit, dan bukan bersifat anti agama lain…Risalah Islamiah diturunkan untuk memberi rahmat ke seluruh alam, sama ada untuk orang Islam atau bukan Islam,” jelasnya.

Menurutnya, jumlah sokongan masyarakat non-muslim semakin bertambah dan peranan mereka juga besar dalam merubah lanskap politik negara. Beliau berkata, keahlian Dewan Himpunan Penyokong PAS kini mencecah 20,000 orang malah beliau tidak menolak kemungkinan orang bukan Islam menjadi calon dalam pilihanraya ke-13 dan ia tidak menjadi satu permasalahan asalkan mereka menerima ketentuan dan peraturan parti.

PAS, kata Nasharudin lagi, akan terus menjamin kebebasan beragama, kebebasan berniaga dan kebebasan menjalankan adat dan budaya masing-masing. Mengenai isu politik perkauman yang sempit, Nasharudin berkata, isu perkauman adalah senjata akhir yang digunakan lawan untuk meraih sokongan rakyat.

Bagaimanapun, beliau menekankan, masyarakat kini sudah dapat menilai keupayaan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) mengurus tadbir beberapa negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.  Selain itu, PR juga mampu mengurus ekonomi dengan baik dan pentadbiran kerajaan negeri di empat negeri yang dikausai Pakatan berjalan dengan baik.

Sementara itu, Populariti BN semakin menurun dan BN terpaksa mencari formula untuk mengembalikan sokongan rakyat bagi menghadapi pilihanraya ke-13 dan salah satu yang dibangkitkan ialah isu perkauman yang telah ketinggal dan menjadi bahan kempen tahun-tahun 60-an dan 70-an. Katanya, dalam abad ke-21, rakyat di negara ini semakin terdedah dengan maklumat dan bersikap realistik dengan penduduk negara yang berbilang kaum dan agama.

“Kita harus saling hormat menghormati dan harus maju ke hadapan,” kata Ustaz Nasharudin lagi. Katanya, tanpa menafikan kebanggaannya menjadi orang Melayu dan beragama Islam, beliau berkata Tuhan menjadikan manusia berbilang kaum malah berbilang agama untuk saling kenal mengenali atau dalam bahasa arabnya li taarafu, supaya rakyat dapat hidup seharmoni yang mungkin. Nasharudin juga menyatakan kesediaan parti itu untuk mengadakan dialog dengan semua pihak termasuk UMNO bagi membincangkan hal-hal yang melibatkan kepentingan bersama.

“Ada banyak isu yang boleh dibincangkan,” katanya sambil menyatakan bahawa PAS sentiasa bersikap terbuka demi masa depan yang lebih baik. Beliau juga menekankan bahawa urus tadbir kerajaan harus diperbaiki dan mereka yang diberikan amanah mesti melaksanakan amanah dengan baik, mesti bersih, tidak rasuah dan tidak menyalahgunakan kuasa.

Nasharudin mengulangi bahawa PAS sentiasa terbuka dan sedia berdialog dengan sesiapa saja ,” tidak semestinya hanya UMNO tetapi dengan semua pihak”, dan kini telah dan akan meneruskan usaha berdialog untuk kepentingan negara. Berdasarkan sokongan rakyat terhadap program-program anjuran PAS dan Pakatan Rakyat, beliau yakin PR akan mampu memenangi kerusi di Sabah dan Sarawak dalam pilihanraya ke-13.

Menurutnya, keupayaan PAS dan PR mentadbir empat buah di Semenanjung mampu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap parti itu. Sambil itu, beliau menyatakan PAS juga telah membuat persediaan untuk menghadapi pilihanraya di negeri itu.

“Saya akan ke Kuching sebagai pengarah pilihanraya PAS dan kita sudah menjalankan kerja-kerja persiapan awal untuk menghadapi pilihanraya itu,” katanya. Beliau berkata, PR sudah bersedia untuk bertanding satu lawan satu dan pihaknya telah mengenalpasti kawasan DUN yang akan ditandingi.

“Rangka kerja sudah kita buat dan persiapan kita sudah bermula,” katanya sambil berkata bahawa rakyat perlukan perubahan dan memastikan mereka yang diberikan amanah akan menjalankan tanggungjawab dengan telus, amanah, jujur dan adil.

Di Sabah, kata Nasharudin, penubuhan Sekretariat Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, DAP dan KeADILan akan memastikan rakyat memberikan sokongann dan akan memastikan jentera parti bergerak dengan lebih giat lagi. Beliau juga menegaskan bahawa PAS tidak pernah berganjak daripada prinsip perjuangannya sejak mula ditubuhkan hingga kini.

“Namun kita tidak menafikan hakikat bahawa sejajar dengan perkembangan semasa, kaedah untuk menjayakan perjuangan akan sentiasa berubah,” katanya. “Usah keliru, kita hanya merubah strategi dan pendekatan dan tidak bermakna kita mengabaikan dasar perjuangan parti,” katanya sambil menjelaskan “inilah yang sedang dilakukan oleh PAS”

Katanya, PAS tidak sama sekali menghalang kebebasan beragama, kebebasan berniaga dan kebebasan mengamalkan adat dan budaya masing-masing malah adat dan budaya akan terus diberi ruang untuk dilestarikan.

“Itulah tawaran PAS kepada rakyat Malaysia,” katanya. Tagline “PAS untuk Semua”, katanya yang mendirikan rumah tangga dengan seorang guru, Munirah Mahmud dan dikurniakan empat cahaya mata.

Ustaz Nasharudin yakin Pakatan Rakyat (PR) mendapat sokongan yang meningkat di kalangan rakyat di Sabah dan Sarawak dalam pilihanraya ke-13 akan datang. Walaupun saya masih mempunyai banyak pertanyaan tetapi dalam waktu sesingkat itu, ia terpaksa dipendamkan buat sementara kerana beliau perlu ke lapangan terbang selepas itu.

ORANG ITU MARAH-MARAH

Artikel ini saya baca lewat blog sahabat juga seorang wartawan masyarakat Sdr Abd Naddin daripada Utusan Borneo. Saya sering melayari blog beliau, sebagaimana beliau juga melayari blog saya (menurut katanya).

Perkara yang membuatkan saya gemar membaca catatan beliau adalah kerana kebanyakan isinya berkait dengan catatan perjalanan beliau khususnya sebagai seorang wartawan, ahli bahasa dan sastera. Beliau bertemu dengan pelbagai ragam orang, orang politik, orang kampung, orang bandar, orang seni dan bermacam-macam jenis orang.

Demikianlah meski jarang bertemu muka, tetapi dengan sering membaca catatan beliau menjadikan seolah kami rapat seperti bertemu setiap hari. Apabila kami bertemu, memang terasa akrab meski bilangan pertemuan itu rasanya boleh dibilang dengan jari.

Tersengih sendirian apabila saya membaca catatan beliau baru-baru ini :

Orang itu marah-marah kepada Ketua Menteri.

Katanya, Ketua Menteri tidak mahu menemuinya walaupun dia sudah ke pejabat. “Tidak patut Ketua Menteri tidak mahu jumpa saya padahal saya telah berjasa turut membawa UMNO masuk ke negeri ini”.

Dia perlihatkan surat-suratnya yang menyatakan bahawa dia salah seorang yang telah berjasa membawa UMNO masuk ke Sabah.

“Saya kecewa Ketua Menteri tidak mahu jumpa saya,” katanya.

Saya bertanya apa perlunya beliau berjumpa Ketua Menteri?

“Saya mahu hantar surat permohonan kepada CM tetapi tidak dilayan,” dia memberitahu.

“Mana suratnya…mari saya tengok,” kata saya.

Diapun mengeluarkan surat yang dimaksudkan itu.

Ada tiga perkara yang dipohonnya untuk dipertimbangkan oleh Ketua Menteri.

Setelah membaca surat itu, saya berasa ingin marah juga. Saya mahu marah kepada orang yang telah mendraf surat dan memberi nasihat yang salah kepada orang tua itu.

“Siapa yang menulis surat ini, pakcik?” saya bertanya.

“Saya sendiri tulis,” katanya dengan yakin.

“oh!”

“Apa pendapatmu, ngamkah surat pakcik itu?”

“Kenapa CM tidak mahu kasi? Tidak mahu kasi lulus permohonan saya?” Apa salahnya surat itu?” tanyanya.

Saya mahu mengatakan bahawa surat itu tidak sepatutnya ditulis begitu tetapi memikirkan dia orang tua, saya tidak mahu menyinggung perasaannya.

Kalau saya katakan surat itu betul, saya merasa saya pula tidak betul dalam memberikan nasihat kepadanya.

Dia mengaku seorang ketua cawangan Umno di sebuah daerah di Pantai Timur Sabah. Berdasarkan surat-suratnya, belaiu memang pernah terlibat dalam usaha menubuhkan cawangan-cawangan UMNO pada awal pertumbuhannya di Sabah pada 1991 dahulu.

“Saya kecewa kerana CM tidak mahu jumpa,” katanya lagi. Saya membaca suratnya dengan teliti.

Perkara pertama yang dimintanya ialah menjadi anggota kanan kabinet negeri! Bagaimana dia boleh menjadi anggota kanan kabinet sedangkan dia bukan wakil rakyat atau YB yang dilantik?

Saya memandangnya, cuba membaca air mukanya. Beliau seorang yang waras, saya kira tetapi kenapa dia terfikir begitu?

Perkara kedua yang dimintanya ialah menjadi TYT. Apa kelayakan menjadi TYT? Saya cuba memperhalusi kewajarannya.

Perkara ketiga yang dimintanya, membuat saya berfikir masih wujudkah lagi jawatan itu. Katanya, dia mahu menulis juga kepada Datuk Seri Najib untuk memohon jawatan itu.

Orang tua itu memohon untuk jawatan `pengintip rahsia’.

Saya fikir kalau orang tua ini minta diberikan projek, akan lebih mudah barangkali ia dipertimbangkan oleh Ketua Menteri.

Tapi beliau meminta jawatan pengintip rahsia.

Dia memohon mahu menjadi sepai? Saya teringat James Bond yang popular dengan filem 007nya yang berkisah mengenai spy.

Orang dahulu menyamakan pengintip sebagai talibarut. Jawatan pengintip rahsia? Berapa gajinya ya?

%d bloggers like this: